Rabu, 9 Februari 2022

Penyokong teori konspirasi dakwa ada UFO biru dan bangunan makhluk asing di Bulan


Kumpulan penganalisis teori makhluk asing percaya bahawa terdapat objek terbang tidak dikenali (UFO) berwarna biru dan bangunan gergasi dibina di Bulan, lapor akhbar Daily Star pada 8 Februari 2022.


Menerusi paparan di laman YouTube, satu klip video menunjukkan tiga struktur menyerupai bangunan berada di Bulan, dengan salah satu lokasi penemuan tersebut adalah kawasan di mana kapal angkasa Apollo 15 mendarat pada tahun 1971.


Rakaman yang dimuat naik oleh saluran penyelidikan makhluk asing, Secureteam10 itu menganggarkan bangunan tersebut menyamai saiz sebuah pasar raya Walmart.


Saluran itu mempunyai lebih dua juta pengikut yang mahukan lebih banyak pembongkaran dibuat berhubung UFO dan makhluk asing.


"Kita tidak perlu membina sesuatu di Bulan kerana mereka (makhluk asing) sudah pun ada di sana. Dalam video ini, anda akan melihat struktur bangunan bersaiz pasar raya Walmart di Bulan.



"Binaan itu berada di atas sebuah bukit. Ia begitu hampir dengan tapak pendaratan misi Apollo dan ia bukan satu kebetulan," kata penulis Secureteam 10, John Ege.


Tambahnya: "Terdapat bukti struktur yang boleh anda temui walaupun sekarang, menggunakan Google Moon. Terdapat artifak dalam gambar yang diambil oleh angkasawan yang berada di Bulan pada masa lalu.


"Kebanyakan orang percaya. Namun, kepercayaan mungkin bukan lagi satu keperluan. Buktinya amat menggalakkan, kita tidak bersendirian. Kita tidak pernah begitu," dakwanya.


Dia juga mendakwa bahawa UFO berwarna biru itu serupa dengan yang terhempas ke lautan di Hawaii pada Januari 2021.


Laman web Secureteam 10 mengganggarkan binaan oleh makhluk asing itu sebesar pasar raya Walmart. - Foto Secureteam10.

Ahli teori konspirasi telah berkongsi 'bukti' mereka tentang bangunan dan objek misteri (UFO biru) di Bulan. - Foto Secureteam10.


EmoticonEmoticon