Sabtu, 14 Mei 2022

Kereta kuda emas misteri hanyut ke pantai India selepas taufan Asani melanda


Sebuah kereta kuda berwarna keemasan ditemui terdampar di pantai sebuah negeri di India selepas taufan Asani melanda Teluk Benggala, lapor akhbar Mirror UK pada 12 Mei 2022.


Kereta kuda itu dipercayai dihanyutkan dari salah satu negara di Asia tenggara sama ada Indonesia, Myanmar atau Thailand. Ia terdampar di pantai Pelabuhan Laut Sunnapalli di daerah Srikakulam, negeri Andhra Pradesh pada Selasa lalu.


Gambar dan video yang tular di media sosial menunjukkan penduduk kampung dan nelayan tempatan berusaha menarik kereta kuda itu keluar dari air dengan bantuan tali yang diikat di sekelilingnya.


Sebaik sahaja keluar dari air orang ramai terus berkumpul di sekeliling kereta kuda itu dan mengagumi strukturnya.



Menurut seorang sub-inspektor kawasan Naupada di daerah itu, pihak atasan telah dimaklumkan dan mereka telah memulakan siasatan.


"Ia mungkin datang dari negara lain. Kami telah memaklumkan badan perisikan dan pegawai tinggi," katanya.


Negeri Andhra Pradesh telah dilanda hujan yang tidak henti-henti akibat taufan Asani. Amaran merah telah dibunyikan di daerah Guntar dan Krishna dengan kemungkinan hujan menjadi sangat lebat.


Sementara itu, amaran 'kuning' telah dikeluarkan di daerah Srikakulam, Vizianagaram dan Godavari.


Ketua menteri YS Jagan Mohan Reddy telah memberitahu semua pentadbiran tempatan di daerah pesisir pantai supaya berwaspada, dan bersiap sedia menghadapi kesan taufan itu. - Sumber Mirror UK.


Penduduk tempatan menarik kereta kuda itu ke pantai menggunakan tali. - Foto PBNS_India.


EmoticonEmoticon