Khamis, 23 November 2023

Wanita mabuk cendawan berbogel di lapangan terbang cetus kekecohan

Wanita mabuk cendawan berbogel di lapangan terbang cetus kekecohan


Seorang wanita mencetuskan kekecohan di sebuah lapangan terbang di Santiago, Chile kerana berjalan dalam keadaan tidak berpakaian, lapor akhbar Daily Star pada 21 November 2023.


Berdasarkan video yang dirakam di Lapangan Terbang Antarabangsa Arturo Merino Benitez, wanita itu dilihat berlari di sekeliling lapangan terbang di hadapan penumpang tanpa seurat benang.


Dia juga dilihat terus-menerus menjerit serta menyerang orang ramai yang lalu lalang dan turut didakwa telah memukul seorang pegawai polis semasa ditahan.


Pada satu ketika dia dilihat berpaut pada lengan seorang lelaki tidak dikenali yang sedang menolak troli. Lelaki itu dilihat menolaknya sebelum melarikan diri.


Wanita berkenaan kemudian ditahan polis dan dibawa pergi dari tempat kejadian. Dia dilaporkan mengambil alkohol dan dadah tetapi siasatan terhadapnya masih diteruskan.


Menurut agensi Emol, wanita itu didakwa telah memakan cendawan halusinogen di sebuah pesta di Barrio Republica di Chile. Laporan tambahan mencadangkan dia tiba di lapangan terbang di bawah pengaruh alkohol dan bahan psikoaktif, termasuk cendawan.


Bahan sedemikian boleh menyebabkan halusinasi visual dan pendengaran yang sengit, yang berpotensi menyebabkan tingkah lakunya tidak menentu. Komen rasmi mengenai situasi itu masih belum dikeluarkan. - Sumber Daily Star.


Wanita itu ditahan polis selepas membuat kekacauan di lapangan terbang. - Foto Jam Press.

Selasa, 21 November 2023

Ular sawa seberat 100 kg telan 3 ekor kambing berjaya ditangkap

Ular sawa seberat 100 kg telan 3 ekor kambing berjaya ditangkap


Seekor ular sawa sepanjang enam meter yang disyaki pernah menelan tiga ekor kambing peliharaan seorang penternak berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kampung Kubang Puyu Chalok di Setiu, hari ini.


Haiwan reptlilia seberat kira-kira 100 kilogram (kg) itu berjaya dijinakkan sebelum ditangkap pada pukul 9.15 pagi.


Pegawai Pertahanan Awam Daerah Setiu, Mohd. Nizu Husien berkata, sepasukan anggota APM bergegas ke kandang kambing tersebut sebaik dimaklumkan kehadiran ular sawa tersebut.


"Penternak kambing tersebut, Shukri Ab. Rashid, 49, memberitahu menyedari kehadiran ular sawa itu sewaktu melihat kandang kambingnya pada pagi ini.


"Dia mengesyaki haiwan reptilia sama yang menelan tiga ekor kambing peliharaannya termasuk dua ekor anak kambing yang telah hilang sebelum ini.


"Anggota APM mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap haiwan terbabit yang sedang terdampar kekenyangan," katanya ketika dihubungi hari ini.


Mohd. Nizu berkata, haiwan reptilia berkenaan akan diserahkan kepada, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya pada masa terdekat.


Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan kehadiran haiwan liar dan reptilia sepanjang musim tengkujuh ini.


"Biasanya haiwan-haiwan ini akan keluar mencari kawasan berlindung termasuk sekitar rumah dan kandang haiwan ternakan setelah habitat mereka dilimpahi banjir pada waktu ini," katanya.


Anggota APM sedang menangkap seekor ular sawa seberat 100 kg di Kampung Kubang Puyu, Chalok, Setiu, hari ini. - Foto APM.
Lelaki Australia kencing di tiang parkir kereta akhirnya serah diri

Lelaki Australia kencing di tiang parkir kereta akhirnya serah diri


Seorang lelaki warga Australia tampil serah diri di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini, selepas video dirinya membuang air kecil pada tiang di tempat parkir sebuah pusat beli-belah tersebar di media sosial.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, suspek ditahan di IPD Subang Jaya pada pukul 11.15 pagi tadi.


"Suspek merupakan warga Australia berusia 32 tahun.


"Hasil semakan mendapati suspek datang ke Malaysia untuk melawat keluarganya," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Wan Azlan, suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan akan ditahan untuk siasatan lanjut.


Terdahulu, tular seorang lelaki pemandu Mazda yang membuang air kecil di tiang tempat parkir kereta sebuah pasar raya di Subang dalam kejadian 16 November lalu.


Perlakuan individu terbabit mendapat kecaman ramai setelah sebuah video berdurasi 50 saat dimuat naik di media sosial.


Wan Azlan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).


Suspek warga Australia serah diri di IPD Subang Jaya pagi tadi. - Foto Facebook.
Suami bakar isteri hidup-hidup selepas 'kantoi' berasmara di atas timbunan jerami

Suami bakar isteri hidup-hidup selepas 'kantoi' berasmara di atas timbunan jerami

Gambar hiasan.

Seorang wanita di Bareilly, negeri Uttar Pradesh, India dibakar hidup-hidup oleh suaminya selepas ditangkap sedang bermadu kasih dengan teman lelakinya di atas timbunan jerami, lapor akhbar Deccan Herald pada 19 November 2023.


Mayat mangsa yang hangus dikenali sebagai Anjali, 35, ditemui lewat kelmarin di sebuah kawasan padang berhampiran kampung Gotiya.


Polis kemudian menahan suami mangsa, Nepal Singh atas dakwaan membunuh selepas keluarga mangsa membuat laporan.


Semasa disoal siasat, Nepal mengaku membunuh isterinya kerana wanita itu menjalin hubungan luar nikah bersama lelaki lain.


Menurut polis, ketika kejadian pada malam Sabtu, suspek melihat mangsa sedang berbaring di atas timbunan jerami bersama teman lelakinya.


Dia kemudian membakar jerami tersebut lalu melarikan diri.


Mayat mangsa dihantar untuk menjalani bedah siasat, manakala nasib teman lelakinya tidak dinyatakan. - Sumber Deccan Herald.


Suspek menemui isterinya sedang bermadu kasih dengan teman lelakinya di atas jerami. - Foto Snappy Goat.

Isnin, 20 November 2023

Isteri cemburu nekad tikam suami kerana ambil gambar anak saudara

Isteri cemburu nekad tikam suami kerana ambil gambar anak saudara


Seorang lelaki di Kemboja cedera parah akibat ditikam isterinya selepas dia mengambil gambar anak perempuan saudara mereka, lapor akhbar Khmer Times, hari ini.


Kejadian berlaku pada pukul 8 malam (waktu tempatan) pada 18 November 2023 di kampung Taing Rong, komune Hong Sam, di daerah Oral, wilayah Kampong Speu.


Menurut Polis Daerah Oral, wanita bernama I Sophorn, 39, itu berang apabila melihat suaminya, Om Chhuon, 44, mengambil gambar anak saudara perempuan mereka.


Selepas ditikam, lelaki itu cedera parah pada bahu kirinya dan dikejarkan ke Hospital Wilayah Kampong Speu untuk rawatan.


Polis berkata, punca si isteri mengeluarkan pisau untuk menikam suaminya adalah kerana cemburu.


Suspek kini ditahan polis dan dibawa ke Inspektorat Polis Daerah Lisan untuk tindakan undang-undang. - Sumber Khmer Times.


Wanita itu menggunakan pisau untuk menikam suaminya. - Foto Khmer Times.

Ahad, 19 November 2023

NASA siasat objek terbang lebih 200,000 kilometer sejam mengeluarkan bunyi dentuman dan gegaran kuat

NASA siasat objek terbang lebih 200,000 kilometer sejam mengeluarkan bunyi dentuman dan gegaran kuat


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menyiasat kejadian aneh berupa penampakan cahaya terang di langit yang mengeluarkan bunyi dentuman kuat, lapor akhbar Metro UK pada 17 November 2023.


Pada malam Isnin lalu, penduduk yang tinggal dalam lingkungan 80 kilometer di Minnesota melihat satu objek terang melintang di langit dan mendengar bunyi dentuman yang menggegarkan tingkap dan rumah mereka.


NASA percaya objek misteri itu menembusi atmosfera pada kelajuan antara 48,280 hingga 209,214 kilometer sejam.


Pengurusan Kecemasan Daerah Beltrami mendedahkan, letupan sonik yang terlalu dekat dengan daratan itu berasal daripada sebutir meteor dan tidak menyebabkan kemusnahan.


Ahli fizik tempatan yang mengkaji kejadian itu, Profesor Jun Cabanela berkata, keadaan semasa insiden berlaku menunjukkan bahawa objek itu bukan meteor biasa.


Tiga video mengenai kejadian itu juga diperoleh oleh pengarah Pengurusan Kecemasan Daerah Beltrami, Chris Muller.


Walaupun beberapa laporan mengenai kilat bersinar terang di langit pada malam Isnin, dia tidak dapat mengesahkan ia adalah objek terbang.


"Saya tidak fikir ia objek terbang tidak dikenali (UFO) dalam erti kata lain, makhluk asing.


"Sekiranya ia adalah apa-apa yang mungkin ada di udara, ia sepatutnya dikesan oleh radar. Kami telah menyemak dengan Perkhidmatan Cuaca dan mereka tidak mempunyai apa-apa dalam radar.


"Mereka juga tidak mengesan sebarang kilat ketika kejadian. Jadi, kami sebenarnya cenderung ke arah bahawa ini adalah sesuatu yang berada di atas atau berhampiran tanah," kata Muller.


Muller telah menyemak rakaman tambahan dari kamera lapangan terbang, dari malam Isnin dan pada waktu siang, dan kini dia percaya penampakan dalam video itu boleh dijelaskan. - Sumber Metro UK.


Pakar menganggarkan objek itu bersaiz sebesar peti sejuk. - Foto Pengurusan Kecemasan Daerah Beltrami.
Wanita terdesak serbu majlis perkahwinan bekas teman lelaki

Wanita terdesak serbu majlis perkahwinan bekas teman lelaki


Dalam satu percubaan terdesak, seorang wanita menyerbu majlis perkahwinan bekas teman lelakinya di Suzhou, China, untuk memastikan sama ada lelaki berkenaan masih mempunyai perasaan sayang pada dirinya, lapor portal berita Thaiger pada 18 November 2023.


Bagaimanapun, apabila muncul di majlis berkenaan, dia tidak dapat mengawal emosi lalu memeluk bekas teman lelakinya sambil menangis. Wanita itu turut menghempaskan dirinya ke lantai bagi menghalang lelaki berkenaan mengahwini pengantin perempuan.


Menyaksikan adegan mengejutkan itu, para tetamu bergegas membantu wanita tersebut tetapi dia berdegil dan enggan melepaskan kaki pengantin lelaki dalam kejadian baru-baru ini.


Pengantin lelaki dan wanita muda itu telah menjalin hubungan selama tujuh tahun sebelum mereka memutuskan untuk berpisah. Apabila dia mendapati lelaki yang dicintainya selama tujuh tahun itu berkahwin lain, dia berasa sukar untuk menerimanya.


Dia telah menghabiskan masa remajanya bersamanya dan kini melihat dia menjadi suami orang lain adalah sangat tidak tertanggung.


"Kita bercinta selama tujuh tahun. Adakah awak sudah lupa tujuh tahun kita bercinta?" katanya manakala bekas kekasihnya menunjukkan ekspresi sedih dan mengulurkan tangan untuk memegang tangan wanita itu.


Walaupun adegan itu berlaku di hadapannya, pengantin perempuan pula tidak menunjukkan kemarahan. Dia berdiri diam, kelihatan acuh tak acuh dengan semua yang berlaku seolah-olah tiada kena mengena dengan dirinya.


Dia tidak menunjukkan sebarang emosi terhadap pengantin lelaki yang memegang tangan wanita lain, dia hanya memaut lengan kiri dan kanannya, menunjukkan statusnya sebagai bakal isterinya, lapor Sanook.


Selepas insiden perkahwinan yang dramatik itu tersebar di internet, ramai netizen berasa kasihan dengan wanita tersebut.


"Menangis tidak membantu. Kalau dia masih simpan awak dalam hati, awak tidak ditinggalkan untuk dirinya berkahwin lain," kata seorang netizen.


"Tidak kira betapa sakitnya, anda tidak sepatutnya mengganggu perkahwinan bekas kekasih. Ia akan membuatkan pengantin perempuan, pengantin lelaki, dan kedua-dua keluarga tidak selesa," kata netizen lain. - Sumber The Thaiger.

 

Seorang wanita menyerbu majlis perkahwinan bekas teman lelakinya di Sizhou baru-baru ini. - Foto Sanook.

Sabtu, 18 November 2023

Wanita terjun dari tingkat satu bangunan selepas polis menyerbu rumah urut

Wanita terjun dari tingkat satu bangunan selepas polis menyerbu rumah urut


Tiga wanita memanjat keluar tingkap dari tingkat satu sebuah rumah urut di Hong Kong untuk melarikan diri ketika premis itu diserbu polis, lapor portal berita South China Morning Post pada 14 November.


Seorang daripada mereka melompat ke kaki lima dalam percubaan yang gagal untuk melarikan diri daripada ditahan polis ketika operasi anti-maksiat menyasarkan premis itu.


Ketiga-tiga pekerja seks itu memanjat kanopi sebuah restoran di tingkat bawah ketika pegawai dari skuad tugas khas menyerbu bangunan di North Point Mansion pukul 2 petang (waktu tempatan).


Sebuah klip video tular di media sosial memaparkan seorang daripada mereka terjun ke kaki lima selepas memanjat sebuah pendingin hawa di luar blok rumah pangsa itu.


Bagaimanapun, dua lagi rakannya dilihat memanjat masuk semula melalui tingkap selepas melihat wanita itu jatuh.


Sumber berkata, ketiga-tiga mereka adalah antara tujuh wanita yang ditahan polis semasa serbuan itu.



Enam daripada yang ditahan, berumur dari 20 hingga 39 tahun, adalah pelawat dari tanah besar China dan ditahan kerana disyaki melanggar syarat penginapan mereka.


Wanita ketujuh iaitu seorang penduduk Hong Kong berusia 31 tahun ditahan kerana disyaki menguruskan organisasi maksiat.


Sumber itu berkata, wanita berusia 36 tahun yang terjun itu tidak mengalami kecederaan luaran dan tidak meminta rawatan di hospital.


Kesemua mereka yang ditahan masih ditahan untuk disoal siasat pada malam Selasa lalu. - Sumber South China Morning Post.


Seorang wanita yang terjun dari penghawa dingin cuba bangkit semula selepas mendarat dengan teruk. - Foto Facebook.

Jumaat, 17 November 2023

Padah intip jiran, lelaki dipenjara 5 bulan rakam bini orang mandi

Padah intip jiran, lelaki dipenjara 5 bulan rakam bini orang mandi


Seorang penjaga stor kedai serbaneka dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini selepas mengaku bersalah merakam jirannya mandi di Padang Temu, minggu lalu.


Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Fakrul Najmi Rohaizan, 26, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.


Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati merakamkan gambar mangsa wanita berusia 44 tahun sedang mandi menggunakan telefon bimbit di sebuah rumah di Padang Temu dalam daerah Melaka Tengah pada jam 10.50 malam, 10 November lalu.


Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.


Mengikut laporan polis dibuat mangsa, dia menyedari dirinya dirakam selepas terlihat ada tangan lelaki memegang telefon bimbit di celah lubang angin tandas dan terus merampas gajet tersebut.


Ibu satu anak itu kemudian terus mendapatkan suaminya sambil memberitahu kejadian sebelum tertuduh muncul di rumahnya kononnya bagi meminta maaf. Tertuduh merupakan anak kepada jirannya.


Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan hanya bekerja sebagai penjaga stor dan menanggung keluarga.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh.


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dari tarikh ditangkap iaitu pada 14 November lalu.


Tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima bulan selepas mengaku bersalah merakam jirannya mandi. - Foto Kosmo Online.
Isteri lari ikut bapa mentua, lelaki mahu saman bapa kandungnya

Isteri lari ikut bapa mentua, lelaki mahu saman bapa kandungnya


Seorang lelaki di daerah Bundi, negeri Rajashtan, India memfailkan saman terhadap bapa kandungnya kerana melarikan diri bersama isterinya, membuatkan dia terpaksa menceraikan wanita itu, lapor laman berita India Times pada 14 November lepas.


Pawan Vairagi dalam tuntutan tersebut berkata, bapanya, Ramesh Vairagi sengaja menggoda isterinya sehingga menyebabkan wanita itu lari mengikut lelaki berkenaan serta meninggalkan anak mereka yang berusia enam bulan.


Tambah Pawan, bapanya turut melarikan motosikal miliknya yang digunakan untuk melarikan diri bersama menantunya itu.


Namun, dia menegaskan bahawa isterinya ditipu oleh bapanya dan menganggap wanita itu tidak bersalah.


Pawan selain itu membuat aduan bahawa pihak polis tidak melakukan siasatan yang sewajarnya selepas dia membuat laporan sama sebelum ini.


Pegawai dari balai polis Sadar, Arvind Bhardwaj berkata, siasatan sedang dijalankan dan segala usaha sedang dilakukan untuk mencari pasangan tersebut dan motosikal Pawan.


Pihak polis belum mengeluarkan sebarang maklumat baharu mengenai keberadaan mereka. - Sumber India Times.


Pawan menganggap isterinya tidak bersalah kerana bapanya dikatakan sengaja menggoda wanita itu. - Foto India Times.