Khamis, 15 Julai 2021

Dipercayai Meteor, Langit Yogyakarta Diterangi Cahaya Lurus Berwarna Hijau


Tular beberapa ciapan dalam Twitter di Indonesia mengenai satu cahaya lurus berwarna hijau menerangi ruang udara di Yogjakarta. Cahaya itu seolah-olah jatuh dari langit berkemungkinan batu angkasa iaitu meteoroid.


Fenomena itu dimaklumkan oleh seorang pengguna Twitter @aryo-akise yang memuat turun gambar cahaya tersebut. Dalam keterangan gambarnya, pengguna Twitter itu memaklumkan kejadian itu berlaku pada pukul 9.36 malam pada 12 Julai lalu.


Akaun Twitter @merapi_uncover yang turut berkongsi gambar tersebut, mengatakan sebahagian penduduk Yogjakarta turut dikejutkan dengan kemunculan cahaya terang berwarna hijau itu di langit.


"Nasib baik, cahaya terang itu didokumentasikan oleh @aryo-akise. Ramai berpendapat cahaya itu sebenarnya bebola api yang melintas ruang udara," kata @merapi_uncover dalam keterangan gambar tersebut.


Menurut laporan Suara.com pada 13 Julai 2021, gambar cahaya itu dipercayai dirakam sendiri oleh pengguna Twitter @aryo-akise. Ketika dihubungi, @aryo-akise atau Arya, 17, mengakui dia sempat merakam gambar cahaya tersebut ketika sibuk merakam gambar langit pada waktu malam bersama adiknya.


"Saya merakam gambar cahaya itu menggunakan kamera telefon pintar dan tripod di kawasan sawah padi di Banguntapan, Bantul. Dari 35 gambar saya rakam, cahaya 'tahi bintang' itu tertangkap dalam gambar ke 20.


"Saya tidak percaya bahawa saya bernasib baik kerana memiliki saat yang luar biasa. Saya terbaring di sawah, dan cahaya terus muncul di langit," katanya.


Selepas itu, Arya berkongsi gambar yang dirakamnya dengan kumpulan Astronomi Penjelajah Langit dan mereka mendakwa cahaya itu adalah bebola api yang melintas ruang udara dan gambar itu adalah asli dan bukan suntingan.


Cahaya hijau dipercayai meteor jatuh di langit Yogyakarta, pada isnin lalu (12/7/2021). - Foto Aryo Kamandanu.


EmoticonEmoticon