Jumaat, 28 Januari 2022

Saintis terkejut zarah berasal dari tayar dan plastik ada di kutub


Pencemaran nanoplastik telah dikesan di kawasan kutub buat kali pertama, dan situasi itu menunjukkan bahawa zarah-zarah kecil itu kini telah berada di seluruh dunia, lapor akhbar The Guardian pada 21 Januari 2022.


Analisis teras daripada kawasan ais di Greenland menunjukkan, pencemaran nanoplastik telah mencemarkan kawasan terpencil itu selama lebih 50 tahun.


Para penyelidik juga terkejut apabila mendapati, satu perempat daripada zarah itu berasal daripada tayar kenderaan. Zarah yang sangat ringan itu dikatakan bertiup ke Greenland melalui angin dari bandar-bandar di Amerika Utara dan Asia.


Nanoplastik yang ditemui pada ais di MaMurdo Sound di Antartika berkemungkinan telah dibawa oleh arus laut ke benua terpencil itu.


Plastik adalah sebahagian daripada pencemaran kimia yang melanda planet ini dan melepasi had selamat untuk manusia. Pencemaran plastik turut ditemui dari puncak Everest hingga ke lautan.


Orang ramai dikhuatiri secara tidak sengaja telah menyedut mikroplastik dan kajian mendapati, zarah tersebut boleh menyebabkan kerosakan pada sel manusia.


Ketua penyelidik dari Universiti Utrech di Belanda, Dusan Materic berkata, pihaknya mengesan zarah nanoplastik di sudut paling jauh di Bumi iaitu di kedua-dua kawasan kutub selatan dan utara.


"Nanoplastik sangat aktif secara toksik berbanding mikroplastik. Kejutan bagi kami bukanlah hanya baru dapat mengesan nanoplastik di sini, tetapi kami mengesannya sehingga ke bawah teras ais," jelasnya.


Kajian terbaru yang diterbitkan dalam jurnal Penyelidikan Alam Sekitar, mendapati terdapat 13 nanoplastik bagi setiap mililiter ais cair di Greenland, empat kali lebih banyak di dalam ais Antartika.


Di Greenland, separuh daripada nanoplastik adalah polietilena (PE), digunakan dalam beg plastik sekali pakai dan pembungkusan. Satu perempat adalah zarah tayar dan satu perlima adalah polietilena tereftalat (PET), yang digunakan dalam botol minuman dan pakaian.


Zarah nanoplastik dikesan sehingga ke bawah teras ais di kawasan kutub (gambar hiasan). - Foto The Guardian.


EmoticonEmoticon