Sabtu, 9 April 2022

Pesawat DHL mengalami masalah hidraulik terputus dua selepas tergelincir ketika pendaratan kecemasan


Sebuah pesawat kargo Boeing 757-200 yang dikendalikan oleh DHL, terputus dua selepas tergelincir dari landasan ketika melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Juan Santamaria di Costa Rica, laporan akhbar Daily Mail pada 8 April 2022.


Penerbangan D07216 itu terbang dari San Jose ke Bandar Guatemala, pada Khamis (7 April), namun terpaksa berpatah balik kira-kira sejam selepas berlepas dan mendarat semula di Lapangan Terbang Juan Santamaria sekitar 10.30 pagi (waktu tempatan).


Semasa mendarat, pesawat berusia 22 tahun itu terbabas sebelum membelok tajam ke arah kanan. Kepulan asap keluar dari bawah tayar sebelum kapal terbang itu berhenti di kawasan tidak rata dengan percikan api keluar pada hujung ekornya.


Krunya hilang kawalan ke atas pesawat DHL tersebut semasa pendaratan cemas selepas kedua-dua topang gear runtuh. Topang gear adalah mekanisme yang menanggung beban pendaratan.



Rakaman video menunjukkan sebahagian badan pesawat terputus, manakala jentera bomba pantas menyembur buih pencegah kebakaran ke atasnya. Dua anak kapal yang berada dalam pesawat dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.


Pengedali lapangan terbang tersebut, Aeris menyatakan insiden itu berlaku pukul 10 pagi waktu tempatan dan selepas kerja pembersihan dilakukan, lapangan terbang tersebut dibuka semula pukul 3.30 petang.


Jelasnya, kira-kira 8,500 penumpang dan 57 penerbangan kargo terjejas akibat penutupan sementara lapangan terbang terbabit.


Menurut Timbalan Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Costa Rica, Luis Miranda Munoz, pesawat itu dijadualkan terbang ke Guatemala apabila mengalami kegagalan sistem hidraulik. Sehubungan itu, juruterbang meminta kebenaran untuk melakukan pendaratan kecemasan sejurus berlepas.


Keadaan pesawat kargo DHL yang terbabas ketika melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang San Jose, Khamis lalu. - Foto Twitter.


EmoticonEmoticon