Sabtu, 29 Januari 2022

Roket 'penggalak' SpaceX bakal terhempas di Bulan pada Mac depan


Sebahagian besar serpihan roket milik SpaceX yang dilancarkan tujuh tahun lalu, dan ditinggalkan di angkasa lepas selepas tamat misinya, bakal terhempas ke Bulan pada Mac depan, lapor akhbar The Guardian pada 25 Januari 2022.


Menurut ahli astronomi, Bill Gray, roket itu dilancarkan ke orbit dari Florida pada 2015 untuk menempatkan sebuah satelit cuaca Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), yang dikenali sebagai Deep Space Climate Observatory (DSCOVR).


Sejak itu, katanya, bahagian kedua roket atau penggalak dikesan terapung di ruang orbit yang berada dalam keadaan tidak menentu. Gray membuat pengiraan arah pandu pelanggaran baharu serpihan roket itu dengan Bulan.


Katanya, roket penggalak atau 'sampah angkasa lepas' itu melepasi berhampiran dengan Bulan pada Januari lalu dalam pertemuan yang mengubah orbitnya.


Gray merupakan individu disebalik Projek Pluto, sebuah perisian yang membolehkan pengiraan trajektori asteroid dan objek lain di angkasa lepas, serta digunakan dalam program pemantauan angkasa lepas dibiayai NASA.


Seminggu selepas bahagian roket itu bergerak menghampiri Bulan, Gary memerhati semula dan memutuskan ia akan terhempas ke kawasan gelap Bulan, berhampiran khatulistiwa, pada 4 Mac depan.


Serpihan roket itu akan terhempas pada kelajuan lebih 9,000 kilometer sejam. Masa dan lokasi terhempas mungkin berubah berbanding ramalan asal namun terdapat persetujuan akan berlaku pelanggaran di Bulan pada hari dinyatakan.


Menurut ahli meteorologi Eric Berger menjelaskan dalam catatan terbaru di Ars Technica, roket penggalak itu berkemungkinan tidak mempunyai bahan api yang mencukupi untuk kembali ke atmosfera Bumi - kekurangan tenaga untuk melepaskan 'diri' daripada graviti sistem Bumi-Bulan.


Roket milik SpaceX yang membawa satelit cuaca NASA dilancarkan dari stesen Cape Canaveral, Florida pada 11 Februari 2015. - Foto AFP.


EmoticonEmoticon