Sabtu, 14 Ogos 2021

Melengkapkan perpindahan ke PSG, Barcelona masih hutang Messi RM608 juta


Lionel Messi pernah memberitahu mahu kekal di Barcelona walaupun gajinya dipotong sehingga 50 peratus bagi persetujuan kontrak baharu, namun kelab itu masih tidak dapat meneruskan kerana kekangan kewangan.


Messi yang bergelar ejen bebas sejak 1 Julai lalu kini sudah melengkapkan perpindahan mega ke Paris Saint-Germain (PSG). Bagaimanapun Barcelona dikatakan masih berhutang dengannya berdasarkan klausa di dalam kontraknya.


Bintang Argentina itu masih belum menerima baki gajinya musim lalu bersama keseluruhan skuad Barcelona yang menyaksikan kelab tersebut berhutang dengannya sebanyak 104 juta pound (RM608.71 juta).


Messi dan keluarganya tinggal di hotel berhampiran Champs-Elysees selepas tiba di kota Paris untuk menyertai PSG secara percuma (perpindahan), selepas Messi bersetuju dengan kontrak dua tahun sehingga 2023 dan menerima bayaran lumayan £35 juta (RM205 juta) semusim dengan gergasi Ligue 1 itu.


Penyerang tersebut sudah menjalani latihan pertamanya dengan PSG dan akan berada dalam senarai untuk aksi menentang Strasbourg. Messi, 34, dikatakan mahu terlibat dengan aksi minggu ini walaupun memerlukan beberapa minggu untuk cergas sepenuhnya.


Messi akan membentuk gandingan penyerang digeruni bersama Neymar dan Kylian Mbappe dalam skuad Mauricio Pochettino. Pada Ahad lalu, Messi menangis ketika mengesahkan dia akan meninggalkan Barcelona selepas 21 tahun pada sidang media perpisahannya.


"Tahun ini saya dan keluarga yakin bahawa kami akan tinggal di sini, di rumah, itulah yang kami semua mahukan.


"Kami fikir kami akan tinggal di Barcelona. Masa yang kita lalui di sini sangat mengagumkan. Hari ini saya harus mengucapkan selamat tinggal kepada semua ini," katanya.



EmoticonEmoticon