PAS menegaskan pelantikan jawatan Ketua Pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) bukan keperluan mendesak, walaupun parti itu sudah mempunyai calon bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan.
Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kelewatan pelantikan itu bukan disebabkan ketiadaan calon bersesuaian, sebaliknya mengambil kira faktor masa memandangkan Parlimen baharu sahaja selesai bersidang.
"Calon memang sudah ada. Kita cuma belum umumkan lagi sebab Parlimen baharu habis bersidang dan tempoh masih lama sebelum persidangan seterusnya.
"Jadi perkara itu belum mendesak kerana kita memang mempunyai beberapa calon, namun setakat ini belum memuktamadkan secara rasmi lagi," katanya ketika ditemui pasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Konsortium E-Mutiara Berhad, KotaKota Bharu hari ini.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail.
Sementara itu ditanya desas desus mengatakan nama Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang bakal mengisi jawatan berkenaan, Mohd Amar yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan enggan mengulas lanjut.
"Saya sendiri tidak tahu kerana bukan saya yang buat keputusan... tunggulah. Yang pasti nama calon sudah ada, cuma kini dalam proses memuktamadkan," katanya
Media sebelum ini melaporkan, PN memutuskan jawatan Ketua Pembangkang daripada PAS yang akan menggantikan bekas Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Hamzah Zainudin, bakal diumumkan namanya, April nanti.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan berkata, pengumuman itu akan dibuat selepas beberapa proses dalaman parti dapat diselesaikan.

EmoticonEmoticon