Sabtu, 29 Januari 2022

Objek 'misteri dan menakutkan' ditemui berputar melalui cakerawala membebaskan tenaga radio setiap 18 minit


Satu pasukan saintis dari Universiti Curtin, Perth, Australia berjaya mengesan sebuah objek misteri yang belum pernah dilihat sebelum ini, berada pada jarak kira-kira 4,000 tahun cahaya dari Bumi, lapor akhbar Daily Mail pada 26 Januari 2022.


Objek misteri itu berputar melalui cakerawala dan mengeluarkan pancaran sinaran atau letupan besar tenaga radio selama satu minit setiap 18 minit, ia menjadi salah satu objek paling terang di langit malam.


Berdasarkan pemerhatian, ia melepaskan letupan tenaga gergasi sebanyak tiga kali sejam. Menurut saintis, fenomena melepaskan tenaga tiga kali setiap jam tidak sepatutnya berlaku, dan sesuatu yang menyala selama satu minit adalah sangat luar biasa.


Ahli Astrofizik, Dr Natasha Hurley-Walker dari Universiti Curtin, Pusat Penyelidikan Astronomi Radio Antarabangsa (ICRAR) di Australia, mengetuai pasukan yang membuat penemuan itu.


Pelajar Curtin University menemui objek itu menggunakan teleskop Murchison Widefield Array (gambar) di pedalaman Australia Barat.

Pasukannya sedang memetakan gelombang radio di alam semesta dengan menggunakan teleskop dan teknik baharu yang dibangunkan, mereka kemudian menemui potensi magnetar.


"Objek ini muncul dan hilang selama beberapa jam semasa pemerhatian kami. Ia agak menyeramkan bagi seorang ahli astronomi kerana setakat yang diketahui, tidak ada yang seperti itu di langit.


"Ia sangat dekat dengan kita, hanya kira-kira 4,000 tahun cahaya seolah-olah Ia berada di halaman belakang galaksi kita," jelas Hurley-Walker.


Objek itu berkemungkinan bintang neutron hasil gabungan beberapa teras bintang galaksi lain dan mempunyai medan magnetik kuasa ultra atau dikenali sebagai magnetar. Bintang neutron istilah yang digunakan untuk tinggalan bintang mati.


Pasukan yang mengkaji objek ini percaya ciri yang sangat luar biasa ini disebabkan oleh keadaan putaran objek. Maksudnya, isyarat tenaga radio bukan datang dari tamadun asing yang mempunyai teknologi canggih.


Imej ini menunjukkan Bima Sakti seperti yang dilihat dari Bumi. Ikon bintang menunjukkan kedudukan objek misteri yang ditemui oleh ahli astronomi. - Foto ICRAR.

Bintang misteri yang dikesan wujud dalam galaksi Bima Sakti dengan kejauhan kira-kira 4,000 tahun cahaya dari Bumi. - Foto ICRAR.


EmoticonEmoticon