Khamis, 12 Mei 2022

Langit di bandar raya China menjadi merah resahkan penduduk


Penduduk di bandar raya Zhoushan, China, pada Sabtu lalu telah dikejutkan dengan pemandangan langit yang bertukar warna menjadi merah seperti darah, lapor akhbar Daily Mail pada 9 Mei 2022.


Kejadian itu berlaku pada waktu malam apabila langit bertukar warna menjadi merah jingga dengan kehadiran lapisan kabus yang tebal. Fenomena langit merah itu boleh dilihat di seluruh bandar berkenaan selama berjam-jam.


Langit yang berwarna merah di tepi pelabuhan bandar raya itu menimbulkan tanggapan bahawa ia berlaku disebabkan terdapat kejadian kebakaran yang tidak terkawal. Ia turut menjadi topik perbincangan di media sosial seperti aplikasi Sina Weibo, dengan menarik lebih 150 juta tontonan.


Kejadian tersebut turut tular di platform media sosial Douyin (TikTok), pengguna TikTok menyatakan langit merah itu sebagai petanda buruk terhadap cara pengendalian pandemik Covid-19 oleh China yang kini muncul semula di Shanghai.



"Warnanya seperti merah darah. Ia kelihatan tidak baik sama sekali," tulis seorang netizen. "Gempa bumi akan berlaku dalam tujuh hari. Kejadian langit merah adalah tidak normal," komen netizen lain.


Namun, media tempatan menjelaskan fenomena cuaca aneh itu bukanlah petanda dunia akan berakhir, ia sebenarnya hasil daripada pembiasan cahaya.


Sementara itu, menjawab kepada fenomena berkenaan, biro meteorologi Zhoushan menjelaskan bahawa ia bukan sesuatu berkaitan perkara ghaib.


"Semalam agak berkabus dan awan terbentuk pada altitud rendah. Ini adalah fenomena yang disebabkan oleh pembiasan cahaya.


"Apabila keadaan cuaca baik, lebih banyak air di atmosfera membentuk butiran pepejal yang membiaskan, dan menyer‌akkan cahaya bot nelayan serta mencipta langit merah yang dilihat oleh orang ramai," kata biro tersebut.


Kejadian langit menjadi merah pernah terjadi selama sembilan hari di kebanyakan negara pada tahun 1770. Menurut saintis Jepun dalam artikel pada tahun 2017, kejadian pada tahun 1770 itu berlaku disebabkan oleh aktiviti solar.


Seorang pakar daripada pasukan penyelidik fizik angkasa Universiti Geosains China di Wuhan memberitahu media bahawa, aktiviti solar dan geomagnet pada Sabtu lalu adalah tenang dan tidak ada sesuatu yang luar biasa berlaku dalam aktiviti solar. - Sumber Daily Mail.


Langit di bandar raya Zhoushan, China bertukar menjadi merah pada Sabtu lalu.


EmoticonEmoticon