Sabtu, 1 Januari 2022

Lelaki Ini Bina Bangunan Pencakar Bumi Agar Selamat dari 'Malapetaka'


AMERIKA SYARIKAT - Seorang bekas kontraktor kerajaan, Larry Hall membina sebuah bangunan pencakar Bumi bernama Survival Condo, supaya penduduk di bangunan itu terselamat dari segala ancaman atau malapetaka, lapor akhbar The Sun pada 14 Disember 2021.


Berbeza dengan bangunan pencakar langit yang menjulang tinggi ke langit, Survival Condo dibuat dengan menggunakan bunker silo pelancar peluru berpandu lama yang telah dinyahaktif terletak di Central Kansas, Amerika Syarikat.


Larry berkata, dia membeli bunker silo milik Atlas F. Intercontinental Ballistic Missile Silo itu dengan harga RM1.2 juta pada tahun 2008, kemudian diubah menjadi bangunan yang tertanam ke dalam perut Bumi. Bagai mencakar kerak Bumi.


Menurut Larry, dia telah membelanjakan kira-kira lebih RM84 juta untuk menukarnya menjadi sebuah rumah bawah tanah setinggi 15 tingkat, di mana mampu memuatkan seramai 75 orang penghuni, dan mereka boleh bertahan hidup di dalamnya untuk tempoh lima tahun.


Sebahagian daripada projek pemulihannya, Larry memasang dinding konkrit fleksibel khas setebal sembilan kaki yang boleh membengkok beberapa inci tanpa pecah di bawah tekanan gelombang kejutan 3,218 kilometer sejam sekiranya berlaku serangan termonuklear.



"Ketahanan Survival Condo sangat mengagumkan," kata Larry, "selain itu kami mempunyai semua barangan berteknologi tinggi seperti sistem sokongan hayat. Kami mempunyai lima sistem kuasa yang berbeza. Kami mempunyai turbin angin yang boleh menjanakan seluruh kemudahan.


"Kami mempunyai dua penjana diesel, setiap satunya boleh menjanakan seluruh kemudahan yang disambungkan ke grid dan kami mempunyai sistem sandaran bateri. Kami juga mempunyai simpanan diesel yang mencukupi untuk menjalankannya selama dua tahun setengah," katanya kepada The Sun.


Tambah Larry, tujuan utama Survival Condo dibangunkan adalah untuk melindungi penghuni daripada pelbagai ancaman yang berpotensi untuk memusnahkan dunia seperti perang nuklear, pandemik, serangan meteor, gempa bumi dan rusuhan.


Difahamkan, Survival Condo dilengkapi dengan pelbagai fasiliti mewah seperti kolam renang, spa dan sauna mewah, pawagam, gimnasium, dinding rekreasi rock climbing, golf, taman anjing dan sebagainya.



Selain itu, ia juga dilengkapi dengan pasar raya, pusat perubatan serta makmal akuaponik (aquaponics lab) sebagai ladang khas untuk penghuni menanam sendiri buah-buahan dan sayur-sayuran mereka. Bilik terdiri daripada sut gaya hotel satu bilik hingga ke kondo dan penthouse berbilang tingkat.


Harga bagi setiap bilik yang dihuni adalah bernilai kira-kira RM2.1 juta. Bagi kediaman atau penthouse paling mewah, tanda harganya ialah RM18.7 juta. Harga juga boleh menjadi lebih tinggi untuk bakal penduduk yang ingin menyesuaikan kediaman mereka.


Sebagai contoh, seorang pelanggan memilih untuk membangunkan kemudahan peribadi seperti gereja, masjid serta lapangan helikopter bawah tanah tersembunyi yang disambungkan melalui terowong ke unit yang mereka diami.


Survival Condo juga mempunyai sumber air bersih yang didapati daripada sistem osmosis songsang (reverse osmosis) sebanyak 10,000 gelen setiap hari. Larry juga melantik psikologis untuk berkhidmat di situ bagi menjamin kebajikan serta kesihatan psikologi mereka.


"Kami ambil berat kesihatan mental para penduduk, ia adalah keperluan, kami melantik psikologis yang bekerja dengan projek biosfera dengan Arizona State University dan dia juga merupakan seorang konsultan bagi pihak NASA serta European Space Agency," katanya.


Menurut Larry, permintaan untuk unit di Survival Condo sentiasa meningkat setiap kali bencana berlaku. Termasuk wabak Covid-19 yang masih berlarutan sehingga kini. "Kesedaran mereka untuk mendapatkan tempat tinggal yang selamat adalah sangat tinggi selepas Covid-19," jelasnya.


Larry Hall (foto) membangunkan Survival Condo selepas membeli bunker silo tersebut pada 2008. - Foto AFP/Getty.

Pengawal bersenjata melindungi pintu masuk ke Survival Condo. - Foto SurvivalCondo.com.

Survival Condo sedalam sejauh 210 kaki ke dalam kerak bumi dan memiliki 15 tingkat. - Foto Mega.

Survival Condo dilengkap pusat gym jauh di dalam tanah. - Foto SurvivalCondo.com.

Terdapat juga panggung wayang untuk dinikmati oleh penduduk. - Foto SurvivalCondo.com.

Penduduk boleh mengasah kemahiran menembak mereka di lapangan yang disediakan. - Foto SurvivalCondo.com.

Ia mempunyai stok makanan dan minuman yang mencukupi untuk bertahan sekurang-kurangnya lima tahun. - Foto Survival Condo Project.

1 comments

Powerrrr.... 🤣🤣🤣🤣🤣👍✌️


EmoticonEmoticon