Memaparkan catatan dengan label Lubang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Lubang. Papar semua catatan

Sabtu, 31 Disember 2022

200 kenderaan terlibat dalam kemalangan di Jambatan Zhengxin

200 kenderaan terlibat dalam kemalangan di Jambatan Zhengxin


Seorang maut selepas lebih 200 kenderaan terlibat dalam kemalangan besar di sebuah jambatan di bandar Zhengzhou di China akibat kabus tebal, lapor akhbar Mail Online pada 28 Disember 2022.


Puluhan kereta dan trak dilihat remuk dan terhimpit di Jambatan Zhengxin Huanghe dalam video yang dimuat naik di media sosial, sementara sebuah kereta dilihat rosak teruk akibat dilanggar bertubi-tubi dalam gambar yang diambil dari rakaman saluran CCTV.


"Keadaannya terlalu menakutkan. Penuh dengan orang di sini, saya tidak fikir kita boleh turun dari jambatan itu," kata seorang daripada mangsa dalam klip video berkenaan.



Menurut penyelamat dan saluran CCTV, ramai yang cedera akibat tersepit di dalam kenderaan dan pihak bomba terpaksa menghantar lebih 11 trak bomba dan 66 anggota penyelamat untuk membantu mangsa yang terperangkap.


Perkhidmatan meteorologi berkata, jarak penglihatan di banyak kawasan kurang daripada 500 meter pagi semalam dan turun sehingga 200 meter pada masa-masa tertentu.


CCTV melaporkan, kemalangan ngeri itu melibatkan kereta dari kedua-dua arah yang melalui jambatan lintasan utama Sungai Kuning.


Polis dilaporkan terpaksa menutup jambatan itu kepada semua lalu lintas selepas insiden kemalangan itu. - Sumber Mail Online.


Gambar ini diambil pada 28 Disember 2022 menunjukkan perlanggaran melibatkan banyak kenderaan di jambatan Zhengxin Huanghe di Zhengzhou, wilayah Henan tengah China. - Foto AFP.

Ahad, 2 Oktober 2022

Lebih 2,600 lubang benam muncul secara tiba-tiba di Turki resahkan penduduk

Lebih 2,600 lubang benam muncul secara tiba-tiba di Turki resahkan penduduk


Sebanyak 16 lubang benam gergasi lagi ditemukan di sebuah wilayah di Turki dalam tempoh beberapa bulan sahaja selepas kemarau mengakibatkan runtuhan kuari batu kapur, lapor akhbar Daily Mail pada 30 September 2022.


Punca kewujudan lubang benam di wilayah Turki itu tidak dapat dipastikan namun ia dikatakan disebabkan kemarau berpanjangan yang mendorong petani menggunakan air bawah tanah sebagai sumber tanaman.


Tindakan itu difahamkan menimbulkan rekahan lubang-lubang kecil dan akhirnya menjadi semakin serius. Beberapa gambar menunjukkan lubang besar terbentuk di sebuah kawasan ladang di Lembah Konya dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.


Pakar Universiti Teknikal Konya (KTUN), Fetullah Arık berkata, ketika ini terdapat lebih 2,600 lubang benam di Dataran Konya. Beliau juga memberi amaran mengenai penggunaan air bawah tanah yang tidak terkawal. 



"Meskipun dilanda salji lebat tahun lalu namun tiada peningkatan besar dalam air bawah tanah. Struktur tanah boleh larut apabila ia terkena air dan meliputi kawasan luas di seluruh lembangan," katanya kepada Hurriyet Daily News.      


Tambah Arik, lubang benam akan tetap muncul walaupun tiada gangguan berlaku, dan bilangan lubang benam semakin meningkat hampir setiap hari di daerah Cihanbeyli, Yunak, Kulu, Sarayönü dan Kadınhanı.


Ia diperiksa oleh pakar dari Jabatan Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) dan KTUN. Berdasarkan kajian, lubang benam kini ditemukan di tempat-tempat lain seperti kawasan perumahan, pertanian dan perindustrian yang mencetuskan lebih banyak risiko.


Lubang benam merupakan lekukan dalam tanah yang tidak mempunyai saliran permukaan luaran semula jadi. Apabila hujan, semua air kekal di dalam dan biasanya mengalir ke bawah permukaan.


Mendapan paling kerap berlaku di 'muka bumi karst' di mana batu di bawah permukaan tanah secara semula jadi dibubarkan oleh air bawah tanah yang beredar melaluinya. Batuan yang boleh larut termasuk dasar garam dan kubah, gipsum, batu kapur dan batu karbonat yang lain.


Seorang petani, Kadir Gümüşsoy berkata bahawa lubang benam itu menakutkan dan dia menjalankan pengeluaran pertanian dengan sumber air bawah tanah di rantau ini.


"Kami datang ke lapangan (ladang) dengan cemas kerana kami tidak tahu bila ia akan berlaku. Kami menarik air dari dalam perigi dengan menanam tumbuhan yang menggunakan lebih sedikit air dengan insentif," katanya. - Sumber Daily Mail.


Seorang pakar, Fetullah Arık dari Universiti Teknikal Konya (KTÜN), berkata kini terdapat lebih 2,600 lubang benam di Dataran Konya dan memberi amaran terhadap penggunaan air bawah tanah yang tidak terkawal. - Foto Agensi Anadolu.

Orang ramai menggunakan air bawah tanah dengan cara yang sengit dan tidak terkawal untuk menghasilkan tumbuhan yang menggunakan sejumlah besar air. (Gambar) pemandangan dari udara lubang benam di Lembah Konya. - Foto Agensi Anadolu.

Bilangan lubang benam semakin meningkat setiap hari di daerah Cihanbeyli, Yunak, Kulu, Sarayönü dan Kad¿nhan¿. Ini diperiksa oleh pakar dari Disaster and Emergency Management Presidency (AFAD) dan KTÜN. - Foto Agensi Anadolu.

Gambar menunjukkan lubang benam terbentuk di sebuah kawasan ladang di Lembah Konya. - Foto Agensi Anadolu.

Khamis, 4 Ogos 2022

Lubang benam bersaiz 'gergasi' secara misteri muncul di Chile gemparkan penduduk

Lubang benam bersaiz 'gergasi' secara misteri muncul di Chile gemparkan penduduk


Sebuah lubang benam gergasi berdiameter kira-kira 25 meter muncul di kawasan perlombongan di Chile. Penduduk tempatan mendakwa lubang tersebut semakin membesar, sekali gus mendesak pihak berkuasa untuk menyiasatnya dengan lebih terperinci, lapor akhbar Daily Mail.


Menurut laporan media, pekerja sebuah syarikat Kanada, Lundin Mining yang mengawal tapak perlombongan berhampiran Santiago menemui lubang benam itu apabila kembali bekerja selepas hujung minggu.


Datuk Bandar, Cristobal Zuniga berkata bahawa pasukannya telah menerima aduan mengenai kemunculan lubang itu pada Ahad, 30 Julai lalu di wilayah Atacama, berhampiran lombong tembaga Alcaparros.


"Ia masih aktif dan saiznya makin membesar. Itu adalah penemuan yang tidak pernah terjadi dalam komuniti kami sebelum ini," katanya.


Tapak itu pada ketika ini sedang disiasat oleh perkhidmatan geologi dan perlombongan negara, Sernageomin dan beberapa pihak berkuasa berkaitan.


"Terdapat jarak yang agak jauh pada kedalaman kira-kira 200 meter ke bawah. Kami tidak mengesan sebarang bahan di bawah sana tetapi melihat kehadiran air yang banyak," kata pengarah Sernageomin, David Montenegro.


Tapak itu ditutup untuk siasatan lanjut dan dalam kenyataan mereka, Lundin Mining berkata, tiada pekerja yang hadir cedera atau terjejas oleh lubang itu.


"Setelah dikesan, kawasan itu segera dikosongkan dan pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan telah pun diberitahu mengenai perkara itu. Tiada sebarang kecederaan melibatkan kakitangan, peralatan atau infrastruktur telah dilaporkan.


"Rumah terdekat adalah lebih 600 meter dari lokasi lubang tersebut, manakala mana-mana kawasan berpenduduk atau perkhidmatan awam berada hampir satu kilometer dari zon terjejas," kata kenyataan rasmi syarikat itu. - Sumber Daily Mail.


Datuk Bandar tempatan, Cristobal Zuniga pada hari Ahad, 30 Julai 2022 mengesahkan kemunculan lubang benam itu, dan bercakap mengenai kebimbangan penduduk berhampiran bahawa perlombongan yang berlebihan di kawasan itu boleh membawa akibat bencana. - Foto Reuters.

"Terdapat jarak yang agak jauh pada kedalaman kira-kira 200 meter ke bawah. Kami tidak mengesan sebarang bahan di bawah sana tetapi melihat kehadiran air yang banyak," kata seorang pegawai Chile. - Foto News Flash.

Lubang selebar 25 meter itu secara misteri muncul pada hari Sabtu di komune Tierra Amarilla di Wilayah Atacama, berhampiran dengan lombong gergasi Alcaparros, dan dianggap sedalam lebih daripada 200 meter. - Foto Reuters.

Media Chile mengeluarkan imej udara tentang fenomena aneh yang berlaku di tanah yang dikendalikan oleh Canadian Lundin Mining copper mine, kira-kira 413 batu di utara ibu kota Santiago. - Foto News Flash.

Sabtu, 1 Januari 2022

Lelaki Ini Bina Bangunan Pencakar Bumi Agar Selamat dari 'Malapetaka'

Lelaki Ini Bina Bangunan Pencakar Bumi Agar Selamat dari 'Malapetaka'


AMERIKA SYARIKAT - Seorang bekas kontraktor kerajaan, Larry Hall membina sebuah bangunan pencakar Bumi bernama Survival Condo, supaya penduduk di bangunan itu terselamat dari segala ancaman atau malapetaka, lapor akhbar The Sun pada 14 Disember 2021.


Berbeza dengan bangunan pencakar langit yang menjulang tinggi ke langit, Survival Condo dibuat dengan menggunakan bunker silo pelancar peluru berpandu lama yang telah dinyahaktif terletak di Central Kansas, Amerika Syarikat.


Larry berkata, dia membeli bunker silo milik Atlas F. Intercontinental Ballistic Missile Silo itu dengan harga RM1.2 juta pada tahun 2008, kemudian diubah menjadi bangunan yang tertanam ke dalam perut Bumi. Bagai mencakar kerak Bumi.


Menurut Larry, dia telah membelanjakan kira-kira lebih RM84 juta untuk menukarnya menjadi sebuah rumah bawah tanah setinggi 15 tingkat, di mana mampu memuatkan seramai 75 orang penghuni, dan mereka boleh bertahan hidup di dalamnya untuk tempoh lima tahun.


Sebahagian daripada projek pemulihannya, Larry memasang dinding konkrit fleksibel khas setebal sembilan kaki yang boleh membengkok beberapa inci tanpa pecah di bawah tekanan gelombang kejutan 3,218 kilometer sejam sekiranya berlaku serangan termonuklear.



"Ketahanan Survival Condo sangat mengagumkan," kata Larry, "selain itu kami mempunyai semua barangan berteknologi tinggi seperti sistem sokongan hayat. Kami mempunyai lima sistem kuasa yang berbeza. Kami mempunyai turbin angin yang boleh menjanakan seluruh kemudahan.


"Kami mempunyai dua penjana diesel, setiap satunya boleh menjanakan seluruh kemudahan yang disambungkan ke grid dan kami mempunyai sistem sandaran bateri. Kami juga mempunyai simpanan diesel yang mencukupi untuk menjalankannya selama dua tahun setengah," katanya kepada The Sun.


Tambah Larry, tujuan utama Survival Condo dibangunkan adalah untuk melindungi penghuni daripada pelbagai ancaman yang berpotensi untuk memusnahkan dunia seperti perang nuklear, pandemik, serangan meteor, gempa bumi dan rusuhan.


Difahamkan, Survival Condo dilengkapi dengan pelbagai fasiliti mewah seperti kolam renang, spa dan sauna mewah, pawagam, gimnasium, dinding rekreasi rock climbing, golf, taman anjing dan sebagainya.



Selain itu, ia juga dilengkapi dengan pasar raya, pusat perubatan serta makmal akuaponik (aquaponics lab) sebagai ladang khas untuk penghuni menanam sendiri buah-buahan dan sayur-sayuran mereka. Bilik terdiri daripada sut gaya hotel satu bilik hingga ke kondo dan penthouse berbilang tingkat.


Harga bagi setiap bilik yang dihuni adalah bernilai kira-kira RM2.1 juta. Bagi kediaman atau penthouse paling mewah, tanda harganya ialah RM18.7 juta. Harga juga boleh menjadi lebih tinggi untuk bakal penduduk yang ingin menyesuaikan kediaman mereka.


Sebagai contoh, seorang pelanggan memilih untuk membangunkan kemudahan peribadi seperti gereja, masjid serta lapangan helikopter bawah tanah tersembunyi yang disambungkan melalui terowong ke unit yang mereka diami.


Survival Condo juga mempunyai sumber air bersih yang didapati daripada sistem osmosis songsang (reverse osmosis) sebanyak 10,000 gelen setiap hari. Larry juga melantik psikologis untuk berkhidmat di situ bagi menjamin kebajikan serta kesihatan psikologi mereka.


"Kami ambil berat kesihatan mental para penduduk, ia adalah keperluan, kami melantik psikologis yang bekerja dengan projek biosfera dengan Arizona State University dan dia juga merupakan seorang konsultan bagi pihak NASA serta European Space Agency," katanya.


Menurut Larry, permintaan untuk unit di Survival Condo sentiasa meningkat setiap kali bencana berlaku. Termasuk wabak Covid-19 yang masih berlarutan sehingga kini. "Kesedaran mereka untuk mendapatkan tempat tinggal yang selamat adalah sangat tinggi selepas Covid-19," jelasnya.


Larry Hall (foto) membangunkan Survival Condo selepas membeli bunker silo tersebut pada 2008. - Foto AFP/Getty.

Pengawal bersenjata melindungi pintu masuk ke Survival Condo. - Foto SurvivalCondo.com.

Survival Condo sedalam sejauh 210 kaki ke dalam kerak bumi dan memiliki 15 tingkat. - Foto Mega.

Survival Condo dilengkap pusat gym jauh di dalam tanah. - Foto SurvivalCondo.com.

Terdapat juga panggung wayang untuk dinikmati oleh penduduk. - Foto SurvivalCondo.com.

Penduduk boleh mengasah kemahiran menembak mereka di lapangan yang disediakan. - Foto SurvivalCondo.com.

Ia mempunyai stok makanan dan minuman yang mencukupi untuk bertahan sekurang-kurangnya lima tahun. - Foto Survival Condo Project.

Khamis, 15 Julai 2021

Dubai buka kolam renang terdalam di dunia, penyelam boleh menjelajah 'kota terbengkalai'

Dubai buka kolam renang terdalam di dunia, penyelam boleh menjelajah 'kota terbengkalai'


Dubai terkenal dengan bangunan pencakar langit tertinggi di dunia iaitu Burj Khalifa, serta hotel-hotel mewah dan pusat membeli-belah terbesar di dunia semuanya berada di sini.


Terkini kota mega itu sekali lagi menjadi perhatian dunia apabila baharu saja membuka kolam renang paling dalam di dunia, dan bakal menerima kunjungan pelancong dalam masa terdekat.


Kolam sedalam 60 meter itu bernama Deep Dive Dubai yang terletak di Nad El Sheba I, Dubai, Emiriah Arab Bersatu. Lokasinya terletak dalam 25 minit dari Bandar Antarabangsa Dubai.


Menurut lapor CNN, kolam renang itu diklasifikasikan sebagai terdalam di dunia oleh Guinness World Records pada 22 Jun 2021 lalu, menewaskan pemegang rekod dunia sebelum ini iaitu Deepspot di Poland sedalam 45 meter.



Deep Dive Dubai menawarkan sesi menyelam di dalam air bersuhu 30 darjah celcius serta menjelajah sebuah kota terbengkalai yang tenggelam. Sebanyak 56 kamera dipasang di sekitar kolam renang bagi memastikan keselamatan penyelam.


Kolam renang itu turut memiliki ruang hiperbarik dengan kapasiti 12 orang ketika kecemasan. Pelbagai aktiviti lain dapat dilakukan di tempat tumpuan pelancongan ini seperti Scuba Diving dan Freediving.


Buat masa ini kemudahan menyelam itu hanya dibuka untuk penyelam yang mendapat undangan. Putera Mahkota Dubai, Sheikh Hamdan bin Mohammed Al Maktoum, seorang penyelam berpengalaman menjadi antara pengunjung pertama dan berkongsi pengalamannya di media sosial.



Tarikan paling utama di Deep Dive Dubai semestinya kota di bawah air yang bakal membawa penyelam meneroka 'tinggalan' pangsapuri, perpustakaan, ruang permainan serta studio yang ditenggelami air.


Lapor USA Today, Deep Dive Dubai mempunyai kota di bawah air dengan kemudahan lengkap seperti bangku, lampu jalan dan tingkap untuk mempamer barangan jualan. Terdapat juga pangsapuri yang lengkap dengan bilik tidur, ruang makan dan garaj yang lengkap dengan kereta dan motosikal.


Menurut Diver Net, Deep Dive Dubai akan dibuka kepada semua dengan usia minima 10 tahun. Pun begitu, penyelam perlu mempunyai sijil menyelam yang dikeluarkan oleh Persatuan Tenaga Pengajar Selam Profesional (PADI).




Rabu, 23 Jun 2021

Misteri Kemunculan Telaga Neraka Digelar Penjara Jin di Yaman

Misteri Kemunculan Telaga Neraka Digelar Penjara Jin di Yaman


Kemunculan lubang besar di sebuah gurun di wilayah Al-Mahra adalah fenomena semula jadi yang masih diselubungi misteri. Lubang itu dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Telaga Barhout atau Telaga Neraka.


Lubang besar yang terletak di sebuah gurun berhampiran sempadan Yaman-Oman ini berukuran lebar 30 meter dan kedalamannya dianggarkan sehingga 250 meter. Menurut cerita penduduk tempatan mengatakan, lubang itu dicipta sebagai penjara golongan syaitan dan jin.


Yang jelas, reputasi itu disokong dengan bau toksik dan busuk yang keluar dari lubang berkenaan. Manakala satu versi lagi mengatakan ia merupakan lubang neraka. Bau yang menyengat juga membuat orang tidak dapat meneroka lebih dalam dan tidak mengetahui kandungan dasar lubang tersebut.



Ketua Pengarah Badan Geologi dan Sumber Mineral di Yaman, Salah Babhair, mengakui bahawa pihaknya tidak tahu apa yang ada di dasar Telaga Barhout, kerana lubang itu sangat dalam dan hanya ada sedikit oksigen dan tidak ada pengudaraan.


"Kami telah mengunjungi kawasan itu dan masuk ke dalam lubang, mencapai lebih dari 50 hingga 60 meter ke bawah. Kami melihat sesuatu yang aneh di dalamnya, kami juga mencium sesuatu yang aneh, ini adalah keadaan yang misteri," katanya.


Beliau percaya lubang tersebut berusia jutaan tahun dan memerlukan lebih banyak kajian selanjutnya, namun sukar mendapatkan kerjasama dengan penduduk sekitar. Selain tidak berkunjung di lubang tersebut, penduduk tempatan juga tidak bercakap tentang hal berkenaan kerana bimbang boleh mendatangkan malang kepada mereka.


Selama berabad-abad, khabar angin tersebar mengenai makhluk ghaib atau jin yang tinggal di situ. Khabar angin lain mengatakan, lubang itu dapat menyedut apa sahaja yang berada berdekatan. Sesiapa yang berani mendekati atau bercakap mengenainya dikatakan tidak akan bernasib baik.



Malah, ada yang mengatakan kehidupan di mana Telaga Neraka berada turut terancam. Ini mungkin tidak ada kaitan dengannya tetapi, Yaman, mengalami nasib buruk. Negara ini dilanda perang saudara sejak 2014.


Tentera kerajaan bertempur dengan pemberontak Houthi. Ia semakin parah apabila penglibatan orang luar menjadikan konflik menjadi lebih rumit. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengatakan Yaman, mengalami krisis kemanusiaan terburuk di dunia.


Perang telah mengorbankan puluhan ribu orang, memaksa berjuta-juta lagi untuk melarikan diri dan dua pertiga daripada 30 juta penduduk negara itu bergantung pada bantuan.


Pemandangan udara yang diambil pada 6 Jun 2021 menunjukkan Telaga Barhout atau Telaga Neraka di gurun wilayah Al-Mahra, Yaman. - Foto AFP.

Pemandangan udara yang diambil pada 6 Jun 2021 menunjukkan Telaga Barhout atau Telaga Neraka di gurun wilayah Al-Mahra, Yaman. - Foto AFP.

Pemandangan udara yang diambil pada 6 Jun 2021 menunjukkan Telaga Barhout atau Telaga Neraka di gurun wilayah Al-Mahra, Yaman. - Foto AFP.

Selasa, 8 Jun 2021

Lubang Misteri Muncul Setiap Musim Panas Menyedut Air Tasik Hingga Kering

Lubang Misteri Muncul Setiap Musim Panas Menyedut Air Tasik Hingga Kering


Terdapat sebuah tasik dikenali 'Lost Lake' di Oregon, Amerika Syarikat yang menyimpan misteri tersendiri. Pada musim gugur dan musim sejuk, tasik cetek yang terletak berhampiran jalan raya ini seperti kebanyakan tasik lain yang aman, bersih dan tenang.


Namun, setiap kali tiba musim panas, pengguna jalanraya yang melalui tasik ini tidak akan menemui perairan itu. Sebahagian tasik seluas 0.34 kilometer menghilang dan berubah menjadi padang rumput. Maka tidak hairanlah mengapa tasik ini diberi nama Lost Lake.


Sebuah video merakam momentum yang pelik, ketika air tasik Lost Lake disedut ke dalam lubang dengan diameter kira-kira 2 meter sehingga sebahagian dasar tasik menjadi kering. Penduduk tempatan di Oregon mengatakan, fenomena itu telah berlaku sejak sekian lama.



Ahli geologi menyifatkan fenomena itu adalah disebabkan landskap gunung berapi. Mereka percaya lava yang mengalir berhampiran permukaan tasik mengeras menjadi tiub lava. Bila tiba musim panas lava itu cair menyebabkan air tasik mengalir ke bawah.


McHugh Williamette dari National Forest bekata, pada akhir musim luruh, jumlah air di tasik melebihi kemampuan lubang yang ada di tasik itu untuk mengalirkan air, walaupun tiub lava sudah cair kerana hujan dan salji sering turun.


Apabila musim hujan berakhir, tasik sedalam 2.7 meter kehilangan sumber airnya. Dan air kemudian hilang meresap ke bawah tasik tersebut, kitaran ini berlaku setiap tahun.


McHugh mendakwa, air tasik mungkin meresap ke bawah permukaan tanah yang poros, masuk semula ke akuifer besar, seterusnya air yang sama muncul menjadi mata air.


Penduduk tempatan pernah berhasrat menutup lubang tersebut. Namun, niat itu terpaksa dilupakan ketika diberitahu, ia mungkin boleh menyebabkan penempatan penduduk dan pusat perniagaan berhampiran ditenggelami air.



Kata McHugh, Lost Lake adalah batu gunung berapi yang terbentuk 12,000 tahun yang lalu. Semasa batu muda terbentuk, batu itu dipenuhi dengan gelembung gas yang meninggalkan liang-liang ketika gas menguap ke udara.


Walau bagaimanapun, orang tidak selalu menghargai tiub lava. "Di Lost Lake, beberapa orang memasang lubang saliran dengan tidak sengaja dan juga membuang sampah ke tasik selama bertahun-tahun," kata McHugh.


"Kami tidak mahu mengganggu proses semula jadi, dan kami tidak menggalakkan usaha menutup lubang itu, lebih-lebih lagi, lubang tasik cenderung melimpah dan membanjiri lebuh raya berdekatan," tambah McHugh.


Suasana di Lost Lake pengunjung datang beriadah ketika air memenuhi tasik ini. - Foto MCEDD.

Sebahagian besar air tasik hilang melalui lubang ini setiap musim panas dan kembali pada musim sejuk. - Foto David Patton, Democrat-Herald.

Terry McDermott mengambil gambar di lubang di Lost Lake. - Foto Michael Bendixen.

Brent McGregor mengintip lubang besar kedua di dasar Lost Lake, terungkap pada akhir musim setelah air surut. - Foto Brent McGregor.

Khamis, 3 Jun 2021

Tiba-tiba muncul lubang raksasa 'sinkhole' di Mexico, ia seakan 'hidup' menelan daratan

Tiba-tiba muncul lubang raksasa 'sinkhole' di Mexico, ia seakan 'hidup' menelan daratan


Satu lubang raksasa 'sinkhole' secara tiba-tiba muncul di kawasan luar bandar di Mexico tengah telah mengemparkan penduduk. Lebih merisaukan lubang itu seakan 'hidup' apabila terus membesar menelan daratan sekaligus mengancam kediaman mereka.


Pada hari Sabtu, 29 Mei 2021, keluarga Sanchez mendengar bunyi dentuman kuat yang awalnya mereka anggap sambaran kilat. Namun, mereka segera mengetahui bahawa berlaku tanah runtuh hanya beberapa meter dari rumah mereka yang terletak di sebuah lapangan di Santa Maria Zacatepec, Puebla.


Pada mulanya lubang ini hanya berukuran 5 meter, kemudian membesar selebar kira-kira 30 meter pada 30 Mei 2021. Lubang itu dengan cepat membesar menjadi 60 meter pada hari isnin, 31 Mei 2021, dan pada hari selasa ia terus membesar sekitar hingga 80 meter, kata pihak berkuasa, semalam.


Lubang itu kini menghampiri kediaman keluarga Sanchez, yang bimbang mereka akan kehilangan tempat tinggal. "Kami tidak mempunyai apa-apa, kami bukan dari sini, kami tidak mempunyai saudara-mara, kami bersendirian," kata Heriberto Sanchez, yang berasal dari negara tenggara bahagian Veracruz.



Pihak berkuasa Negeri dan Persekutuan sedang menyiasat punca berlakunya lubang tersebut. Mereka juga mencari jalan penyelesaian untuk melindungi penduduk tempatan. Penduduk bimbang kerana 'lubang raksasa' itu semakin membesar dan mengancam kawasan perumahan mereka.


Gabenor Santa Maria Zacatepec, Miguel Babosa Huerta mengatakan, lubang itu mempunyai kedalaman kira-kira 20 meter. Dia mengatakan bahawa keluarga yang tinggal di dekat lubang itu telah dipindahkan.


Setakat ini, belum ada laporan mengenai penduduk yang cedera. Bagaimanapun Gabenor memberi amaran kepada penduduk setempat agar menjauhkan diri dari lubang tersebut. Sinkhole adalah lubang di tanah yang disebabkan oleh hakisan dan saliran air.


Ukuran diameter sinkhole boleh beralih dari beberapa meter hingga sangat besar, yang mampu merobohkan seluruh bangunan. Fenomena sinkhole adalah fenomena semula jadi, tetapi proses pembentukannya kadang-kadang dikaitkan dengan campur tangan manusia. Sumber: medcom.id



Selasa, 1 Jun 2021

Kisah Disebalik Penggalian Lubang Terdalam Dunia, penyelidik Jumpa 'Pintu Neraka' Penggerudian Dihentikan Serta Merta

Kisah Disebalik Penggalian Lubang Terdalam Dunia, penyelidik Jumpa 'Pintu Neraka' Penggerudian Dihentikan Serta Merta


Sejak zaman dahulu lagi, manusia mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi tentang planet ini. Rasa ingin tahu ini membuat manusia melakukan banyak eksperimen untuk membuktikan teori mengenai bumi dan alam semesta. Sebahagian teori itu terbukti benar, namun ada juga hanya gambaran belaka.


Untuk mengetahui kebenaran teori ini, manusia melakukan perjalanan ke angkasa lepas dan menyelam jauh ke dalam lautan. Namun, semua itu masih tidak memenuhi rasa ingin tahu manusia tentang alam semesta. Mereka mula meneroka apa yang ada di bawah permukaan tanah. Sekitar awal tahun 1970-an, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet memulakan perlumbaan menjelajahi pusat bumi.


Sehinggalah pihak Soviet berjaya menggali lubang sedalam lebih 12 kilometer atau lebih tepat 12,262 meter selepas 24 tahun melakukan penggerudian. Lubang yang diberi nama Kola Superdeep Borehole, kini merupakan lubang terdalam buatan manusia terletak di Rusia, ia lebih dalam daripada titik terdalam di lautan.



Kisah ini bermula pada tahun 1960-an ketika Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet terlibat dalam perang dingin dan bersaing dengan teknologi. Walaupun perlumbaan ke angkasa lepas lebih diserlahkan, kedua-dua negara juga bersaing untuk menggali lubang terdalam di dunia. Di Amerika Syarikat, projek penggerudian sedang dilakukan di pantai Pasifik Mexico dengan nama Project Mohole.


Buat pertama kalinya di dunia, pasukan penyelidik AS berjaya menembusi laut sedalam 3,600 meter dan terus menggerudi hingga 183 meter di bawah dasar laut. Kejayaan ini membuktikan bahawa penggerudian minyak di lautan dapat dilakukan. Walau bagaimanapun, pembiayaan untuk projek itu dihentikan pada tahun 1966 tanpa alasan yang jelas.


Sementara itu, penyelidik Soviet yang mendengar mengenai Project Mohole di AS tidak mahu ketinggalan zaman. Bermula dari tahun 24 Mei 1970 hingga 1994, mereka melakukan penggerudian di semenanjung Kola, yang terletak di hujung utara Rusia dan membuat lubang terdalam di dunia yang disebut Kola Superdeep Borehole.


Dari lubang itu, para penyelidik juga mempelajari perkara menarik mengenai Bumi seperti tidak adanya peralihan dari granit ke basalt dari tiga hingga enam kilometer di bawah permukaan bumi. Sebelumnya, saintis geologi yang menggunakan gelombang seismik untuk menganalisis kerak bumi mengesyaki jenis batu baru pada kedalaman itu.


Walau bagaimanapun, penyelidik projek Kola hanya menemui lebih banyak granit pada kedalaman tiga hingga enam kilometer. Nampaknya, perubahan yang dikesan sebelumnya bukanlah perubahan pada jenis batuan, tetapi perubahan susunan kimia dan mineral dalam granit.



Lebih mengejutkan, para penyelidik juga menemui air di Kola Superdeep Borehole. Tidak seperti air bawah tanah, air ini berasal dari atom hidrogen dan oksigen yang dilepaskan oleh granit di bawah tekanan yang luar biasa.

Bryan Nelson dari Mother Nature Network 31 Mei 2014 melaporkan, penemuan projek yang paling luar biasa adalah fosil plankton mikrokopik berusia 2 bilion tahun di batu yang terletak enam kilometer di bawah tanah, dan mikro fosil berasal dari 24 spesies yang terbungkus dalam sebatian organik dan dapat menahan tekanan dan suhu yang melampau di bawah tanah.

Selepas penghentian penggerudian pada kedalaman 12.262 meter pada tahun 1994 banyak kabar angin mula tersebar, kononnya ada jeritan-jeritan aneh yang didengari oleh pekerja. Mereka percaya bahawa suara itu adalah jeritan manusia yang diseksa di neraka, namun, berita ini tidak benar.

Namun, misteri terakhir yang ditemui oleh penyelidik Kola Superdeep Borehole yang menyebabkan projek itu dihentikan adalah, perubahan suhu tiba-tiba meningkat pada titik terdalam tersebut, suhu mencapai 180 Celsius. Suhu melebihi anggaran penyelidik dan merosakkan mesin penggerudian.

Besi yang digunakan menutup lubang paling dalam di dunia yang pernah digali oleh manusia.

Alat digunakan dalam projek penggerudian Kola Superdeep Borehole.

Gambar dalam lubang Kola Superdeep Borehole sebelum ditutup.