Khamis, 29 Disember 2022

Lelaki beristeri 12, mempunyai 102 anak 'serik' tambah cahaya mata kerana berhadapan masalah ekonomi


Seorang lelaki di Uganda yang mempunyai 102 orang anak bertekad untuk tidak lagi mendapat cahaya mata kerana dia sedang bergelut untuk mendidik anak-anaknya yang semakin membesar, lapor akhbar Mirror UK pada 27 Disember 2022.


Lelaki tersebut, Musa Hasahya, 67, yang mempunyai 12 isteri kini mengarahkan mereka untuk mengambil pil perancang keluarga.


"Saya tidak boleh bertolak ansur lagi untuk (isteri-isterinya) melahirkan anak kerana sumber yang terhad. Atas dasar itu, saya telah menasihati semua isteri saya untuk membuat perancangan keluarga.


"Saya juga tidak menggalakkan orang ramai yang ingin berkahwin lebih daripada empat isteri supaya tidak berbuat demikian kerana situasi (ekonomi) yang tidak baik," katanya.


Musa yang juga mempunyai 568 cucu, mempunyai rumah 12 bilik di Bugisa. Dia berkata, walaupun boleh membezakan anak-anak dan cucu-cucunya, dia tidak mengenali semua mereka dengan panggilan nama.



Musa berkahwin dengan isteri pertamanya, Hanifa pada tahun 1971 ketika usia 16 tahun selepas berhenti sekolah. Dia menjadi bapa buat kali pertama dua tahun kemudian apabila isterinya melahirkan seorang anak perempuan.


Sebagai pengerusi kampung dan ahli perniagaan, Musa berkata, dia memutuskan untuk menambah bilangan keluarga kerana mempunyai wang dan tanah.


"Oleh kerana saya memperoleh sesuatu, saya memutuskan untuk mengembangkan keluarga saya dengan mengahwini lebih ramai wanita.


"Saya memastikan bahawa cangkul disediakan untuk setiap mereka untuk mengusahakan tanah dan menghasilkan makanan yang mencukupi untuk menyara keluarga kerana tanahnya subur," ujarnya.


Tetapi selepas berdekad-dekad kelahiran dan perkahwinan, Musa kini meminta bantuan kerajaan kerana dia sedang bergelut untuk membiayai pendidikan anak-anaknya.


Bercakap kepada The Sun, petani itu berkata: "Pendapatan saya semakin rendah sejak beberapa tahun berikutan kerana peningkatan kos sara hidup dan keluarga saya semakin besar." - Sumber Mirror UK.


Musa mempunyai 568 cucu selain 102 anak dan tinggal di Bugisa, Uganda. - Foto Henry Wasswa/Avalon.


EmoticonEmoticon