Khamis, 10 Februari 2022

Kucing duduk di atas kereta sport, pemilik tuntut ganti rugi RM12,737 baiki kesan calar


Seorang lelaki di Thailand dilaporkan memfailkan saman ganti rugi sebanyak 100,000 baht (RM12,737) ke atas jirannya selepas seekor kucing milik keluarga itu memanjat dan mencalarkan dua kereta sport mewahnya, lapor laman berita Thaiger pada 8 Februari 2022.


Pemilik kucing menyiarkan video di TikTok mengatakan jirannya menuntut pampasan, kerana membiarkan haiwan peliharaannya keluar ke kawasan awam lalu menyebabkan kerosakan pada harta benda orang lain.


Wanita itu menambah bahawa dia sanggup membayar ganti rugi untuk membaiki kesan calar yang dilakukan oleh kucingnya, tetapi pada harga yang berpatutan.


Laporan mengatakan bahawa kejadian tersebut berlaku pada Oktober 2020 apabila seorang kanak-kanak secara tidak sengaja membiarkan kucing peliharaan keluar dari rumah.


Petang itu, seorang pemilik kereta menghantar sebuah video yang dirakam oleh sistem televisyen litar tertutup (CCTV), menunjukkan kucing peliharaannya duduk di atas dua kereta sport berwarna hitam dan kuning.


Pemilik kucing itu bersama keluarganya ke rumah berkenaan untuk memeriksa kerosakan pada kereta tersebut, dan mengatakan mereka hanya menemui kesan kotoran dari tapak kaki kucing itu.


Wanita itu berkongsi dengan media Thailand bahawa keluarganya telah cuba mencapai kata sepakat dengan jirannya, namun menegaskan bahawa semua kesan calar disebabkan oleh kucingnya dan meminta pampasan sebanyak 100,000 baht (RM12,737), sambil menambah bahawa harganya dianggarkan secara rasmi.


Pemilik kucing itu sudah membayar denda 500 baht (RM63.92) di balai polis kerana membiarkan haiwan peliharaan keluar ke kawasan awan tanpa pengawasan dan telah pergi ke mahkamah dua kali.


Rupa-rupanya, jirannya itu tidak pernah muncul di mahkamah dan terus pergi ke rumah mereka untuk meminta ganti rugi. Kisah tersebut dikongsikan secara meluas di Thailand dan laporan terbaharu mendapati pemilik kereta sport tersebut telah meminta maaf.


Gambar menunjukkan situasi ketika seekor kucing memanjat lalu duduk di atas dua kereta sport milik seorang lelaki di Thailand. - Foto The Thaiger.


EmoticonEmoticon