Sabtu, 14 Ogos 2021

Helikopter buatan sendiri 'makan' tuan, kipas patah terkena leher

Helikopter buatan sendiri 'makan' tuan, kipas patah terkena leher


Terinspirasi untuk mencipta helikopter sendiri menjadi impian seorang lelaki di Mahagoan, India selepas menonton filem popular 3 Idiots. Namun hasratnya itu musnah apabila dia maut selepas terkena bilah kipas helikopter ciptaannya ketika sesi ujian.


Menurut lapor Times of India pada 12 Ogos 2021, Sheikh Ismail Sheikh Ibrahim, 24, seorang penduduk kampung yang tidak menamatkan persekolahannya. Bagaimanapun, dia mempunyai impian mencipta sesuatu yang luar biasa untuk membanggakan keluarga dan kampungnya.


Dari itu, Sheikh Ismail mencipta 'Munna Helicopter' yang dibuat daripada besi sebagai prototaip. Rakannya, Sachin memaklumkan Times of India bahawa Sheikh Ismail mula mengumpul maklumat reka bentuk sesuai untuk helikopternya sejak dua tahun lalu.


"Setelah mengumpulkan maklumat mengenai reka bentuk dan cara pemasangan dengan menonton video YouTube, dia mula mengerjakan projek impiannya. Memerlukan hampir dua tahun untuk Sheikh Ismail mengumpulkan semua bahagian yang diperlukan.


"Dia juga membuat prototaip helikopter satu tempat duduk dengan mengimpal paip keluli dan memasang mesin Maruti 800 untuk menggerakkannya," kata Sachin.



Sheikh Ismail berhasrat untuk memperkenalkan helikopter ciptaannya pada sambutan Hari Kemerdekaan tidak lama lagi. Dia kemudian ada menjemput beberapa rakannya untuk melihat prototaip helikopter berkenaan pada 10 Ogos lalu.


Ramai rakannya teruja dan pergi ke sebuah lokasi di kampung berkenaan untuk melihat hasil ciptaan Sheikh Ismail itu. Sebaik semua sudah berkumpul, Sheikh Ismail mula menghidupkan enjin helikopter berkenaan sebelum rotor helikopter mula berpusing dengan laju.


Tidak lama selepas itu, rotor di bahagian ekor helikopter tercabut dan terpelanting serta terkena bilah kipas utama. Keadaan menjadi cemas apabila bilah berkenaan terpelanting dan terkena leher Sheikh Ismail.


Menurut rakannya, helikopter berkenaan sempat naik pada ketinggian 1.5 meter sebelum ini dengan Sheikh Ismail lengkap memakai topi keledar. Namun, pada malam kejadian dia tidak memakai peralatan keselamatan dan meragut nyawanya.



Melengkapkan perpindahan ke PSG, Barcelona masih hutang Messi RM608 juta

Melengkapkan perpindahan ke PSG, Barcelona masih hutang Messi RM608 juta


Lionel Messi pernah memberitahu mahu kekal di Barcelona walaupun gajinya dipotong sehingga 50 peratus bagi persetujuan kontrak baharu, namun kelab itu masih tidak dapat meneruskan kerana kekangan kewangan.


Messi yang bergelar ejen bebas sejak 1 Julai lalu kini sudah melengkapkan perpindahan mega ke Paris Saint-Germain (PSG). Bagaimanapun Barcelona dikatakan masih berhutang dengannya berdasarkan klausa di dalam kontraknya.


Bintang Argentina itu masih belum menerima baki gajinya musim lalu bersama keseluruhan skuad Barcelona yang menyaksikan kelab tersebut berhutang dengannya sebanyak 104 juta pound (RM608.71 juta).


Messi dan keluarganya tinggal di hotel berhampiran Champs-Elysees selepas tiba di kota Paris untuk menyertai PSG secara percuma (perpindahan), selepas Messi bersetuju dengan kontrak dua tahun sehingga 2023 dan menerima bayaran lumayan £35 juta (RM205 juta) semusim dengan gergasi Ligue 1 itu.


Penyerang tersebut sudah menjalani latihan pertamanya dengan PSG dan akan berada dalam senarai untuk aksi menentang Strasbourg. Messi, 34, dikatakan mahu terlibat dengan aksi minggu ini walaupun memerlukan beberapa minggu untuk cergas sepenuhnya.


Messi akan membentuk gandingan penyerang digeruni bersama Neymar dan Kylian Mbappe dalam skuad Mauricio Pochettino. Pada Ahad lalu, Messi menangis ketika mengesahkan dia akan meninggalkan Barcelona selepas 21 tahun pada sidang media perpisahannya.


"Tahun ini saya dan keluarga yakin bahawa kami akan tinggal di sini, di rumah, itulah yang kami semua mahukan.


"Kami fikir kami akan tinggal di Barcelona. Masa yang kita lalui di sini sangat mengagumkan. Hari ini saya harus mengucapkan selamat tinggal kepada semua ini," katanya.


Khamis, 12 Ogos 2021

Remaja berjaya rakam imej awan berwajah 'syaitan' seakan bertongkatkan pelangi cantik

Remaja berjaya rakam imej awan berwajah 'syaitan' seakan bertongkatkan pelangi cantik


Seorang remaja berusia 14 tahun dari Australia berjaya merakam imej gumpalan awan yang kelihatan sangat misteri seperti wajah yang menakutkan, lapor Daily Mail pada 10 Ogos 2021.


Kata Jarvis Smallman, imej tersebut di rakam ketika matahari terbenam selepas tamat waktu persekolahan. Menerusi gambar yang dikongsikan, kelihatan pelangi pada bahagian bawah gumpalan awan dalam corak berpusing itu.


"Gambar itu diambil ketika matahari terbenam selepas tamat waktu persekolahan. Saya gembira melihatnya. Ia adalah satu gambar yang cantik," katanya.


Jarvis memuat naik gambar tersebut pada Instagram miliknya beserta kapsyen 'Awan paling cantik yang pernah saya lihat setakat ini walaupun kelihatan agak menakutkan'.


Gambar itu kemudiannya dikongsi oleh stesen radio ABC South West dan menerima banyak komen positif daripada netizen yang mengagumi kecantikannya.


"Wah, gambar semula jadi yang hebat kerana merangkumi kombinasi wajah 'pelawak', pelangi, yang cantik dan buruk," tulis seorang pengguna.


"Ini membuatkan bulu roma saya berdiri. Menakutkan. Gambar yang hebat," komen seorang lagi netizen.


Gambar tersebut mempunyai imej seperti wajah yang menakutkan serta pelangi yang cantik. - Foto Jarvis Smallman.
Asteroid Sebesar 482 Meter Bakal Hentam Bumi Pada 24 September 2184

Asteroid Sebesar 482 Meter Bakal Hentam Bumi Pada 24 September 2184

Gambar Hiasan

Asteroid Bennu yang mempunyai saiz sebesar 482 meter mempunyai satu daripada 2,700 kemungkinan untuk menghentam Bumi pada waktu tengah hari 24 September tahun 2184. Kenyataan itu, dikongsi oleh Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) pada Rabu lalu.


Lapor Daily Mail pada 11 Ogos 2021, NASA membuat kenyataan itu berdasarkan data yang dikumpul oleh kapal angkasa OSIRIS-REx yang menyusun sampel asteroid yang kembali ke Bumi.


OSIRIS-REx mengumpul data ketepatan untuk meramalkan sebarang objek berhampiran orbit Bumi, yang menunjukkan satu daripada 1,750 kemungkinan perlanggaran boleh berlaku pada masa 300 tahun akan datang.


Pengarah Program untuk Pemantauan Objek Berhampiran Bumi NASA, Kelly Fast berkata, misi pertahanan planet agensi tersebut sentiasa memantau asteroid dan komet yang menghampiri Bumi serta berisiko mencetuskan ancaman bahaya.


Katanya, walaupun terdapat kemungkinan Bennu bakal melanggar Bumi dalam tempoh tiga dekad akan datang, NASA juga melihat 99.9 peratus perkara itu tidak akan berlaku. Sekiranya Bennu melanggar Bumi, impaknya disamakan dengan kekuatan letupan lebih 1.1 bilion tan TNT.


NASA sebelum ini meramalkan Bennu akan menghampiri Bumi pada tahun 2135. Ini akan membantu para saintis memahami dengan lebih baik lintasan Bennu yang tepat, dan membantu mereka meramalkan bagaimana graviti Bumi akan mengubah jalan asteroid di sekitar matahari.


"Biarpun risiko melanggar Bumi adalah rendah, Bennu masih menjadi satu daripada dua asteroid yang paling bahaya dalam sistem solar. Satu lagi asteroid yang dibimbangi boleh mengancam Bumi adalah asteroid yang dikenali dengan nama 1950 DA," jelas kenyataan NASA.


Asteroid Bennu, which is about a third of a mile wide, has a 1-in-2,700 chance of hitting Earth on the afternoon of September 24, 2184 (pictured). The statement was share by NASA on Wednesday and stems from data collected by the OSIRIS-Rex spacecraft that is brining samples of the asteroid back to Earth. - Foto NASA.

Although a 0.057 percent impact probability through the year 2300 and an impact probability of 0.037 percent on Sept. 24, 2182, are low, this study highlights the crucial role that OSIRIS-REx operations played in precisely characterizing Bennu's orbit. - Foto NASA.

Rabu, 11 Ogos 2021

Pecah Masuk Stesen Minyak, Perompak Larikan RM50 sebelum kereta terbabas

Pecah Masuk Stesen Minyak, Perompak Larikan RM50 sebelum kereta terbabas


Tiga penjenayah telah melarikan wang tunai berjumlah RM50 selepas memecahkan cermin sebuah stesen minyak dengan tukul besi di Simpang Empat, Arau, awal pagi hari ini.


Dalam kejadian kira-kira pukul 4.38 pagi itu, dua daripada tiga suspek bertindak masuk ke dalam stesen minyak selepas memecahkan cermin di bahagian kaunter premis tersebut.


Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, kejadian disedari pemilik stesen minyak kira-kira pukul 7 pagi tadi.


Katanya, pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati tiga lelaki terbabit datang ke stesen minyak itu dengan menaiki kereta jenis Perodua Kancil.


"Suspek mengeluarkan tukul besi lalu memecahkan cermin kaunter sebelum dua suspek masuk dan menggeledah premis sebelum melarikan sejumlah wang," katanya.


Menurut beliau, pemilik stesen minyak telah membuat pemeriksaan dan mendapati wang syiling berjumlah kira-kira RM30 dan hasil jualan pelitup muka kira-kira RM20 serta resit juai beli telah tiada di dalam laci kaunter.


Ujarnya, bertindak atas maklumat tersebut, kereta Perodua Kancil yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah itu ditemui terbabas di kawasan Kodiang, Kedah kira-kira pukul 1 petang.


Tambahnya, seorang individu dari Simpang Empat di sini kemudiannya tampil membuat laporan mengenai kehilangan kereta Perodua Kancil awal pagi ini.


Selasa, 10 Ogos 2021

14 Ekor Gajah Mengembara Sejauh 1,300 Kilometer Balik Semula Ke Habitat Asal

14 Ekor Gajah Mengembara Sejauh 1,300 Kilometer Balik Semula Ke Habitat Asal


Penduduk kampung diarahkan untuk berada di dalam rumah, bekalan elektrik dimatikan, pisang serta makanan gajah lain diletakkan di luar bandar untuk memujuk mamalia itu melalui jalan yang jauh dari rumah penduduk.


Begitulah rutin menyambut kawanan 14 ekor gajah liar di China, yang merayau-rayau dan mencetuskan operasi besar-besaran membawa mamalia besar ini pulang ke habitat asalnya.


Kumpulan gajah liar Asia tersebut telah melakukan pengembaraan di Yunnan selama 110 hari, dan kini balik semula ke habitat asal di Pu'er, selatan wilayah itu.


Menerusi rakaman yang dibuat pada Ahad, kesemua 14 ekor gajah itu dilihat menyeberangi Sungai Yuan selepas mengembara sejauh 1,300 kilometer melalui tiga bandar dan lapan wilayah sejak 16 April.



Sepanjang perjalanan mamalia itu, tiada kes kematian dan kecederaan manusia dilaporkan susulan pelaksanaan langkah-langkah keselamatan oleh pihak berkuasa tempatan.


Setakat 8 Ogos, lebih 25,000 anggota polis dan petugas dikerah untuk memantau pergerakan kawanan gajah tersebut, selain menggunakan 973 dron serta menempatkan 15,000 kenderaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.


Menurut pihak berkuasa tempatan, lebih 150,000 penduduk telah dipindahkan ke kawasan lain bagi tujuan keselamatan, manakala sebanyak 180 tan makanan turut disediakan kepada kumpulan gajah tersebut.


Selain itu, 13 pakar dari Pusat Penyelidikan Gajah Asia Pentadbiran Perhutanan dan Padang Rumput Negara, Institut Zoologi Kunming, Universiti Yunnan, Universiti Perhutanan Beijing dan jabatan lain turut memberikan panduan saintifik dan sokongan teknikal sepanjang pengembaraan gajah tersebut.


Pihak berkuasa tempatan akan mendokumentasikan pengalaman mengendalikan keadaan itu untuk rujukan di masa depan.


Kesemua 14 ekor gajah itu dilihat menyeberangi Sungai Yuan selepas mengembara sejauh 1,300 kilometer melalui tiga bandar dan lapan wilayah sejak 16 April.
Harga Tiket RM1.8 Juta, Sesiapa Saja Boleh Pergi Ke Angkasa Lepas

Harga Tiket RM1.8 Juta, Sesiapa Saja Boleh Pergi Ke Angkasa Lepas


Mengembara ke angkasa lepas kini bukan sesuatu yang mustahil. Sejak zaman dahulu lagi penerokaan ruang cakerawala sentiasa menarik minat manusia, tidak kira untuk penyelidikan, melancong atau mungkin mencari habitat baharu untuk didiami.


Tidak hairanlah firma antarabangsa kini berlumba-lumba menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada individu berkemampuan yang mahu merasai pengalaman melancong ke angkasa lepas dengan menaiki pesawat komersial berkelajuan seperti roket.


Baru-baru ini, syarikat penerbangan Virgin Galactic mengumumkan pada Khamis (5 Ogos 2021) bahawa ia menetapkan harga tiket kepada sesiapa yang berkemampuan ke angkasa lepas pada harga AS$450,000 (RM1.8 juta).


Harga itu adalah dua kali ganda berbanding AS$200,000 (RM843,700) hingga AS$250,000 (RM1.05 juta) yang dibayar oleh kira-kira 600 orang bagi menempah kerusi penerbangan tersebut antara tahun 2005 dan 2014 sebelum ini.


Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Michael Colglazier dalam satu kenyataan berkata, pihaknya gembira mahu membuka pintu kepada industri dan pengalaman baharu kepada para pengguna.


Pada 11 Julai lalu, pemilik syarikat Virgin Galactic yang juga seorang bilionair, Richard Branson berjaya terbang ke angkasa lepas selama beberapa minit dengan menaiki sebuah kapal angkasa buatan syarikatnya sendiri.


Beliau yang berumur 70 tahun menaiki penerbangan itu bersama dua juruterbang dan tiga lagi penumpang dengan menaiki kapal angkasa VSS Unity dari sebuah gurun di Amerika Syarikat (AS).


Sembilan hari kemudian, bilionair paling kaya di dunia, Jeff Bezos juga berjaya pergi ke angkasa lepas dengan menaiki roket buatan syarikatnya sendiri bersama adiknya, bekas juruterbang wanita, Wally Funk berusia 82 tahun dan seorang remaja berumur 18 tahun.


Gambar fail menunjukkan kapal angkasa VSS Unity bergerak ke angkasa lepas dari sebuah gurun di Texas pada Julai lalu. - Foto AFP.
Dinobatkan Isteri Paling Kuat Cemburu di Dunia, Suami Hanya Dibenarkan Menonton Siaran Haiwan Dan Tumbuhan

Dinobatkan Isteri Paling Kuat Cemburu di Dunia, Suami Hanya Dibenarkan Menonton Siaran Haiwan Dan Tumbuhan


Adakah cemburu adalah tanda cinta? Mungkin ya mungkin tidak. Tetapi bagaimana jika rasa cemburu itu terlalu banyak? Contohnya, anda selalu menyoal siasat pasangan anda selepas bekerja dan melarang perkara yang tidak masuk akal atas nama cinta.


Seperti seorang wanita bernama Debbi Wood dari Britain yang telah dinobatkan sebagai wanita paling kuat cemburu di dunia. Setiap hari dia ketakutan bahawa suaminya, Steve Wood, akan menipu dirinya. Walaupun suaminya, bukan jenis lelaki yang menipu.


Menurut laporan Daily Mail, Debbi mempunyai alat pengesan pembohongan khas untuk suaminya. Dia juga memasang alat 'perakam perbualan' di telefon bimbit suaminya serta memiliki kata laluan supaya dia dapat mengawasi dengan siapa Steve bersosial.



"Saya takut dia meninggalkan saya. Saya harus menegakkan peraturan, dan dia setuju," kata Debbi.


Bukan setakat itu, Debbi juga hanya membenarkan suaminya menonton televisyen yang memaparkan haiwan dan tumbuhan sahaja. Jika ada iklan yang menampilkan wanita cantik, Debbi akan segera menukar saluran lain.


"Suatu malam saya sangat takut, saya tidak dapat tidur. Ada seorang wanita cantik di sebuah iklan televisyen. Saya fikir jika Steve akan mencintainya. Sejak itu saya membeli alat pengesan pembohongan dalam talian," kata Debbi.



Debbi memberikan Steve konsol permainan supaya dia tidak perlu melirik wanita di layar kaca. Mereka berdua sering meluangkan masa bersama-sama sambil bermain game.


"Kami menghabiskan lebih dari setengah hari bermain. Isteri saya mempunyai Xbox 360, dan saya Xbox," kata Steve.


Sifat cemburu berlebihan Debbi nampaknya bukan tanpa alasan. Debbi didiagnosis menderita gangguan psikiatri, iaitu sindrom Othello. Keadaan mental yang menyebabkan seseorang mempunyai ketakutan yang berlebihan untuk kehilangan. Perasaan ini kemudian ditunjukkan dalam ketakutan pasangan mereka curang.


Menurut para pakar, sindrom yang menjadikan Debbi sebagai wanita paling cemburu dipicu oleh hubungan sebelumnya yang tidak berjalan dengan baik. Di samping itu, keadaan obesiti Debbi juga dipercayai akan memburukkan lagi sindrom ini.


Steve hanya dibenarkan menonton siaran televisyen yang memaparkan haiwan dan tumbuhan sahaja.

Debbi Wood membeli alat pengesan penipuan khusus untuk suaminya.

Isnin, 9 Ogos 2021

Seorang Wanita Temui Objek Misteri Belakang Rumah Didakwa Piring Terbang Makhluk Asing

Seorang Wanita Temui Objek Misteri Belakang Rumah Didakwa Piring Terbang Makhluk Asing


Seorang wanita dari negeri Arizona, Amerika Syarikat (AS) mendakwa telah menemui piring terbang milik makhluk asing di laman belakang rumahnya, lapor akhbar Daily Star UK pada 7 Ogos 2021.


Ally Murray berjaya menarik perhatian pengguna media sosial apabila memuat naik satu video memaparkan Objek Terbang Tidak Dikenali (UFO) berbentuk bulat di akaun TikToknya.


Dalam video yang dilihat lebih dari 2.5 juta kali, Ally berdiri di tempat seperti hutan dan berkata: "Sekiranya ada orang dari Konspirasi TikTok di sini, saya rasa ia akan berminat dengan UFO yang baru saya temui di belakang rumah."


Wanita itu bertanyakan kepada pengikutnya di TikTok jika mereka mengenali objek berbentuk cakera yang terletak di halaman belakang rumahnya. Dakwanya dia secara tidak sengaja menjumpai objek misteri tersebut.



"Saya rasa makhluk asing berminat dengan laman belakang rumah saya dan mengambil keputusan meninggalkan kenderaannya di sini," tulis Ally Murray.


Ally Murray turut meminta mana-mana pengikutnya menjelaskan kegunaan atau fungsi UFO tersebut kerana dia sendiri tidak pasti apakah sebenarnya objek berkenaan.


Namun begitu, kebanyakan netizen meluahkan rasa tidak percaya dengan foto UFO itu dan beranggapan ia sebenarnya dua piring satelit lama yang dicantum untuk kelihatan seperti piring terbang.


"Saya tidak percaya itu adalah UFO. Ia hanya dua piring satelit lama yang dicantum bersama," tulis seorang pengguna media sosial.


Ally Murray bergambar bersama piring terbang yang didakwa milik makhluk asing di belakang rumahnya.
Penyanyi Siti Sarah Meninggal Dunia Akibat Covid-19

Penyanyi Siti Sarah Meninggal Dunia Akibat Covid-19


Penyanyi Siti Sarah, 37, disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), selepas bertarung nyawa akibat Covid-19.


Penyanyi itu menghembuskan nafas terakhir jam 5.13 pagi, selepas ditidurkan pada 4 Ogos lalu. Lebih menyedihkan, Sarah meninggal dunia tanpa sempat menatap wajah bayi lelaki dikandungnya yang selamat dikeluarkan secara pembedahan pada Jumaat lalu.


Terdahulu, Siti Sarah dimasukkan ke hospital itu pada Rabu lalu selepas mengalami batuk teruk dan tahap oksigen menurun akibat jangkitan Covid-19. Siti Sarah yang hamil tujuh bulan ketika itu kemudiannya ditidurkan sebelum pembedahan dijalankan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan.



Siti Sarah selamat melahirkan bayi lelaki diberi nama Ayash Affan. Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan Covid-19 sejak 27 Julai lalu, selepas mereka sekeluarga menjalani ujian saringan selepas pembantu rumah disahkan positif virus terbabit.


Pasangan itu berkahwin pada 26 Februari 2011. Hasil perkahwinan, pasangan ini juga mempunyai tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.


Sementara itu, jenazah Siti Sarah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, hari ini. 


Shuib berkata, dia bersyukur apabila Allahyarham isterinya diberi peluang untuk dikebumikan di tanah perkuburan yang sama dengan ibunya. Urusan tayamum dan solat jenazah akan diuruskan pihak hospital.


"Pada awalnya saya tak pasti sama ada urusan pengebumian dapat dibuat di lokasi sama arwah ibunya. Namun, sebaik tiba di sini saya bersyukur pihak hospital membenarkan jenazah isteri dikebumikan di sana. Entah kenapa saya terasa lokasi itu adalah tempat terbaik untuk arwah isteri saya," katanya.