Selasa, 8 September 2026

Gagal bayar hutang along, lelaki buat 77 khianat simbah cat dan bakar rumah mangsa lain


Tidak mampu melunaskan hutang kepada sindiket pinjaman wang tidak berlesen (along), seorang lelaki bukan sahaja menjadi mangsa, malah dipaksa melakukan khianat terhadap peminjam lain yang gagal membayar hutang.


Lelaki berusia 35 tahun itu dipercayai diarahkan sindiket terbabit untuk menyimbah cat serta membakar rumah dan kenderaan mangsa sebelum mengunci kediaman menggunakan mangga dan meninggalkan nota ugutan.


Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, suspek ditahan dalam Op Simbah pada 7 Julai lalu selepas polis menyerbu sebuah kereta Proton Saga.


Katanya, hasil siasatan mendapati suspek dipercayai menerima bayaran antara RM100 hingga RM400 bagi setiap perbuatan khianat yang dilakukannya.


“Suspek pada awalnya merupakan mangsa pinjaman sindiket along tetapi tidak mampu membayar hutang tersebut sebelum sindiket mengarahkannya melakukan khianat dan ugutan terhadap mangsa lain.


“Berdasarkan pengakuan suspek, dia terlibat dalam 77 kes khianat membabitkan perbuatan menyimbah cat serta membakar kenderaan dan rumah mangsa," katanya pada sidang akhbar di IPD Kerian hari ini.


Mohd. Alwi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 57 kes berlaku di Perak, diikuti 15 kes di Kedah dan lima kes di Pulau Pinang.


Menurut beliau, bayaran kepada suspek dibuat menggunakan akaun Touch ‘n Go eWallet, manakala sindiket berkenaan dipercayai beroperasi dari Singapura.


Katanya, suspek berhubung dengan sindiket terbabit menerusi telefon dan Facebook, manakala usaha mengesan serta menangkap anggota sindiket yang terlibat sedang giat dijalankan.


"Suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau dan turut dikehendaki berkaitan satu kes penipuan di Sabah," katanya.


Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah Proton Saga BLM, satu tin cat, botol dan tong berisi petrol, pemetik api, nota kertas A4, plastik lut sinar, pelitup muka, beg sandang, topi besbol, seluar serta dua telefon bimbit.


Mohd. Alwi berkata, suspek telah didakwa di Mahkamah Parit Buntar pada 7 September lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 435, Seksyen 427 serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon