Ahad, 19 Disember 2021

Saintis jumpa takungan air besar di planet Marikh, berkemungkinan tanda-tanda kehidupan lampau di planet itu


Agensi Angkasa Lepas Eropah berjaya menemukan 'sejumlah besar takungan air' yang tersembunyi hanya kira-kira 1 meter di bawah permukaan Marikh selepas pesawat pengorbit mengelilingi planet Merah tersebut, lapor Space.com pada 16 Disember 2021.


Pesawat pengorbit, The Exomars Trace Gas Orbiter (TGO) yang dilancarkan sejak 2016 merupakan misi bersama antara agensi angkasa lepas itu, dengan Roscosmos yang bertujuan mengesan air di Valles Marineris di planet itu.


Valles Marineris terletak di selatan khatulistiwa planet tersebut dengan suhu kebiasaannya tidak cukup sejuk untuk air kekal menjadi ais. Saintis mendapati sistem ngarai itu 10 kali lebih panjang, lima kali lebih dalam serta 20 kali lebih luas berbanding Grand Canyon.


Air itu terletak di bawah permukaan lurah dalam bercerun tinggi yang curam, dan dikesan oleh instrumen pengorbit FREND atau Pengesan Neutron Epitermal Resolusi Halus. Instrumen tersebut berupaya memetakan hidrogen di 0.9 meter permukaan tanah planet Marikh.



"Kami mendapati bahagian tengah Valles Marineris dipenuhi air, jauh lebih banyak daripada yang kami jangkakan," kata Alexey Malakhov, seorang saintis kanan di Institut Penyelidikan Angkasa Akademi Sains Rusia, pengarang bersama laporan baharu itu. 


Kebanyakan air di Marikh terletak di kawasan kutub planet dan kekal beku menjadi ais. Pemerhatian itu dikumpulkan oleh pesawat pengorbit antara Mei 2018 hingga Februari tahun ini.


Sebelum ini, kapal pesawat pengorbit pernah mencari air di bawah permukaan Marikh, namun saintis hanya dapat mengkaji habuk permukaan dan mengesan sejumlah kecil air di planet itu. Penyelidikan baharu ini memperluaskan kedalaman yang boleh dikaji oleh saintis.


"Dengan TGO kita boleh melihat lebih dalam di bawah lapisan berdebu ini, dan melihat apa sebenarnya berlaku di bawah permukaan Marikh yang tidak dapat dikesan dengan instrumen sebelum ini," kata Igor Mitrofanov, seorang saintis Rusia, pengarang utama kajian baharu itu.


"Penemuan ini merupakan langkah pertama yang menakjubkan, tetapi kami memerlukan lebih banyak pemerhatian untuk mengetahui dengan pasti jenis air yang kami temui," kata Hakan Svedhem, bekas saintis projek ESA untuk ExoMars TGO pengarang bersama kajian itu.


"Mengetahui lebih lanjut tentang bagaimana dan di mana air wujud di Marikh masa kini adalah penting untuk memahami apa yang berlaku kepada air Marikh, yang dahulunya banyak dan membantu pencarian kami untuk persekitaran yang boleh didiami, kemungkinan tanda-tanda kehidupan lampau dan bahan organik dari zaman awal Marikh," kata Colin Wilson, saintis projek ExoMars TGO ESA.


Pesawat pengorbit, Mars Express merakamkan gambar Candor Chasma yang merupakan ngarai terbesar di utara Valles Marineris, Julai 2006. (Image credit: ESA/DLR/FU Berlin/G. Neukum, CC BY-SA 3.0 IGO).

Saintis di seluruh dunia sebelum ini percaya, air pernah mengalir serta menyebabkan berlakunya pembentukan lembah dan ngarai di planet 
Marikh. - Foto Twitter NASA.


EmoticonEmoticon