Memaparkan catatan dengan label Misteri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Misteri. Papar semua catatan

Rabu, 9 Februari 2022

Penyokong teori konspirasi dakwa ada UFO biru dan bangunan makhluk asing di Bulan

Penyokong teori konspirasi dakwa ada UFO biru dan bangunan makhluk asing di Bulan


Kumpulan penganalisis teori makhluk asing percaya bahawa terdapat objek terbang tidak dikenali (UFO) berwarna biru dan bangunan gergasi dibina di Bulan, lapor akhbar Daily Star pada 8 Februari 2022.


Menerusi paparan di laman YouTube, satu klip video menunjukkan tiga struktur menyerupai bangunan berada di Bulan, dengan salah satu lokasi penemuan tersebut adalah kawasan di mana kapal angkasa Apollo 15 mendarat pada tahun 1971.


Rakaman yang dimuat naik oleh saluran penyelidikan makhluk asing, Secureteam10 itu menganggarkan bangunan tersebut menyamai saiz sebuah pasar raya Walmart.


Saluran itu mempunyai lebih dua juta pengikut yang mahukan lebih banyak pembongkaran dibuat berhubung UFO dan makhluk asing.


"Kita tidak perlu membina sesuatu di Bulan kerana mereka (makhluk asing) sudah pun ada di sana. Dalam video ini, anda akan melihat struktur bangunan bersaiz pasar raya Walmart di Bulan.



"Binaan itu berada di atas sebuah bukit. Ia begitu hampir dengan tapak pendaratan misi Apollo dan ia bukan satu kebetulan," kata penulis Secureteam 10, John Ege.


Tambahnya: "Terdapat bukti struktur yang boleh anda temui walaupun sekarang, menggunakan Google Moon. Terdapat artifak dalam gambar yang diambil oleh angkasawan yang berada di Bulan pada masa lalu.


"Kebanyakan orang percaya. Namun, kepercayaan mungkin bukan lagi satu keperluan. Buktinya amat menggalakkan, kita tidak bersendirian. Kita tidak pernah begitu," dakwanya.


Dia juga mendakwa bahawa UFO berwarna biru itu serupa dengan yang terhempas ke lautan di Hawaii pada Januari 2021.


Laman web Secureteam 10 mengganggarkan binaan oleh makhluk asing itu sebesar pasar raya Walmart. - Foto Secureteam10.

Ahli teori konspirasi telah berkongsi 'bukti' mereka tentang bangunan dan objek misteri (UFO biru) di Bulan. - Foto Secureteam10.

Sabtu, 29 Januari 2022

Objek 'misteri dan menakutkan' ditemui berputar melalui cakerawala membebaskan tenaga radio setiap 18 minit

Objek 'misteri dan menakutkan' ditemui berputar melalui cakerawala membebaskan tenaga radio setiap 18 minit


Satu pasukan saintis dari Universiti Curtin, Perth, Australia berjaya mengesan sebuah objek misteri yang belum pernah dilihat sebelum ini, berada pada jarak kira-kira 4,000 tahun cahaya dari Bumi, lapor akhbar Daily Mail pada 26 Januari 2022.


Objek misteri itu berputar melalui cakerawala dan mengeluarkan pancaran sinaran atau letupan besar tenaga radio selama satu minit setiap 18 minit, ia menjadi salah satu objek paling terang di langit malam.


Berdasarkan pemerhatian, ia melepaskan letupan tenaga gergasi sebanyak tiga kali sejam. Menurut saintis, fenomena melepaskan tenaga tiga kali setiap jam tidak sepatutnya berlaku, dan sesuatu yang menyala selama satu minit adalah sangat luar biasa.


Ahli Astrofizik, Dr Natasha Hurley-Walker dari Universiti Curtin, Pusat Penyelidikan Astronomi Radio Antarabangsa (ICRAR) di Australia, mengetuai pasukan yang membuat penemuan itu.


Pelajar Curtin University menemui objek itu menggunakan teleskop Murchison Widefield Array (gambar) di pedalaman Australia Barat.

Pasukannya sedang memetakan gelombang radio di alam semesta dengan menggunakan teleskop dan teknik baharu yang dibangunkan, mereka kemudian menemui potensi magnetar.


"Objek ini muncul dan hilang selama beberapa jam semasa pemerhatian kami. Ia agak menyeramkan bagi seorang ahli astronomi kerana setakat yang diketahui, tidak ada yang seperti itu di langit.


"Ia sangat dekat dengan kita, hanya kira-kira 4,000 tahun cahaya seolah-olah Ia berada di halaman belakang galaksi kita," jelas Hurley-Walker.


Objek itu berkemungkinan bintang neutron hasil gabungan beberapa teras bintang galaksi lain dan mempunyai medan magnetik kuasa ultra atau dikenali sebagai magnetar. Bintang neutron istilah yang digunakan untuk tinggalan bintang mati.


Pasukan yang mengkaji objek ini percaya ciri yang sangat luar biasa ini disebabkan oleh keadaan putaran objek. Maksudnya, isyarat tenaga radio bukan datang dari tamadun asing yang mempunyai teknologi canggih.


Imej ini menunjukkan Bima Sakti seperti yang dilihat dari Bumi. Ikon bintang menunjukkan kedudukan objek misteri yang ditemui oleh ahli astronomi. - Foto ICRAR.

Bintang misteri yang dikesan wujud dalam galaksi Bima Sakti dengan kejauhan kira-kira 4,000 tahun cahaya dari Bumi. - Foto ICRAR.

Khamis, 20 Januari 2022

'Muncul' pasir biru bercahaya yang kelihatan seperti lagun di Gurun Sahara

'Muncul' pasir biru bercahaya yang kelihatan seperti lagun di Gurun Sahara


Laman sosial Reddit memaparkan satu penemuan menakjubkan di Gurun Sahara, iaitu sebuah kawasan yang berkilauan dengan warna biru kelihatan seperti air, namun ada pembentukan pasir tepat di atasnya, lapor akhbar Daily Star pada 17 Januari 2022.


Seperti yang kita tahu bahawa sekitar 65 peratus daripada planet ini belum diterokai, sama ada kawasan landskap bawah air yang luas, atau bahagian hutan hujan Amazon. Banyak perkara yang hanya boleh kita lihat menggunakan teknologi Google Maps.


Dalam penemuan misteri terbaharu, pengguna aplikasi pemetaan Google Maps telah menemui bahagian aneh di Gurun Sahara, yang dipercayai belum pernah diteroka oleh manusia secara fizikal.


Kawasan tersebut diberi nama Blue Upside Nike kerana berbentuk muncung terbalik dan menampilkan warna biru berkilauan.



Kawasan pelik itu sebenarnya boleh dilihat oleh sesiapa sahaja yang menaiki penerbangan ke rantau itu menggunakan laluan Aeroport Regional De Reggane, yang terletak kira-kira satu kilometer(km) dari tapak penemuan tersebut.


Pengguna Reddit yang menemui kawasan itu, OutOfBounds_Matrix, menyifatkannya sebagai hamparan nilam bercahaya biru yang indah.


"Kawasan yang menarik di Sahara. Kelihatan pasir terapung. Kawasan biru kelihatan seperti nilam bercahaya atau sejenis pasir bercahaya biru.


"Grid di sekelilingnya kelihatan seperti buatan manusia, terbentang lebih daripada 75km dari utara ke selatan dan 200 meter di antara setiap garisan grid," jelasnya.


Kawasan yang lebih asing boleh dilihat hanya beberapa ratus meter di utara pembentukan hamparan pasir biru. - Foto Google Maps.

Khamis, 13 Januari 2022

Pramugara berjaya rakam UFO berbentuk V terbang di atas jet penumpang Airbus A230

Pramugara berjaya rakam UFO berbentuk V terbang di atas jet penumpang Airbus A230


Satu rakaman luar biasa dirakam oleh seorang pramugara di Amerika Syarikat, menunjukkan sebuah UFO berbentuk seperti huruf V terbang di atas sebuah jet penumpang jenis A230 baru-baru ini, lapor akhbar The Sun pada 7 Januari 2022.


Rakaman itu dirakam dari ruang kokpit pada ketinggian 39,000 kaki oleh seorang pramugara yang sedang melihat ke arah langit, untuk merakam imej galaksi Bima Sakti, dia kemudian mengesan sesuatu yang luar biasa di langit.


Pramugara yang tidak didedahkan identitinya itu berkongsi rakaman itu dengan akaun YouTube popular, UFOMania. Dalam video yang dirakam menggunakan peranti iPhone 13 Pro Max itu, ruang udara yang gelap diterangi lampu yang bercahaya dari UFO.


Pramugara itu menjelaskan, dia sedang cuba mengambil video pesawat lain yang terbang tepat di atas pesawatnya pada arah bertentangan apabila dia terlihat objek aneh itu.


"Ketika saya merakam pesawat itu yang terbang di atas pesawat kami, saya perhatikan objek berbentuk V ini muncul dan ia kelihatan seperti sedang berada di antara kami dan pesawat lain," katanya.


Peminat UFO memuji kebolehan pramugara itu dalam merakam penampakan itu, dengan beberapa yang lain bergurau dengan mengatakan ia kelihatan seperti sebuah lampu isyarat.


"Saya melihat keseluruhan barisan benda berwarna-warni ini dalam satu barisan bergerak melintasi langit, beberapa tahun lalu. Ia adalah nyata, saya melihat mereka selama 30 minit," tulis seorang peminat UFO.


Seorang pengguna yang ragu-ragu dengan keaslian rakaman itu pula berkata, ia mungkin satu penipuan selepas menganalisis kualiti rakaman.


"Video objek dan kemudian pandangan pantas kokpit nampaknya tidak sesuai. Kualiti adalah sangat berbeza dan, apabila menyambung semula ke objek, nampaknya terdapat suntingan yang sangat kaku," katanya.


Rakaman itu pada asalnya diserahkan kepada forum dalam talian UFO Stalker, yang kerap membincangkan penampakan yang tidak dapat dijelaskan di seluruh dunia. Ia dipercayai dirakam pada awal pagi Isnin ketika pesawat penumpang itu melepasi Georgia.


Rakaman itu dirakam dari kokpit pada ketinggian 39,000 kaki oleh seorang pramugara. - Foto YouTube.

Isnin, 10 Januari 2022

Misteri 'pondok berbentuk kiub' yang ditemui di Bulan oleh rover China akhirnya terjawab

Misteri 'pondok berbentuk kiub' yang ditemui di Bulan oleh rover China akhirnya terjawab


Objek seperti kiub berjerebu yang digelar sebagai 'pondok misteri' di Bulan, yang dirakam kenderaan rover angkasa milik China bulan lalu sebenarnya sebiji batu, lapor akhbar Daily Star pada 8 Januari 2022.


Rover Yutu-2 bulan lalu membuat penemuan objek misteri itu di sisi gelap Bulan. Namun, rover itu mengambil masa selama dua bulan untuk mendekati objek tersebut untuk mengetahui apa sebenarnya objek yang dikesan itu.


Ketika penemuan 'kiub' itu mula-mula dilaporkan, ramai orang membuat spekulasi bahawa ia mungkin hanya tinggalan hentaman meteor, kerana ia kelihatan bersebelahan dengan kawah hentaman.


Para saintis China membangunkan strategi baharu untuk rover itu melintasi permukaan Bulan dan menghampiri objek tersebut dengan lebih pantas. Bagaimanapun, objek tersebut rupa-rupanya hanyalah sebiji batu lama biasa.


Menurut catatan blog tempatan iaitu Our Space, kiub itu dari jauh kelihatan setinggi bangunan Arc de Triomphe. Tetapi apabila didekati oleh rover, ia ternyata sangat pendek dan 'pemandu tidak dapat mengelak daripada berasa sedikit kecewa'.


Namun begitu, batu itu telah diberi nama jolokan 'Jade Rabbit' berkat serpihan batu yang mengelilinginya, yang kelihatan seperti sisa makanan dari jamuan lobak merah arnab.


Walaupun penemuan itu menyebabkan saintis kecewa, ia bukan sesuatu yang tidak dijangka. Rover Yutu-2 kini akan lebih dekat dengan batu tersebut dan kawah berhampiran untuk menganalisisnya.


Artikel Berkaitan: Kenderaan Jelajah China Berjaya Rakam 'Pondok Misteri' Di Bulan.


Rover Yutu-2 bulan lalu membuat penemuan objek misteri itu di sisi gelap bulan. - Foto Daily Star.

Ahad, 19 Disember 2021

Saintis jumpa takungan air besar di planet Marikh, berkemungkinan tanda-tanda kehidupan lampau di planet itu

Saintis jumpa takungan air besar di planet Marikh, berkemungkinan tanda-tanda kehidupan lampau di planet itu


Agensi Angkasa Lepas Eropah berjaya menemukan 'sejumlah besar takungan air' yang tersembunyi hanya kira-kira 1 meter di bawah permukaan Marikh selepas pesawat pengorbit mengelilingi planet Merah tersebut, lapor Space.com pada 16 Disember 2021.


Pesawat pengorbit, The Exomars Trace Gas Orbiter (TGO) yang dilancarkan sejak 2016 merupakan misi bersama antara agensi angkasa lepas itu, dengan Roscosmos yang bertujuan mengesan air di Valles Marineris di planet itu.


Valles Marineris terletak di selatan khatulistiwa planet tersebut dengan suhu kebiasaannya tidak cukup sejuk untuk air kekal menjadi ais. Saintis mendapati sistem ngarai itu 10 kali lebih panjang, lima kali lebih dalam serta 20 kali lebih luas berbanding Grand Canyon.


Air itu terletak di bawah permukaan lurah dalam bercerun tinggi yang curam, dan dikesan oleh instrumen pengorbit FREND atau Pengesan Neutron Epitermal Resolusi Halus. Instrumen tersebut berupaya memetakan hidrogen di 0.9 meter permukaan tanah planet Marikh.



"Kami mendapati bahagian tengah Valles Marineris dipenuhi air, jauh lebih banyak daripada yang kami jangkakan," kata Alexey Malakhov, seorang saintis kanan di Institut Penyelidikan Angkasa Akademi Sains Rusia, pengarang bersama laporan baharu itu. 


Kebanyakan air di Marikh terletak di kawasan kutub planet dan kekal beku menjadi ais. Pemerhatian itu dikumpulkan oleh pesawat pengorbit antara Mei 2018 hingga Februari tahun ini.


Sebelum ini, kapal pesawat pengorbit pernah mencari air di bawah permukaan Marikh, namun saintis hanya dapat mengkaji habuk permukaan dan mengesan sejumlah kecil air di planet itu. Penyelidikan baharu ini memperluaskan kedalaman yang boleh dikaji oleh saintis.


"Dengan TGO kita boleh melihat lebih dalam di bawah lapisan berdebu ini, dan melihat apa sebenarnya berlaku di bawah permukaan Marikh yang tidak dapat dikesan dengan instrumen sebelum ini," kata Igor Mitrofanov, seorang saintis Rusia, pengarang utama kajian baharu itu.


"Penemuan ini merupakan langkah pertama yang menakjubkan, tetapi kami memerlukan lebih banyak pemerhatian untuk mengetahui dengan pasti jenis air yang kami temui," kata Hakan Svedhem, bekas saintis projek ESA untuk ExoMars TGO pengarang bersama kajian itu.


"Mengetahui lebih lanjut tentang bagaimana dan di mana air wujud di Marikh masa kini adalah penting untuk memahami apa yang berlaku kepada air Marikh, yang dahulunya banyak dan membantu pencarian kami untuk persekitaran yang boleh didiami, kemungkinan tanda-tanda kehidupan lampau dan bahan organik dari zaman awal Marikh," kata Colin Wilson, saintis projek ExoMars TGO ESA.


Pesawat pengorbit, Mars Express merakamkan gambar Candor Chasma yang merupakan ngarai terbesar di utara Valles Marineris, Julai 2006. (Image credit: ESA/DLR/FU Berlin/G. Neukum, CC BY-SA 3.0 IGO).

Saintis di seluruh dunia sebelum ini percaya, air pernah mengalir serta menyebabkan berlakunya pembentukan lembah dan ngarai di planet 
Marikh. - Foto Twitter NASA.

Rabu, 8 Disember 2021

Kenderaan Jelajah China Berjaya Rakam 'Pondok Misteri' Di Bulan

Kenderaan Jelajah China Berjaya Rakam 'Pondok Misteri' Di Bulan


Sebuah 'pondok misteri' yang dikesan di permukaan Bulan oleh kenderaan jelajah rover milik China, telah mencetuskan keterujaan di kalangan pakar-pakar angkasa lepas, lapor akhbar Daily Star pada 6 Disember 2021.


Rover Yutu-2 merakam imej objek berbentuk kiub itu 79 meter di sebuah lokasi di sisi gelap Bulan. Pentadbiran Angkasa Lepas Negara China, Our Space menyifatkan imej itu sebagai 'pondok misteri'.


"Kami mempunyai perkembangan dari Yutu-2 di bahagian hujung Bulan, termasuk sebuah kiub yang terletak kira-kira 80 meter dari rover berkenaan di kawah Von Kármán," kata wartawan, Andrew Jones.


Dalam tempoh dua hingga tiga hari lunar, yang bersamaan dengan dua hingga tiga bulan di Bumi, Yutu-2 akan membantu saintis mengenal pasti dengan lebih tepat apakah objek itu dan bagaimana ia terbentuk.


Halangan utama yang akan ditemui rover Yutu-2 ketika menghampiri 'pondok misteri' itu termasuk kawah dan cerun, menurut laporan Our Space. Yutu-2 dan Chang'e 4 berkuasa solar China melakukan pendaratan pertama di Bulan pada Januari 2019.


Penemuan terbaharu itu berlaku ketika persaingan angkasa lepas antara Amerika Syarikat dan China semakin hangat selepas seorang saintis terkemuka China berkata, negaranya akan menghantar angkasawannya ke Bulan buat kali pertama sebelum 2030.


Rover Yutu-2 telah merakam satu objek berbentuk kiub di atas permukaan bulan. - Foto AFP via Getty Images.

Chang'e 4 berkuasa solar China. - Foto Wikimedia Commons.

Pondok misteri yang berjaya dirakam oleh Rover Yutu-2. - Foto Twitter/@AJ_FI.