Ahad, 20 Ogos 2023

Kanak-kanak maut main pasir batu kapur yang dibuang di tepi jalan

Kanak-kanak maut main pasir batu kapur yang dibuang di tepi jalan


Malang nasib kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dari wilayah Paraná, Brazil yang maut selepas bermain dalam pasir batu kapur, lapor laman berita Oddity Central pada 19 Ogos 2023.


Mangsa dikenalpasti sebagai Arthur dan meninggal dunia pada 3 Ogos lalu di bandar Ipriranga dekat selatan Brazil. Difahamkan, Arthur sedang bermain di tepi jalan di bawah pengawasan keluarganya apabila dia melihat timbunan debu putih halus.


Kanak-kanak lelaki itu kelihatan seronok berguling dan bermain sebelum menimbus badannya dalam pasir putih itu seperti di pantai. Ketika itu, ibu bapanya tidak mengesyaki apa-apa malah mereka mengambil gambar mangsa bermain di atas pasir berkenaan.


Tanpa disangka, ia kali terakhir mereka melihat kanak-kanak itu masih bernyawa. Ia kerana selepas bangun daripada timbunan pasir, keadaan Arthur jadi teruk, dia dibawa ke hospital namun doktor gagal menyelamatkan nyawanya.


Timbunan pasir yang didakwa dibuang oleh beberapa syarikat pembinaan di tepi jalan sebenarnya adalah batu kapur. Ia boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit dan mata dalam kes sentuhan langsung, tetapi ia amat berbahaya jika terhidu.


Walaupun Arthur hanya bermain di pasir itu selama beberapa minit, dia menghidunya dan terbukti membawa maut.


Pasir batu kapur mengandungi kristal silika, apabila disedut boleh menyebabkan penyakit serius seperti barah paru-paru, penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) dan silikosis.


Sisa daripada zarah silika terkumpul di dalam paru-paru yang menyebabkan keradangan dan parut. Bagaimanapun, silikosis lazimnya berlaku selepas bertahun-tahun terdedah kepada silika. - Sumber Oddity Central.


Arthur maut kerana terhidu pasir batu kapur. - Foto News Flash.

Sabtu, 19 Ogos 2023

Ferrari Mondial Spider berjaya dijual pada harga RM8.8 juta walaupun hanya tinggal rangka

Ferrari Mondial Spider berjaya dijual pada harga RM8.8 juta walaupun hanya tinggal rangka


Biasanya harga kereta lama yang tersadai, terbabit dalam kemalangan dan lebih teruk lagi tinggal rangka sahaja hanya layak dinilai pada harga besi buruk.


Namun tidak bagi rangka Siri 1 Ferrari 500 Mondial Spider 1954 yang direka firma reka bentuk kereta terkenal Itali, Carrozzeria Pininfarina. Rangka kereta berkarat dan remuk Ferrari klasik itu dijual pada harga £1.5million (kira-kira RM8.8 juta).


Menurut lapor akhbar Mirror UK pada 18 Ogos 2023, kereta itu pernah dipandu dalam perlumbaan oleh bekas pemandu pasukan Scuderia Ferrari, Franco Cortese di litar Mille Miglia yang terkenal di dunia.



Pada awal 1960-an, Mondial Spider yang berkelajuan 237 kilometer sejam itu terbabit dalam satu perlumbaan yang tidak diketahui lokasi sebenar di Amerika Syarikat menyebabkan kereta itu terhempas, terbakar dan rosak teruk hingga tinggal rangka.


Kemudian seorang pemaju hartanah di Florida, Walter Medlin, membeli rangka itu pada 1978 sebagai koleksi antara 20 kereta Ferrari disimpannya.


Rangka dipelihara itu ditemukan apabila Medlin meninggal dunia tahun lalu dan menurut pusat lelongan Sotheby's di Monterey, California, ia sudah pun dibeli pada harga £1.5 juta (kira-kira RM8.8 juta) pada jualan lelongnya. Namun, pemilik baru belum didedahkan.


Jurulelong RM Sotheby's di California berkata, kereta digunakan dalam perlumbaan secara meluas termasuk penampilan di Grand Prix Mille Miglia, Targa Florio, dan Imola itu adalah satu daripada hanya 13 contoh yang asalnya dibina Pininfarina.


"Ia ditawarkan buat kali pertama lebih 50 tahun, menjadikan ia projek pemulihan ideal. Selepas siap pastinya menjanjikan pengalaman pemanduan mendebarkan enjin Aurelio Lampredi iaitu loji kuasa kecil yang bertanggungjawab untuk begitu banyak kemenangan Scuderia Ferrari," katanya.


Mondial sebelum ini yang dipulihkan semula dijual pada harga £3.2 juta (kira-kira RM18.9 juta) pada 2019. - Sumber Mirror UK.


Kereta Ferrari model Siri 1 Ferrari 500 Mondial Spider 1954 yang tinggal rangka dijual £1.5 juta pada jualan lelong baru-baru ini. - Foto DarinSchnabel/RM Sotheby's/BNPS.

Mondial sebelum ini yang dipulihkan semula dijual pada harga £3.2 juta (kira-kira RM18.9 juta) pada 2019. - Foto Mirror UK.

Jumaat, 18 Ogos 2023

Lelaki diberkas kerana hidu bau punggung wanita ketika berada di kedai buku

Lelaki diberkas kerana hidu bau punggung wanita ketika berada di kedai buku


Seorang wanita secara tidak sengaja merakam aksi seorang lelaki menghidu bau punggungnya dari belakang ketika dia berada di sebuah kedai buku di California, lapor akhbar Mirror UK pada 17 Ogos 2023.


Suspek kemudian dikenal pasti sebagai Calese Carron Crowder berusia 36 tahun. Dia dibebaskan beberapa hari kemudian selepas ditahan dan diketahui memiliki rekod jenayah lampau.


Berdasarkan video yang dimuat naik di laman TikTok, Michaela Witter merakam dirinya pergi ke kedai buku Barnes and Noble secara bersendirian.


Pada awalnya, Witter mendapati Crowder mengekorinya di dalam kedai tersebut, namun tidak mengendahkannya.


Dalam video yang dirakam, Crowder didapati duduk membongkok di belakang Witter sebelum menghidu bau punggungnya. Dia turut melakukannya kepada wanita lain.


Witter kemudian secara tidak sengaja mengesan perbuatan Crowder, namun suspek memberi alasan bahawa dia duduk di lantai untuk membetulkan tali kasutnya.


Disebabkan takut, Witter melaporkan perkara itu kepada kakitangan di kaunter. 


Pengurus kedai memanggil pihak berkuasa yang kemudian menangkap Crowder, tetapi kemudian melepaskannya tanpa sebarang pertuduhan.


Crowder turut menjadi tajuk utama minggu lalu apabila dia ditahan untuk satu lagi kejadian pada 6 Ogos, di mana dia ditangkap kerana mengintip kediaman yang diduduki keluarga Glendale.


"Crowder mempunyai sejarah panjang mengintip, berkeliaran dan pecah rumah," kata Jabatan Polis Glendale dalam satu kenyataan akhbar.


Laporan penangkapan yang disediakan oleh daerah itu menunjukkan bahawa Crowder telah ditangkap beberapa kali kerana didakwa mengintip beberapa pasangan melalui tingkap, mengintai kanak-kanak, dan berkelakuan tidak senonoh, dan itu hanya antara 2020 dan 2021. - Sumber Mirror UK.


Crowder kelihatan duduk di lantai sambil berpura-pura mengambil buku. - Foto TikTok.

Khamis, 17 Ogos 2023

Pasar mini paling sukar dikunjungi di dunia terletak di tengah lereng gunung batu

Pasar mini paling sukar dikunjungi di dunia terletak di tengah lereng gunung batu


Sebuah pasar mini di China menjadi perhatian pengguna media sosial kerana terletak di sebuah lereng, menyebabkan ia digelar 'pasar mini paling menyukarkan di dunia', lapor akhbar Daily Star pada 16 Ogos 2023.


Terletak di Taman Negara Geologi Shiniuzhai, dalam wilayah Hunan, kedai tersebut dibina pada ketinggian 120 meter dari tanah dan terletak di tengah lereng.


Kedai kecil dibina daripada kayu itu membekalkan makanan yang memberikan nutrisi kepada pendaki ketika mereka mendaki bongkah gunung batu yang sukar itu.


Beberapa gambar yang dikongsikan di platform Twitter baru-baru ini menunjukkan kedudukan kedai tersebut, membuatkan ramai netizen terpegun.



"Di wilayah Hunan di China, pada ketinggian 120 meter di tepi lereng, terdapat sebuah kedai menjual makanan ringan dan minuman kepada pendaki.


"Pekerja kedai menambah stok barangan menggunakan zipline, bagi menawarkan pengalaman membeli-belah yang unik dengan pemandangan menakjubkan," demikian menurut hantaran itu.


Hantaran tersebut tular dan menerima pelbagai komen netizen.


"Hebat sekali! Adakah pekerja perlu mendaki setiap hari untuk pergi bekerja?" kata seorang pengguna.


"Ia sangat hebat! Satu cara inovatif untuk menggabungkan pemandangan menakjubkan dan kemudahan kepada pendaki," kata pengguna lain. - Sumber Daily Star.


Kedai ini dibina pada ketinggian 120 meter di atas tanah dan terletak di tengah-tengah tebing. - Foto Twitter.

Rabu, 16 Ogos 2023

Rumah tiba-tiba meletup, lima termasuk budak 12 tahun maut

Rumah tiba-tiba meletup, lima termasuk budak 12 tahun maut


Lelaki bersama anak lelakinya berusia 12 tahun antara lima individu terbunuh dalam letupan rumah di Pennsylvania, Pittsburgh, Amerika Syarikat, lapor Daily Mail pada 14 Ogos 2023.


Letupan di Plum, pinggir bandar Pittsburgh, 12 Ogos lalu itu menyebabkan tiga mangsa lain cedera termasuk seorang dalam keadaan kritikal.


Tiga struktur kediaman di kawasan kejiranan itu musnah, sementara sekurang-kurangnya 12 rumah lagi mengalami kerosakan. Punca letupan pada masa ini tidak jelas, tetapi rumah itu terletak di atas lombong terbiar.


Menurut pegawai di Allegheny County, Pennsylvania, mereka menerima panggilan kecemasan kira-kira 10.30 pagi (waktu tempatan), Sabtu lalu.


Katanya, polis dan bomba yang tiba di tempat kejadian melaporkan mangsa terperangkap di bawah serpihan runtuhan.


"Kelihatan seolah-olah sebuah rumah meletup. Beberapa rumah lain rosak, serta tingkapnya berkecai," kata mereka dalam catatan di Facebook.



Rakaman kamera di pintu depan salah satu kediaman menunjukkan, letupan besar menyebabkan kepulan asap dan serpihan dari rumah berterbangan ke langit.


Lima mayat kemudian ditemukan di tempat kejadian. Pegawai Allegheny County berkata, masih tidak pasti individu yang berada di rumah berkenaan.


Katanya, jika ada pelawat berada di kawasan itu pada masa itu, ia merumitkan lagi usaha untuk mengenal pasti mayat.


"Pengecaman mayat akan mengambil masa kerana ia membabitkan pengguna rekod pergigian dan DNA," katanya di platform Twitter.


Ahli keluarga mengenal pasti, Casey Clontz, 38, dan anaknya, Keegan, 12, antara lima mangsa yang terbunuh. Casey dan anaknya tinggal di kejiranan sama.


Tidak jelas mengapa mereka berada di rumah Oratvitz, namun ahli keluarga memberitahu saluran berita tempatan TribLive, ia bukan perkara biasa bagi mereka untuk singgah kerana mereka 'sangat mesra' dengan jiran.


Rekod awam menunjukkan bahawa Paul Oravitz, 56, isterinya Heather, 51, dan dua anak mereka, Taylor dan Cole, tinggal di hartanah yang meletup itu.


Selain Keegan, Casey dan isterinya, Jen yang mendirikan rumah tangga selama 14 tahun, juga mempunyai seorang anak perempuan berusia 10 tahun, Addie.


Presiden Gas Rakyat, Michael Huwar berkata pihaknya segera mula memeriksa kawasan itu untuk kebocoran termasuk pemeriksaan bau dan pemeriksaan di bawah tanah dan di udara.


Laporan awal menunjukkan bahawa sistem gas beroperasi seperti yang direka. Ia menimbulkan persoalan tentang apa yang menyebabkan letupan itu, dengan beberapa bertanya sama ada lombong boleh menjadi punca. - Sumber Daily Mail.


Anggota bomba berusaha memadamkan api dengan bantuan lori tangki air dari daerah Allegheny dan Westmoreland. - Foto Daily Mail.

Dua anggota bomba berdiri di atas serpihan yang terbakar di tiga rumah yang meletup. - Foto Daily Mail.

Polis dan perkhidmatan kecemasan menggeledah serpihan tiga rumah yang meletup. - Foto Daily Mail.

Insiden letupan dirakam kamera pintu depan sebuah rumah. - Foto Daily Mail.

Selasa, 15 Ogos 2023

Remaja jual rumah pusaka separuh harga demi memiliki sebuah motosikal

Remaja jual rumah pusaka separuh harga demi memiliki sebuah motosikal

Gambar hiasan. - Foto Shutterstock.

Impian remaja lelaki memiliki sebuah motosikal idaman, tidak kesampaian apabila keluarganya mengambil tindakan undang-undang atas dakwaan menjual harta pusaka bernilai 1 juta yuan (kira-kira RM640,238), lapor South China Morning Post, semalam.


Mahkamah di wilayah Henan, meneliti perjanjian antara remaja berusia 18 tahun itu, Xiaohua dan dua ejen hartanah, Xiaowu dan Xiaoyang, sebelum perjanjian jual beli itu dibatalkan kerana tidak adil, lapor Dacankao.


Xiaohua memutuskan untuk menjual harta yang diwarisi daripada datuknya itu selepas ibu bapanya enggan membelikannya sebuah motosikal.


Tanpa pengetahuan ibu bapanya, dia berhubung dengan ejen bernama Xiaowu. Remaja itu bersetuju untuk menjual hartanah itu kepada Xiaowu pada separuh nilai pasarannya, 520,000 yuan (kira-kira RM332,923).


Xiaowu kemudian menjualnya semula kepada ejen lain, Xiaoyang, untuk jumlah yang tidak didedahkan tetapi mengaut keuntungan berganda.


Apabila ibu Xiaohua mengetahui urus niaga itu, dia curiga dengan dua ejen itu dan mengesyaki mereka menipu remaja itu.


Hakim, He Meng, berkata, Xiaohua harus bertanggungjawab atas keputusan tidak matangnya itu, namun ibunya mendakwa urus niaga itu tidak adil.


Penelitian mahkamah mendapati urus niaga itu berlaku secara sah, namun akhirnya memikirkan usia remaja itu masih mentah dan mudah dimanipulasi pihak lain, mahkamah membatalkan perjanjian itu.


"Xiaowu mengambil kesempatan daripada Xiaohua," katanya.


Mahkamah memutuskan, pemilikan harta diberikan semula kepada Xiaohua. - Sumber South China Morning Post.


Penjualan itu didorong oleh ibu bapa remaja itu yang enggan membelikannya motosikal. - Foto Shutterstock.

Isnin, 14 Ogos 2023

Penyelidik Thailand jumpa parasit dalam najis berusia 200 juta tahun

Penyelidik Thailand jumpa parasit dalam najis berusia 200 juta tahun


Penyelidik daripada Universiti Mahasarakham di Kham Riang, Thailand menemui lima sisa parasit prasejarah dalam ketulan najis fosil berusia 200 juta tahun, lapor Daily Mail pada 10 Ogos 2023.


Penyelidik menganalisis najis bersaiz 7.4 sentimeter (cm) sebelum menemui parasit berkenaan yang setiap satu sepanjang antara 0.005cm ke 0.01cm.


Menurut laporan kajian itu, pakar menghiris ketulan seperti telur menjadi kepingan sangat nipis menggunakan gergaji (diamond saw), yang membolehkan mereka melihat keratan mikrob melalui mikroskop.


Pasukan penyelidik itu mula-mula mengetahui mengenai fosil berkenaan pada 2010 dan melakukan ekspedisi di lapangan, yang dibantu penduduk kampung, terus ke tapak fosil.


"Penampilan pelik fosil itu menarik minat penduduk kampung yang menganggap mereka mungkin bertuah dan akan dikurnia nasib baik jika menggunakan semula sebagai azimat," kata seorang penyelidik kepada portal berita Inverse.


Nonsrirach daripada Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Palaeontologi Universiti Mahasarakham berkata, parasit mempunyai beberapa spesies termasuk telur Ascaridida yang boleh ditemui dalam Coprolite.


"Spesies ini mungkin dihasilkan reptilia seperti buaya dan phytosaur. Ia adalah penemuan pertama telur Ascaridida dan bukti pelbagai jangkitan yang boleh dipindahkan kepada Crurotarsi dari kumpulan Triassic (Trias) terakhir Asia.


"Penemuan ini sangat penting kepada pemahaman saintifik tentang peredaran dan ekologi parasit pada zaman lampau," katanya. - Sumber Daily Mail.


Gambar di atas adalah sampel parasit yang ditakrifkan oleh ahli paleontologi sebagai 'morphotype IV' ditemui dalam najis purba. Para penyelidik berkata bahawa 'permukaan berhias' ini dipercayai sisa-sisa spora pakis atau lumut yang ditelan tetapi tidak dihadam oleh haiwan purba. - Foto Daily Mail.

Parasit moden ialah komponen ekosistem yang biasa dan penting, tetapi parasit purba dan peranannya dalam ekosistem prasejarah sukar untuk dikaji, kerana  begitu sedikit contoh yang terselamat dalam rekod fosil. Di atas adalah sampel parasit 'morphotype II,' yang mungkin spora lumut. - Foto Daily Mail.

Ketulan najis fosil berusia 200 juta tahun yang ditemui pasukan penyelidik Universiti Mahasarakham, Thailand. - Foto Daily Mail.
Zuckerberg sudah lama menunggu, Musk masih belum bersedia bertarung dalam sangkar

Zuckerberg sudah lama menunggu, Musk masih belum bersedia bertarung dalam sangkar


Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg memaklumkan bahawa pertarungan dalam sangkar antara beliau dan manusia paling kaya di dunia, Elon Musk mungkin tidak akan diadakan, lapor stesen penyiaran NBC News pada 13 Ogos 2023.


"Saya rasa kita semua boleh bersetuju bahawa Musk tidak serius dan sudah tiba masanya kita melupakannya," tulis Zuckerberg di aplikasi Thread semalam. Aplikasi Threads berasaskan teks Meta yang dilancarkan sebagai pesaing kepada X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter).


Sejak Jun lalu, kedua-dua ketua eksekutif syarikat media sosial itu digembar-gemburkan akan bertarung dalam 'pertarungan sangkar', istilah yang digunakan untuk merujuk kepada acara gusti di ruang tertutup.


Bagaimanapun dalam komen terbaharunya, Zuckerberg berkata, beliau sentiasa bersedia untuk bertarung namun Musk sering mengemukakan pelbagai alasan.


"Saya menawarkan tarikh sebenar. Dana White juga menawarkan diri untuk menjadikan ia satu pertandingan yang sah untuk kutipan amal," tulis Zuckerberg sambil merujuk kepada presiden syarikat Ultimate Fighting Championship yang cuba menganjurkan acara itu.


"Musk tidak mahu mengesahkan tarikh sebenar, kemudian dia berkata dia memerlukan pembedahan dan sekarang dia mahu mengadakan sesi latihan di belakang rumah saya," katanya.


Musk masih belum memberi maklum balas secara terbuka kepada komen terbaru Zuckerberg dan jurucakap syarikat X tidak dapat dihubungi untuk maklum balas. - Sumber NBC News.


Zuckerberg mendakwa Musk tidak serius mengenai pertarungan itu. - Foto AFP.
Beribu-ribu bahan letupan dari era perang ditemui di dalam sekolah Kemboja

Beribu-ribu bahan letupan dari era perang ditemui di dalam sekolah Kemboja


Beribu-ribu serpihan senjata yang tidak meletup peninggalan perang saudara Kemboja ditemui di dalam sebuah sekolah di timur laut negara itu, lapor Wion News pada 13 Ogos 2023. 


Beberapa dekad selepas konflik kejam dan kempen pengeboman Amerika Syarikat (AS) bermula pada 1960-an, negara itu kekal antara yang paling banyak dibom dan dilombong di dunia.


Lebih 2,000 bahan letupan, termasuk lebih 1,000 bom tangan M79 ditemui di dalam kawasan sebuah sekolah tinggi di wilayah Kratie selama tiga hari, kata Heng Ratana, ketua pengarah Pusat Tindakan Lombong Kemboja.


Beliau memberitahu AFP sisa bahan letupan ditemui selepas sekolah itu membersihkan tanah untuk memperluaskan taman.


"Sekolah ditutup buat sementara waktu," kata Heng Ratana pada hari Ahad.


Imej menunjukkan beberapa jisim bahan letupan yang digali, berkarat dan disusun dalam barisan.


"Ia satu kejayaan besar untuk pelajar. Alat letupan ini mudah meletup jika ada yang menggali ke dalam tanah dan mengenainya," kata Heng Ratana.



Tapak itu adalah stesen tentera ketika perang, katanya, dan operasi untuk membersihkan kawasan itu mungkin akan mendedahkan lebih banyak lagi.


Perang saudara Kemboja berlarutan sehingga 1975, dengan AS dan Vietnam Utara dan Selatan pada masa itu menyokong pelbagai pihak.


Kesan kempen pengeboman AS dan ladang periuk api yang ditinggalkan telah lama dirasai dengan cara yang tragis, dengan kira-kira 20,000 rakyat Kemboja terbunuh sejak empat dekad lalu selepas memijak periuk api atau bom.


Kerja pembersihan diteruskan sehingga hari ini, dengan kerajaan berikrar untuk membersihkan semua lombong dan senjata yang tidak meletup menjelang 2025. - Sumber Wion News.


Beribu-ribu bahan letupan era perang ditemui di dalam sekolah Kemboja. - Foto AFP.



Ahad, 13 Ogos 2023

Lelaki ditahan 'prank' letak bom 12 kilogram dalam kereta rakan

Lelaki ditahan 'prank' letak bom 12 kilogram dalam kereta rakan


Seorang lelaki Finland ditahan polis gara-gara cuba melakukan aksi 'prank' dengan meletakkan 12 kilogram bahan letupan di dalam kereta rakannya, lapor Daily Mail pada 10 Ogos 2023.


Sisi lucu gurauan berbahaya itu tidak menjadi, sebaliknya rakan lelaki itu segera membuat laporan polis menyebabkan dia ditangkap.


Lelaki itu bagaimanapun dibebaskan tetapi mengaku meletakkan bahan letupan di dalam dua kereta rakannya itu pada 3 Ogos lalu.


Ketua Inspektor Polis Ostrobothnia, Tony Rauma berkata, kedua-dua lelaki itu mengenali antara satu sama lain dan tinggal di sebuah kampung kecil di kawasan Pedersore di Ostrobothnia, barat Finland.


Beliau berkata, skuad bom polis terpaksa mengosongkan bangunan berhampiran berikutan kuantiti bahan letupan yang banyak.


Pelaku gurauan itu berkata, dia tidak berniat untuk meletupkan bahan dinamit itu dan polis masih menyiasat dari mana dia memperoleh peranti itu.


Polis menolak sebarang kemungkinan tentang aktiviti keganasan, tetapi suspek kini dilaporkan berdepan hukuman penjara dua tahun. - Sumber Daily Mail.


Seorang lelaki ditahan di barat Finland selepas meletakkan bahan letupan di dalam kereta rakannya. - Foto EPA.