Selasa, 12 April 2022

Kos RM50,000 bina jeti kayu tiada unsur rasuah - SPRM


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan pemeriksaan terhadap jeti kayu bernilai RM50,000 di Kampung Mutap di Miri, Sarawak baru-baru ini, dan mendapati tiada sebarang unsur rasuah dalam projek itu.


Menurut sumber, SPRM Sarawak diarahkan meneliti projek di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri itu, susulan dakwaan kos yang mahal seperti dibangkitkan orang ramai, selepas gambar jeti tersebut dimuat naik di media sosial beberapa hari lalu.


Kata sumber itu, berdasarkan hasil semakan mendapati projek pembinaan jeti sepanjang 15 meter itu tidak menunjukkan ada rasuah atau penyelewengan.


"Ibu pejabat mengarahkan SPRM Sarawak untuk meneliti projek di bawah JKR negeri itu, dan mendapati tiada sebarang unsur rasuah. Kayu yang diguna memang benar kayu belian hasil penelitian oleh pakar," kata sumber, hari ini.


Pengarah Kanan Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun beliau enggan mengulas lanjut.


JKR Sarawak baru-baru ini mengundang kritikan setelah memuat naik beberapa gambar di media sosial menunjukkan penyerahan jeti kayu baharu di Kampung Mutap, yang menurutnya menelan kos RM50,000.


Ramai yang menyuarakan keraguan terhadap mutu jeti tersebut, dan ada yang mempersoal peruntukan RM50,000 yang dikeluarkan kerajaan untuk apa yang dilihat sebagai struktur kayu yang cukup ringkas.


Bagaimanapun, JKR Bahagian Miri dalam kenyataan berkata, selain menggunakan kayu belian, pelbagai faktor juga diambil kira dalam menentukan kos pembinaan jeti Kampung Mutap, Bekenu yang menelan kos RM50,000.


Katanya, antara kos termasuk logistik selain faktor keselamatan dan keadaan jalan untuk ke kawasan berkenaan. Kayu belian yang digunakan pula bernilai RM9,000 semeter, lebih rendah daripada kadar harga pasaran.


Jeti Kampung Mutap yang disiapkan dengan kos RM50,000 dan disifatkan oleh netizen sebagai tidak wajar.


EmoticonEmoticon