Khamis, 15 Julai 2021

Dubai buka kolam renang terdalam di dunia, penyelam boleh menjelajah 'kota terbengkalai'


Dubai terkenal dengan bangunan pencakar langit tertinggi di dunia iaitu Burj Khalifa, serta hotel-hotel mewah dan pusat membeli-belah terbesar di dunia semuanya berada di sini.


Terkini kota mega itu sekali lagi menjadi perhatian dunia apabila baharu saja membuka kolam renang paling dalam di dunia, dan bakal menerima kunjungan pelancong dalam masa terdekat.


Kolam sedalam 60 meter itu bernama Deep Dive Dubai yang terletak di Nad El Sheba I, Dubai, Emiriah Arab Bersatu. Lokasinya terletak dalam 25 minit dari Bandar Antarabangsa Dubai.


Menurut lapor CNN, kolam renang itu diklasifikasikan sebagai terdalam di dunia oleh Guinness World Records pada 22 Jun 2021 lalu, menewaskan pemegang rekod dunia sebelum ini iaitu Deepspot di Poland sedalam 45 meter.



Deep Dive Dubai menawarkan sesi menyelam di dalam air bersuhu 30 darjah celcius serta menjelajah sebuah kota terbengkalai yang tenggelam. Sebanyak 56 kamera dipasang di sekitar kolam renang bagi memastikan keselamatan penyelam.


Kolam renang itu turut memiliki ruang hiperbarik dengan kapasiti 12 orang ketika kecemasan. Pelbagai aktiviti lain dapat dilakukan di tempat tumpuan pelancongan ini seperti Scuba Diving dan Freediving.


Buat masa ini kemudahan menyelam itu hanya dibuka untuk penyelam yang mendapat undangan. Putera Mahkota Dubai, Sheikh Hamdan bin Mohammed Al Maktoum, seorang penyelam berpengalaman menjadi antara pengunjung pertama dan berkongsi pengalamannya di media sosial.



Tarikan paling utama di Deep Dive Dubai semestinya kota di bawah air yang bakal membawa penyelam meneroka 'tinggalan' pangsapuri, perpustakaan, ruang permainan serta studio yang ditenggelami air.


Lapor USA Today, Deep Dive Dubai mempunyai kota di bawah air dengan kemudahan lengkap seperti bangku, lampu jalan dan tingkap untuk mempamer barangan jualan. Terdapat juga pangsapuri yang lengkap dengan bilik tidur, ruang makan dan garaj yang lengkap dengan kereta dan motosikal.


Menurut Diver Net, Deep Dive Dubai akan dibuka kepada semua dengan usia minima 10 tahun. Pun begitu, penyelam perlu mempunyai sijil menyelam yang dikeluarkan oleh Persatuan Tenaga Pengajar Selam Profesional (PADI).





EmoticonEmoticon