Sabtu, 9 April 2022

Serpihan angkasa lepas berkemungkinan milik roket China terhempas di pedalaman India


Beberapa pakar percaya sekeping serpihan angkasa lepas bersaiz besar yang terhempas di sebuah perkampungan di India, berkemungkinan milik roket China yang dilancarkan tahun lalu, lapor Daily Mail pada 5 April 2022.


Logam berbentuk cakera seberat lebih 40 kilogram dan diameter berukuran dua hingga tiga meter, ditemukan di sebuah padang kawasan kampung di daerah Chandrapur, Maharashtra, Sabtu lalu. Tiada laporan mengenai kecederaan atau kerosakan akibat struktur itu.


"Ketika kejadian, kami sedang menyediakan jamuan dan terkejut selepas cakera merah itu jatuh di kawasan terbuka dengan mengeluarkan bunyi dentuman yang amat kuat.


"Penduduk bergegas lari dalam ketakutan meninggalkan kawasan itu ke rumah masing-masing dan tidak keluar selama hampir setengah jam," kata seorang penduduk kepada The Times of India.


Memetik laporan Press Trust of India, pegawai daerah, Ajay Gulhane berkata, sebuah lagi serpihan berbentuk bola logam besar yang berukuran kira-kira setengah meter, jatuh di perkampungan lain di daerah tersebut.


"Serpihan tersebut diambil untuk pemeriksaan lanjut. Kami juga menghantar beberapa pegawai ke semua perkampungan di daerah tersebut untuk mencari sekiranya ada lagi serpihan bertaburan," katanya.


Dalam pada itu, menurut seorang pegawai di Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO), masa objek itu terhempas adalah 'padanan paling hampir' dengan waktu kemasukan semula serpihan dari roket China yang dilancarkan Februari tahun lalu.


"Apabila badan kapal angkasa bertahan memasuki semula atmosfera, bahagian roket seperti muncung dan cakera boleh memberi kesan ke atas Bumi," kata seorang lagi pegawai ISRO.


Sementara itu, seorang ahli astronomi dari Pusat Astrofizik Harvard-Smithsonian, Jonathan McDowell menerusi ciapan Twitter memaklumkan logam itu konsisten dengan bahagian roket Long March 3B milik China.


Objek berkenaan menghasilkan sejumlah besar haba dan geseran apabila ia memasuki atmosfera, yang boleh menyebabkannya terbakar dan hancur, tetapi yang lebih besar mungkin tidak musnah sepenuhnya.


Serpihan itu boleh mendarat di permukaan planet dan boleh menyebabkan kerosakan dan kematian, walaupun risiko itu rendah.


Insiden terbaru berlaku bulan lepas selepas roket terbuang yang dipercayai milik China terhempas ke bahagian jauh Bulan. Sampah angkasa lepas seberat tiga tan itu dipercayai meninggalkan kawah besar di permukaan Bulan pada 4 Mac lalu.


Pada 2020, serpihan dari sebuah lagi roket Long March milik China turut dilaporkan terhempas di sebuah kampung di Ivory Coast sehingga menyebabkan kerosakan struktur, namun tiada kecederaan mahupun kematian dilaporkan. - Sumber Daily Mail UK.


Logam berbentuk cakera seberat lebih 40 kilogram ditemukan di sebuah perkampungan di Maharashtra. - Foto Twitter.


EmoticonEmoticon