Isnin, 15 Mei 2023

Penyewa cantik tinggalkan kondo dalam keadaan 'mengerikan' setelah tidak membayar sewa selama 4 bulan


Seorang pemilik kondominium mewah di Thailand terkejut mendapati sebuah biliknya yang disewakan kepada seorang wanita muda dan cantik dipenuhi sampah sarap serta ulat berenga, lapor portal berita Thaiger pada 11 Mei 2023.


Wanita muda itu menyewa bilik tersebut selama beberapa bulan. Penyewa berkata, dia tidak dapat membersihkan bilik tersebut kerana menjalani pembedahan membesarkan payudara.


Para 10 Mei lalu, pemilik kondominium mewah itu menyatakan di laman Facebook bahawa dia menandatangani kontrak selama setahun untuk menyewakan bilik tersebut kepada seorang wanita muda dengan sewa 10,000 baht (RM1,319) sebulan.


Sepanjang tahun lalu, wanita itu membayar sewanya seperti yang dipersetujui, namun dalam tempoh antara Februari hingga April lalu, dia gagal berbuat demikian.


Pemilik kondominium kemudian menghubungi penyewa dan meminta dia menjelaskan tunggakan sewa atau mengosongkan premis tersebut. Wanita itu bersetuju menjelaskan hutangnya secara ansuran. Pemiliknya dengan bermurah hati membenarkannya berbuat demikian.


Bagaimanapun, penyewa muda itu sekali lagi hilang dan tuan rumah tidak dapat menghubunginya. Dia kemudian memutuskan untuk memeriksa bilik itu tetapi mendapati ia dalam keadaan mengerikan.


Daripada bilik yang dahulunya diselenggara dengan baik, ia kini dipenuhi sampah dengan tuala wanita terpakai dan sisa makanan bersepah, peti sejuk pula dipenuhi barang busuk serta ulat berenga, manakala bilik air menyerupai tempat pembuangan sampah.


Apabila menghubungi penyewa lebih lanjut, wanita muda itu memaklumkan bahawa dia masih belum dapat menjelaskan tunggakan dan memerlukan lebih masa kerana baru-baru ini melakukan pembedahan pembesaran payudaranya. Dia juga menyatakan bahawa dia tidak dapat mengambil barang-barangnya pada masa ini.


Tuan rumah bagaimanapun, tidak mahu menunggu lebih lama dan berkeras untuk menamatkan perjanjian sewa. Wanita muda itu menegaskan bahawa dia tidak boleh datang untuk mengambil barang-barangnya atau berpindah dalam masa terdekat.


Pemiliknya turut memaklumkan bahawa semua barang milik wanita muda itu telah disimpan di kawasan komunal kondominium itu, dan memberi amaran kepadanya bahawa jika dia gagal mengambilnya, ia akan dibuang sebagai sampah. - Sumber The Thaiger.


Pemilik kediaman terkejut apabila mendapati bilik yang disewakan kepada seorang wanita cantik terlalu kotor baru-baru ini. - Foto Sanook.


EmoticonEmoticon