Sabtu, 1 Januari 2022

Kucing punca lebih 100 kebakaran rumah di Korea Selatan


Pemilik haiwan peliharaan di seluruh dunia diberi amaran agar memantau kucing peliharaan mereka, kerana semakan keselamatan baharu mendedahkan bahawa kucing bertanggungjawab terhadap lebih daripada 100 kebakaran rumah di Korea Selatan sejak tiga tahun lalu, lapor New York Post pada 31 Disember 2021.


Satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Bomba dan Bencana Metropolitan Seoul pada Khamis lalu, memaklumkan bahawa kucing telah menyebabkan sejumlah 107 buah rumah terbakar antara Januari 2019 dan November 2021, menurut laporan CNN.


Menurut jabatan itu, kucing-kucing tersebut dipercayai mencetuskan kebakaran dengan menghidupkan dapur elektrik. Haiwan itu boleh menghidupkan dapur elektrik dengan melompat pada butang sensitif sentuhan, seterusnya menyebabkan kebakaran apabila peralatan itu menjadi terlalu panas.


"Kebakaran berkaitan kucing terus berlaku baru-baru ini. Justeru, kami menasihatkan isi rumah yang mempunyai haiwan peliharaan supaya memberi perhatian lebih, kerana api boleh merebak dengan pantas apabila tiada sesiapa di rumah," kata seorang pegawai jabatan tersebut, Chung Gyo-chul dalam satu kenyataan.



Selain itu, jabatan itu turut menasihatkan pemilik kucing untuk mengeluarkan objek mudah terbakar seperti tuala kertas dari dapur. Ia turut mencadangkan penggunaan fungsi kunci automatik pada dapur elektrik untuk mengelakkan risiko kebakaran.


Kadar kebakaran akibat haiwan peliharaan semakin meningkat di Seoul, di samping peningkatan populariti pemilikan haiwan peliharaan di Korea Selatan, iaitu sehingga kira-kira 25 peratus daripada populasi.


Jabatan itu menyatakan bahawa 31 kebakaran sedemikian berlaku dalam tempoh sembilan bulan pertama 2019, ia hampir empat kali ganda dalam tempoh yang sama pada 2016 dengan hanya 8 kejadian.


Sementara itu, kira-kira 1,000 kebakaran rumah di Amerika Syarikat berlaku setiap tahun juga disebabkan haiwan peliharaan yang mengunyah wayar atau menghidupkan alatan elektrik, menurut Persatuan Kemanusiaan Amerika.


Gambar menunjukkan seekor kucing sedang tidur di sebuah kafe kucing di Seoul, Korea Selatan pada 2 April 2020. - Foto AFP.


EmoticonEmoticon