Khamis, 18 Mei 2023

8 pencuri tegar kabel TM aktif sejak 5 tahun lalu dicekup


Kegiatan lapan pencuri tegar kabel Telekom Malaysia (TM) sejak lima tahun lalu berakhir apabila dicekup dalam dua serbuan berasingan sekitar daerah Klang, baru-baru ini.


Kesemua suspek lelaki termasuk warga emas berusia 27 hingga 60 tahun itu ditahan di Pandamaran serta Taman Sentosa.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian pertama berlaku pada 14 Mei lalu dengan menahan dua suspek ketika rondaan dilakukan polis.


Katanya, salah seorang daripada suspek berkenaan didapati juga secara tiba-tiba keluar daripada lubang pembetungan utama TM.


"Hasil pemeriksaan menemui sembilan gulungan kabel TM berserta peralatan gergaju besi, kuku kambing, playar dan lampu suluh.


"Kita percaya peralatan itu digunakan bagi memotong kabel dicuri itu yang dianggarkan RM5,000," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau memberitahu, enam lagi suspek ditahan dua hari kemudian susulan laporan diterima berhubung kecurian 20 meter kabel berjumlah RM500 yang menyebabkan gangguan talian perkhidmatan.


Turut dirampas bersama kumpulan kedua ini adalah lori jenis Daihatsu dan motosikal Benelli.


"Hasil siasatan mendapati mereka menjual tembaga yang diperolehi selepas membakar kabel kepada kedai besi buruk.


"Semakan terhadap lapan suspek itu mendapati empat daripadanya mempunyai rekod sehingga mencecah 24 kesalahan lampau selain dikehendaki bagi kes pecah rumah di daerah Subang Jaya," katanya.


Hoong Fong turut menjelaskan dua daripada suspek telah didakwa di mahkamah dan kesemua suspek masih direman dengan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.


Tangkap layar aksi suspek yang berjaya dirakam CCTV di lokasi kejadian.


EmoticonEmoticon