Selasa, 12 April 2022

Pengantin wanita rugi RM135,444 ditipu bakal suami yang lari sebelum akad nikah

Foto Kompas.com

JAWA TENGAH - Seorang lelaki berasal dari Semarang diberkas pihak polis selepas menipu bakal calon isterinya sendiri sebanyak 461 juta rupiah (RM135,444).


Menurut lapor Tribunnews pada 8 April 2022, suspek juga melarikan diri sebelum akad nikah berlangsung, walaupun kad jemputan sudah diedarkan kepada tetamu.


Pelaku ialah Mulyani Sanjoyo, 43, dan mangsa, TH, 34, berasal dari bandar Magelang. Difahamkan, pasangan itu mula berkenalan menerusi aplikasi Tinder sejak Jun 2018.


Komunikasi mereka semakin rancak dengan berbual sesama sendiri selepas bertukar nombor Whatsapp. Hingga akhirnya memutuskan untuk bertemu di sebuah hotel di Semarang.


Selepas sebulan menjalinkan hubungan sebagai pasangan kekasih, lelaki itu memberitahu mangsa dia tidak berselera makan kerana sering dikejar pemungut hutang.


Lelaki itu malah memberitahu ibunya sedang sakit dan tidak mampu meneruskan rawatan kerana tidak mempunyai wang mencukupi bagi menjalani pembedahan. Mangsa kemudian menyerahkan sejumlah wang kepada suspek.


Ketua Polis Bandar Magelang, Yolanda Evallyn Sebayang berkata, suspek kemudian berkunjung ke rumah mangsa untuk berjumpa kedua-dua orang tua wanita itu. Jelasnya, suspek kononnya berniat serius untuk mengahwini anaknya.


"Sebulan selepas itu, lelaki itu mengadu keretanya mengalami kemalangan dan meminjam wang daripada wanita itu. Mangsa kemudian mahu suspek berjanji untuk mengahwininya selepas kereta tersebut siap dibaiki.


Beberapa bulan selepas itu, suspek meminta wanita itu melakukan persiapan perkahwinan termasuk menyediakan kad jemputan, maka dipersetujui 7 Mac 2020 sebagai hari perkahwinan," katanya.


Mangsa membuat laporan polis selepas menyedari dirinya ditipu. Polis menyiasat laporan itu dan akhirnya menangkap pelaku pada Rabu, 23 Mac 2022, di sebuah bilik hotel di kawasan Sragen. - Sumber Tribunnews.


EmoticonEmoticon