Sabtu, 29 Julai 2023

Demi jumpa teman lelaki, gadis potong bekalan elektrik satu kampung setiap malam

Demi jumpa teman lelaki, gadis potong bekalan elektrik satu kampung setiap malam


Seorang gadis muda dari Bihar di India sanggup memotong bekalan elektrik di seluruh kampungnya semata-mata untuk mengelak diperhatikan ketika bertemu dengan teman lelakinya dari perkampungan musuh, lapor India Today pada 23 Julai lalu.


Penduduk Bettiah, sebuah perkampungan di daerah Champaran Barat mengadu tertekan dengan gangguan bekalan elektrik luar biasa yang berlaku hampir setiap malam.


Kegelapan tersebut meningkatkan kes kecurian dan berlarutan selama lebih seminggu, menyebabkan penduduk merayu kepada syarikat elektrik untuk membetulkan rangkaian mereka.


Namun juruteknik yang datang tidak menemukan sebarang masalah infrastruktur.


Tiada siapa yang dapat memahami apa yang sedang berlaku sehinggalah pada suatu malam, beberapa penduduk tempatan yang membuat rondaan menangkap pasangan muda yang bertemu dalam kegelapan.


Preeti Kumari mengaku jatuh cinta dengan Rajkumar, seorang pemuda dari kawasan bersebelahan yang sering bermusuhan dengan penduduk di Bettiah, menyebabkan dia berterusan memutuskan kuasa di kampungnya demi merahsiakan hubungan itu.


Sebuah video yang tular di media sosial India menunjukkan Preeti cuba mempertahankan kekasihnya itu ketika penduduk kampung mengancam untuk memukul lelaki berkenaan.


Rajkumar dilaporkan dipukul beberapa kali dengan kayu selepas kisah percintaannya dengan Preeti terbongkar tetapi dia berjaya melarikan diri dan kemudian membalas dendam terhadap penyerangnya dengan bantuan rakan dari kampungnya sendiri.


Menurut India Today, demi mengelakkan keganasan dan gangguan bekalan elektrik yang berpanjangan, penduduk kedua-dua kampung itu akhirnya memutuskan mengahwinkan pasangan muda itu di sebuah kuil tempatan. - Sumber India Today.


Tangkap layar video ketika Preeti Kumari dan Rajkumar ditangkap penduduk kampung Bettiah di Bihar. - Foto India Today.
Jiran terkejut, lelaki ternak 7 anak lembu di balkoni pangsapuri

Jiran terkejut, lelaki ternak 7 anak lembu di balkoni pangsapuri


Seorang penduduk kampung yang baru berpindah ke sebuah pangsapuri di kawasan bandar mengejutkan para jirannya dengan memelihara lembu di balkoni rumahnya di China, lapor India Today pada 23 Julai 2023.


Ratusan penghuni yang tinggal di pangsapuri terletak di wilayah Sichuan, terkejut selepas mendapat tahu jiran baharu mereka menternak tujuh ekor anak lembu di balkoni tingkat lima rumahnya.


Lelaki berkenaan yang merupakan petani membawa bersama haiwan ternakan itu yang masing-masing seberat 10 hingga 20 kilogram ketika berpindah ke rumah pangsapurinya.


Akibat tidak tahan dengan bau busuk najis dan bunyi anak lembu melenguh, penghuni pangsapuri terpaksa menghubungi pihak berkuasa.


Semua anak lembu itu kemudian dialihkan oleh pegawai berkuasa tempatan pada 14 Julai lalu sehari selepas dibawa ke rumah tersebut, menurut laporan Mingguan Phoenix.


Satu rakaman video tular menunjukkan anak lembu itu sedang makan di balkoni bangunan pangsapuri tersebut. Video itu telah mendapat lebih empat juta tontonan dalam aplikasi Douyin, platform perkongsian video pendek Cina yang serupa dengan TikTok.


Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi warganet termasuk ada menganggap insiden itu lucu. - Sumber India Today.


Tangkap layar video menunjukkan anak lembu dipelihara di balkoni pangsapuri di wilayah Sichuan, China. - Foto Twitter/@HassanAkhssass.

Khamis, 27 Julai 2023

Pencuri kecewa 'derma' RM27 pada pemilik rumah kerana tiada barang berharga

Pencuri kecewa 'derma' RM27 pada pemilik rumah kerana tiada barang berharga


Sekumpulan pencuri yang kecewa kerana tidak menemui apa-apa barangan berharga untuk dirompak di sebuah rumah warga emas di New Delhi, India, bertindak meninggalkan wang tunai sebanyak 500 rupee (RM27.22) di pintu pagar utama kediaman itu, lapor laman berita Indian Today pada 24 Julai 2023.


Insiden itu dipercayai berlaku pada malam Khamis. Polis menerima panggilan berhubung perkara yang sama pada 21 Julai. Polis yang tiba di rumah itu dikatakan menemui seorang lelaki berusia 80 tahun yang tinggal di situ.


Menurut M. Ramakrishna, yang merupakan pemilik rumah itu, dia dan isterinya telah pergi ke Gurugram pada pagi Rabu lalu (19 Julai) dan apabila pulang, mereka melihat kunci pintu utama telah rosak. Namun, tiada apa yang hilang dari kediaman itu.


Bagaimanapun, mereka menemui wang kertas berjumlah 500 rupee di pintu pagar utama.


Warga emas itu memberitahu polis bahawa dia tidak menyimpan sebarang barang berharga di rumah.


Ramakrishna ialah seorang jurutera bersara dan berdasarkan aduannya, polis sedang memburu kumpulan perompak berkenaan, lapor agensi berita ANI. - Sumber India Today.


Wang sebanyak 500 rupee ditinggalkan pencuri di pintu pagar utama kediaman pasangan warga emas di Delhi baru-baru ini. - Foto PTI/Fail.

Selasa, 25 Julai 2023

Berang tak dapat wang RM5,000, isteri acu pisau pada suami

Berang tak dapat wang RM5,000, isteri acu pisau pada suami


Seorang wanita warga Indonesia bertindak mengugut dengan mengacu pisau ke muka suaminya kerana berang wang RM5,000 yang diminta untuk pulang ke kampung tidak diberi, lapor Sinar Harian, hari ini.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 6 pagi, pada 6 Julai lalu di Taman Tasik Tambahan, Ampang.


"Mangsa lelaki tempatan berusia 48 tahun telah berselisih faham dengan isterinya (suspek) yang meminta wang RM5,000 untuk pulang ke kampung.


"Mangsa tidak mempunyai wang yang diminta sebelum diugut oleh isterinya dengan mengacukan pisau ke arah muka dan menyatakan akan merodok mulut mangsa dengan pisau terbabit," katanya dalam kenyataan pada Selasa.


Beliau berkata, bertindak atas maklumat, wanita berusia 34 tahun itu telah diberkas di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira jam 9 malam, Ahad lalu.


Tambah Mohd Azam, polis turut merampas sebilah pisau yang digunakan semasa kejadian terbabit.


"Suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai kini direman empat hari sehingga 27 Julai untuk siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan," ujarnya. - Sumber Sinar Harian.

Tak dapat kerja walaupun sebagai pencuci tandas sebab 800 tatu

Tak dapat kerja walaupun sebagai pencuci tandas sebab 800 tatu


Seorang wanita British mendakwa dia gagal mendapat sebarang pekerjaan walaupun untuk kerja sebagai pencuci tandas kerana mencacah kira-kira 800 tatu hampir seluruh tubuh badannya termasuk muka, lapor NDTV minggu lalu.


Namun di sebalik kesukaran itu, Melissa Sloan, 46, yang berasal dari Wales di United Kingdom itu mencari pekerjaan, dia masih mencacah tiga tatu baharu setiap minggu sebab ketagih perbuatan itu.


Tatu boleh membuatkan sesiapa sahaja menjadi tumpuan, tetapi ia kini menjadi punca kesukaran Melissa untuk mencari rezeki.


Ke mana-mana sahaja syarikat yang dia pergi, pihak majikan akan mengkritik penampilan bertatunya dan menolak permohonannya untuk bekerja.


Menurut The New York Post, Melissa sebelum ini mempunyai pekerjaan membersihkan tandas tetapi dia mengatakan kini dia gagal dalam permohonan untuk kerja serupa.


"Saya tidak boleh mendapatkan pekerjaan lagi. Saya memohon kerja membersihkan tandas di tempat saya tinggal, dan mereka tidak menerima kerana tatu dimiliki saya.


"Orang ramai berkata saya tidak pernah mempunyai pekerjaan dalam hidup saya, tetapi saya pernah mempunyai pekerjaan sekali sebagai pencuci tandas dan ia tidak bertahan lama," kata ibu kepada dua anak itu dalam satu temubual lain kepada Daily Star pula.


Menurutnya, jika sesiapa atau mana-mana pihak menawarkannya pekerjaan pasti dia akan menerima tawaran dan pergi bekerja.


Sloan mula mencacah tatu pada usia 20 tahun dan menjadi ketagih menambah tatu di ruang yang masih ada pada tubuhnya.


"Jika saya mencapai 70 tahun, saya masih akan mendapatkannya walaupun saya bertukar biru. Setiap cebisan kulit akan tertutup dengan tatu. Muka saya sudah pun bertukar biru. Saya kelihatan seperti Smurf," katanya.


Sloan mempunyai kegemaran khusus untuk tatu muka dan tidak mempunyai kulit kosong yang tersisa di wajahnya. Dia sudah menggelapkan dakwat pada tatu lama sebanyak tiga kali, menghasilkan kolaj berbilang lapisan di wajahnya.


"Saya mempunyai tiga lapisan tatu di muka saya. Saya mungkin mempunyai paling banyak tatu di dunia. Saya mahu terus melakukannya berulang kali," katanya. - Sumber NDTV.


Melissa Sloan mendapat tatu pertamanya 26 tahun lalu. - Foto Facebook/Melissa Sloan.



Isnin, 24 Julai 2023

Lelaki temui lipas dalam mi ketika menikmati makanan

Lelaki temui lipas dalam mi ketika menikmati makanan


Seorang lelaki di Vietnam menemui seekor lipas di dalam hidangan yang dipesannya melalui khidmat penghantaran makanan dari sebuah restoran, lapor laman berita Thaiger pada 22 Julai 2023.


Pemuda itu sedang menikmati semangkuk mi yang lazat yang dipesannya dari sebuah restoran tempatan kecil, hidangan berperisa dengan harga berpatutan yang mereka tawarkan.


Bagaimanapun, menjelang penghujung makan, dia terjumpa seekor lipas di dalamnya, mencetuskan kebimbangan tentang keselamatan makanan.


Penemuan yang dikongsinya di media sosial itu menyebabkan orang ramai meluahkan kebimbangan mereka mengenai keselamatan dan kebersihan makanan.


"Saya sedang menikmati makanan, tetapi sekarang saya rasa ingin muntah," tulisnya pada hantaran itu.


Netizen berusaha mencari nama restoran tersebut untuk mengelak daripada mengalami kejadian serupa.


"Restoran itu menambah 'topping' percuma, berkilat dan berbadan lengkap," komen seorang netizen.


"Sila beritahu orang ramai nama restoran itu. Kita perlu mengelak mengunjunginya," komen netizen lain. - Sumber The Thaiger.


Lelaki itu menunjukkan lipas yang ditemuinya. - Foto Sanook.

Ahad, 23 Julai 2023

Lelaki jumpa syiling emas bernilai lebih RM4.56 juta di ladang jagung

Lelaki jumpa syiling emas bernilai lebih RM4.56 juta di ladang jagung


Seorang lelaki yang identitinya tidak didedahkan menjumpai lebih 800 syiling emas era perang saudara Amerika Syarikat bernilai lebih AS$1 juta (RM4.56 juta) di sebuah ladang jagung di Kentucky, baru-baru ini, lapor portal berita The Guardian pada 22 Julai 2023.


Lokasi tepat tempat dia menemui syiling emas tersebut tidak didedahkan tetapi video yang disiarkan di laman YouTube pada 9 Jun oleh seorang peniaga duit lama dikenali sebagai GovMint menunjukkan lelaki berkenaan berada dalam keadaan sungguh gembira.


Lelaki berkenaan menyebut bahawa penemuan itu sebagai sesuatu yang 'sangat gila'. Akhbar The New York Times menganggarkan harta karun itu bernilai lebih AS$1 juta.


"Ini adalah apa yang setiap pemburu harta karun impikan dan lelaki itu mengalaminya," kata seorang netizen di YouTube.


Menurut GovMint.com, syiling emas, yang telah dipanggil "Great Kentucky Hoard," bermula dari tahun 1840 hingga 1863 itu terdiri daripada $1 Gold Indians, $10 Gold Libertys dan $20 Gold Libertys, serta beberapa 1863 Gold Liberty Double Eagles, kesemuanya merupakan gred "super".


"Penemuan paling menakjubkan dalam simpanan ini ialah kira-kira 18 syiling Gold Liberty 1863-P $20, salah satu tarikh paling jarang dalam siri Liberty $20. Ini adalah syiling yang selalunya mempunyai harga enam angka," kata laman web itu.


Syiling itu kemudiannya diperakui oleh Syarikat Jaminan Numismatik, sebuah syarikat pensijilan penggredan syiling pihak ketiga. Menurut GovMint.com, syiling itu memaparkan "kilauan yang memukau mata" dan kebanyakannya digredkan sebagai "Keadaan Sangat Halus kepada Keadaan Mint". - Sumber The Guardian.


Seorang lelaki menemui sejumlah syiling emas bernilai lebih RM4.56 juta di sebuah ladang jagung di Kentucky baru-baru ini. - Foto The Guardian.
2,000 penguin mati secara misteri dalam tempoh 10 hari di pantai Uruguay

2,000 penguin mati secara misteri dalam tempoh 10 hari di pantai Uruguay


Kira-kira 2,000 penguin ditemui mati di pantai timur Uruguay dalam tempoh 10 hari dan puncanya masih menjadi misteri, kata pihak berkuasa, lapor NDTV pada 22 Julai 2023.


Ketua Jabatan Fauna Kementerian Alam Sekitar, Carmen Leizagoyen, berkata penguin Magellanic mati di Lautan Atlantik dan dibawa arus ke pantai Uruguay.


"Ini adalah kematian yang berlaku di dalam air. Sebanyak 90 peratus adalah spesimen muda yang tiba tanpa rizab lemak dan dengan perut kosong," katanya sambil menegaskan semua sampel yang diambil diuji negatif untuk selesema burung.


Penguin Magellanic bersarang di selatan Argentina. Pada musim sejuk di hemisfera selatan, binatang itu berhijrah ke utara untuk mencari makanan dan perairan yang lebih panas hingga ke pantai Brazil, Espirito Santo.


"Adalah perkara biasa untuk beberapa peratusan mati, tetapi bukan angka besar seperti ini," kata Leizagoyen, sambil mengingatkan kematian yang sama berlaku tahun lalu di Brazil atas sebab tidak dapat ditentukan.


Pengarah kawasan perlindungan Laguna de Rocha, Hector Caymaris, memberitahu AFP bahawa dia mengira lebih 500 penguin mati di sepanjang 10 kilometer pantai Atlantik.


Penyokong alam sekitar mengaitkan peningkatan kematian penguin Magellan disebabkan penangkapan ikan berlebihan dan secara haram.


"Dari 1990-an dan 2000-an kami mula melihat haiwan kekurangan makanan. Sumber itu dieksploitasi secara berlebihan," kata Richard Tesore, daripada NGO SOS Marine Wildlife Rescue, memberitahu AFP.


Siklon subtropika di Atlantik yang melanda tenggara Brazil pada pertengahan Julai berkemungkinan menyebabkan haiwan paling lemah mati akibat cuaca buruk, tambahnya.


Selain penguin, Tesore berkata baru-baru ini dia juga telah menemui petrel, albatros, camar, penyu laut dan singa laut mati di pantai Maldonado. - Sumber NDTV.


Penguin Magellanic, kebanyakannya spesimen muda mati di Lautan Atlantik. - Foto NDTV.

Jumaat, 21 Julai 2023

NASA memuktamadkan rancangan mendarat di asteroid emas miliki 10 kali kekayaan Bumi

NASA memuktamadkan rancangan mendarat di asteroid emas miliki 10 kali kekayaan Bumi


NASA dalam proses memuktamadkan rancangan untuk mendarat di sebuah asteroid bernilai AS$10,000 kuadrilion (RM45,600 kuadrilion) hujung tahun ini, lapor akhbar Metro UK pada 19 Julai 2023.


Saintis-saintis berhasrat untuk mengkaji batuan angkasa itu yang didakwa berharga 10 kali ganda daripada ekonomi dunia.


Asteroid dinamakan 16 Psyche itu mengorbit Matahari antara Marikh dan Musytari dan terbina daripada nikel, besi dan emas.


Asteroid itu selebar kira-kira 252 kilometer. Oleh kerana saiznya yang besar menyebabkan pakar percaya asteroid itu sebenarnya tinggalan sebuah planet.


Pasukan jurutera dan juruteknik di Cape Canaveral, Florida masih melakukan persiapan pelancaran misi tersebut. Misi untuk melakukan pendaratan di asteroid 16 Psyche dijangka dilancarkan pada 5 Oktober 2023.


Menurut akhbar Metro UK, pasukan misi tersebut baru-baru ini melengkapkan ujian komprehensif perisian pesawat dan memasangnya pada kapal angkasa.


"Tumpuan kami beralih kepada menyelesaikan persiapan mekanikal terakhir dan menyediakan pasukan untuk operasi.


"Pasukan ini juga sedang menjalankan pelbagai aktiviti latihan untuk memastikan kami bersedia. Ia adalah masa yang sangat sibuk tetapi semua orang sangat teruja dan menantikan pelancaran ini," kata Pengurus Projek Psyche di Makmal Pendorong Jet Nasa California Selatan, Henry Stone. - Sumber Metro UK.


Asteroid16 Psyche dipercayai mempunyai pusat nikel, besi dan emas yang kaya dengan logam. - Foto NASA.

Rabu, 19 Julai 2023

Bomba selamatkan orang kurang siuman tersangkut atas pokok

Bomba selamatkan orang kurang siuman tersangkut atas pokok


Seorang lelaki dipercayai kurang siuman tersangkut pada dahan sebatang pokok yang tinggi ketika cuba untuk turun dari pokok tersebut di Seberang Jaya, Bukit Mertajam, semalam.


Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.08 pagi sebelum tiba ke lokasi tidak lama kemudian.


Katanya, bomba tiba dengan kekuatan enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai.


Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati lelaki terbabit berada di bahagian paling atas di salah sebatang pokok di situ.


"Sebaik sahaja tiba di lokasi, terdapat seorang lelaki berada di atas pokok pada ketinggian kira-kira 20 meter.


"Kerja-kerja menurunkan mangsa kemudian dilakukan dengan menggunakan tangga milik jentera bomba.


"Mangsa kemudian berjaya diturunkan dalam keadaan yang baik sebelum diserahkan kepada polis dan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.


Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Khairul Nizam Abu Hassan berkata, operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada jam 9.36 pagi.


Terdahulu tular gambar lelaki berkenaan di media sosial yang dikatakan memanjat pokok terbabit sehingga mengejutkan orang awam yang melalui jalan terbabit.


Menerusi gambar tular terbabit, lelaki itu dipercayai bekerja sebagai pengawal keselamatan berdasarkan pakaian yang dipakainya selepas berjaya diselamatkan bomba. - Sumber Sinar Harian.


Seorang lelaki dipercayai kurang siuman tersangkut pada pokok setinggi 20 meter, di Seberang Jaya. - Foto JBPM.