Sabtu, 31 Disember 2022

200 kenderaan terlibat dalam kemalangan di Jambatan Zhengxin


Seorang maut selepas lebih 200 kenderaan terlibat dalam kemalangan besar di sebuah jambatan di bandar Zhengzhou di China akibat kabus tebal, lapor akhbar Mail Online pada 28 Disember 2022.


Puluhan kereta dan trak dilihat remuk dan terhimpit di Jambatan Zhengxin Huanghe dalam video yang dimuat naik di media sosial, sementara sebuah kereta dilihat rosak teruk akibat dilanggar bertubi-tubi dalam gambar yang diambil dari rakaman saluran CCTV.


"Keadaannya terlalu menakutkan. Penuh dengan orang di sini, saya tidak fikir kita boleh turun dari jambatan itu," kata seorang daripada mangsa dalam klip video berkenaan.



Menurut penyelamat dan saluran CCTV, ramai yang cedera akibat tersepit di dalam kenderaan dan pihak bomba terpaksa menghantar lebih 11 trak bomba dan 66 anggota penyelamat untuk membantu mangsa yang terperangkap.


Perkhidmatan meteorologi berkata, jarak penglihatan di banyak kawasan kurang daripada 500 meter pagi semalam dan turun sehingga 200 meter pada masa-masa tertentu.


CCTV melaporkan, kemalangan ngeri itu melibatkan kereta dari kedua-dua arah yang melalui jambatan lintasan utama Sungai Kuning.


Polis dilaporkan terpaksa menutup jambatan itu kepada semua lalu lintas selepas insiden kemalangan itu. - Sumber Mail Online.


Gambar ini diambil pada 28 Disember 2022 menunjukkan perlanggaran melibatkan banyak kenderaan di jambatan Zhengxin Huanghe di Zhengzhou, wilayah Henan tengah China. - Foto AFP.


EmoticonEmoticon