Jumaat, 16 Julai 2021

Ular sawa 'kenyang' telan anak kambing ditangkap

Ular sawa 'kenyang' telan anak kambing ditangkap


BEAUFORT - Seekor ular sawa sepanjang hampir empat meter yang baru menelan seekor anak kambing berjaya ditangkap di Kampung Suasa, pada Khamis lalu.


Ular dengan berat kira-kira 25 kilogram itu ditemui di dalam kandang kambing pada jam 12.30 tengah hari selepas pemilik kambing menyedari kehadiran haiwan terbabit.


Susulan kejadian itu, pemilik terbabit bertindak menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan.


Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort kemudian mengerahkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dengan menaiki dua buah jentera ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai.


"Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati seekor ular sawa berada di dalam sebuah kandang kambing. Hasil pemeriksaan mendapati ular itu telah menelan seekor anak kambing," katanya ketika dihubungi pada Khamis.


Katanya, pasukan bomba mengambil masa selama 10 minit untuk menangkap ular itu dengan menggunakan peralatan khas.


"Ular sepanjang 12 kaki itu ditangkap bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. Tiada mangsa lain dilaporkan dalam kejadian ini dan operasi ditamatkan pada jam 1.23 petang," katanya.

Burung hantu bawa 'hadiah' setiap hari tanda terima kasih kerana pernah diselamatkan

Burung hantu bawa 'hadiah' setiap hari tanda terima kasih kerana pernah diselamatkan


Walaupun kisah burung hantu ini kedengaran pelik tetapi itulah yang berlaku dalam satu kejadian di Afrika Selatan beberapa tahun lalu. Seekor burung hantu membalas budi dengan membawa pulang 'hadiah' pada manusia yang pernah menyelamatkannya.


Kisah ini bermula dalam satu insiden yang berlaku di Afrika Selatan pada tahun 2011, seorang lelaki telah menemui seekor burung hantu dalam keadaan cedera. Sebagai seorang pencinta haiwan, sudah tentu lelaki ini akan membawa pulang burung yang cedera itu untuk mendapatkan rawatan asas.


Lelaki ini telah menjaga burung hantu itu di rumahnya selama dua bulan dan dalam tempoh itu, perhubungan di antara kedua-duanya menjadi akrab. Malah, burung hantu ini turut berkawan baik dengan haiwan peliharaan lain di rumah berkenaan iaitu kucing dan juga burung.


Setelah kesihatannya beransur pulih, burung hantu ini telah dibebaskan ke habitat asalnya. Namun, meskipun berjauhan, haiwan ini nampaknya langsung tidak melupakan jasa dan budi baik lelaki yang pernah merawatnya itu.



Buktinya, setiap hari selama empat tahun berturut-turut burung ini akan membawa pulang pelbagai jenis 'buah tangan' dari alam semulajadi sebagai tanda penghargaan kepada lelaki yang telah menyelamatkannya.


Antara 'hadiah' yang seringkali dibawa bersama adalah tikus dan juga anak ular. Adakalanya, burung hantu ini akan tunggu lelaki berkenaan terjaga dari tidur sambil menggigit tikus tersebut.


Burung hantu ini juga akan berkongsi hadiah berkenaan dengan rakan-rakannya iaitu si burung dan si kucing. Mungkin yang lain senang hati menerima hadiah pemberian burung hantu itu tetapi walau apa pun, hati burung hantu ini benar-benar baik dan suci.


Menurut kajian, burung hantu dikenali dengan sifat setia atau merupakan haiwan yang bersifat monogami. Mungkin sebab itu, burung hantu ini cuba membalas budi baik lelaki yang pernah merawatnya dan dianggap sebagai 'keluarganya'. - Sumber Era Baru.




Khamis, 15 Julai 2021

Lelaki Dakwa Dirinya Kebal Daripada Bisa Maut Dipatuk Ketika Cium Ular Tedung

Lelaki Dakwa Dirinya Kebal Daripada Bisa Maut Dipatuk Ketika Cium Ular Tedung


Tindakan seorang lelaki di Filipina cuba mencium seekor ular tedung yang mendakwa dirinya kebal daripada bisa ular maut selepas lidahnya dipatuk reptilia berbisa itu, lapor akhbar The Sun pada 14 Julai 2021, semalam.


Bernardo Alvarez, 62, yang digelar Lelaki Ular, menangkap spesies 'Ular Tedung Filipina Udara' yang sangat berbisa di sebuah rumah penduduk di Pekan Mangaldan, wilayah Pangasinan pada 9 Julai lalu.


Menurut laporan, penduduk pada mulanya bersorak apabila Alvarez berjaya menangkap ular itu namun situasi bertukar ngeri sekelip mata.


Mangsa cuba melakukan aksi mencium reptilia itu dengan meletakkan mulutnya terlalu dekat sebelum ular menggigit hujung lidahnya. Ular tedung tersebut yang dikenali sebagai antara ular paling berbisa di dunia.


Mangsa yang terkejut dengan serangan pantas ular itu menjerit kesakitan, rebah dan menggelupur di atas tanah sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.


Pegawai kesihatan tempatan, Dr. Anna de Guzman berkata, bisa ular boleh menyebabkan lumpuh seperti yang berlaku pada Alvarev. 


"Apabila sistem badan lumpuh, ia akan menyebabkan mangsa tidak dapat bernafas, kandungan oksigen dalam badan terjejas dan akhirnya degupan jantung terhenti," katanya.


Pasukan perubatan kecemasan bergegas ke lokasi kejadian dan cuba memberi bantuan pernafasan tetapi mangsa sudah tidak lagi responsif dan tubuhnya sudah kaku akibat kesan bisa itu.


"Mereka tidak berjaya menyelamatkannya kerana bisa terlalu kuat. Kami tidak tahu bagaimana untuk menerima kehilangannya," kata seorang ahli keluarga Alvrez, Teresa Oca.


Bernardo Alvarez, yang dikenali sebagai 'snake man', mendakwa dia kebal bisa ular. - Foto ViralPress.


Bernardo Alvarez maut selepas lidahnya digigit ular tedung semasa cuba mencium reptilia itu. - Foto Viral Press.

Dubai buka kolam renang terdalam di dunia, penyelam boleh menjelajah 'kota terbengkalai'

Dubai buka kolam renang terdalam di dunia, penyelam boleh menjelajah 'kota terbengkalai'


Dubai terkenal dengan bangunan pencakar langit tertinggi di dunia iaitu Burj Khalifa, serta hotel-hotel mewah dan pusat membeli-belah terbesar di dunia semuanya berada di sini.


Terkini kota mega itu sekali lagi menjadi perhatian dunia apabila baharu saja membuka kolam renang paling dalam di dunia, dan bakal menerima kunjungan pelancong dalam masa terdekat.


Kolam sedalam 60 meter itu bernama Deep Dive Dubai yang terletak di Nad El Sheba I, Dubai, Emiriah Arab Bersatu. Lokasinya terletak dalam 25 minit dari Bandar Antarabangsa Dubai.


Menurut lapor CNN, kolam renang itu diklasifikasikan sebagai terdalam di dunia oleh Guinness World Records pada 22 Jun 2021 lalu, menewaskan pemegang rekod dunia sebelum ini iaitu Deepspot di Poland sedalam 45 meter.



Deep Dive Dubai menawarkan sesi menyelam di dalam air bersuhu 30 darjah celcius serta menjelajah sebuah kota terbengkalai yang tenggelam. Sebanyak 56 kamera dipasang di sekitar kolam renang bagi memastikan keselamatan penyelam.


Kolam renang itu turut memiliki ruang hiperbarik dengan kapasiti 12 orang ketika kecemasan. Pelbagai aktiviti lain dapat dilakukan di tempat tumpuan pelancongan ini seperti Scuba Diving dan Freediving.


Buat masa ini kemudahan menyelam itu hanya dibuka untuk penyelam yang mendapat undangan. Putera Mahkota Dubai, Sheikh Hamdan bin Mohammed Al Maktoum, seorang penyelam berpengalaman menjadi antara pengunjung pertama dan berkongsi pengalamannya di media sosial.



Tarikan paling utama di Deep Dive Dubai semestinya kota di bawah air yang bakal membawa penyelam meneroka 'tinggalan' pangsapuri, perpustakaan, ruang permainan serta studio yang ditenggelami air.


Lapor USA Today, Deep Dive Dubai mempunyai kota di bawah air dengan kemudahan lengkap seperti bangku, lampu jalan dan tingkap untuk mempamer barangan jualan. Terdapat juga pangsapuri yang lengkap dengan bilik tidur, ruang makan dan garaj yang lengkap dengan kereta dan motosikal.


Menurut Diver Net, Deep Dive Dubai akan dibuka kepada semua dengan usia minima 10 tahun. Pun begitu, penyelam perlu mempunyai sijil menyelam yang dikeluarkan oleh Persatuan Tenaga Pengajar Selam Profesional (PADI).




Bilionair pertama melancong ke angkasa lepas, kini berhasrat mahu bina hotel di Bulan

Bilionair pertama melancong ke angkasa lepas, kini berhasrat mahu bina hotel di Bulan


Bilionair yang baru pulang daripada melancong ke angkasa lepas pada 11 Julai lalu, Sir Richard Branson kini berhasrat mahu membina sebuah hotel penginapan di Bulan, lapor akhbar Daily Mail pada 14 Julai 2021, kelmarin.


Pelopor pelancongan angkasa lepas itu berkata, lebih banyak penerokaan ke angkasa lepas bersama Virgin Galactic di masa akan datang. Ketika ini, kos bagi satu tiket penerbangan ke sempadan angkasa lepas dengan Virgin Galactic dianggarkan bernilai AS$250,000 (RM1.05 juta).


Branson berharap kewujudan lebih banyak roket dan kapal angkasa di masa hadapan akan mengurangkan kos penerbangan ke angkasa lepas. Bercakap mengenai impian lain Branson, lelaki itu berkata beliau mahu membina hotel di Bulan sebagai impian besar baharunya.



"Sama ada saya sendiri akan terlibat secara langsung dalam pembinaan hotel di Bulan atau saya serahkan kepada anak-anak saya untuk melakukannya, ia bergantung kepada keadaan.


"Ia kedengaran seperti impian yang mengarut tetapi perkara sama dikatakan tentang pelancongan angkasa lepas dan saya baru sahaja melakukannya," kata Branson.


Penerbangan tersebut bertujuan untuk mempromosikan Virgin Galactic yang sudah memperoleh lebih daripada 600 tempahan dari 60 negara untuk pelancongan ke angkasa lepas. Matlamat utamanya adalah untuk membuat 400 penerbangan setahun.


Terdahulu, usahawan terkenal itu menjadi bilionair pertama yang terbang ke angkasa lepas dengan roket Virgin Galactic miliknya. Branson bersama lima pekerja berlepas ke angkasa lepas dari Spaceport Amerika di New Mexico, Amerika Syarikat (AS) pukul 8.30 pagi (waktu tempatan) pada 11 Julai 2021.



Kurang sejam selepas berlepas, kapal VSS Eve itu melepaskan roketnya pada altitud 85 kilometer, lebih jauh berbanding sempadan 80 kilometer yang dianggap AS sebagai sempadan angkasa lepas. Kesemua kru kemudian dapat merasai pengalaman terapung sebelum kembali semula ke landasan pada pukul 9.40 pagi.


"Tahniah buat pasukan hebat di Virgin Galactic atas kerja keras anda selama 17 tahun yang membolehkan kita pergi sejauh ini," kata Branson sewaktu siaran langsung ketika Unity dalam perjalanan pulang.


Seorang lagi bilionair pelancongan ke angkasa lepas, Pemilik syarikat SpaceX, Elon Musk, yang turut berada di situ menyaksikan penerbangan berkenaan mengucapkan tahniah di Twitter. 


Pengasas Amazon, Jeff Bezos, turut mengucapkan tahniah di Instagram, dan menyatakan beliau tidak sabar untuk mengikut jejak langkah Branson. Bezos, individu terkaya di dunia, dijadualkan terbang ke angkasa lepas pada 20 Julai dengan roket New Shepard ciptaan Blue Origin, syarikat miliknya.


Branson bersama lima pekerja berlepas ke angkasa lepas dari Spaceport Amerika di New Mexico, Amerika Syarikat (AS) pukul 8.30 pagi (waktu tempatan) pada 11 Julai lalu. - Foto Virgin Galactic.

Pemilik syarikat Virgin Galactic, Richard Branson yang juga seorang bilionair bercita-cita mahu membina sebuah hotel di bulan. - Foto Virgin Galactic.

Richard Branson bersama krunya melepasi sempadan angkasa lepas yang diiktiraf AS, mencapai altitud 86km dengan menaiki kapal angkasa VSS Unity. - Foto AP.
Dipercayai Meteor, Langit Yogyakarta Diterangi Cahaya Lurus Berwarna Hijau

Dipercayai Meteor, Langit Yogyakarta Diterangi Cahaya Lurus Berwarna Hijau


Tular beberapa ciapan dalam Twitter di Indonesia mengenai satu cahaya lurus berwarna hijau menerangi ruang udara di Yogjakarta. Cahaya itu seolah-olah jatuh dari langit berkemungkinan batu angkasa iaitu meteoroid.


Fenomena itu dimaklumkan oleh seorang pengguna Twitter @aryo-akise yang memuat turun gambar cahaya tersebut. Dalam keterangan gambarnya, pengguna Twitter itu memaklumkan kejadian itu berlaku pada pukul 9.36 malam pada 12 Julai lalu.


Akaun Twitter @merapi_uncover yang turut berkongsi gambar tersebut, mengatakan sebahagian penduduk Yogjakarta turut dikejutkan dengan kemunculan cahaya terang berwarna hijau itu di langit.


"Nasib baik, cahaya terang itu didokumentasikan oleh @aryo-akise. Ramai berpendapat cahaya itu sebenarnya bebola api yang melintas ruang udara," kata @merapi_uncover dalam keterangan gambar tersebut.


Menurut laporan Suara.com pada 13 Julai 2021, gambar cahaya itu dipercayai dirakam sendiri oleh pengguna Twitter @aryo-akise. Ketika dihubungi, @aryo-akise atau Arya, 17, mengakui dia sempat merakam gambar cahaya tersebut ketika sibuk merakam gambar langit pada waktu malam bersama adiknya.


"Saya merakam gambar cahaya itu menggunakan kamera telefon pintar dan tripod di kawasan sawah padi di Banguntapan, Bantul. Dari 35 gambar saya rakam, cahaya 'tahi bintang' itu tertangkap dalam gambar ke 20.


"Saya tidak percaya bahawa saya bernasib baik kerana memiliki saat yang luar biasa. Saya terbaring di sawah, dan cahaya terus muncul di langit," katanya.


Selepas itu, Arya berkongsi gambar yang dirakamnya dengan kumpulan Astronomi Penjelajah Langit dan mereka mendakwa cahaya itu adalah bebola api yang melintas ruang udara dan gambar itu adalah asli dan bukan suntingan.


Cahaya hijau dipercayai meteor jatuh di langit Yogyakarta, pada isnin lalu (12/7/2021). - Foto Aryo Kamandanu.
Messi Setuju Gaji Baharu RM6.99 juta Seminggu, Dikurangkan 50 Peratus

Messi Setuju Gaji Baharu RM6.99 juta Seminggu, Dikurangkan 50 Peratus


Lionel Messi dilaporkan mencapai persetujuan untuk melanjutkan kontraknya di Barcelona dengan gaji kurang 50 peratus. Gergasi LaLiga itu sebelum ini gagal mendapatkan tandatangan Messi, 34, sebelum kontrak lamanya tamat penghujung bulan lalu.


Tetapi laporan media Sepanyol menunjukkan kemajuan telah dicapai dalam rundingan kedua-dua pihak. Kontrak baharu itu menyaksikan ikon Argentina itu akan mendapat gaji kurang separuh daripada sebelumnya.


Gajinya dalam kontrak baharu itu sekitar £1.2 juta (RM6.99 juta) seminggu berbanding gaji dalam kontrak lamanya yang bocor awal tahun ini.



Seperti yang dilaporkan L'Equipe Mac lalu, Messi mengetuai senarai pemain menerima gaji paling tinggi di Eropah dengan £2.1 juta (RM11.96 juta) seminggu.


Dan gaji seminggu Messi itu, lebih sekali ganda melebihi pencabar terdekatnya iaitu Cristiano Ronaldo, 36, dikatakan menerima £900,000 (RM5.12 juta) seminggu di Juventus.


Barcelona turut memegang klausa pembebasan sebanyak £300 juta (RM1.74 bilion) ke atas pemain itu. Kontrak baharu itu dikatakan lima tahun walaupun Messi berkata dia mahu menamatkan kariernya di MLS.


Menurut Sport, penyerang itu sedia menerima pengurangan gaji susulan krisis kewangan dihadapi kelab itu. Pengumuman rasmi dijangka minggu depan apabila bintang itu pulang daripada bercuti selepas membantu Argentina menjuarai Copa America.


Update 13 Ogos 2021: Lionel Messi pernah memberitahu mahu kekal di Barcelona bahkan telah menawarkan pemotongan gaji sehingga 50 peratus bagi persetujuan kontrak baharu, namun kelab ini masih tidak dapat meneruskan kerana kekangan kewangan.


Messi yang bergelar ejen bebas sejak 1 Julai lalu kini sudah melengkapkan perpindahan mega ke Paris Saint-Germain (PSG). Messi melengkapkan perpindahan ke PSG, bagaimanapun Barcelona masih hutang Messi RM608 juta.

Rabu, 14 Julai 2021

Lelaki ditahan curi seluar dalam wanita kononnya ubat hilangkan jerawat

Lelaki ditahan curi seluar dalam wanita kononnya ubat hilangkan jerawat

Suspek curi seluar dalam wanita ditahan polis.

Seorang lelaki ditahan polis kerana mencuri seluar dalam wanita. Suspek mendakwa melakukan jenayah itu kerana mahu menjadikan pakaian itu sebagai ubat jerawat, lapor Suara.com pada 14 Julai 2021, hari ini.


Suspek bernama OM, 23, ditangkap dalam satu kejadian di Tasikmalaya, Kalimantan Barat pada 13 Julai 2021 ketika mencuri seluar dalam wanita yang sedang dikeringkan di depan rumah Desa Indihiang, Indonesia.


OM sempat melarikan diri ke Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) namun berjaya dikepung oleh penduduk kampung.


Ketua Polis Indihiang, Komisioner Didik Rohim Hadi mengesahkan kejadian itu dan sudah menerima laporan daripada penduduk kampung.


"Suspek sudah disoal siasat dan apabila ditanya motif mencuri, dia berkata seluar dalam wanita mahu dijadikan ubat merawat jerawat. Ini merupakan kali kedua OM melakukan pencurian seluar dalam di kawasan tersebut," ujarnya.


Sementara itu, OM ketika soal siasat mengakui terpengaruh dengan kata-kata rakannya yang memberitahu seluar dalam wanita berupaya mengubati jerawat muka.


"Saya curi kerana mahu hilangkan jerawat di muka kerana kawan-kawan beritahu itu ubat paling mujarab," katanya.


Jerawat tumbuh disebabkan pengambilan makanan berminyak dan makanan ringan yang memudahkan kulit ditumbuhi jerawat, selain faktor keturunan. Menghilangkan jerawat dengan menggunakan seluar dalam wanita adalah mitos semata-mata.


Cara paling mudah dan cepat untuk menyembuhkan jerawat adalah dengan menggunakan jus perahan lemon. Ia kaya dengan vitamin C dan membantu mengeringkan jerawat.

Anak dihantar ke pulau terpencil kerana suka lawan cakap ibu bapa

Anak dihantar ke pulau terpencil kerana suka lawan cakap ibu bapa


Sepasang suami isteri di China sanggup membawa anak perempuan mereka yang berusia 13 tahun ke sebuah pulau terpencil, untuk memberi pengajaran kepada anak tersebut yang didakwa suka melawan cakap mereka.


Lapor Oddity Central pada 12 Julai 2021, polis di bandar Weihai berkata, pihaknya dimaklumkan oleh sekumpulan nelayan mengenai kehadiran seorang remaja perempuan di pulau tersebut kira-kira satu kilometer dari tanah besar.


Menurut polis, remaja itu mendekati nelayan tersebut dengan mendakwa ibu bapanya telah memaksa dan membawanya ke pulau itu, dan memohon mereka untuk membawanya ke pantai (tanah besar).


Remaja itu juga mendakwa telah merayu beberapa kali kepada ibu bapanya untuk membawanya pulang semula ke pantai. Jelas polis, selepas tiba di pulau itu, mereka menemukan remaja tersebut bersama ibu bapanya.



Menurut polis, pihaknya mendapati ibu bapa membawa remaja tersebut ke pulau terpencil kerana mahu mendidik anak mereka mengenai kesukaran hidup.


"Ibu bapa remaja itu menyatakan anak perempuan mereka mempunyai tabiat suka melawan, mudah marah, enggan mematuhi arah dan tidak mahu pergi ke sekolah.


"Sudah banyak kali ibu bapanya cuba menasihati remaja perempuan itu tetapi dia tetap degil. Mereka merasakan anaknya mensia-siakan kehidupannya. Jadi, mereka terpaksa mengambil langkah drastik dengan melakukan demikian," kata polis berkenaan.


Ibu bapa remaja itu pada awalnya enggan meninggalkan pulau tersebut dengan alasan bahawa mereka telah bersedia dengan bekalan yang diperlukan, dan menegaskan bahawa mereka mahu meneruskan pelan mendidik anak mereka disitu.


Ketika mereka berada di pulau itu, ayahnya mengakui kagum terhadap anak perempuannya yang mula berkomunikasi dengan nelayan yang singgah di pulau tersebut. Katanya, ketika mula-mula datang di pulau itu anaknya jarang bercakap pada mereka, apalagi orang lain.


Tindakan 3 beranak tinggal di pulau ini selepas mendapat khidmat pakar 'survival' yang bersetuju untuk menemani mereka di pulau tersebut. Bagaimanapun, polis yang datang di pulau itu berjaya memujuk keluarga berkenaan dan menghantar mereka pulang ke tanah besar.

Selasa, 13 Julai 2021

Payudara membesar selepas terima suntikan vaksin Pfizer

Payudara membesar selepas terima suntikan vaksin Pfizer


Program imunisasi atau suntikan vaksin sedang dijalankan di seluruh dunia sebagai langkah untuk menangani penularan wabak Covid-19. Sehubungan itu, ada beberapa laporan mengenai kesan sampingan setelah menerima suntikan tersebut.


Terbaru, seorang remaja perempuan dari Norway menjadi tular di media sosial apabila mendedahkan selepas terima suntikan vaksin, ia memberi kesan sampingan luar biasa buatnya, lapor Sputnik News pada 11 Julai 2021.


Gadis bernama Emma,17, itu berkata, selepas mendapat suntikan vaksin Pfizer beberapa minggu lalu, payudaranya membesar dan saiz pakaian dalamnya berubah dengan ketara.


"Saiz payudara saya kini menjadi tumpuan apabila memuat naik video di laman TikTok. Ramai kenalan yang menegur perubahan ini.


"Apabila saya membuat carian online, rupanya ramai wanita di Amerika Syarikat yang turut mendapat kesan sampingan pembesaran payudara seperti saya," katanya.


Seorang pakar kesihatan memberitahu stesen penyiaran Norway, NRK bahawa kesan sampingan itu mungkin berkaitan dengan kelenjar yang membengkak selepas mendapat suntikan vaksin dan ia bukan satu simptom yang membimbangkan.


"Kami telah melihat beberapa kes di mana kelenjar payudara wanita sedikit membengkak selepas disuntik vaksin," kata Ketua Doktor di Pusat Diagnostik Payudara Nordland Hospital.


Backmann berkata, penerima vaksin yang mengalami kesan sampingan itu boleh menjalani imbasan mamogram selepas empat minggu menerima suntikan jika berasa risau dengan keadaan tersebut.


Gadis bernama Emma dari Norway yang mendakwa saiz payudara membesar selepas terima suntikan vaksin Pfizer.