Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan

Jumaat, 18 September 2026

Agong perkenan pengampunan bersyarat kepada Najib, jalani baki hukuman tahanan di rumah

Agong perkenan pengampunan bersyarat kepada Najib, jalani baki hukuman tahanan di rumah


Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.


Perkara itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dalam kenyataan hari ini.


Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan hari ini.


Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan Najib turut diwajibkan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan sepanjang menjalani tahanan di rumah.


"Sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat-syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara," menurut kenyataan itu.


Keputusan itu menyusul selepas permohonan pengampunan Najib ditangguhkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-63 pada 11 September lalu.


Dalam mesyuarat berkenaan, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri itu ditangguhkan untuk dipertimbangkan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan seterusnya.


Sebelum ini, Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024 memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara Najib dalam kes SRC International daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.


Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Khamis, 17 September 2026

Kes saman fitnah: Papagomo kekal diperintah bayar RM280,000 kepada Guan Eng, anak

Kes saman fitnah: Papagomo kekal diperintah bayar RM280,000 kepada Guan Eng, anak


Pempengaruh, Papagomo kekal diperintah membayar ganti rugi RM280,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan anak lelakinya, Clint Lim Way Chau dalam kes saman fitnah berkaitan dakwaan membawa masuk RM2 juta ke Singapura tanpa pengisytiharan pada 2020.


Hakim, Roslan Mat Nor menolak permohonan Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris, 43, untuk menggantung pelaksanaan penghakiman yang memerintahkannya membayar ganti rugi kepada dua beranak itu selaku plaintif.


Ketika ditemui di luar mahkamah, peguam, Simon Murali yang mewakili Guan Eng, 66, dan Clint, 33, berkata keputusan itu dibuat selepas hakim mempertimbangkan asas dalam afidavit yang dikemukakan kedua-dua pihak.


"Mahkamah mendapati bahawa defendan tidak dapat menunjukkan keadaan istimewa bagi mahkamah ini menggunakan budi bicara untuk mempertimbangkan menangguhkan pelaksanaan perintah yang sudah diberikan pada 19 Mei lalu.


"Berikutan itu, hakim memberitahu permohonan pihak defendan ditolak dengan kos RM5,000,” katanya.


Simon berkata, mahkamah turut mendapati alasan bahawa Wan Muhammad Azri mungkin berdepan tindakan pelaksanaan, termasuk prosiding kebankrapan sekiranya penangguhan tidak diberikan, bukan asas yang mencukupi.


Katanya, defendan turut berhujah bahawa plaintif tidak berupaya mengembalikan ganti rugi sekiranya pempengaruh itu berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan.


"Bagaimanapun, mahkamah memutuskan tiada sebarang keterangan dalam afidavit yang menunjukkan fakta-fakta tersebut bagi membantu mahkamah untuk mempertimbangkannya," kata peguam.


Dalam prosiding itu, kedua-dua plaintif dan defendan tidak hadir di mahkamah, sebaliknya diwakili peguam masing-masing. Wan Muhammad Azri diwakili peguam, Fazilah Jaafar.


Pada 19 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi RM200,000 kepada Guan Eng, manakala Clint menerima RM80,000 selepas membenarkan saman fitnah yang difailkan plaintif.


Saman berkenaan difailkan pada 19 April 2020, susulan dakwaan Wan Muhammad Azri menerusi Facebook menggunakan nama 'Papa Azri' bahawa Clint ditahan di Lapangan Terbang Changi, Singapura pada 29 Februari 2020 kerana membawa wang tunai berjumlah RM2 juta.


Guan Eng turut mendakwa hantaran itu memberi gambaran bahawa beliau pergi ke Singapura pada tarikh berkenaan selepas anaknya ditahan di lapangan terbang tersebut.


Kes itu asalnya difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 19 April 2020 sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Mac 2021.


Pesuruhjaya Kehakiman, mendiang Eddie Yeo Soon Chye yang mendengar perbicaraan kes berkenaan pada 2024 meninggal dunia pada Februari tahun lalu.


Kes itu kemudiannya dikendalikan Roslan, dengan kedua-dua pihak bersetuju hakim baharu membuat keputusan berdasarkan nota prosiding sedia ada.

Rabu, 16 September 2026

Muhyiddin Yassin lepas, bebas 4 pertuduhan babit RM200 juta

Muhyiddin Yassin lepas, bebas 4 pertuduhan babit RM200 juta


Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilepas dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM200 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.


Hakim Noor Ruwena Md Nurdin, memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pembelaan supaya empat daripada tujuh kes dihadapi Muhyiddin diberi perintah DNA.


Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada mahkamah, pendakwaan memohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dan tidak meneruskan empat tuduhan itu, dengan menggunapakai peruntukkan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).


Dalam keputusannya, Noor Ruwena berkata, mahkamah membuat keputusan (DNA) itu selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak dan undang-undang yang dikemukakan mengikut Seksyen 254(1) KTJ.


Katanya, ia memperuntukkan, pada mana-mana peringkat perbicaraan sebelum penghakiman disampaikan, pendakwa raya boleh memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya tidak akan meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh bagi sesuatu pertuduhan.


"Pendakwaan tidak memberikan sebarang alasan bagi permohonan berkenaan, selain menyatakan pihaknya tidak mahu meneruskan pertuduhan dan menyerahkan perkara ini kepada budi bicara mahkamah.


"Justeru, saya berpandangan demi kepentingan keadilan, budi bicara mahkamah hendaklah dilaksanakan memihak kepada tertuduh.


"Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan berkenaan," katanya.


Bagaimanapun, Noor Ruwena berkata, keputusan itu hanya terpakai terhadap empat pertuduhan sahaja dan tidak membabitkan tiga pertuduhan lain yang berkaitan dengan kes Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).


Sebaik hakim memutuskan demikian, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh yang berada di kandang tertuduh, kelihatan lega, disambut sorakan daripada penyokongnya yang berada di galeri awam.


Muhyiddin, 79, masih berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat, iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Azman, berkaitan Projek Jana Wibawa.


Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.


Ia memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Terdahulu, Ahmad Akram memaklumkan kepada mahkamah, selepas pihaknya meneliti keseluruhan kedudukan kes, memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan pertama berkait menggunakan kedudukan untuk suapan dan tiga pertuduhan penggubahan wang haram ke atas tertuduh yang berkaitan dengan Bukhary Equity Sdn Bhd.


"Dengan itu, pendakwaan dengan hormat memohon supaya tertuduh (Muhyiddin) diberikan perintah pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi pertuduhan berkenaan selaras dengan peruntukan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.


"Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, permohonan pendakwaan pada hari ini adalah terhad kepada pertuduhan ini sahaja dan tidak membabitkan pertuduhan lain yang masih dihadapi oleh tertuduh," katanya.


Bagaimanapun, peguam Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik membantah permohonan pendakwaan dan memohon anak guamnya diberikan pembebasan kekal.


"Permohonan itu (pendakwaan) dibuat kerana perbicaraan kini hampir selesai dan pihak pendakwaan tidak mengemukakan walau satu bukti pun berhubung empat pertuduhan berkenaan.


"Berdasarkan senarai saksi yang dikemukakan kepada mahkamah, nama Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Bukhary Equity tidak disenaraikan sebagai saksi, sedangkan kedua-duanya dikatakan menjadi saksi utama bagi empat pertuduhan terbabit," katanya.


Hisyam berkata, tiada alasan kukuh dikemukakan pihak pendakwaan mengapa Muhyiddin perlu diberikan DNAA, sedangkan undang-undang menetapkan ia perlu diberikan sebelum mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk tidak memberikan pembebasan.

Ahad, 13 September 2026

Lagu Hindi klasik dendangan Anwar curi perhatian, mendapat reaksi positif warganet

Lagu Hindi klasik dendangan Anwar curi perhatian, mendapat reaksi positif warganet


"Guru minta izin nyanyi kejap ok!" Itu kapsyen bersama hantaran video di Facebook (FB) Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyanyikan lagu Hindi klasik "Khwab Ho Tum Ya Koi Haqeeqat" dendangan penyanyi legenda, Kishore Kumar.


Anwar berkongsi detik santai ketika jadual padat beliau menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi, India yang mencuri tumpuan dan mendapat reaksi positif warganet.


Video berkenaan turut mencuri tumpuan dan menerima reaksi positif ramai rakyat negara berkenaan serta persembahan spontan yang tular itu, menarik perhatian mereka yang menghargai pilihan lagu berkenaan.


Biswajit Roy di platform X menerusi @roybiswajit2010 berkata: "(Perdana Menteri Anwar), anda menyanyikan lagu klasik oleh penyanyi legenda India Kishore Kumar dan jujurnya, anda juga tidak kurang hebatnya.


"Apabila (ada) pemimpin dunia bertandang ke India dan mendendangkan lagu, ini seolah-olah menyaksikan dunia menyanyikan rentak India," katanya.


Piyush Morade pula berkata: "Ini sungguh menarik. Pilihan lagu yang sebegitu indah dan dinyanyikan sebegitu semangat. Sungguh menarik PM@anwaribrahim."


Di FB rasmi Anwar, perkongsian video berdurasi satu minit dan 39 saat itu mendapat 35,000 tanda suka dan 3,600 komen warganet dan menerima lebih 400,000 tontonan.


Dalam kalangan rakyat India, lagu malar segar Kishore bukan sesuatu yang asing dan pilihan lagu serta dendangan Perdana Menteri itu disifatkan sebagai kejutan manis yang mengimbau nostalgia terhadap tarikan tersendiri penyanyi legenda berkenaan.

Sabtu, 12 September 2026

Peguam Azeez nafi anak guamnya guna dana TH RM193.5 juta untuk keluarganya

Peguam Azeez nafi anak guamnya guna dana TH RM193.5 juta untuk keluarganya


Peguambela bagi bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menafikan anak guamnya mengambil, menggelapkan atau menyalahgunakan RM193.5 juta dana TH untuk kegunaan dirinya atau ahli keluarganya, seperti yang tersebar di media sosial.


Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen (Jenayah) 9 pada 8 September lalu hanya berkaitan dengan dakwaan anak guamnya menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi TH untuk mendapatkan jawatan sebagai Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad.


Katanya, dalam pertuduhan itu tidak ada sebarang kaitan dengan penyelewengan, penyalahgunaan dana TH itu bagi manfaat diri anak guam atau ahli keluarganya.


"Kami merujuk kepada beberapa laporan dan hantaran media sosial yang timbul susulan pertuduhan terhadap Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim termasuk desas-desus yang mengaitkan beliau dan ahli keluarganya dengan wang atau dana TH.


"Kami juga mengambil maklum beberapa hantaran yang sedang tersebar di media sosial berhubung jumlah simpanan yang dikatakan berada dalam akaun TH milik isteri dan anak-anak kepada anak guam kami.


"Dalam hal ini, adalah penting untuk ditegaskan wang yang berada dalam akaun-akaun itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan dana atau wang milik TH dan kewujudan simpanan itu juga tidak bermaksud bahawa wang itu berasal daripada TH," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Pada 9 September lalu, Abdul Azeez mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan dalam bentuk jawatan pengerusi dan faedah di sebuah syarikat lain.


Beliau didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai pengerusi TH dengan mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif ketika itu, Tan Sri Ismee Ismail, mencadangkan beliau sebagai wakil TH dalam lembaga pengarah Putrajaya Perdana.


Menjelaskan lebih lanjut, Amer Hamzah berkata, akaun-akaun dan wang simpanan di dalam TH itu juga menjadi subjek siasatan pihak berkuasa sebelum ini.


"Namun, wang simpanan dalam akaun-akaun itu tidak pernah dilucuthak oleh kerajaan dan tidak terdapat apa-apa dapatan wang itu adalah wang TH yang diselewengkan oleh anak guam kami atau hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.


"Begitu juga Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung TH yang didedahkan tidak membuat apa-apa dapatan anak guam kami menyeleweng atau mengambil wang TH untuk dirinya atau ahli-ahli keluarganya," katanya.


Beliau berkata, sebarang gambaran simpanan dalam akaun TH ahli-ahli keluarga anak guamnya adalah wang yang diambil daripada TH adalah tidak tepat dan tidak mencerminkan kandungan sebenar pertuduhan mahupun hasil siasatan terdahulu.


"Anak guam kami bertekad untuk membela diri di mahkamah dan membersihkan nama keluarganya. Kami menggesa semua pihak supaya melaporkan perkara ini berdasarkan fakta dan kandungan sebenar pertuduhan, serta menghormati prinsip anggapan tidak bersalah sehingga perkara ini diputuskan oleh mahkamah.


"Anak guam kami dan ahli-ahli keluarganya merizabkan segala haknya, termasuk hak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang menerbitkan atau menyebarkan kenyataan palsu, mengelirukan atau memfitnah berhubung perkara ini," katanya.

Rabu, 9 September 2026

Pemuda Harapan Bangi lapor polis terhadap individu dakwa tak dengar azan Subuh

Pemuda Harapan Bangi lapor polis terhadap individu dakwa tak dengar azan Subuh


Pemuda Harapan Bangi membuat laporan polis terhadap individu yang mendakwa azan Subuh tidak lagi kedengaran dari masjid dan surau di sekitar kawasan tersebut.


Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, laporan itu dibuat di Balai Polis Bandar Baru Bangi pada Selasa.


"Saya berharap laporan polis ini sekali gus mampu menoktahkan fitnah politik," katanya ringkas menerusi hantaran di Threads.


Syahredzan terdahulu membidas dakwaan sedemikian sambil menyifatkan tuduhan tersebut sebagai amat jahat dan bermotifkan politik.


Beliau sempat bertanyakan tentang lokasi spesifik masjid mahupun surau di Bangi yang dimaksudkan individu berkenaan.


Sebelum ini, seorang pengguna TikTok mendakwa sudah tiga hari azan Subuh di kawasan sekitar Bangi tidak kedengaran dari surau atau masjid berdekatan.


Dakwaan semakin panas apabila ruangan komen mengaitkan kejadian tersebut dengan isu politik memandangkan Syahredzan ialah Ahli Parlimen DAP bagi kawasan berkenaan.


Walaupun hantaran asal telah hilang daripada akaun individu berkenaan, namun tangkap layar masih tersebar luas di media sosial.


Pelaku menerusi ruangan komen di hantaran video seterusnya memberi alasan bahawa TikTok yang memadamkannya.

Sabtu, 5 September 2026

Abdul Hadi dedah kedutaan AS pernah 'risik' calon PM daripada PAS

Abdul Hadi dedah kedutaan AS pernah 'risik' calon PM daripada PAS


Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan bahawa wakil Kedutaan Amerika Syarikat (AS) pernah mengajukan soalan mengenai calon Perdana Menteri yang akan diketengahkan oleh parti itu dalam satu pertemuan di kedutaan berkenaan.


Menurut beliau, soalan tersebut diajukan secara langsung kepadanya selepas dua pimpinan kanan Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, terlebih dahulu menghadiri pertemuan dengan pihak kedutaan berkenaan.


"Dia tanya, 'Siapa Pas cadang jadi Perdana Menteri?’ Saya kata, 'Siapa Amerika setuju?' Tergamam dia!


"Saya jawab, 'Siapa Amerika setuju siapa dia? Amerika sokong siapa dia?' Itu jawapan daripada saya," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, hari ini.


Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, pertemuan tersebut berlaku ketika Pas masih menganggotai Pakatan Rakyat (PR), bersempena siri lawatan Presiden AS ketika itu, Barack Obama ke Malaysia.


Menurutnya, Takiyuddin bersama Ahmad Samsuri yang ketika itu berperanan sebagai Ketua Politiknya telah memenuhi jemputan ke Kedutaan AS untuk bertemu dengan wakil diplomatik negara berkenaan.


Dalam pertemuan itu, beliau mendakwa pimpinan Pas dimaklumkan mengenai kemungkinan berlaku perubahan pentadbiran kerajaan selain pihak AS menyatakan kesediaan untuk memberikan bantuan.


Bagaimanapun, Abdul Hadi menegaskan kedua-dua pemimpin Pas itu kekal berpegang kepada prinsip parti dan tidak terpengaruh dengan sebarang tawaran yang dikemukakan.


"Kedua-dua mereka istiqamah dan tidak terpengaruh," katanya.


Beliau berkata, pihak Kedutaan AS kemudian meminta untuk mengadakan pertemuan secara langsung dengannya yang turut ditemani bekas Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.


Menurut Abdul Hadi, persoalan mengenai siapa yang bakal diangkat sebagai Perdana Menteri bukanlah perkara utama yang perlu diberi tumpuan pada ketika itu.


Beliau turut memaklumkan bahawa nama Tun Dr Mahathir Mohamad ada disebut dalam perbincangan berkenaan dan mendapat maklum balas positif daripada pihak kedutaan.


"Yang sibuk sangat tentang siapa bakal jadi Perdana Menteri itu mengapa? Apabila tiba masanya, akan ada calon yang ditentukan. Yang penting, kita buat kerja.


"Kita selesaikan perpecahan, selesaikan krisis, kemudian kembali menjalankan tugas masing-masing," katanya.


'Parti Kerajaan Perpaduan sudah saling menyerang... untuk kestabilan, bubar saja Parlimen' - Tuan Ibrahim

'Parti Kerajaan Perpaduan sudah saling menyerang... untuk kestabilan, bubar saja Parlimen' - Tuan Ibrahim


PAS menyarankan agar Kerajaan Pusat membubarkan Parlimen dengan menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk membuat pilihan.


Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ia berdasarkan situasi semasa politik parti dalam Kerajaan Perpaduan yang dilihat bergolak dan saling menyerang antara satu sama lain.


"Ia bukan lagi rahsia apabila perkara berkenaan dapat dilihat secara terbuka dan jelas menerusi pelbagai kenyataan yang dibuat.


"Biasanya, perkara sebegini dalam parti tidak akan dibawa keluar tetapi kerana situasi sudah serius dan tidak boleh dikawal, masing-masing serang-menyerang sesama sendiri.


"Pandangan saya mudah saja... untuk kestabilan, bubar saja Parlimen. Beri mandat kepada rakyat untuk membuat pilihan baharu.


"Keputusan baru-baru ini bukan rakyat memilih satu parti, tetapi ia hanya gabungan. Malah pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu, tiada satu parti pun yang mampu membentuk kerajaan sendiri," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Sambutan Jubli Intan 75 Tahun PAS Pusat, di Kota Bharu lewat malam tadi.


Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut mempersoalkan tindakan pimpinan PKR menggesa UMNO menyatakan pendirian sama ada mahu kekal bersama Kerajaan Perpaduan atau dengan Perikatan Nasional (PN).


"PKR perlu sedar diri kerana jumlah kerusi yang dimiliki UMNO adalah lebih besar berbanding parti itu. Berapa kerusi dia (PKR) ada? UMNO lagi besar daripada dia dan tidak sepatutnya PKR bertindak demikian.


"PKR perlu sedar diri, dia menumpang UMNO dan kekuatan UMNO. Jadi sepatutnya dalam muafakat politik, biasanya kita saling menghormati.


"Sebab itu, saya rasa UMNO sangat tidak selesa dengan tindakan pihak komponen bersama, termasuk PKR, DAP dan sebagainya," katanya.


Sebelum ini, media melaporkan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi, menggesa UMNO menyatakan pendirian dengan jelas sama ada mahu terus bersama Kerajaan MADANI atau beralih menyokong PN.


Ia susulan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dilaporkan mengambil pendirian bahawa adalah lebih baik PRU16 diadakan lebih awal, iaitu sebelum menghampiri tempoh penggal Parlimen yang sepatutnya berakhir pada hujung tahun depan.


Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dipetik berkata langkah sedemikian akan membolehkan mandat mentadbir Kerajaan Persekutuan dapat diperoleh kembali daripada rakyat.

Rabu, 2 September 2026

Bekas menteri dipenjara 7 tahun guna wang kerajaan beli makanan tengah hari kepada pengundi

Bekas menteri dipenjara 7 tahun guna wang kerajaan beli makanan tengah hari kepada pengundi


Sebuah mahkamah Sri Lanka pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap bekas menteri penerbangan negara itu kerana didakwa menggunakan AS$2,500 (RM11,000) wang kerajaan untuk membeli makanan tengah hari kepada pengundi yang menghadiri satu perhimpunan parti pemerintah.


Piyankara Jayaratne, 61, turut didenda AS$615 (RM2,500) kerana meminta Sri Lankan Catering, sebuah syarikat milik kerajaan, menanggung kos makanan bagi perhimpunan Hari Pekerja bekas Presiden Mahinda Rajapaksa pada 2014.


Hakim Mahkamah Tinggi Colombo, Mohamed Mihal berkata, Jayaratne telah mengkhianati amanah awam yang diberikan kepadanya demi memenuhi cita-cita peribadinya dengan membiayai perhimpunan Rajapaksa.


"Mahkamah tidak akan teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman penjara yang memberi mesej tegas kepada wakil rakyat yang melakukan kesalahan seperti ini," katanya.


Kes terhadap Jayaratne difailkan pada 2019. Beliau berdepan dua lagi pertuduhan membabitkan pembelian pesawat Airbus pada 2013 dan penggunaan dana kerajaan untuk mencetak kad ucapan peribadi.


Keputusan terbaharu Mahkamah Tinggi itu dibuat ketika Presiden Anura Kumara Dissanayake, yang mengambil alih jawatan pada 2024, sedang melancarkan tindakan besar-besaran membanteras rasuah.


Dua bekas menteri Kabinet sudah dipenjarakan sehingga 20 tahun kerana kesalahan rasuah, manakala beberapa bekas timbalan menteri turut menjalani hukuman penjara yang panjang.


Pada Isnin, bekas Menteri Kewangan, Ravi Karunanayake ditahan kerana didakwa meletakkan kakitangan peribadinya dalam senarai gaji kerajaan.


Seorang lagi bekas menteri, Keheliya Rambukwella ditahan kerana didakwa membantu dalam pencurian sebuah batu suci yang berusia berabad-abad dari istana raja Sinhala terakhir di pulau itu.


Semua ahli keluarga terdekat bekas Presiden Mahinda Rajapaksa sedang disiasat atau berdepan pendakwaan atas tuduhan pengubahan wang haram, rasuah dan pembunuhan. Keluarga Rajapaksa menafikan semua tuduhan tersebut.

Jumaat, 28 Ogos 2026

Saravanan mengaku tidak bersalah tiga pertuduhan terima suapan RM1.097 juta berkait kelulusan kuota pekerja asing

Saravanan mengaku tidak bersalah tiga pertuduhan terima suapan RM1.097 juta berkait kelulusan kuota pekerja asing


Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan RM1.097 juta, empat tahun lalu.


Ahli Parlimen Tapah berusia 58 tahun itu meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.


"Tidak mengaku, minta dibicara," katanya yang berdiri di dalam kandang tertuduh.


Bagi semua pertuduhan, Timbalan Presiden MIC itu didakwa secara rasuah menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah RM150,000, RM350,000 dan RM597,000 daripada Pengarah Syarikat Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, 65, melalui Syed Amirul Syed Ahmad, 38.


RM597,000 itu diterima melalui satu cek yang didepositkan ke akaun bank milik Big Seven Ventures Sdn Bhd.


Suapan itu sebagai dorongan supaya beliau yang ketika itu berjawatan Menteri Sumber Manusia memberikan kelulusan terhadap permohonan sebanyak 1,000 kuota pekerja asing bagi syarikat TYKB Engineering Sdn Bhd.


Kesalahan itu didakwa dilakukannya di sebuah resort golf di Bukit Jalil, di Jalan Telawi 3 Bangsar dan sebuah bank Cawangan Jalan Klang Lama, pada 16 Jun 2022 dan 7 Julai 2022.


Bagi ketiga-tiga pertuduhan, beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.


Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.


Mahkamah membenarkan ahli politik itu diikat jamin RM450,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM setiap tiga bulan sekali dan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan sama ada secara sendiri atau pihak ketiga.


Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 September depan untuk serahan dokumen.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, Julaila Jamaludin dan P Rubini manakala Saravanan diwakili peguam, Datuk Geethan Ram Vincent.


Turut hadir mengikuti prosiding berkenaan ialah Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan isteri Saravanan, Datin Seri Kavitha Vivekanandan.


Terdahulu, Julaila berhujah bahawa kes dihadapi Saravanan adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin mengikut Jadual Pertama Kanun Tatacara Jenayah.


"Bagaimanapun, sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, pihak pendakwaan menawarkan kadar jaminan RM800,000 dengan seorang penjamin.


"Selain itu, kami mohon syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM tiga bulan sekali, tidak mengganggu saksi pendakwaan sama ada secara sendiri ataupun melalui pihak ketiga," katanya.


Peguam, Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Saravanan membantah jumlah jaminan RM800,000 yang disifatkan terlampau tinggi, selain anak guamnya sudah memberikan kerjasama kepada pihak SPRM sepanjang siasatan.


"Tertuduh adalah seorang Ahli Parlimen yang kerap hadir ke Parlimen dan ini juga menunjukkan fakta bahawa tiada kecenderungan untuk beliau melarikan diri," katanya.


Mengenai penyerahan pasport ke mahkamah, pihak pembelaan memohon syarat tambahan itu tidak dikenakan atas alasan Saravanan masih menerima rawatan di Hospital Apollo, Chennai di India.


"Beliau menerima rawatan berkala di hospital itu dan untuk tujuan itu juga beliau sering kali ke luar negara iaitu ke India secara khusus.


"Dalam keadaan itu, kami mohon agar pasport dikekalkan bersama beliau untuk membolehkan beliau menghadiri rawatan ini dan tidak mengganggu mahkamah dengan permohonan yang berulang," katanya.

Khamis, 27 Ogos 2026

Ismail Sabri tinggalkan mahkamah selepas anak bayar ikat jamin RM300,000

Ismail Sabri tinggalkan mahkamah selepas anak bayar ikat jamin RM300,000


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninggalkan kompleks mahkamah Kuala Lumpur, hari ini, selepas anaknya membayar ikat jamin RM300,000 yang dikenakan terhadapnya.


Ahli Parlimen Bera berusia 66 tahun itu enggan mengulas mengenai pertuduhan yang dihadapinya, sebaliknya menyerahkan perkara berkenaan kepada pasukan guaman diketuai Datuk Amer Hamzah Arshad.


Ketika ditanya mengenai keadaan kesihatannya, Ismail Sabri menjawab: "Ya." Beliau kemudian bersalaman dan menyapa penyokong yang datang dari Bera untuk memberikan sokongan kepadanya.


Penyokong berada di luar lobi kompleks mahkamah dan menunggu lebih dua jam. Turut kelihatan, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob.


Ismail Sabri kemudian diiringi penyokong ketika menuju ke kenderaannya. Seorang penyokong yang mahu dikenali sebagai Rohaina berkata, dia lega melihat Ismail Sabri berada dalam keadaan sihat selepas bekas Perdana Menteri itu berdepan masalah kesihatan beberapa minggu lalu.


"Saya lega melihat beliau sudah kembali pulih tetapi sedih kerana beliau terpaksa menghadapi pertuduhan di mahkamah. Saya berharap beliau akan dibebaskan daripada pertuduhan," katanya.


Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin membenarkan Ismail Sabri diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin selepas beliau mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Notis itu menghendaki beliau mengisytiharkan aset mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.


Bagaimanapun, Suzana menolak permohonan pendakwaan supaya Ismail Sabri menyerahkan pasportnya kerana tiada bukti menunjukkan beliau berkemungkinan melarikan diri dari negara ini.


Ismail Sabri tiba di kompleks mahkamah kira-kira jam 8.35 pagi bersama isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dan anak-anak termasuk penyanyi Dafi, sebelum disertai penyokong serta ahli keluarga lain.


Beliau kelihatan tenang ketika berada di galeri awam sambil berbual dengan adik-beradik dan penyokongnya.


Khairy, Adnan dan bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, turut hadir mengikuti prosiding.


Galeri awam turut dipenuhi wartawan dan anggota keselamatan, manakala hanya individu yang mempunyai pas mahkamah yang sah dibenarkan masuk.


Ismail Sabri yang mengenakan sut hitam memasuki kandang tertuduh pada jam 9.38 pagi sebelum Suzana mengarahkan pertuduhan dibacakan kepadanya.


Beliau kelihatan tenang ketika menyatakan memahami pertuduhan berkenaan dan memilih untuk dibicarakan.


Pertuduhan turut dipaparkan pada skrin televisyen di dalam mahkamah, yang dibaca dan diteliti Ismail Sabri, termasuk butiran mengenai mata wang asing yang didakwa terbabit.


Selepas prosiding, penyokong menghampiri Ismail Sabri untuk menyampaikan kata-kata sokongan sebelum beliau dibawa ke bilik tahanan sementara bersebelahan bilik mahkamah.


Pada masa sama, anaknya yang ditemani peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam menuju ke kaunter bayaran ikat jamin bagi menyelesaikan bayaran berkenaan.


Sementara itu, Amer Hamzah berkata, anak guamnya kini semakin pulih selepas menjalani prosedur pemasangan perentak jantung di Institut Jantung Negara (IJN) dan dijadualkan menjalani pemeriksaan susulan.


"Saya lega tiada apa-apa perkara buruk berlaku hari ini. Marilah kita terus berdoa untuk kesihatan beliau," katanya.


Ketika ditanya mengenai perasaan Ismail Sabri berhubung pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, Amer Hamzah berkata: "Tiada siapa yang suka didakwa, terutama apabila anda percaya pertuduhan itu tidak berasas dan mempunyai asas yang kukuh."

Tiga bekas Perdana Menteri 'bertemu' di mahkamah hari ini

Tiga bekas Perdana Menteri 'bertemu' di mahkamah hari ini


Tiga bekas Perdana Menteri dijangka hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, hari ini, bagi menghadapi prosiding berasingan membabitkan kes masing-masing.


Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka hadir di kompleks berkenaan, sekali gus menyaksikan pertembungan luar biasa tiga bekas pemimpin negara dalam satu hari prosiding mahkamah.


Najib akan kembali ke Mahkamah Tinggi bagi meneruskan perbicaraan saman sivil 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadapnya dan beberapa individu lain.


Prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus itu dijangka diteruskan dengan keterangan berkaitan transaksi serta keputusan yang menjadi antara perkara utama dalam kontroversi 1MDB.


1MDB menuntut ganti rugi berbilion ringgit daripada bekas Ahli Parlimen Pekan itu dan defendan lain berhubung kerugian yang didakwa dialami dana kekayaan negara berkenaan.


Dalam prosiding berasingan, Muhyiddin pula akan meneruskan perbicaraan terhadapnya yang berdepan tujuh pertuduhan berkaitan program Jana Wibawa.


Presiden Bersatu itu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti berkenaan.


Beliau turut menghadapi tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta.


Perbicaraan kes itu sebelum ini menyaksikan beberapa saksi dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan projek, pembayaran dan syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan program Jana Wibawa.


Kes Ahli Parlimen Pagoh itu dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Khas Rasuah, Noor Ruwena Md Nurdin.


Bagaimanapun, kehadiran yang paling menjadi tumpuan dijangka membabitkan Ismail Sabri yang dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini.


Bekas Perdana Menteri itu dijangka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan gagal mengisytiharkan aset seperti yang dikehendaki agensi antirasuah berkenaan.


Prosiding pertuduhan itu sebelum ini ditangguhkan susulan masalah kesihatan yang dialami Ismail Sabri.


Beliau pernah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sebelum menjalani prosedur pemasangan perentak jantung.


Siasatan SPRM terhadap bekas Perdana Menteri itu sebelum ini mendapat perhatian selepas agensi berkenaan mendedahkan penyitaan kira-kira RM170 juta wang tunai dalam pelbagai mata wang serta 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM7 juta.


Rampasan berkenaan dibuat sebagai sebahagian daripada siasatan membabitkan beberapa bekas pegawai kanan Ismail Sabri.

Selasa, 25 Ogos 2026

'Pelik' bila pencuri jutaan dibebas dan dilantik ke jawatan tinggi - Tun Mahathir

'Pelik' bila pencuri jutaan dibebas dan dilantik ke jawatan tinggi - Tun Mahathir


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan nada sindiran menyifatkan, terlalu banyak perkara pelik yang sedang berlaku di dunia termasuk Malaysia dan kebanyakannya tidak membawa kebaikan kepada umat manusia.


Dr Mahathir berkata, keadaan itu menyukarkan beliau untuk mengulas setiap satu daripada pelbagai kejadian yang berlaku ketika dunia kini berada dalam keadaan bergolak.


Menurutnya, Malaysia juga tidak terlepas daripada pelbagai perkara yang dianggapnya pelik.


"Pemimpin yang pelik memimpin banyak negara. Mereka juga membuat keputusan yang pelik.


"Begitulah keadaannya. Peristiwa berlaku tanpa henti namun, nampaknya tiada siapa yang mengambil berat," ujarnya menerusi hantaran di Facebook.


Tambah Dr Mahathir, antara perkara lain adalah peperangan yang tidak sepatutnya tercetus tetapi tetap mengorbankan puluhan ribu nyawa selain menyebabkan kemusnahan harta benda dan kerugian besar.


Beliau berkata, dunia turut menyaksikan pemimpin sesebuah negara yang dipilih secara demokratik ditangkap oleh negara lain.


"Begitu juga sebuah negara diserang secara tiba-tiba dan pemimpinnya dibunuh sehingga mencetuskan peperangan.


"Kemudian negara yang menyerang melancarkan serangan bom dan roket, manakala negara yang diserang pula bertindak menyerang pangkalan milik pihak penyerang di beberapa negara," ujarnya.


Dr Mahathir turut menyentuh mengenai tindakan Israel yang menduduki sebahagian daripada wilayah negara lain sebelum mendakwa negara berkenaan melindungi pengganas.


Menurutnya, perang dan genosid di Gaza oleh Israel juga masih berterusan, malah serangan bom serta roket tetap berlaku walaupun ketika tempoh gencatan senjata.


"Sehingga kini kira-kira 73,000 rakyat Gaza telah terbunuh manakala seluruh bandar Gaza musnah dan menjadi runtuhan.


"Seluruh bandar Gaza telah musnah dan menjadi runtuhan. Namun, rakyat Gaza masih berusaha untuk menjalani kehidupan seperti biasa.


"Selain itu, terdapat peperangan antara Ukraine dan Rusia. Satu peperangan yang tidak masuk akal kerana Ukraine tidak mampu mengalahkan Rusia namun ribuan orang terkorban serta seluruh bandar musnah," ulasnya.

Isnin, 24 Ogos 2026

Bida tongkat Hadi RM16,500 bukan kerana taksub tapi peringatan pengakhiran usia - Muqharabbin

Bida tongkat Hadi RM16,500 bukan kerana taksub tapi peringatan pengakhiran usia - Muqharabbin


Pendaki Gunung Everest negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menjelaskan tujuan beliau membida tongkat kayu kemuning milik Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dengan harga RM16,500, semalam.


Muhamad Muqharabbin, yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Lembah Pantai, berkata bidaan itu bukan kerana nilai sebuah tongkat atau taksub kepada manusia tetapi ia akan menjadi kenangan serta peringatan sepanjang hidupnya.


"Malam tadi menjadi antara saat terindah buat saya, dapat berada dekat dengan seorang murabbi serta pada masa sama, dapat menyumbang kepada perjuangan PAS Melaka dan PAS Malaysia.


"Bagaimanapun, yang paling penting, tongkat ini menjadi ingatan keras kepada diri saya sendiri.


"Hari ini kita masih kuat, mampu berjalan, mendaki puncak tertinggi, berlari 50 kilometer (km), berkayuh keliling dunia, bekerja dan berjuang tetapi kekuatan itu tidak akan kekal selamanya.


"Jika Allah panjangkan usia, suatu hari nanti saya juga akan tua dan mungkin akan bertongkat.


"Justeru, selagi Allah beri usia dan kudrat, berjuanglah walau di mana kita berada. Jangan tunggu sehingga kita sudah tidak mampu.


"Tiada perasaan taksub kepada makhluk Allah. Penghormatan tertinggi kita kepada manusia hanyalah kepada junjungan besar Baginda Rasulullah," kata beliau dalam Facebooknya, hari ini.


Malam tadi, Muhamad Muqharabbin berjaya membida tongkat kayu kemuning milik Abdul Hadi pada Majlis Makan Malam Amal PAS Melaka, dengan harga RM16,500.


Tongkat tertera parap TGHH, bermaksud 'Tuan Guru Haji Hadi' yang mula dibida pada harga RM2,500 itu dilelong khas dengan persetujuan Abdul Hadi bagi membantu jentera PAS menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.


Lelongan itu diadakan sebagai antara usaha mengumpul sumbangan bagi tabung parti.


Muhamad Muqharabbin, berkata nilai RM16,500 itu juga membawa makna peribadi untuknya, yang menyifatkan ia bukan tafsiran agama terhadap angka, namun sekadar simbol untuk mengingatkan diri supaya menjaga Islam, iman dan ihsan hingga akhir hayat.


"Sebuah tongkat, sebuah kenangan tetapi membawa peringatan untuk sepanjang kehidupan.


"Insya Allah, kita jumpa di Muktamar PAS 2026 di Kelantan. Selagi ada usia, selagi ada kudrat, teruskan berjuang," katanya.

Jumaat, 7 Ogos 2026

Ismail Sabri dimasukkan ke IJN, pendakwaan ditangguh 27 Ogos

Ismail Sabri dimasukkan ke IJN, pendakwaan ditangguh 27 Ogos

 

Pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini ditangguhkan selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) akibat masalah kesihatan.


Hakim, Suzana Hussin kemudian menetapkan prosiding pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan terhadap Ahli Parlimen Bera berusia 66 tahun itu pada tiga minggu akan datang.


"Memandangkan tertuduh kini berada di IJN kerana isu kesihatan, termasuk permohonan penangguhan oleh pembelaan serta pendakwaan, mahkamah membenarkan prosiding pembacaan pertuduhan termasuk pengambilan pengakuan akan dilakukan pada 27 Ogos," kata hakim.


Berdasarkan sistem kehakiman, pertuduhan terhadap Ismail Sabri sepatutnya dibacakan pada jam 9 pagi hari ini.


Semasa prosiding, peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ismail Sabri berkata, pihak pembelaan mengesahkan pertuduhan terhadap anak guamnya telah difailkan oleh pihak pendakwaan.


Menurutnya, ketika berada di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada Khamis untuk memberikan keterangan dengan ditemani seorang lagi peguam, Ragunath Kesavan, Ismail Sabri dilaporkan mengalami masalah kesihatan.


"Beliau terpaksa digegaskan ke IJN dan doktor yang merawat mengesahkan anak guam mempunyai masalah kesihatan.


"Mesin ‘Holter’ yang dipasang juga mengesan terdapat masalah pada jantung yang memerlukan siasatan serta rawatan lanjut," katanya.


Beliau berkata, pihak hospital turut mengesahkan Ismail Sabri perlu menjalani prosedur pemasangan perentak jantung pada jam 2 petang ini.


Sehubungan itu, katanya, pembelaan memohon prosiding pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan ditangguhkan ke satu tarikh lain.


"Atas belas ihsan mahkamah, kami memohon pembacaan pertuduhan, pengambilan pengakuan termasuk isu-isu berbangkit seperti ikat jamin ditetapkan pada tarikh lain.


"Ini kerana anak guam perlu dimasukkan ke wad dan dipantau oleh doctor jadi saya mencadangkan pertuduhan dijalankan apabila beliau benar-benar sihat untuk hadir ke mahkamah pada 27 Ogos ini," katanya.


Amer Hamzah berkata, Ismail Sabri masih berada di bawah jaminan SPRM, justeru tiada risiko beliau akan melarikan diri, lebih-lebih lagi ketika ini sedang menerima rawatan di hospital.


Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan berkata, pihak pendakwaan tidak membantah permohonan penangguhan atas faktor kesihatan tertuduh.


"Adalah adil atas sifat kemanusiaan, kami tidak akan membantah permohonan penangguhan berkenaan.


"Bagaimanapun, kami memohon prosiding diteruskan pada 27 Ogos ini, tertakluk kepada keadaan kesihatan tertuduh selepas dibenarkan keluar dari wad dan disahkan cukup sihat untuk hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan serta mengambil pengakuan," katanya.


Pada 1 Oktober 2025, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melucutkan hak wang tunai pelbagai mata wang asing berjumlah kira-kira RM169 juta yang didakwa milik Ismail Sabri kepada Kerajaan Malaysia.


Wang berkenaan melibatkan RM14,772,150; SG$6,132,350; AS$1,461,400; CHF3 juta (franc Swiss); EUR12,164,150; JPY363,000,000 (yen); £50,250 (pound sterling); NZ$44,600; AED34,750,000 (dirham Emiriah Arab Bersatu) dan AUD352,850.


Hakim sama membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan kerana tiada pihak ketiga yang berkepentingan tampil mencabar prosiding pelucuthakan harta terbabit.


Pada 8 September tahun sama, mahkamah diberitahu bahawa Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus, yang dinamakan sebagai responden, tidak berhasrat mencabar permohonan pendakwaan untuk melucutkan hak wang tunai yang disita SPRM.


Pada sidang media pada Mac 2025, SPRM mempamerkan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.


Wang dan jongkong emas itu dipamerkan selepas SPRM mendedahkan rampasan wang tunai ratusan juta ringgit serta pelbagai barangan berharga di tiga premis, termasuk sebuah 'safehouse', yang dikaitkan dengan siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.


Sejak awal pagi, pengamal media dilaporkan mula berkumpul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur serta di luar kawasan IJN bagi mengikuti perkembangan kes itu.
Ismail Sabri dimasukkan ke IJN, prosiding mungkin dijalankan di hospital

Ismail Sabri dimasukkan ke IJN, prosiding mungkin dijalankan di hospital


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang dijadual didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, dilaporkan telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).


Menurut sumber yang rapat dengan kes berkenaan, prosiding pertuduhan berkemungkinan dipindahkan ke IJN, bergantung kepada nasihat doktor.


"Ia bergantung kepada nasihat doktor," kata sumber berkenaan kepada portal berita The Star, dalam laporannya sebentar tadi.


Sementara itu, satu lagi sumber yang dekat dengan Ismail Sabri mengesahkan kepada akhbar itu, Ahli Parlimen Bera itu kini menerima rawatan di IJN.


Menurutnya, pengakuan tertuduh dijangka direkodkan di IJN, namun waktu prosiding masih belum dapat dipastikan.


"Buat masa ini, pihak pendakwaan perlu mengemukakan permohonan supaya prosiding pengakuan dijalankan di IJN, namun keputusan akhir tertakluk kepada hakim," katanya.



Sejak awal pagi, pengamal media dilaporkan mula berkumpul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur serta di luar kawasan IJN bagi mengikuti perkembangan kes itu.


Semakan sistem mahkamah menunjukkan pertuduhan terhadap Ismail Sabri dijadual dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin pada pukul 9 pagi.


Berdasarkan laporan sebelum ini, kes berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan isu pengisytiharan harta.


Ismail Sabri sebelum ini beberapa kali dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan berhubung siasatan berkaitan pengisytiharan hartanya.


Dalam perkembangan berkaitan, SPRM sebelum ini dilaporkan menyita wang tunai berjumlah RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta 16 kilogram jongkong emas tulen bernilai kira-kira RM7 juta.


Rampasan itu dibuat menerusi beberapa serbuan ke atas hartanah susulan penahanan empat bekas pegawai kanan Ismail Sabri pada Februari 2025.

Khamis, 6 Ogos 2026

Zahid sifatkan dakwaan campur tangan luar dalam pelantikan MB Negeri Sembilan sebagai 'kenyanyukan'

Zahid sifatkan dakwaan campur tangan luar dalam pelantikan MB Negeri Sembilan sebagai 'kenyanyukan'


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan dakwaan kononnya berlaku campur tangan luar dalam pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai 'kenyanyukan' serta tidak memahami realiti politik.


Mengulas kenyataan Pengerusi Parti Wawasan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim mengenai dakwaan campur tangan luar dalam proses pelantikan itu, Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan, beliau tidak mahu melayan kenyataan sedemikian.


"Saya tidak mahu melayani kenyanyukan seseorang yang tidak memahami realiti politik bahawa nama mesti dikemukakan kepada pihak istana.


"Sebagai Pengerusi BN (Barisan Nasional), tentunya saya perlu mengemukakan watikah dan juga cadangan nama," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya, hari ini.


Rais sebelum ini dilapor mempersoalkan urusan pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan termasuk mendakwa wujudnya campur tangan dari pihak luar dalam urusan adat dan perlembagaan Negeri Sembilan.


Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, jika tugasnya sebagai Pengerusi BN di peringkat pusat dianggap sebagai campur tangan orang luar, maka dakwaan itu jelas tidak berasas.


"Kalau tugas saya sebagai Pengerusi BN dianggap sebagai orang luar, ertinya kenyanyukan itu jelas terpancar daripada wajah orang yang mengatakannya begitu," katanya.


Dalam pada itu, Ahmad Zahid menafikan dakwaan kononnya wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) akan dilantik mengganggotai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan.


"Tidak akan pernah ada," katanya ringkas ketika ditanya mengenai dakwaan berkenaan.


Sebelum ini, wujud dakwaan bahawa ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH berkemungkinan menyertai pentadbiran Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Ismail.


Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memaklumkan pihaknya sedang memuktamadkan senarai barisan EXCO yang akan dilantik dan pengumuman barisan EXCO dijangka dibuat pada Jumaat ini atau selewat-lewatnya Isnin depan.

Ahad, 2 Ogos 2026

'Di Johor kalah, di Negeri Sembilan pun kosong' - Hamzah sindir kekalahan BERSATU

'Di Johor kalah, di Negeri Sembilan pun kosong' - Hamzah sindir kekalahan BERSATU


Parti Wawasan Negara (WAWASAN) berpandangan BERSATU sudah tidak lagi relevan dalam landskap politik semasa susulan prestasi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.


Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, turut mengajak bekas rakan seperjuangannya dalam BERSATU supaya menyertai WAWASAN sekiranya masih mahu meneruskan perjuangan politik demi kepentingan rakyat.


"Saya nak beritahu kepada rakan-rakan saya yang dahulunya daripada BERSATU, sudahlah. Di Johor kalah, di sini pun kosong.


"Kembalilah bersama pimpinan yang benar-benar ikhlas dan jujur demi masa depan rakyat. Bukan untuk saya tetapi untuk semua rakyat," katanya pada sidang media di Rasah Kemayan, Seremban malam tadi.


Beliau berkata demikian mengulas prestasi BERSATU pada PRN Negeri Sembilan.


Hamzah turut mengulas corak kempen BERSATU sepanjang pilihan raya yang lebih banyak menyerang gabungan Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) berbanding Pakatan Harapan (PH), sekali gus mempersoalkan pendirian sebenar parti itu.


"Dalam kempen, mereka tidak pernah bercakap mengenai PH. Mereka lebih banyak menyerang kami. Terpulang kepada mereka tetapi pada saya mereka sudah tidak relevan lagi," katanya.


Mengulas prestasi pilihan raya itu, Hamzah turut menyindir BERSATU yang kehilangan deposit di hampir semua kerusi yang ditandingi.


"Saya dimaklumkan mereka bertanding 24 kerusi. Saya rasa tak perlulah kita bercakap mengenai mereka lagi," katanya.

Khamis, 30 Julai 2026

Tular video 'beli undi', calon BN DUN Chuah buat laporan polis

Tular video 'beli undi', calon BN DUN Chuah buat laporan polis


Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah, Pau Jeou Ching membuat laporan polis susulan tular satu video di media sosial yang didakwa memaparkan aktiviti agihan wang serta risalah yang dikaitkan dengannya.


Menurut Jeou Ching, video berkenaan adalah cubaan untuk memfitnah serta merosakkan reputasinya.


"Setelah menyedari mengenai kewujudan video tular ini, saya segera menyerahkannya kepada pihak polis untuk siasatan susulan.


"Memandangkan video itu jelas merakam mereka yang hadir, maka ia pastinya memudahkan pihak polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh seterusnya mendedahkan kebenaran," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau turut mengutuk sekeras-kerasnya sebarang percubaan memfitnah, sengaja memanipulasi rakaman video atau menggunakan teknologi bagi mengelirukan orang ramai.


Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya tidak terpedaya dengan fitnah, menghentikan penyebaran berita palsu dan memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan.


Sebelum ini tular video dan beberapa gambar di media sosial yang memaparkan orang ramai beratur di sebuah restoran di Chuah dipercayai untuk menerima wang sebagai imbuhan yang diberikan oleh sebuah parti sempena pilihan raya ini.


Bagaimanapun calon PH Chuah, Datuk Yew Boon Lye menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengaitkan beliau dengan video tular tersebut dan turut membuat laporan polis.


Beliau menegaskan tidak pernah terlibat, merestui atau mengarahkan mana-mana individu menawarkan wang atau apa-apa bentuk imbuhan sebagai pertukaran untuk mendapatkan undi.


"Saya sentiasa menentang sekeras-kerasnya politik wang dan perbuatan membeli undi.


"Menggunakan wang untuk mempengaruhi pilihan pengundi bukan sahaja melanggar undang-undang pilihan raya, malah mencabuli hak pengundi untuk membuat pilihan secara bebas serta merosakkan keadilan dan maruah sistem demokrasi," katanya.


Tular satu video di media sosial yang didakwa memaparkan aktiviti agihan wang serta risalah yang dikaitkan dengan calon BN bagi DUN Chuah itu.

Selasa, 28 Julai 2026

Sanusi mula hantar LOD terhadap pihak didakwa putar belit kenyataannya, lebih ramai bakal disaman

Sanusi mula hantar LOD terhadap pihak didakwa putar belit kenyataannya, lebih ramai bakal disaman


Pasukan peguam Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sedang menjalankan proses penyerahan surat tuntutan atau Letter of Demand (LOD) terhadap pihak yang didakwa memutar belit kenyataannya berkaitan isu sejarah dalam ucapan yang disampaikan di Negeri Sembilan baru-baru ini.


Menurut Muhammad Sanusi, lebih ramai individu berada dalam senarai untuk menerima LOD sekiranya didapati melakukan tindakan sama, termasuk memutar belit, menokok tambah dan mengulas kenyataannya di luar konteks sebenar.


"Penyerahan LOD ini sedang diuruskan oleh pasukan peguam. Ada ramai lagi dalam senarai untuk menerima LOD seumpama ini dengan tuntutan yang sesuai mengikut tindakan mereka.


"Mereka memutar belit, menokok tambah, mengada-adakan perkara yang tiada, memberi komen berasaskan sumber yang telah diputar belit tanpa diperiksa, selain memesong dan memanipulasi ucapan saya di luar maksud sebenar.


"Semoga ia menjadi pengajaran kepada semua," katanya yang dipetik di media sosialnya hari ini.


Pada Sabtu lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman terhadap mana-mana pihak yang didakwa memanipulasi kenyataannya berkaitan sejarah demi kepentingan politik.


Beliau turut memaklumkan laporan polis akan dibuat terhadap pihak yang didakwa memutar belit kenyataan berkenaan, sambil menegaskan ucapan yang disampaikan hanyalah berdasarkan fakta sejarah dan tidak ditujukan kepada mana-mana kaum atau pihak tertentu.


Difahamkan, antara individu terawal menerima LOD ialah Pengarah Pilihan Raya PKR Negeri Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan.


Menerusi surat tuntutan yang dikeluarkan firma guaman Faizi & Associates bertarikh 27 Julai, Muhammad Sanusi mendakwa Dr Sathia telah memfitnah beliau menerusi kenyataan media dan video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya berhubung ucapan yang disampaikan di Negeri Sembilan baru-baru ini.


Surat itu mendakwa Dr Sathia secara tidak tepat mengaitkan Muhammad Sanusi dengan kenyataan berbunyi 'India baliklah India' dan 'Cina baliklah China', sedangkan frasa tersebut didakwa tidak pernah diucapkan oleh Menteri Besar Kedah itu.


Sebaliknya, surat berkenaan menyatakan ucapan sebenar Muhammad Sanusi hanya menjelaskan bahawa orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu sebagai tanah air mereka, manakala bangsa lain mempunyai negara asal masing-masing.


Peguam beliau turut mendakwa tindakan memetik sebahagian ucapan, menambah perkataan tertentu serta menyunting rakaman video telah menjejaskan reputasi anak guam mereka dan dilakukan dengan niat jahat.


Sehubungan itu, Dr Sathia dituntut dalam tempoh tujuh hari untuk menarik balik video TikTok berkenaan, mengemukakan permohonan maaf secara terbuka, selain mencadangkan jumlah ganti rugi kepada Muhammad Sanusi.


Surat berkenaan turut menyatakan tindakan undang-undang akan dimulakan tanpa sebarang notis lanjut sekiranya tuntutan tersebut gagal dipenuhi.


Sebelum itu, Dr Sathia dilaporkan mengakui terdapat kekhilafan apabila mengulangi ucapan Muhammad Sanusi dengan menggunakan perkataan 'balik'.


Bagaimanapun, beliau menegaskan perkara itu tidak menjejaskan asas laporan polis yang dibuat terhadap Menteri Besar Kedah berhubung ucapan yang didakwa berpotensi membangkitkan sentimen perkauman.


Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden juga turut mendakwa Dr Sathia memanipulasi ucapan Muhammad Sanusi dan menuntut beliau menarik balik kenyataan serta memohon maaf secara terbuka.


Susulan kontroversi itu, beberapa laporan polis turut dibuat terhadap Dr Sathia bagi membolehkan siasatan dijalankan.