Sabtu, 20 Mei 2023

Warga emas maut di hotel selepas telan pil 'ubat kuat'

Warga emas maut di hotel selepas telan pil 'ubat kuat'


Seorang lelaki berusia 62 tahun meninggal dunia selepas mengambil separuh pil Viagra ketika menginap di sebuah hotel di wilayah Suphan Buri, Thailand, lapor laman berita Thaiger pada 18 Mei 2023.


Seorang wanita yang berada di dalam bilik hotel bersama lelaki tersebut telah melarikan diri selepas mangsa tidak bernyawa.


Mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan bogel di atas katil oleh seorang kakitangan hotel pada petang Rabu (17/05/2023) sebelum melaporkan kejadian itu di Balai Polis Tung Kork.


Polis menemui sekotak kondom dan setengah pil Viagra yang belum ditelan di sisi mayat lelaki itu. Motosikal mangsa, Honda Wave berwarna merah, dan barangan lain masih berada di lokasi kejadian.


Salah seorang pekerja hotel berkata, lelaki itu menyewa bilik bersama seorang wanita pada pukul 4 petang (waktu tempatan) semalam selama sejam.


Pada pukul 5 petang (waktu tempatan), mayat lelaki itu ditemui ketika pekerja mengunjungi bilik tersebut untuk memberitahu bahawa masa sewaan mereka sudah tamat.


Polis menyimpulkan bahawa mangsa mengatur pertemuan dengan pekerja seks tersebut dan menelan pil Viagra sebelum berintiman.


Wanita itu didakwa melarikan diri kerana takut dituduh atas kesalahan membunuh. Mayat lelaki itu telah dihantar untuk bedah siasat dan polis akan memanggil wanita itu untuk soal siasat.


Viagra ialah jenama terkenal untuk sildenafil. Ubat ini digunakan secara meluas di kalangan lelaki yang mengalami disfungsi erektil, atau ketidakupayaan untuk mencapai atau mengekalkan ereksi yang mencukupi untuk aktiviti seksual.


Ia berfungsi dengan meningkatkan pengaliran darah ke dalam salur zakar bagi membantu lelaki mendapatkan serta mengekalkan ereksi mereka, lebih kuat dan tahan lama. - Sumber The Thaiger.


Mayat mangsa ditemui di atas katil oleh pekerja hotel. - Foto ThaiRath.

Khamis, 18 Mei 2023

8 pencuri tegar kabel TM aktif sejak 5 tahun lalu dicekup

8 pencuri tegar kabel TM aktif sejak 5 tahun lalu dicekup


Kegiatan lapan pencuri tegar kabel Telekom Malaysia (TM) sejak lima tahun lalu berakhir apabila dicekup dalam dua serbuan berasingan sekitar daerah Klang, baru-baru ini.


Kesemua suspek lelaki termasuk warga emas berusia 27 hingga 60 tahun itu ditahan di Pandamaran serta Taman Sentosa.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian pertama berlaku pada 14 Mei lalu dengan menahan dua suspek ketika rondaan dilakukan polis.


Katanya, salah seorang daripada suspek berkenaan didapati juga secara tiba-tiba keluar daripada lubang pembetungan utama TM.


"Hasil pemeriksaan menemui sembilan gulungan kabel TM berserta peralatan gergaju besi, kuku kambing, playar dan lampu suluh.


"Kita percaya peralatan itu digunakan bagi memotong kabel dicuri itu yang dianggarkan RM5,000," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau memberitahu, enam lagi suspek ditahan dua hari kemudian susulan laporan diterima berhubung kecurian 20 meter kabel berjumlah RM500 yang menyebabkan gangguan talian perkhidmatan.


Turut dirampas bersama kumpulan kedua ini adalah lori jenis Daihatsu dan motosikal Benelli.


"Hasil siasatan mendapati mereka menjual tembaga yang diperolehi selepas membakar kabel kepada kedai besi buruk.


"Semakan terhadap lapan suspek itu mendapati empat daripadanya mempunyai rekod sehingga mencecah 24 kesalahan lampau selain dikehendaki bagi kes pecah rumah di daerah Subang Jaya," katanya.


Hoong Fong turut menjelaskan dua daripada suspek telah didakwa di mahkamah dan kesemua suspek masih direman dengan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.


Tangkap layar aksi suspek yang berjaya dirakam CCTV di lokasi kejadian.
Berang kerap rosak, lelaki sewa keldai, pemain dram tarik kereta hantar kepada pengedar

Berang kerap rosak, lelaki sewa keldai, pemain dram tarik kereta hantar kepada pengedar


Seorang lelaki di Udaipur, India menyewa dua ekor keldai untuk menarik keretanya yang rosak di tengah jalan, lapor laman berita Liputan 6 pada 28 April 2023 lalu.


Gelagat Raj Kumar Gayari menunda kereta berharga 2.06 juta rupee (RM112, 473) yang kerap rosak itu tular selepas dirakam dan dimuat naik di media sosial.


Menurut Raj, bapa saudaranya, Shankarlal telah membeli kereta baharu itu di kawasan Perindustrian Madri.


Kemarahan Raj memuncak apabila usaha menghubungi peniaga untuk menyelesaikan masalah kereta itu gagal.


Kereta itu telah dibawa ke pusat servis dua kali, tetapi pengedar tidak dapat membaiki kerosakannya.


Jelas Raj, kereta itu terpaksa ditolak berulang kali semasa acara keluarga yang diadakan dua hari sebelumnya.


Ketika kejadian, Raj menyewa dua ekor keldai dan seorang pemain dram untuk menarik keretanya ke pengedar kereta. Kejadian itu mendapat perhatian meluas selepas tular di media sosial.


"Kami akhirnya memutuskan untuk membawa semula kereta itu kepada pengedar. Selepas semua trauma yang kami lalui," kata Raj Kumar.


Pada masa ini, kereta itu dipamerkan di bilik pameran. Raj meminta kereta itu diganti baharu. - Sumber Liputan 6.


Dua ekor keldai disewa untuk menarik kereta itu ke pengedar. - Foto Twitter.

Isnin, 15 Mei 2023

Penyewa cantik tinggalkan kondo dalam keadaan 'mengerikan' setelah tidak membayar sewa selama 4 bulan

Penyewa cantik tinggalkan kondo dalam keadaan 'mengerikan' setelah tidak membayar sewa selama 4 bulan


Seorang pemilik kondominium mewah di Thailand terkejut mendapati sebuah biliknya yang disewakan kepada seorang wanita muda dan cantik dipenuhi sampah sarap serta ulat berenga, lapor portal berita Thaiger pada 11 Mei 2023.


Wanita muda itu menyewa bilik tersebut selama beberapa bulan. Penyewa berkata, dia tidak dapat membersihkan bilik tersebut kerana menjalani pembedahan membesarkan payudara.


Para 10 Mei lalu, pemilik kondominium mewah itu menyatakan di laman Facebook bahawa dia menandatangani kontrak selama setahun untuk menyewakan bilik tersebut kepada seorang wanita muda dengan sewa 10,000 baht (RM1,319) sebulan.


Sepanjang tahun lalu, wanita itu membayar sewanya seperti yang dipersetujui, namun dalam tempoh antara Februari hingga April lalu, dia gagal berbuat demikian.


Pemilik kondominium kemudian menghubungi penyewa dan meminta dia menjelaskan tunggakan sewa atau mengosongkan premis tersebut. Wanita itu bersetuju menjelaskan hutangnya secara ansuran. Pemiliknya dengan bermurah hati membenarkannya berbuat demikian.


Bagaimanapun, penyewa muda itu sekali lagi hilang dan tuan rumah tidak dapat menghubunginya. Dia kemudian memutuskan untuk memeriksa bilik itu tetapi mendapati ia dalam keadaan mengerikan.


Daripada bilik yang dahulunya diselenggara dengan baik, ia kini dipenuhi sampah dengan tuala wanita terpakai dan sisa makanan bersepah, peti sejuk pula dipenuhi barang busuk serta ulat berenga, manakala bilik air menyerupai tempat pembuangan sampah.


Apabila menghubungi penyewa lebih lanjut, wanita muda itu memaklumkan bahawa dia masih belum dapat menjelaskan tunggakan dan memerlukan lebih masa kerana baru-baru ini melakukan pembedahan pembesaran payudaranya. Dia juga menyatakan bahawa dia tidak dapat mengambil barang-barangnya pada masa ini.


Tuan rumah bagaimanapun, tidak mahu menunggu lebih lama dan berkeras untuk menamatkan perjanjian sewa. Wanita muda itu menegaskan bahawa dia tidak boleh datang untuk mengambil barang-barangnya atau berpindah dalam masa terdekat.


Pemiliknya turut memaklumkan bahawa semua barang milik wanita muda itu telah disimpan di kawasan komunal kondominium itu, dan memberi amaran kepadanya bahawa jika dia gagal mengambilnya, ia akan dibuang sebagai sampah. - Sumber The Thaiger.


Pemilik kediaman terkejut apabila mendapati bilik yang disewakan kepada seorang wanita cantik terlalu kotor baru-baru ini. - Foto Sanook.
Polis siasat video tular pasangan berdua-duaan di tepi kubur

Polis siasat video tular pasangan berdua-duaan di tepi kubur


Polis Indonesia sedang melakukan siasatan berhubung satu rakaman video yang menunjukkan sepasang remaja duduk di atas motosikal dekat kawasan perkuburan Tanah Kusir, Kebayoran Lama, Jakarta Selatan di Indonesia, lapor laman berita Tribun Medan pada 14 Mei 2023.


Siasatan dilakukan selepas rakaman video tersebut tersebar menerusi laman media sosial. Terdapat dakwaan bahawa kejadian tersebut berlaku pada waktu siang pada bulan Ramadan lalu.


Ketua Tanah Perkuburan Awan (TPU) Kusir, Gunawan turut mengesahkan berlakunya perbuatan tersebut.


Namun, Ketua Polis Kebayoran Lama, Widya Agustiono mengaku belum mendapat maklumat berhubung perbuatan tidak senonoh tersebut. Namun, katanya, pihaknya akan melakukan siasatan terlebih dahulu.


"Kita akan memeriksa dulu, apakah benar kejadian itu berlaku di sana," ujar Widya ketika dihubungi pada Khamis lalu (11/5/2023).


Menurutnya, polis juga akan melakukan siasatan sama ada video pasangan tersebut melakukan maksiat kerana dalam rakaman video tersebut, ia tidak menunjukkan perbuatan berkenaan dengan jelas. - Sumber Tribun Medan.


Polis sedang melakukan siasatan berhubung dakwaan satu pasangan remaja melakukan maksiat dekat kubur Tanah Kusir Kebayoran Lama, Jakarta Selatan. - Foto (tangkapan layar video).

Ahad, 14 Mei 2023

Polis dengar jeritan 'help' lelaki meminta tolong, rupanya suara kambing

Polis dengar jeritan 'help' lelaki meminta tolong, rupanya suara kambing


Sepasukan anggota polis di negeri Oklahoma, Amerika Syarikat bergegas menyelamatkan seorang lelaki yang meminta tolong, namun terkejut kerana bunyi itu datang daripada seekor kambing, lapor akhbar New York Post pada 10 Mei 2023.


Rakaman kamera badan memaparkan dua anggota polis berjalan menuruni sebuah padang rumput di bandar Enid ke arah bunyi jeritan meminta tolong.


"Saya rasa itu bunyi orang," kata salah seorang anggota polis yang keliru.


Selepas terdengar satu lagi jeritan, David Sneed dan Neal Storey berlari ke arah bunyi yang mereka dengar seperti seorang lelaki sedang meminta tolong.


Apabila mendekati kawasan itu, Sneed dan Storey mendapati jeritan itu sebenarnya berasal daripada seekor kambing.


Pemiliknya ketawa kepada Sneed dan Storey, sambil kambing itu terus menjerit, mendorong anjing-anjing petani itu turut serta dalam membuat bising.


Haiwan itu dikatakan marah kerana dipisahkan daripada kambing-kambing lain, jelas pemiliknya kepada polis. - Sumber New York Post.


Para pegawai berlari ke arah bunyi yang mereka anggap sebagai seorang lelaki yang menderita yang memerlukan penyelamatan. - Foto Enid Police Department/Facebook.

Khamis, 11 Mei 2023

Suami isteri dipenjara 12,640 tahun selepas didapati bersalah menipu

Suami isteri dipenjara 12,640 tahun selepas didapati bersalah menipu


Mahkamah Thailand, semalam, menjatuhkan hukuman penjara 12,640 tahun kepada suami isteri selepas bersalah menipu jutaan dolar membabitkan lebih 2,000 mangsa dalam skim Ponzi.


Bagaimanapun, Mahkamah Jenayah Thailand menukar tempoh hukuman mereka kepada 5,056 tahun kerana Wantanee Tippaveth dan suaminya, Methi Chinpha, mengaku melakukan jenayah pada 2019 itu.


The Bangkok Post melaporkan, kedua-dua mereka bagaimanapun dijangka berada di dalam penjara selama dua dekad kerana undang-undang kerajaan yang mengehadkan jumlah penjara mereka kepada 20 tahun setiap seorang.



Semasa perbicaraan, mahkamah mendengar pasangan itu, bersama tujuh individu lain, menjemput orang ramai melalui Facebook antara Mac hingga Oktober 2019, untuk melabur dalam skim simpanan yang didakwa menawarkan pulangan 93 peratus.


Untuk meyakinkan orang ramai, Wantanee kerap menyiarkan video dalam talian mengenai barang kemasnya konon miliknya.


Polis berkata, ia adalah taktik menggambarkan gaya hidupnya yang mewah bagi membantu menarik minat mangsa untuk melabur dalam skim berkenaan.


Pelaburan minimum ialah 1,000 baht. Selepas sembilan bulan, pelabur akan mendapat pulangan sebanyak 930 baht ditambah 1,000 baht atau 1,930 baht secara keseluruhan.


Seramai 2,533 orang menyertai skim tersebut. Jumlah keseluruhan pelaburan ialah 1.3 bilion baht.


Beberapa mangsa melaburkan seluruh simpanan dan rumah mereka, malah ada yang dilaporkan cuba membunuh diri selepas kehilangan harta benda.


Pendakwa raya berkata, sembilan tertuduh dalam kes itu tidak melabur wang yang diamanahkan kepada mereka. Sebaliknya, dana itu dibahagikan antara mereka.


Pendakwa raya mendakwa kesemua sembilan individu berhubung kes itu dengan pelbagai tuduhan penipuan, namun hanya Wantanee dan Methi didapati bersalah, manakala yang lain dibebaskan kerana kekurangan bukti. - Sumber Bangkok Post.


Wantanee Tippaveth dan suaminya, Methi Chinpha. - Foto Facebook.
Penduduk gempar anak kambing lahir mata satu dan berwajah seperti manusia

Penduduk gempar anak kambing lahir mata satu dan berwajah seperti manusia


Kelahiran seekor anak kambing yang memiliki satu mata dan berwajah seperti manusia mengejutkan penduduk sebuah kampung di Indonesia, lapor akhbar Daily Star pada 9 Mei 2023.


Haiwan itu dilahirkan di Pandan Indah, daerah Lombok Tengah dan merupakan salah satu daripada dua anak kambing yang dilahirkan oleh seekor induk pada 7 Mei lalu.


Bentuk badan salah seekor daripadanya adalah normal, manakala seekor lagi kelihatan seakanp-akan manusia disebabkan janggutnya.


Jiran kepada pemilik kambing itu, Masdar Fardi, 26, berkata: "Kambing bermata satu itu agak pelik, tidak berbulu dan warnanya juga pelik.


"Wajahnya malah kelihatan seperti manusia disebabkan janggutnya," katanya.


Anak kambing bermata satu itu kemudian dilaporkan mati 20 minit selepas ia dilahirkan, tetapi penduduk tempat sempat melihatnya.


Sejurus selepas kematiannya, pemilik haiwan itu, Suprapto, 30, menanamnya dalam tanah.


"Malam tadi (7 Mei), ramai penduduk ingin melihat kambing bermata satu. Malah penduduk dari Kampung Kabul datang melihat anak kambing itu," tambah Masdar.


Menurut Ketua Agensi Pertanian Lombok Tengah, Taufikurrahman Puanote, anak kambing itu mengalami cyclopia iaitu sejenis kecacatan yang jarang berlaku. - Sumber Daily Star.


Anak kambing itu memiliki satu mata dan berwajah seakan manusia. - Foto CEN.

Rabu, 10 Mei 2023

Balutan muka jadi bahan ketawa orang ramai, pesakit berang mahu saman doktor

Balutan muka jadi bahan ketawa orang ramai, pesakit berang mahu saman doktor


Seorang lelaki dari China berang apabila menjadi bahan ketawa orang ramai selepas dia keluar dari bilik kecemasan dalam keadaan mempunyai balutan pelik pada mukanya, lapor laman berita Thaiger pada 8 Mei 2023.


Pada mulanya, lelaki itu tidak dapat memahami mengapa orang ramai ketawa sejurus memandang ke arahnya.


Namun, selepas melihat pantulan wajahnya di cermin, dia menyedari tentang keadaan balutan pada mukanya yang kelihatan pelik.


Insiden tersebut dilaporkan berlaku di sebuah hospital di wilayah Henan dan menyebabkan pesakit berusia 26 tahun itu sedang mempertimbangkan rancangan untuk menyaman doktor disebabkan keadaan balutan tersebut.


Lelaki berkenaan dirawat di wad kecemasan disebabkan kemalangan. Dia kemudian muncul dengan pembalut muka yang dikenakan dengan cara yang sangat pelik, menyebabkan orang di sekelilingnya ketawa.


Beberapa individu kemudian dikatakan cuba menghiburkan lelaki itu termasuk meyakinkannya bahawa pembalut tersebut akan membantunya bernafas lebih baik, melihat lebih jelas serta memudahkannya untuk makan.


Ia sekali gus menyebabkan wajah lelaki itu menjadi tular dengan netizen memberikan pelbagai komen.


"Mentertawakan kesakitan orang lain memang kejam tetapi saya dengan rasa ikhlas memohon maaf kerana tidak dapat menahan ketawa saya," kata seorang pengguna media sosial.- Sumber The Thaiger.


Balutan pelik pada muka seorang lelaki di sebuah hospital menyebabkan orang ramai ketawa apabila melihatnya. - Foto Thaiger.
NASA pantau asteroid besar 'dekati' Bumi hujung bulan ini

NASA pantau asteroid besar 'dekati' Bumi hujung bulan ini


NASA sedang memantau sebuah asteroid besar yang diramal melintasi Bumi dalam jarak hampir dengan planet ini pada akhir bulan ini, lapor laman berita The Sun pada 8 Mei 2023.


Batuan angkasa besar itu dikenali sebagai 2023 CL3 dan dianggarkan mempunyai saiz lebar sehingga 199.94 meter.


Asteroid sebesar itu boleh menyebabkan beberapa kerosakan serius jika ia berlanggar dengan Bumi.


Asteroid dianggap boleh mencetuskan bahaya kepada planet ini jika ia berada dalam jarak 7.48 juta kilometer (km) dan lebih besar berbanding saiz tertentu.


Asteroid 2023 CL3 dijangka melewati Bumi pada 24 Mei pada jarak kurang dari 7.2 juta km.


Ia mungkin kedengaran agak jauh tetapi dalam pengiraan keluasan angkasa lepas, ia bukanlah jarak yang jauh sama sekali.


Dianggarkan bahawa asteroid besar itu akan melepasi planet ini dengan selamat jika ia bergerak pada kelajuan lebih daripada 25,749 km sejam. - Sumber The Sun.


Sebuah asteroid besar dikenali sebagai 2023 CL3 dijangka melintasi Bumi pada akhir bulan ini. - Foto Getty Images.