Memaparkan catatan dengan label LuarNegara. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label LuarNegara. Papar semua catatan

Jumaat, 27 Mei 2022

Bakal suami lari sebab motosikal dijual untuk belanja kahwin, pengantin perempuan bersanding sendirian

Bakal suami lari sebab motosikal dijual untuk belanja kahwin, pengantin perempuan bersanding sendirian


Seorang pengantin perempuan di Palembang, Sumatera Selatan terpaksa bersanding sendirian di pentas pelamin, selepas pengantin lelaki enggan hadir ke majlis disebabkan marah kepada wanita itu, lapor laman berita Tribun News pada 23 Mei 2022.


Menurut laporan, pengantin perempuan dikenali sebagai DH, 16, itu tetap meneruskan majlis persandingan meskipun tanpa kehadiran pengantin lelaki yang dikenali sebagai AAH, 17.


Ibunya, Rapita, 35, berkata acara itu tetap diteruskan bagi menghormati kira-kira 200 tetamu yang telah hadir.


Berita kononnya AAH telah lari dan tidak mahu datang diketahui mereka setelah mendapat cerita daripada rakan bakal pengantin lelaki.


"Sejak Jumaat dia lari ke Bandung. Kami mendapat berita itu hari Sabtu," kata Rapita pada Isnin 23 Mei 2022 lalu.


Tambahnya, calon menantunya berasa marah kerana motosikal miliknya telah dijual oleh ibu bapanya bagi mendapatkan wang untuk membiayai pernikahan itu.


Bahkan seminggu sebelum acara pernikahan dijadual berlangsung, lelaki itu ada menghubungi DH menerusi aplikasi WhatsApp dan menyuarakan rasa marahnya.


Dia juga menyalahkan DH kerana motosikal miliknya telah dijual oleh ibu bapanya sendiri untuk membiayai pernikahan mereka selain meminta wanita itu mengembalikan wang tersebut.


"Dia menghantar perbualan kepada anak saya, mengatakan motosikalnya telah dijual. Anak saya disuruh menggantikannya, kalau tidak dia tidak mahu berkahwin. Dia juga menyekat nombor anak saya," kata Rapita.


DH tetap meneruskan majlis persandingan meskipun tanpa kehadian pengantin lelaki. - Foto Tribun Jabar.

Ahad, 15 Mei 2022

Dua ekor biri-biri dipenjara kerana ragut rumput di zon larangan

Dua ekor biri-biri dipenjara kerana ragut rumput di zon larangan

Dua biri-biri dipenjara kerana meragut rumput di kawasan yang tidak dibenarkan. - Foto CEN.

Dua ekor biri-biri di Mexico dimasukkan ke dalam penjara selepas ditangkap meragut rumput di sebuah kawasan larangan, lapor akhbar Mirror UK pada 14 Mei 2022.


Kedua-dua ekor haiwan itu didakwa meragut di sekitar kawasan asrama sebuah sekolah dan akan terus ditahan sehingga pemiliknya membayar denda, serta membaiki kerosakan yang disebabkan oleh biri-biri berkenaan.


Pemiliknya, Reyna Morales, juga perlu berikrar untuk memastikan haiwan itu diikat dalam kandang jika mahu menuntut semula peliharaannya.


Pasangan biri-biri itu telah 'menjamu selera' di atas rumput di pekarangan asrama Ignacio Zaragoza di perbandaran Santa Catarina Yosonotu, dalam negeri Oaxaca, selatan Mexico.


Morales membuat rayuan kepada pihak polis kerana dia percaya hukuman penjara adalah satu bentuk kekejaman terhadap haiwan.


Dia memberitahu media tempatan bahawa biri-birinya sedang ditambat di belakang jeriji berkarat tanpa makanan dan air serta bimbang ia akan mati kelaparan.


Morales juga mendakwa bahawa keluarganya sedang ditakut-takutkan oleh pemimpin orang asli yang mengarahkan haiwan itu dipenjarakan, untuk menghalangnya daripada mendedahkan perbalahan itu.


Ibu kepada dua anak itu juga telah merayu bantuan kewangan daripada ahli komuniti kerana dia tidak mampu membayar denda.


Pejabat Peguam Negara di Oaxaca pada 11 Mei memaklumkan mereka telah membuka kertas siasatan untuk jenayah Kekejaman Haiwan, selepas dua haiwan vertebrata (biri-biri) dikurung di penjara perbandaran. - Sumber Mirror UK.


Imej ilustrasi perbandaran orang asli Santa Catarina Yosonotu di Oaxaca. - Foto CEN.

Sabtu, 14 Mei 2022

Kereta kuda emas misteri hanyut ke pantai India selepas taufan Asani melanda

Kereta kuda emas misteri hanyut ke pantai India selepas taufan Asani melanda


Sebuah kereta kuda berwarna keemasan ditemui terdampar di pantai sebuah negeri di India selepas taufan Asani melanda Teluk Benggala, lapor akhbar Mirror UK pada 12 Mei 2022.


Kereta kuda itu dipercayai dihanyutkan dari salah satu negara di Asia tenggara sama ada Indonesia, Myanmar atau Thailand. Ia terdampar di pantai Pelabuhan Laut Sunnapalli di daerah Srikakulam, negeri Andhra Pradesh pada Selasa lalu.


Gambar dan video yang tular di media sosial menunjukkan penduduk kampung dan nelayan tempatan berusaha menarik kereta kuda itu keluar dari air dengan bantuan tali yang diikat di sekelilingnya.


Sebaik sahaja keluar dari air orang ramai terus berkumpul di sekeliling kereta kuda itu dan mengagumi strukturnya.



Menurut seorang sub-inspektor kawasan Naupada di daerah itu, pihak atasan telah dimaklumkan dan mereka telah memulakan siasatan.


"Ia mungkin datang dari negara lain. Kami telah memaklumkan badan perisikan dan pegawai tinggi," katanya.


Negeri Andhra Pradesh telah dilanda hujan yang tidak henti-henti akibat taufan Asani. Amaran merah telah dibunyikan di daerah Guntar dan Krishna dengan kemungkinan hujan menjadi sangat lebat.


Sementara itu, amaran 'kuning' telah dikeluarkan di daerah Srikakulam, Vizianagaram dan Godavari.


Ketua menteri YS Jagan Mohan Reddy telah memberitahu semua pentadbiran tempatan di daerah pesisir pantai supaya berwaspada, dan bersiap sedia menghadapi kesan taufan itu. - Sumber Mirror UK.


Penduduk tempatan menarik kereta kuda itu ke pantai menggunakan tali. - Foto PBNS_India.

Sabtu, 7 Mei 2022

Kecoh mayat wanita dalam keranda hidup semula semasa pengebumiannya

Kecoh mayat wanita dalam keranda hidup semula semasa pengebumiannya


Satu majlis pengebumian di Peru menjadi kecoh apabila 'mayat' seorang wanita secara tiba-tiba hidup semula selepas didengari mengetuk dari bahagian dalam keranda, lapor akhbar Metro UK pada 2 Mei 2022.


Dalam kejadian pada 26 April lalu, ahli keluarga Rosa Isabel Cespedes Callaca berkumpul di bandar Lambayeque, untuk memberikan penghormatan terakhir kepada mayatnya selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya.


Kemalangan tersebut turut mengorbankan abang iparnya selain dua anak saudaranya dilaporkan cedera parah. Rosa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital berikutan kemalangan ngeri itu.


Bagaimanapun, ketika ahli keluarganya bersiap sedia untuk mengangkat keranda wanita itu, mereka terdengar bunyi yang aneh dari dalam keranda.


Ketika membuka penutup keranda, mereka terkejut apabila melihat 'mayat' Rosa hidup semula dan wanita itu memandang ke arah mereka dalam keadaan lemah.


"Dia membuka mata dan kelihatan berpeluh. Saya dengan pantas kembali ke pejabat dan menghubungi polis," kata penjaga kubur, Juan Segundo Cajo.


Ahli keluarga wanita itu kemudian membawanya ke sebuah hospital di bandar Lambayeque. Doktor memberikan mesin bantuan pernafasan kepadanya sebelum keadaannya semakin merosot dan meninggal dunia beberapa jam kemudian.


Susulan kejadian itu, ahli keluarga Rosa kini menuntut jawapan daripada pihak pengurusan hospital kerana wanita itu disahkan mati pada awalnya, sedangkan dia masih hidup ketika itu.


"Kami ingin tahu mengapa anak saudara saya bertindak balas semalam, ketika kami membawanya untuk dikebumikan. Kami mempunyai video di mana dia menolak dan menyentuh keranda," kata seorang ibu saudaranya memberitahu media tempatan.


Polis di Peru kini sedang berusaha untuk menyiasat apa yang berlaku di Hospital Wilayah Lambayeque, tempat dia mula dirawat untuk mengetahui punca kepada keadaan tersebut. - Sumber Metro UK.


'Mayat' Rosa hidup semula dan wanita itu memandang ke arah orang ramai dalam keadaan lemah. - Foto CEN.

Rabu, 4 Mei 2022

Pelanggan hotel rebus ketam dalam cerek elektrik diarah membayar ganti rugi RM1,340

Pelanggan hotel rebus ketam dalam cerek elektrik diarah membayar ganti rugi RM1,340


Seorang pelanggan hotel di Jepun diarah membayar ganti rugi 40,000 yen (RM1,340) kerana menggunakan cerek elektrik di bilik penginapannya untuk merebus ketam, lapor laman berita Sora News24 pada 3 Mei 2022.


Pihak pengurusan hotel berkata, makanan yang dimasak pelanggan berkenaan menghasilkan bau yang sukar dihilangkan, menyebabkan mereka tidak dapat menyewakan bilik itu selama beberapa hari. 


Namun, pelanggan tersebut menafikan dakwaan pihak hotel dan berkata, mustahil bau itu tidak hilang selama beberapa hari, dan bilik yang disewanya itu akan menerima tempahan setiap hari selepas dia keluar.


Pihak hotel kemudian mengakuinya lalu mengurangkan ganti rugi kepada 17,000 yen (RM569) untuk kos penyahbauan bilik dan 5,000 yen (RM167) untuk menggantikan cerek baharu.


Pelanggan itu bagaimanapun masih tidak puas hati lalu mendakwa bahawa penapis udara telah dipasang semasa dia memasak, dan tiada peraturan bertulis di bilik berkenaan yang melarangnya memasak ketam menggunakan cerek.


Sementara itu 'mahkamah pendapat umum' iaitu netizen sebulat suara bersetuju dengan pihak hotel dalam kes tersebut. Mengenai liabiliti undang-undang dalam kes itu, portal Bengoshi Dot Com bercakap dengan seorang peguam untuk menjelaskan mengenai tindakan pelanggan terbabit.


Kata peguam berkenaan, menyewa bilik hotel atau pelanggan akan menandatangani kontrak yang mewajibkan mereka untuk tidak terlibat dengan tingkah laku yang boleh merosakkan bilik. Tambahan pula, air cerek elektrik kebiasaannya diguna untuk membancuh minuman seperti teh dan kopi.


Jadi, sesiapa yang menggunakannya untuk tujuan tidak normal seperti membersihkan seluar dalam, bermain besbol dan memasak haiwan dilihat bertanggungjawab membuat kerosakan kepada harta hotel yang didiami. - Sumber SoraNews24.


Selasa, 12 April 2022

Pengantin wanita rugi RM135,444 ditipu bakal suami yang lari sebelum akad nikah

Pengantin wanita rugi RM135,444 ditipu bakal suami yang lari sebelum akad nikah

Foto Kompas.com

JAWA TENGAH - Seorang lelaki berasal dari Semarang diberkas pihak polis selepas menipu bakal calon isterinya sendiri sebanyak 461 juta rupiah (RM135,444).


Menurut lapor Tribunnews pada 8 April 2022, suspek juga melarikan diri sebelum akad nikah berlangsung, walaupun kad jemputan sudah diedarkan kepada tetamu.


Pelaku ialah Mulyani Sanjoyo, 43, dan mangsa, TH, 34, berasal dari bandar Magelang. Difahamkan, pasangan itu mula berkenalan menerusi aplikasi Tinder sejak Jun 2018.


Komunikasi mereka semakin rancak dengan berbual sesama sendiri selepas bertukar nombor Whatsapp. Hingga akhirnya memutuskan untuk bertemu di sebuah hotel di Semarang.


Selepas sebulan menjalinkan hubungan sebagai pasangan kekasih, lelaki itu memberitahu mangsa dia tidak berselera makan kerana sering dikejar pemungut hutang.


Lelaki itu malah memberitahu ibunya sedang sakit dan tidak mampu meneruskan rawatan kerana tidak mempunyai wang mencukupi bagi menjalani pembedahan. Mangsa kemudian menyerahkan sejumlah wang kepada suspek.


Ketua Polis Bandar Magelang, Yolanda Evallyn Sebayang berkata, suspek kemudian berkunjung ke rumah mangsa untuk berjumpa kedua-dua orang tua wanita itu. Jelasnya, suspek kononnya berniat serius untuk mengahwini anaknya.


"Sebulan selepas itu, lelaki itu mengadu keretanya mengalami kemalangan dan meminjam wang daripada wanita itu. Mangsa kemudian mahu suspek berjanji untuk mengahwininya selepas kereta tersebut siap dibaiki.


Beberapa bulan selepas itu, suspek meminta wanita itu melakukan persiapan perkahwinan termasuk menyediakan kad jemputan, maka dipersetujui 7 Mac 2020 sebagai hari perkahwinan," katanya.


Mangsa membuat laporan polis selepas menyedari dirinya ditipu. Polis menyiasat laporan itu dan akhirnya menangkap pelaku pada Rabu, 23 Mac 2022, di sebuah bilik hotel di kawasan Sragen. - Sumber Tribunnews.

Sabtu, 9 April 2022

Pesawat DHL mengalami masalah hidraulik terputus dua selepas tergelincir ketika pendaratan kecemasan

Pesawat DHL mengalami masalah hidraulik terputus dua selepas tergelincir ketika pendaratan kecemasan


Sebuah pesawat kargo Boeing 757-200 yang dikendalikan oleh DHL, terputus dua selepas tergelincir dari landasan ketika melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Juan Santamaria di Costa Rica, laporan akhbar Daily Mail pada 8 April 2022.


Penerbangan D07216 itu terbang dari San Jose ke Bandar Guatemala, pada Khamis (7 April), namun terpaksa berpatah balik kira-kira sejam selepas berlepas dan mendarat semula di Lapangan Terbang Juan Santamaria sekitar 10.30 pagi (waktu tempatan).


Semasa mendarat, pesawat berusia 22 tahun itu terbabas sebelum membelok tajam ke arah kanan. Kepulan asap keluar dari bawah tayar sebelum kapal terbang itu berhenti di kawasan tidak rata dengan percikan api keluar pada hujung ekornya.


Krunya hilang kawalan ke atas pesawat DHL tersebut semasa pendaratan cemas selepas kedua-dua topang gear runtuh. Topang gear adalah mekanisme yang menanggung beban pendaratan.



Rakaman video menunjukkan sebahagian badan pesawat terputus, manakala jentera bomba pantas menyembur buih pencegah kebakaran ke atasnya. Dua anak kapal yang berada dalam pesawat dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.


Pengedali lapangan terbang tersebut, Aeris menyatakan insiden itu berlaku pukul 10 pagi waktu tempatan dan selepas kerja pembersihan dilakukan, lapangan terbang tersebut dibuka semula pukul 3.30 petang.


Jelasnya, kira-kira 8,500 penumpang dan 57 penerbangan kargo terjejas akibat penutupan sementara lapangan terbang terbabit.


Menurut Timbalan Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Costa Rica, Luis Miranda Munoz, pesawat itu dijadualkan terbang ke Guatemala apabila mengalami kegagalan sistem hidraulik. Sehubungan itu, juruterbang meminta kebenaran untuk melakukan pendaratan kecemasan sejurus berlepas.


Keadaan pesawat kargo DHL yang terbabas ketika melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang San Jose, Khamis lalu. - Foto Twitter.