Ahad, 20 Ogos 2023

Kanak-kanak maut main pasir batu kapur yang dibuang di tepi jalan


Malang nasib kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dari wilayah Paraná, Brazil yang maut selepas bermain dalam pasir batu kapur, lapor laman berita Oddity Central pada 19 Ogos 2023.


Mangsa dikenalpasti sebagai Arthur dan meninggal dunia pada 3 Ogos lalu di bandar Ipriranga dekat selatan Brazil. Difahamkan, Arthur sedang bermain di tepi jalan di bawah pengawasan keluarganya apabila dia melihat timbunan debu putih halus.


Kanak-kanak lelaki itu kelihatan seronok berguling dan bermain sebelum menimbus badannya dalam pasir putih itu seperti di pantai. Ketika itu, ibu bapanya tidak mengesyaki apa-apa malah mereka mengambil gambar mangsa bermain di atas pasir berkenaan.


Tanpa disangka, ia kali terakhir mereka melihat kanak-kanak itu masih bernyawa. Ia kerana selepas bangun daripada timbunan pasir, keadaan Arthur jadi teruk, dia dibawa ke hospital namun doktor gagal menyelamatkan nyawanya.


Timbunan pasir yang didakwa dibuang oleh beberapa syarikat pembinaan di tepi jalan sebenarnya adalah batu kapur. Ia boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit dan mata dalam kes sentuhan langsung, tetapi ia amat berbahaya jika terhidu.


Walaupun Arthur hanya bermain di pasir itu selama beberapa minit, dia menghidunya dan terbukti membawa maut.


Pasir batu kapur mengandungi kristal silika, apabila disedut boleh menyebabkan penyakit serius seperti barah paru-paru, penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) dan silikosis.


Sisa daripada zarah silika terkumpul di dalam paru-paru yang menyebabkan keradangan dan parut. Bagaimanapun, silikosis lazimnya berlaku selepas bertahun-tahun terdedah kepada silika. - Sumber Oddity Central.


Arthur maut kerana terhidu pasir batu kapur. - Foto News Flash.


EmoticonEmoticon