Ahad, 6 Jun 2021

Selepas 5 tahun berjasa mengesan periuk api, Magawa akhirnya bersara

Selepas 5 tahun berjasa mengesan periuk api, Magawa akhirnya bersara


Periuk api mula ditempatkan di seluruh Kemboja sejak perang saudara pada lewat 1960-an. Kini walaupun perang sudah tiada lagi, kerajaannya kekal bergelut untuk menghapus dan membersihkan pelbagai jenis senjata tidak meletup di buminya, tanpa terkecuali periuk api.


Sebanyak empat hingga enam juta periuk api diletakkan di Kemboja antara tahun 1970 dan 1998 yang menyebabkan lebih dari 64,000 kematian. Kemboja, antara negara bekas perang paling mencatat kematian atau kecacatan tertinggi kesan daripada periuk api.


Situasi itu menambah penderitaan rakyat Kemboja yang rata-ratanya hidup di bawah paras kemiskinan. Kebanyakan mangsa terbunuh apabila terpijak periuk api, namun mangsa terselamat mengalami kecacatan kekal terutama kudung.


Tikus raksasa Afrika yang diberi nama Magawa, antara yang berjasa mengesan periuk api ini. Tikus yang berusia tujuh tahun itu berasal dari Tanzania dan dilatih oleh badan amal, Pembangunan Pengesanan Periuk Api Anti-Personel (APOPO).


Pada tahun september 2020 tahun lalu, Magawa dianugerahkan pingat emas kerana berjaya mengesan 39 periuk api dan 28 bahan peledak yang tidak meletup sejak mendapat latihan oleh badan amal tempatan.



Magawa merupakan tikus pertama dalam sejarah 77 tahun badan amal itu yang dianugerahkan Pingat Emas PDSA, yang setara dengan haiwan di George Cross.


Pengarah APOPO, Michael Heiman, semalam, berkata Magawa bakal bersara daripada 'tugasnya' iaitu menghidu periuk api dan objek bahan letupan di negara ini selepas berkhidmat selama lima tahun.


Katanya, sepanjang perkhidmatannya, Magawa sudah 'membersihkan' kawasan seluas kira-kira 225,000 meter persegi iaitu bersamaan 42 padang bola sepak. Selepas mengesan 71 periuk api dan 38 objek letupan, Magawa menjadi semakin letih.


"Perkara terbaik adalah dengan merehatkannya dan Magawa boleh meluangkan masa melakukan perkara yang disukainya seperti makan pisang dan kekacang," katanya.


Magawa pindah Siem Reap pada 2016 dan memulakan kerjayanya mengesan periuk api, kini tikus itu sudah berusia tujuh tahun.


Magawa merupakan tikus pertama dalam sejarah 77 tahun APOPO yang dianugerahkan Pingat Emas PDSA.
Rezeki melimpah, Turki temui lagi gas asli di Laut Hitam

Rezeki melimpah, Turki temui lagi gas asli di Laut Hitam


Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengumumkan negara itu menemui 135 bilion kubik meter padu gas asli di selatan Laut Hitam, kelmarin. Sekali gus mengurangkan kebergantungan negara itu terhadap import sumber tenaga dari luar.


Penemuan baharu di lapangan Amasra-1 akan meningkatkan lagi jumlah potensi di wilayah berkenaan kepada 540 bilion kubik meter, kata Erdogan ketika bercakap pada upacara pembukaan di wilayah Laut Hitam Zonguldak.


Tahun lalu, Turki mengumumkan menemui 405 bilion kubik meter padu simpanan gas asli di wilayah Laut Hitam Sakarya, kira-kira 100 batu nautika di utara pantai Turki, lapor agensi berita Xinhua.


Jika gas terbabit dapat diekstrak secara komersial, penemuan itu dapat membantu Turki mengurangkan kebergantungan negara berkenaan terhadap import sumber tenaga dari negara seperti Russia, Iran dan Azerbaijan.


Ketika ini, Ankara bergantung penuh dengan Russia untuk sumber tenaganya dan ia berhasrat untuk mempelbagaikan bekalannya.


Erdogan sebelum ini mengarahkan kerja penerokaan semula sumber tenaga kontroversi di luar pantai selatan Turki berhampiran Pulau Greece yang menjadi pertikaian di perairan timur Mediterranean.


Isu berkenaan mencetuskan pertelingkahan antara Ankara dan Athens, Cyprus dan Kesatuan Eropah (EU) dan memburukkan lagi ketegangan dengan Perancis yang bertindak meningkatkan kehadiran tentera mereka di rantau terbabit.


Sebuah kapal perang Angkatan Laut Turki mengiringi kapal penggerudian pertama Turki, Fatih bagi kerja penerokaan sumber gas asli di Laut Hitam. - Foto AFP
Harimau dahan yang tular berkeliaran berhampiran rumah penduduk disahkan mati

Harimau dahan yang tular berkeliaran berhampiran rumah penduduk disahkan mati


Seekor Harimau dahan jantan yang ditangkap selepas dilihat berkeliaran di Kampung Bukit Bertam dekat Selama, Rabu lalu, disahkan mati ketika dIrawat di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai.


Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, harimau spesies dilindungi dengan nama saintifik Neofelis nebulosa itu mati pada pukul 12 tengah malam, Khamis lalu.


Katanya, pemeriksaan yang dilakukan mendapati, harimau itu mati kerana dijangkiti Virus Canine Distemper (CDV). Kebiasaannya, haiwan yang dijangkiti CDV ini terpaksa ditidurkan kerana ia adalah penyakit berjangkit.


"Bagaimanapun, bagi kes harimau dahan ini, haiwan yang positif CDV itu tidak sempat ditidurkan kerana telah disahkan mati oleh doktor veterinar," katanya, semalam.


Menurut beliau, pemeriksaan mendapati haiwan berkenaan tidak tercekik tulang walaupun keadaannya ketika ditangkap seperti cuba memuntahkan sesuatu.


Katanya, berdasarkan pihak veterinar, harimau itu dipercayai terkena jangkitan daripada bawaan binatang domestik seperti anjing dan kucing. Haiwan itu dilupuskan berikutan penyakit berkenaan mudah berjangkit.


Harimau dianggar berusia antara tujuh hingga lapan tahun itu, ditemui penduduk dalam keadaan seakan-akan ingin memuntahkan smakanan Ia dipercayai keluar dari Hutan Simpan Bintang Hijau yang terletak berhampiran kampung berkenaan untuk mencari makanan.



Terdahulu: Harimau dahan tercekik berkeliaran, gemparkan penduduk

Sabtu, 5 Jun 2021

UFO Dirakam Mengelilingi Kapal Perang AS, Membuktikan 'Alien' Miliki Pangkalan Di Dasar Laut

UFO Dirakam Mengelilingi Kapal Perang AS, Membuktikan 'Alien' Miliki Pangkalan Di Dasar Laut


Salah satu misteri yang belum terungkap sehingga sekarang adalah penampakan makhluk asing yang sering dikaitkan dengan objek tidak dikenali (UFO), adakah mereka benar-benar wujud? atau sekadar mitos, boleh jadi juga hanya propaganda sesebuah organisasi berkuasa tertentu yang hanya mahu mengaburi mata kita manusia yang tidak berkepentingan.


Kewujudan makhluk asing ini seringkali menjadi perdebatan dan menjadi sesuatu hal yang menarik untuk dibincangkan. Dalam dunia ini pelbagai teori telah diperkatakan bagi menyokong kewujudan makhluk asing tersebut. Kebanyakan teori itu percaya bahawa UFO ini datang dari luar angkasa.


Terbaru, menurut laporan akhbar Daily Star, kelmarin, beberapa pengkaji makhluk asing percaya bahawa UFO berasal dari dasar laut dan bukannya angkasa lepas seperti yang digembar-gemburkan.


Naib Presiden Gabungan Antarabangsa untuk Penyelidikan Makhluk Asing (ICER), Gary Heseltine berkata, satu klip video tular baru-baru ini yang memaparkan beberapa objek terbang didakwa sedang mengelilingi kapal tentera laut Amerika Syarikat (AS) adalah petunjuk penting kepada asal-usul UFO.


Kejadian itu mendorong pengkaji-pengkaji UFO untuk mempercayai bahawa makhluk asing berasal dari dasar lautan. Mereka mengatakan UFO sering dilihat keluar dan masuk ke dalam laut. Sekaligus mengesyaki dasar laut mungkin menempatkan pangkalan makhluk asing.


"Meskipun kedengaran tidak munasabah, namun jika difikirkan, kita hanya ada lima peratus pengetahuan mengenai dasar lautan, malah kita lebih banyak mengetahui tentang angkasa lepas," katanya.


Dakwaan Heseltine turut disokong penerbit dokumentari, Jeremy Corbell yang turut mempercayai makhluk asing berasal dari dasar laut. Menurut Corbell, objek terbang yang mengelilingi kapal tentera laut AS disifatkan sebagai transmedium iaitu kemampuan untuk beroperasi di udara dan di dalam air.


"UFO mungkin berasal dari tempat yang jauh, namun kebiasaannya, kita melihat objek itu datang dari lokasi lebih dekat.


"Sama seperti manusia yang mempunyai wakil kedutaan di negara asing, terdapat kemungkinan bahawa adanya 'stesen' makhluk asing di dasar lautan, di mana pesawat UFO boleh berhenti seketika apabila berada di Bumi. Ini adalah bukti yang menunjukkan bahawa UFO melakukan transit di Bumi di dasar lautan," jelasnya.


Baru-baru ini, rakaman video radar yang memaparkan kapal tentera laut AS dikelilingi oleh beberapa buah UFO telah didedahkan kepada umum. Menurut sumber, video itu dirakam pada pada 15 Julai 2019 beberapa tahun lalu.


Susulan kejadian itu, pegawai-pegawai perisikan AS telah diarah untuk mengumpulkan dokumen mengenai UFO untuk dibentangkan kepada Kongres dan laporan tersebut dijangka disiarkan pada bulan ini. - Sumber Daily Star.


Rakaman video radar tentera memaparkan objek didakwa UFO menghampiri kapal tentera laut AS di perairan California baru-baru ini. Foto Twitter JeremyCorbell/WION

Lelaki kahwin adik, kerana bakal isteri meninggal dunia ketika majlis kahwin

Lelaki kahwin adik, kerana bakal isteri meninggal dunia ketika majlis kahwin


Satu Kejadian pelik berlaku minggu lalu di daerah Etawah, Uttar Pradesh, India, apabila seorang lelaki mengahwini adik pengantin perempuan, selepas bakal isterinya itu meninggal dunia akibat serangan jantung ketika majlis perkahwinan berlangsung.


Pengantin wanita itu, Surabhi tiba-tiba jatuh tidak sedarkan diri di sebelah pengantin lelaki, Manjesh Kumar sebelum upacara pheras iaitu ritual penting dalam perkahwinan Hindu.


Wanita itu dilaporkan mengatakan dia merasa tidak sihat dan kemudian rebah. Pihak keluarga segera menghubungi doktor untuk mendapatkan rawatan kecemasan, tetapi anggota paramedik mengesahkan kematian wanita muda itu.


Seseorang akan menganggap peristiwa tragis itu akan mengakibatkan perkahwinan dibatalkan, tetapi itu tidak berlaku di India. Selepas kematian pengantin wanita, keluarga Manjesh dan Surabhi duduk dan membincangkan permasalahan itu.


Mereka kemudian mencadangkan supaya pengantin lelaki berkahwin adik perempuan si mati, Nisha, yang dipersetujui oleh ibu bapa pengantin perempuan. Pihak lelaki pula tidak sanggup menanggung malu apabila pulang dengan 'tangan kosong' (tidak jadi berkahwin).



"Kami tidak tahu apa yang harus dilakukan dalam situasi ini. Kedua-dua keluarga duduk bersama dan seseorang mencadangkan supaya adik perempuan saya Nisha berkahwin dengan pengantin lelaki," kata abang Surabhi, Saurabh.


Katanya, keluarga membincangkan perkara itu dan kedua-duanya bersetuju. Itu adalah situasi yang pelik ketika perkahwinan adik perempuannya berlangsung ketika mayat adik perempuannya lagi satu terbaring di bilik lain.


"Seperti yang anda bayangkan, upacara perkahwinan dilakukan dalam suasana yang sangat suram, kerana jasad Surabhi benar-benar berada di bilik sebelah. Nisha menerima perkahwinan ini sebagai tanggungjawab kepada keluarga," kata Saurabh lagi.


Mengakui menempuh tempoh sukar, bapa saudara Surabhi, Ajab Singh berkata, mereka perlu melakukan sesuatu demi menyelamatkan maruah keluarga.


"Ini tempoh sukar bagi keluarga kami. Seorang anak perempuan terbaring di satu bilik dan perkahwinan anak perempuan yang lain sedang diadakan di bilik yang lain.


"Kami tidak pernah menyaksikan majlis bercampur emosi seperti ini. Kesedihan atas kematiannya dan kebahagiaan perkahwinan masih belum ada," katanya kepada wartawan. Sumber: Daily Mail


Keluarga perempuan bergambar bersama sebelum kematian Surbhi secara tiba-tiba.
Tular warga emas minum cecair peluntur kononnya cegah Covid-19

Tular warga emas minum cecair peluntur kononnya cegah Covid-19


Tular sebuah klip video yang memaparkan seorang lelaki warga emas minum air yang dicampur cecair peluntur sejak semalam. Itu antara dakyah gila dan melampau kononnya untuk mencegah Covid-19.


Video berdurasi 1 minit 16 saat yang dikongsi di Twitter itu sudah ditonton lebih 600,000 kali. Sebenarnya, klip video itu sudah lama tersebar melalui aplikasi WhatsApp namun ia kembali tular selepas dimuat naik di pelbagai saluran media sosial, baru-baru ini.


Berdasarkan video itu, dapat dilihat lelaki berkenaan pada mulanya menuang satu penutup cecair peluntur ke dalam gelas plastik kecil mengandungi air berkarbonat sebelum mengacaunya.


Kelihatan air berwarna merah itu bertukar menjadi jernih selepas dimasukkan cecair peluntur sebelum dia memasukkan satu penutup lagi cecair peluntur ke dalam gelas berisi air teh susu.


Lelaki itu kemudiannya minum air tersebut sambil diperhatikan beberapa orang lagi seolah-olah dia telah biasa melakukannya. Berdasarkan gaya percakapan lelaki itu berkemungkinan berasal dari sebuah negeri di utara tanah air.



Klip video tersebut turut mendapat perhatian pengasas laman sosial perubatan tempatan, MEDTweetMY, Dr. Khairul Hafidz yang menasihati masyarakat supaya tidak meniru perbuatan tersebut.


"Tuan, puan, adik, kakak, abang, pakcik, makcik, datuk, datin, saya ingin menekankan dengan serius peluntur tidak akan boleh merawat Covid-19. Nanti yang minum peluntur yang akan dirawat akibat kesan sampingan," tulisnya di laman Twitter beliau.


"Lihat video, beginilah bapa saya percaya sekarang dia suruh saya kunyah bunga cengkih katanya petua hilangkan Covid-19, tolonglah saya," ujar seorang netizen.


Bagaimanapun, ada netizen mendakwa bahawa ia hanyalah muslihat, cecair peluntur itu sebenarnya tidak dimasukkan ke dalam teh. "Tengok semula betul-betul video itu, netizen dipermainkan," ujar seorang lagi netizen.


"Walaupun ia merupakan muslihat apa tujuannya dia berbuat begitu?," soal seorang lagi yang tidak berpuas hati. Sumber: Harian Metro


Berjalan Pelik Rupanya Buta, Perhilitan Berjaya Selamat Seekor Beruang Matahari

Berjalan Pelik Rupanya Buta, Perhilitan Berjaya Selamat Seekor Beruang Matahari


Seekor beruang matahari yang ada masalah penglihatan berjaya diselamatkan di Felda Lakum, Lanchang, Pahang, oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada Ahad 30 Mei 2021 lalu.


Menurut kenyataan agensi berkenaan menerusi akaun Facebooknya, mamalia itu berjaya dikesan leka berehat di Felda Lakum. Operasi tersebut dilaksanakan susulan pihaknya menerima aduan orang awam berhubung kehadiran beruang madu itu atau nama saintifiknya Ursus malayanus.


Mereka mendakwa bahawa beruang berkenaan menunjukkan corak pergerakan tidak normal di sekitar lokasi ia ditemui seolah-olah memberi gambaran matanya ada masalah kebutaan.


Usaha menyelamat turut melibatkan kakitangan Perhilitan, Pusat Konservasi Hidupan Liar dari Jenderak Selatan, Pahang dan dibantu pasukan polis tempatan dari Balai Polis Lanchang.



Beruang tersebut kemudian ditidurkan sebelum segera dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di Sungkai, Perak untuk tujuan rawatan dan pemantauan selanjutnya.


Haiwan ini dilindungi sepenuhnya Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan disenaraikan sebagai spesies terancam oleh Kesatuan Antarabangsa Konservasi Semula Jadi (IUCN) sejak 2007.


Dengan berat kurang 70 kilogram dan tinggi di bawah 70 sentimeter, beruang matahari ialah ahli keluarga paling kecil dalam keluarga beruang atau pengelasan saintifiknya, Ursidae.


Ia lazimnya ditemui berkeliaran di hutan Semenanjung Malaysia selain Sabah dan Sarawak serta Kalimantan dan Sumatera, Indonesia di samping Kemboja, Thailand dan Myanmar.


Usaha menyelamat turut melibatkan kakitangan Perhilitan, Pusat Konservasi Hidupan Liar dari Jenderak Selatan, Pahang dan dibantu pasukan polis tempatan dari Balai Polis Lanchang. Foto Perhilitan Semenanjung Malaysia.

Jumaat, 4 Jun 2021

Lebih 30 maut minum arak beracun buatan sendiri di Kemboja

Lebih 30 maut minum arak beracun buatan sendiri di Kemboja


Sebelum itu, terdapat 14 dan 10 kematian dalam dua insiden berasingan pada Mei lalu. Kelmarin, 10 lagi kematian dilaporkan berlaku di daerah Pursat dekat barat laut Kemboja selepas meminum arak beras buatan tempatan.


Ketua Polis Daerah Krakor, Kolonel Em Run, berkata arak berkenaan disyaki mengandungi tahap metanol yang tinggi sehingga menyebabkan kematian. Katanya, kandungan metanol dalam wain itu mungkin melebihi jumlah dibenarkan iaitu 0.15 peratus.


Kes berlaku di tiga perkampungan Ansar Chambak di daerah Krakor ketika mangsa didapati meminum arak beras yang tercemar ketika upacara pengebumian salah seorang jiran mereka minggu lalu.


"Semua mangsa termasuk lapan wanita dan dua lelaki disahkan mati manakala beberapa lagi dimasukkan ke hospital selepas minum arak tercemar.


"Mangsa mempunyai gejala yang sama seperti keradangan mata, sakit dada, kesukaran bernafas, pening, sakit kepala dan kelesuan," katanya ketika dihubungi agensi berita Xinhua.


Menurut Em Run, sampel arak toksik itu kemudiannya dibawa ke makmal ujian di ibu kota Phnom Penh dan keputusan belum lagi diterima.


"Pasangan tempatan yang menghasilkan arak itu ditahan Rabu lalu dan peruncit di daerah berkenaan dinasihat menghentikan sementara penjualan arak beras itu," katanya.


Kes berkenaan membabitkan arak buatan tempatan yang mengandungi kadar metanol tahap toksik sehingga boleh menyebabkan kehilangan penglihatan, walaupun diambil dalam dos yang kecil.


Polis memaklumkan, sekurang-kurangnya 15 orang merangkumi pembuat dan penjual arak beras ditahan. Kementerian Kesihatan pula menasihati orang ramai supaya tidak mengambil minuman yang tercemar.


"Seorang pasangan tempatan yang menghasilkan arak itu ditahan Rabu lalu. Buat peruncit di daerah berkenaan dinasihatkan untuk hentikan sementara penjualan arak beras itu," katanya.


Mengesahkan kematian itu berpunca akibat keracunan adalah Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Pursat, Khoy Dy, namun tidak memperincikan secara lanjut perkara itu. Di Kemboja, arak beras popular di kawasan luar bandar kerana harganya yang murah.


Berpotensi pelan pembangunan, NASA umum dua misi baharu ke planet Zuhrah

Berpotensi pelan pembangunan, NASA umum dua misi baharu ke planet Zuhrah


Sejak tahun 1960-an lagi, dua negara kuasa besar dunia, Russia dan Amerika Syarikat (AS), giat meneroka angkasa lepas untuk melakukan kajian mengenai potensi planet lain yang sesuai didiami manusia. Planet Marikh menjadi pilihan untuk dikaji berbanding lapan planet lain yang wujud dalam sistem suria di alam semesta ini.


Ini disebabkan kemungkinan pengkaji mempercayai planet berwarna merah itu mampu dijadikan 'alternatif' tempat tinggal atau berpotensi untuk dihuni satu masa nanti apabila bumi tidak lagi relevan untuk didiami.


Namun baru-baru ini, para saintis mula berminat pada planet kedua paling dekat dengan Matahari iaitu Zuhrah atau juga dikenali planet Venus. Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) mengumumkan bakal melancarkan dua misi baharu ke planet Zuhrah.



Menurut laporan BBC pada 03 Jun 2021, misi itu yang masing-masing dibiayai dana sebanyak AS$500 juta (RM2.06 bilion) akan dilancarkan antara tahun 2028 dan 2030. Misi tersebut bagi mengkaji atmosfera dan ciri geologi planet tersebut.


Pentadbir NASA, Bill Nelson berkata, misi itu akan menawarkan peluang untuk mengkaji planet yang dijejaki lebih 30 tahun lalu. Sebelum ini, NASA menghantar pesawat pengorbit Magellan ke planet itu pada tahun 1990.


Bagaimanapun, dilaporkan beberapa kapal angkasa lain pernah melalui atmosfera planet itu sejak tempoh berkenaan. Misi itu dipilih berdasarkan nilai saintifik yang berpotensi dan kebolehlaksanaan pelan pembangunan mereka.


Misi dikenali Davinci (Deep Atmosphere Venus Investigation of Noble gases, Chemistry and Imaging) akan meneliti atmosfera planet untuk mendapat gambaran mengenai bagaimana dibentuk dan perkembangannya.


Ia juga bertujuan untuk menentukan sama ada Venus pernah mempunyai lautan. Para saintis percaya bahawa ciri-ciri ini dapat dibandingkan dengan benua di Bumi dan dapat menunjukkan bahawa planet Zuhrah mempunyai plat tektonik. Sumber: BBC News


Baca juga: 'Selamat tinggal Bumi' manusia bakal pindah ke Planet Marikh

Amerika Syarikat kutuk tindakan China ceroboh ruang udara Malaysia

Amerika Syarikat kutuk tindakan China ceroboh ruang udara Malaysia

Kapal induk USS Theodore Roosevelt dan antara rombongan kapal perang Amerika Syarikat yang berada di laut China Selatan, gambar ini diambil pada April 2021 lalu.


Pada isnin lalu kita dikejutkan dengan pencerobohan 16 pesawat China di ruang udara Zon Maritim Malaysia. Pesawat berkenaan yang dikesan Radar Pertahanan Udara TUDM dari Pusat Pertahanan Udara Sarawak pada jam 11.53 pagi, terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika antara satu sama lain.


Beberapa arahan supaya pesawat berkenaan menghubungi kawalan trafik udara KK IFR tidak dipatuhi, sekali gus TUDM melancarkan pesawat pemintas pada jam 1.33 tengah hari untuk melakukan identifikasi visual.


Komander Pasifik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) turut mengutuk tindakan pesawat tentera China yang terbang berhampiran Malaysia dan Taiwan.


Jeneral Kenneth Wilsbach berkata, aktiviti penerbangan tentera China itu serta peningkatan jumlah pencerobohan zon pertahanan udara Taiwan, menambah senarai aktiviti China yang menggugat kestabilan dan meningkatkan ketegangan di rantau berkenaan.


"Kita hanya membuat perkiraan yang salah di rantau berkenaan dengan aktiviti seumpamanya, khususnya masuk ke ruang udara pihak lain," katanya pada Jumaat.


Beijing menuntut Taiwan sebagai sebahagian wilayah China dan menegaskan pesawatnya yang terbang berhampiran Borneo di Laut China Selatan, sedang menjalani latihan rutin dan tidak memasuki ruang udara Malaysia.


Beijing tidak mengendahkn keputusan tribunal antarabangsa pada 2016 yang mengisytiharkan tuntutannya terhadap hampir semua Laut China Selatan adalah tanpa asas.


Ketika ini, wujud kebimbangan dalam kalangan negara Barat bahawa pasukan tentera China yang semakin berkuasa, akan cuba merampas Taiwan menggunakan kekerasan.


Sejak beberapa bulan lalu, kekerapan penerbangan pesawat China di rantau itu meningkat secara dramatik, yang mengancam keupayaan pertahanan udara Taiwan.


TUDM meletakkan pesawat Hawk 208 di Pangkalan Udara Labuan dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM. - Foto BERNAMA

Pesawat Hawk 208 TUDM terbang di ruang udara Labuan, Rabu lalu. - Foto BERNAMA