Khamis, 15 Julai 2021

Messi Setuju Gaji Baharu RM6.99 juta Seminggu, Dikurangkan 50 Peratus


Lionel Messi dilaporkan mencapai persetujuan untuk melanjutkan kontraknya di Barcelona dengan gaji kurang 50 peratus. Gergasi LaLiga itu sebelum ini gagal mendapatkan tandatangan Messi, 34, sebelum kontrak lamanya tamat penghujung bulan lalu.


Tetapi laporan media Sepanyol menunjukkan kemajuan telah dicapai dalam rundingan kedua-dua pihak. Kontrak baharu itu menyaksikan ikon Argentina itu akan mendapat gaji kurang separuh daripada sebelumnya.


Gajinya dalam kontrak baharu itu sekitar £1.2 juta (RM6.99 juta) seminggu berbanding gaji dalam kontrak lamanya yang bocor awal tahun ini.



Seperti yang dilaporkan L'Equipe Mac lalu, Messi mengetuai senarai pemain menerima gaji paling tinggi di Eropah dengan £2.1 juta (RM11.96 juta) seminggu.


Dan gaji seminggu Messi itu, lebih sekali ganda melebihi pencabar terdekatnya iaitu Cristiano Ronaldo, 36, dikatakan menerima £900,000 (RM5.12 juta) seminggu di Juventus.


Barcelona turut memegang klausa pembebasan sebanyak £300 juta (RM1.74 bilion) ke atas pemain itu. Kontrak baharu itu dikatakan lima tahun walaupun Messi berkata dia mahu menamatkan kariernya di MLS.


Menurut Sport, penyerang itu sedia menerima pengurangan gaji susulan krisis kewangan dihadapi kelab itu. Pengumuman rasmi dijangka minggu depan apabila bintang itu pulang daripada bercuti selepas membantu Argentina menjuarai Copa America.


Update 13 Ogos 2021: Lionel Messi pernah memberitahu mahu kekal di Barcelona bahkan telah menawarkan pemotongan gaji sehingga 50 peratus bagi persetujuan kontrak baharu, namun kelab ini masih tidak dapat meneruskan kerana kekangan kewangan.


Messi yang bergelar ejen bebas sejak 1 Julai lalu kini sudah melengkapkan perpindahan mega ke Paris Saint-Germain (PSG). Messi melengkapkan perpindahan ke PSG, bagaimanapun Barcelona masih hutang Messi RM608 juta.


EmoticonEmoticon