Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan

Ahad, 11 Oktober 2026

Salah guna pas lawatan sosial bekerja sebagai GRO, 8 wanita warga asing ditahan di Miri

Salah guna pas lawatan sosial bekerja sebagai GRO, 8 wanita warga asing ditahan di Miri


Lapan wanita warga asing ditahan selepas disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial untuk bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) tanpa permit kerja yang sah di sebuah pusat hiburan di Jalan Kubu, Miri pada 4 Oktober lalu.


Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, serbuan kira-kira jam 12.05 tengah malam itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri hasil risikan terhadap premis berkenaan.


Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun turut ditahan bersama lapan wanita warga asing berusia antara 23 hingga 43 tahun. Pemeriksaan mendapati mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.


Lelaki tempatan itu ditahan kerana disyaki menggaji pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah, manakala lapan wanita terbabit disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial untuk bekerja sebagai GRO.



Mohd Farhan berkata, lelaki berkenaan direman selama dua hari sehingga 6 Oktober lalu, manakala lapan wanita warga asing itu ditahan selama 14 hari di Lokap Balai Polis Trafik Miri bagi membantu siasatan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali, bagi setiap pekerja yang didapati bersalah.


Kes turut disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.


Beliau menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang melibatkan operasi premis hiburan.

Jumaat, 9 Oktober 2026

'Saya mohon maaf cemarkan nama baik Yusof Haslam' - Tisha Shamshir

'Saya mohon maaf cemarkan nama baik Yusof Haslam' - Tisha Shamshir


Pelakon Gerak Khas 2.0, Tisha Shamshir memohon maaf kepada penerbit, Datuk Yusof Haslam susulan kes dadah membabitkan dirinya yang menjejaskan kredibiliti pengarah terkenal itu.


Tisha atau nama sebenarnya, Shanorbiah Shamsir Alam, 40, berkata permohonan maaf serupa juga ditujukan kepada ahli keluarganya berikutan kes yang kini masih dibicarakan di mahkamah.


"Saya ingin memohon maaf kerana saya sedar perkara ini sedikit sebanyak telah mencemarkan nama baik majikan saya, Datuk Yusof Haslam. Saya juga ingin meminta maaf kepada keluarga saya. Saya doakan yang terbaik sahaja.


"Apa pun, ujian daripada Allah itu memang hebat, memang berat. Saya terima dengan hati terbuka dan harap saya kuatlah," kata Tisha selepas sebutan semula kesnya di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam.


Begitupun, pelakon juga penyanyi enggan mengulas lanjut mengenai prosiding berkenaan selain hanya meminta ruang untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.


"Saya tidak mahu memberikan apa-apa kenyataan. Maaf, saya minta maaf. Saya cuma nak menjalani kehidupan seperti biasa," ujarnya.


Pada masa sama, Tisha meminta netizen agar tidak terburu-buru menghukum seseorang tanpa mengetahui perkara sebenar.


"Apa yang boleh saya katakan di sini, kita semua manusia biasa. Kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan atau kekhilafan. Saya minta netizen di luar sana janganlah terlalu cepat untuk menghukum seseorang," katanya.


Ditanya mengenai kesan kontroversi tersebut terhadap kerjayanya, Tisha mengakui perkara itu sedikit sebanyak memberi impak terhadap perjalanan profesional sebagai pelakon.


"Sedikit sebanyak memang ada," katanya.


Semalam, pelakon itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 8.10 pagi berbaju kebaya moden serba biru, berkaca mata hitam dan diiringi pengawal peribadi. Hasil prosiding, mahkamah menetapkan 10 November depan untuk sebutan semula kes.


Pada 7 Julai lalu, pelakon drama bersiri Gerak Khas 2.0 itu ditahan bersama beberapa individu lain di sebuah bilik VIP di sebuah pusat hiburan di ibu negara dan didapati positif dadah jenis methamphetamine.


Serbuan menerusi Op Noda itu dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama IPD Dang Wangi pada pukul 3.15 pagi.


Susulan itu, tertuduh, Tisha mengaku tidak bersalah ketika perbicaraan kes di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada 10 Julai lalu dan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ainna Maryam Norazman mencadangkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin warganegara.


Tisha yang diwakili peguam bela, Nik Azhar Nik Adib memohon jumlah jaminan rendah dengan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan semalam sebagai tarikh sebutan semula kes.

Khamis, 8 Oktober 2026

Pertandingan siapa mampu tidur paling nyenyak tawar hadiah lebih RM51,000

Pertandingan siapa mampu tidur paling nyenyak tawar hadiah lebih RM51,000


Ketika Jepun sering dikaitkan dengan masalah kurang tidur, puluhan peserta menyertai pertandingan unik yang menguji siapa mampu melelapkan mata paling cepat dan tidur paling nyenyak.


Pertandingan dikenali sebagai Matt Race itu dianjurkan syarikat tilam, Koala Sleep Japan di Tokyo pada Isnin dengan hadiah utama bernilai lebih dua juta yen (RM51,630).


Dalam acara berkenaan, peserta dilengkapi alat pengesan tidur sebelum berbaring di atas tilam untuk tidur sehingga maksimum 90 minit.


Pemenang ditentukan berdasarkan dua kriteria utama, iaitu seberapa cepat peserta berjaya tertidur dan sejauh mana mereka dapat mencapai tidur yang nyenyak.


Suasana pertandingan turut direka bagi membantu peserta berehat dengan pencahayaan malap, manakala alat pemantauan dipasang pada kepala mereka bagi merekod corak tidur.


Sebahagian peserta turut membawa patung permainan ke atas tilam bagi membantu mereka lebih selesa ketika cuba melelapkan mata.


Pengarah Kreatif Koala Sleep Japan, Riichiro Nakama berkata, acara itu dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mendapatkan tidur mencukupi.


"Jepun sering digambarkan sebagai negara yang mengalami kekurangan tidur dan masyarakat di sini memang sangat rajin.


"Dengan menjadikannya satu acara seperti ini, kami berharap orang ramai dapat tidur bersama-sama dan pada masa sama meningkatkan minat terhadap isu tidur," katanya.

Rabu, 30 September 2026

Kerap tayang emas dan wang mengundang padah, rumah dirompak

Kerap tayang emas dan wang mengundang padah, rumah dirompak


Tindakan YouTuber wanita India gemar mempamerkan emas dan wang milik keluarganya di media sosial mengundang padah apabila rumahnya dipecah masuk sebelum barangan kemas dilarikan pencuri.


Agensi berita PTI melaporkan, pencipta kandungan dikenali sebagai Madhumitha itu sebelum ini kerap memuat naik video mengenai gaya hidupnya termasuk menunjukkan wang tunai dan barang kemas milik keluarga.


Malah, dalam satu video tular, wanita itu dilihat mencurahkan sejumlah wang kertas 500 rupee (RM21) ke atas anaknya yang masih kecil sambil bercerita mengenai kehidupan mewah keluarganya.


Dia turut memberitahu dalam video berkenaan dirinya membeli barang kemas setiap bulan.


Polis kini mengesyaki pencuri mungkin memantau aktiviti Madhumitha di media sosial sebelum melakukan pecah di rumahnya di Nagercoil, Tamil Nadu.


Kandungan yang dimuat naik berkemungkinan memberi gambaran mengenai kekayaan keluarga berkenaan.


Kejadian disedari selepas Madhumitha dan keluarganya pulang daripada perjalanan singkat ke Tirunelveli sebelum mendapati rumah mereka sudah dipecah masuk.


Pemeriksaan mendapati barang kemas seberat kira-kira 118 sovereign (944 gram) yang disimpan di dalam almari hilang.


Susulan laporan dibuat, polis membuka siasatan dengan pakar cap jari dan pasukan forensik dihantar ke kediaman berkenaan bagi mengumpul bukti.

Ahad, 27 September 2026

Menang Lagu Rap Terbaik AIM 25, Yonnyboii gelisah terpaksa cukur botak

Menang Lagu Rap Terbaik AIM 25, Yonnyboii gelisah terpaksa cukur botak


Penyanyi rap, Yonnyboii sedang mempertimbang untuk mengotakan janji dibuatnya, iaitu mencukur botak kepala sekiranya memenangi trofi pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-25, malam tadi.


Janji yang pada asal dibuat sekadar 'main-main' itu ternyata mendatangkan kegelisahan buat dirinya apabila mengakui tidak sepenuhnya bersedia untuk mengorbankan rambut yang sudah disimpan selama ini.


Ia berikutan, Yonnyboii atau nama sebenar, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 28, mengakui wajahnya akan kelihatan kurang menawan sekiranya tampil dengan imej botak, selain timbul rasa malu untuk berhadapan orang ramai.


"Isteri saya sebenarnya tak suka (imej botak), tapi saya sudah terjanji. Mungkin saya akan potong sikit saja, atau sekadar buat 'buzz cut', jadi saya minta bagilah peluang.


"Sebenarnya saya akan nampak tak okay kerana rupa saya buruk kalau botak," katanya pada sidang media AIM 25 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), malam tadi.


Menerusi AIM 25, Yonnyboii melakar kejayaan peribadi apabila lagu Tanya Tuhan dendangannya bersama bintang rap terkenal, Malique diumum sebagai pemenang kategori Lagu Rap/Hip Hop Terbaik.


Kejayaan itu menyaksikan kolaborasi Yonnyboii dan Malique berjaya mengenepikan empat lagu lain seperti Last Time oleh Sonaone, 501 (Joe Flizzow), Kemana Ni (Kmy Kmo, Luca Sickt dan Salammusik) dan Meta Dergama (K.O.I).


Dalam pada itu, Yonnyboii mengakui tidak menjangkakan keputusan kategori berkenaan akan memihak kepadanya kerana hadir ke AIM 25 tanpa sebarang jangkaan tinggi.


Katanya, dia juga tidak menerima sebarang pemakluman awal mengenai kemenangannya dalam kategori berkenaan.


"Memang tak jangka saya akan menang, tiada orang bagi tahu. Tiba-tiba bila keputusan diumumkan, saya menang. Jadi, agak terkejut juga," katanya.

Sabtu, 26 September 2026

Polis dipuji kembalikan jam Rolex emas tercicir kepada pemilik, bernilai lebih RM250,000

Polis dipuji kembalikan jam Rolex emas tercicir kepada pemilik, bernilai lebih RM250,000


Polis sempadan di Lapangan Terbang Antarabangsa Da Nang di Vietnam mengambil masa kurang 30 minit untuk mengesan pemilik jam tangan Rolex emas yang tertinggal di kawasan pemeriksaan keselamatan lapangan terbang itu, lapor VnExpress.


Sarjan Kanan Nguyen Duc Hoang menemukan jam tangan berkenaan di kawasan pemeriksaan keselamatan pada 17 September sebelum memaklumkan kepada pihak atasannya, menurut Polis Pintu Sempadan lapangan terbang itu pada Selasa.


Beliau kemudian bekerjasama dengan kakitangan terminal untuk membuat pengumuman mengenai barangan tercicir, menyemak rakaman kamera keselamatan dan menghubungi syarikat penerbangan terbabit.


Pemilik jam itu ialah Long Jianming, penumpang penerbangan AirAsia AK641 menuju ke Kuala Lumpur.


Beliau menerima semula jam berkenaan ketika pesawat bersiap untuk menutup pintunya. Jianming menganggarkan nilai jam tangan itu melebihi 1.6 bilion dong Vietnam (RM251,156).


Gambar polis menunjukkan jam itu ialah Rolex Cosmograph Daytona 126508-0004 yang diperbuat daripada emas kuning 18 karat.


Menurut laman web Rolex, jam tangan berkenaan dijual pada harga AS$55,200 (RM225,116) di Amerika Syarikat.


Sehari sebelum itu, pasukan keselamatan domestik unit berkenaan turut memulangkan barangan milik dua penumpang lain yang tertinggal, dengan nilai keseluruhan hampir 200 juta dong Vietnam (RM31,361).

Selasa, 15 September 2026

JAIM siasat video tular pasangan 'bermanja' di kedai makan

JAIM siasat video tular pasangan 'bermanja' di kedai makan


Aksi 'manja' pasangan berpelukan di sebuah kedai makan di Malim Jaya, Melaka, yang tular di media sosial sejak semalam disiasat Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).


EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, JAIM akan mengenal pasti identiti pasangan itu, termasuk status hubungan mereka.


"Pihak JAIM akan meneliti perkara ini dengan mengenal pasti pasangan terbabit terlebih dahulu, termasuk status hubungan mereka.


"Pada masa sama kita akan lihat sama ada perlakuan dalam video itu mempunyai unsur perbuatan tidak sopan di tempat awam yang boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang syariah," katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, sekiranya pasangan terbabit suami isteri sekalipun, perlakuan sedemikian tetap tidak wajar dipamerkan secara terbuka kerana perlu menjaga adab dan kesopanan.


"Perbuatan tidak sopan di tempat awam boleh diambil mengikut peruntukan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991," katanya.


Terdahulu, satu klip video berdurasi 11 saat tular memaparkan seorang lelaki melentokkan kepala di bahu wanita sebelum kepalanya dirangkul dan dibelai mesra ketika berada di premis awam.


Video berkenaan mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial dengan sebahagian netizen mengecam tindakan itu, selain turut mempersoalkan kesesuaian aksi terbabit dilakukan di tempat awam.


Selain itu, terdapat dakwaan pasangan terbabit adalah pelajar sebuah institusi pengajian tinggi di sekitar Malim Jaya, namun perkara itu belum dapat disahkan.

Isnin, 14 September 2026

Dakwaan penipuan RM1.3 juta: Pempengaruh Aisar Khaled berdepan laporan polis di Indonesia

Dakwaan penipuan RM1.3 juta: Pempengaruh Aisar Khaled berdepan laporan polis di Indonesia


Pempengaruh, Aisar Khaled dilaporkan kepada polis Indonesia berhubung dakwaan penipuan membabitkan wang bernilai sekitar 5.7 bilion rupiah (RM1.3 juta), lapor Tribunnews.com.


Laporan itu dibuat kepada Kepolisian Daerah Metropolitan Jakarta Raya (Polda Metro Jaya) pada Isnin selepas Aisar didakwa gagal memberikan maklum balas terhadap tiga notis tuntutan yang dikemukakan pihak berkenaan.


Peguam syarikat terbabit, Machi Achmad berkata, laporan dibuat mengikut beberapa peruntukan dalam Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023 mengenai Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP).


"Kami hari ini mewakili pelanggan kami untuk melaporkan seorang pempengaruh mengikut Seksyen 492, 486 dan 607 Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023," katanya ketika ditemui di Polda Metro Jaya pada Isnin.


Menurut Machi, tiga notis tuntutan telah dihantar kepada Aisar, namun pihaknya mendakwa tidak menerima sebarang jawapan atau maklumat mengenai keberadaan pempengaruh terbabit.


Sementara itu, seorang lagi peguam, Michael Sugijanto berkata, pertikaian tersebut berpunca daripada perjanjian pelaburan antara Aisar dengan syarikat berkenaan.


Menurutnya, terdapat baki kewajipan yang masih belum diselesaikan Aisar berjumlah kira-kira 5.7 bilion rupiah.


"Dalam perjanjian itu, baki yang belum dibayar Aisar sekitar 5.7 bilion rupiah," katanya.


Michael berkata, berdasarkan perjanjian tersebut, Aisar turut mempunyai kewajipan untuk melaksanakan beberapa tugasan, termasuk menghadiri acara tertentu secara langsung sebagai sebahagian daripada penyelesaian kewajibannya.


Bagaimanapun, pihak syarikat mendakwa perkara itu masih belum diselesaikan seperti yang dipersetujui.


Menurut Michael, pihaknya sebelum ini berusaha menyelesaikan pertikaian berkenaan secara baik dengan menghubungi Aisar serta menghantar notis tuntutan, namun tidak menerima sebarang maklum balas.


Laporan berkenaan kini memberi laluan kepada pihak berkuasa Indonesia untuk menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam pertikaian tersebut.


Aisar bagaimanapun, belum memberikan sebarang kenyataan berhubung laporan berkenaan dalam laporan Tribunnews.com yang diterbitkan pada Isnin.

Ahad, 13 September 2026

Lagu Hindi klasik dendangan Anwar curi perhatian, mendapat reaksi positif warganet

Lagu Hindi klasik dendangan Anwar curi perhatian, mendapat reaksi positif warganet


"Guru minta izin nyanyi kejap ok!" Itu kapsyen bersama hantaran video di Facebook (FB) Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyanyikan lagu Hindi klasik "Khwab Ho Tum Ya Koi Haqeeqat" dendangan penyanyi legenda, Kishore Kumar.


Anwar berkongsi detik santai ketika jadual padat beliau menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi, India yang mencuri tumpuan dan mendapat reaksi positif warganet.


Video berkenaan turut mencuri tumpuan dan menerima reaksi positif ramai rakyat negara berkenaan serta persembahan spontan yang tular itu, menarik perhatian mereka yang menghargai pilihan lagu berkenaan.


Biswajit Roy di platform X menerusi @roybiswajit2010 berkata: "(Perdana Menteri Anwar), anda menyanyikan lagu klasik oleh penyanyi legenda India Kishore Kumar dan jujurnya, anda juga tidak kurang hebatnya.


"Apabila (ada) pemimpin dunia bertandang ke India dan mendendangkan lagu, ini seolah-olah menyaksikan dunia menyanyikan rentak India," katanya.


Piyush Morade pula berkata: "Ini sungguh menarik. Pilihan lagu yang sebegitu indah dan dinyanyikan sebegitu semangat. Sungguh menarik PM@anwaribrahim."


Di FB rasmi Anwar, perkongsian video berdurasi satu minit dan 39 saat itu mendapat 35,000 tanda suka dan 3,600 komen warganet dan menerima lebih 400,000 tontonan.


Dalam kalangan rakyat India, lagu malar segar Kishore bukan sesuatu yang asing dan pilihan lagu serta dendangan Perdana Menteri itu disifatkan sebagai kejutan manis yang mengimbau nostalgia terhadap tarikan tersendiri penyanyi legenda berkenaan.

Jumaat, 11 September 2026

Pemandu tular uji kelajuan kereta ditahan, mengaku sekadar buat kandungan media sosial

Pemandu tular uji kelajuan kereta ditahan, mengaku sekadar buat kandungan media sosial


Pemandu disyaki terbabit dalam video tular memaparkan dua kereta menguji kelajuan di Jambatan Putra, Putrajaya baru-baru ini, sudah ditahan semalam.


Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, kenderaan jenis Proton dan Honda yang digunakan oleh kedua-dua lelaki tempatan berusia 19 dan 21 tahun dalam video tular itu turut disita.


"Hasil siasatan mendapati kedua-dua individu terbabit berada di lokasi kejadian bagi tujuan berkumpul dan menghasilkan kandungan untuk dimuat naik ke media sosial serta bukan bertujuan untuk berlumba.


"Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu berusia 21 tahun tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan yang dipandunya tamat tempoh," katanya dalam kenyataan, semalam.


Menurutnya, kedua-dua pemandu terbabit dikenakan tindakan saman trafik, manakala ujian air kencing ke atas mereka didapati negatif penggunaan dadah.


Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan beliau memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan.


"Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti menguji kelajuan atau berlumba di jalan awam.


"Orang awam dinasihatkan supaya tidak menghasilkan kandungan media sosial yang membabitkan aksi pemanduan yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain," katanya.


Terdahulu, media melaporkan polis sedang mengesan individu serta kereta yang terbabit dalam aksi menguji kelajuan di Jambatan Putra, Putrajaya.


Aidi Sham dilapor berkata, kejadian itu dikesan menerusi klip video berdurasi 25 saat yang tular selepas dimuat naik di aplikasi Threads.


Hantaran video itu memaparkan rakaman aksi dua kenderaan dipercayai menguji kelajuan di Jambatan Putra.

Isnin, 7 September 2026

Adik sahkan legenda Harimau Malaya, Abdah berusia 72 tahun nikah gadis 20 tahun

Adik sahkan legenda Harimau Malaya, Abdah berusia 72 tahun nikah gadis 20 tahun


Teka-teki mengenai status legenda bola sepak negara, Datuk Abdah Alif akhirnya terjawab apabila adiknya, Datuk Yunus Alif mengesahkan abangnya itu baru sahaja melangsungkan perkahwinan.


Yunus yang juga bekas pemain kebangsaan dan jurulatih berkata, Abdah, 72, melangsungkan pernikahan pada 27 Ogos lalu di Kuala Terengganu, dengan kedua-dua keluarga merestui perkahwinan berkenaan.


"Mungkin sekarang tengah berbulan madu. Sebab itu tak angkat (Datuk Abdah Alif) panggilan. Betul mereka dah nikah, dan kita doakan terbaik buat mereka berdua," katanya ketika dihubungi hari ini.


"Alhamdulillah mereka baru saja nikah pada 27 Ogos lalu. Kedua-dua keluarga bersetuju jadi tak ada masalah. Kita doakan agar mereka berdua berbahagia.


Pengesahan itu sekali gus menjawab persoalan selepas gambar Abdah bersama pasangannya yang difahamkan berusia 20 tahun tersebar di media sosial dan mencetuskan perhatian peminat bola sepak tempatan.


Yunus pada masa sama mendoakan agar perkahwinan abangnya bersama pasangan pilihan hati itu terus berkekalan dan dikurniakan kebahagiaan hingga ke akhir hayat.


"Semoga mereka bahagia dan kekal hingga ke Jannah," katanya.


Sebelum ini, meja sukan cuba mendapatkan pengesahan daripada Abdah berhubung gambar perkahwinan berkenaan, namun bekas pemain handalan Harimau Malaya itu gagal dihubungi.


Abdah bukanlah nama asing dalam lipatan sejarah bola sepak negara apabila menjadi antara tonggak penting skuad kebangsaan ketika era kegemilangan Harimau Malaya pada penghujung 1970-an dan awal 1980-an.


Malah, beliau antara pemain yang membantu Malaysia melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Moscow 1980 selepas skuad negara menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi penentuan.


Abdah ketika itu berada dalam satu generasi yang cukup disegani dan beraksi bersama barisan legenda seperti Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Datuk Jamal Nasir Ismail dan ramai lagi.


Bagaimanapun, Abdah dan rakan-rakan sepasukan tidak berpeluang beraksi di pentas Olimpik apabila Malaysia mengambil keputusan memboikot temasya Moscow 1980 sebagai tanda bantahan terhadap pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.


Kini, selepas sekian lama meninggalkan pentas persaingan bola sepak, nama Abdah kembali menjadi perhatian peminat selepas berita perkahwinan terbaharunya disahkan oleh adiknya sendiri.


Dengan restu kedua-dua keluarga, Yunus berharap perkahwinan legenda Harimau Malaya itu terus dilimpahi kebahagiaan dan berkekalan hingga ke Jannah.


Jumaat, 4 September 2026

Lelaki miliki 13 rekod jenayah ditahan polis berhubung kes seluk saku dan minta 'duit kopi' RM200

Lelaki miliki 13 rekod jenayah ditahan polis berhubung kes seluk saku dan minta 'duit kopi' RM200


Seorang lelaki yang mempunyai 13 rekod kesalahan lampau ditahan selepas disyaki terlibat dalam kejadian meminta ‘duit kopi’ RM200 daripada seorang wanita di Kampung Morten, Melaka, kejadian itu tular di media sosial, Selasa lalu.


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, suspek warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu ditahan pada Khamis selepas mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.


Menurutnya, suspek mempunyai satu rekod kes jenayah dan 12 rekod berkaitan dadah.


"Suspek kini direman selama tiga hari bermula 3 hingga 5 September bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.


Sebelum ini, kejadian berkenaan mendapat perhatian selepas satu hantaran di media sosial Threads mendakwa seorang lelaki mengambil telefon bimbit milik mangsa secara 'pickpocket' sebelum berpura-pura membantu mencarinya.


Selepas telefon berkenaan ditemui, lelaki itu dipercayai meminta wang RM200 sebagai 'duit kopi' sebelum meninggalkan lokasi. Hantaran tersebut kemudian tular.


Halim berkata, polis berjaya mengesan mangsa melalui media sosial sebelum wanita tempatan berusia lingkungan 20-an itu membuat laporan polis pada kira-kira jam 2.06 pagi, Khamis.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.


"Polis turut mendapatkan kerjasama penduduk setempat di Kampung Morten bagi membantu siasatan," katanya.


Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti saksi serta mendapatkan dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.


Katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi, tuduhan atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Isnin, 31 Ogos 2026

Pertandingan antarabangsa membabitkan transgender tular di media sosial bukan di Pulau Pinang

Pertandingan antarabangsa membabitkan transgender tular di media sosial bukan di Pulau Pinang


Dakwaan pertandingan antarabangsa yang tular di media sosial membabitkan transgender wanita mewakili Malaysia berlangsung di Pulau Pinang adalah tidak tepat, sebaliknya acara itu diadakan di Bangkok, Thailand.


Perkara itu disahkan Mufti Pulau Pinang Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman yang berkata, berdasarkan semakan terhadap maklumat rasmi penganjur, pertandingan berkenaan berlangsung pada 22 Ogos lalu hingga semalam.


"Berdasarkan semakan terhadap maklumat rasmi penganjur, pertandingan tersebut sebenarnya berlangsung di Bangkok, Thailand pada 22 hingga 30 Ogos lalu, bukannya di Pulau Pinang.


"Penganjur turut menyenaraikan seorang peserta yang membawa nama Malaysia. Namun, membawa nama Malaysia dalam pertandingan tersebut tidak dengan sendirinya bermaksud individu berkenaan merupakan wakil rasmi Kerajaan Malaysia," katanya.


Dari sudut undang-undang Malaysia, katanya, terdapat peruntukan Syariah negeri-negeri yang mengawal perlakuan tertentu berkaitan lelaki yang menyerupai atau berlagak seperti wanita, tertakluk kepada peruntukan dan bidang kuasa negeri masing-masing.


Bagaimanapun, katanya, kita perlu membezakan antara hukum syarak dengan kesalahan jenayah.


"Sesuatu pendakwaan bergantung kepada peruntukan undang-undang, lokasi, bidang kuasa dan pembuktian. Apatah lagi pertandingan yang sedang diperkatakan ini berlangsung di Thailand.


"Oleh itu, masyarakat jangan mengambil undang-undang ke tangan sendiri. Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, serahkan kepada pihak berautoriti untuk menilai dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.


Dalam pada itu, katanya, dari sudut syarak, Islam mempunyai pendirian yang jelas mengenai seseorang yang sengaja menyerupai atau mengubah dirinya kepada jantina yang berlawanan.


Menurutnya, perkara itu berbeza dengan khunsa atau intersex yang membabitkan keadaan biologi tertentu dan memerlukan penilaian pakar bagi menentukan jantina sebenar.


"Justeru, bagi seseorang yang telah jelas jantina biologinya, tindakan sengaja menukar jantina atau membina identiti sebagai jantina yang berlawanan adalah bercanggah dengan syariat.


"Perkara yang lebih membimbangkan bukan sekadar tindakan individu, tetapi apabila budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), mula dipromosi, diraikan dan dinormalisasikan, khususnya kepada generasi muda," katanya.


Mengulas lanjut, Mohd Sukki berkata, sikap bertolak ansur tidak seharusnya menyebabkan perkara yang dilarang agama dianggap sebagai sesuatu yang biasa manakala kebebasan pula tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan batas halal dan haram.


Katanya, menghormati seseorang tidak bermakna semua perbuatannya perlu diterima atau diiktiraf, manakala sikap berkasih sayang juga tidak bermaksud perkara yang diharamkan agama boleh dianggap halal.


"Mereka yang mempunyai pengaruh juga perlu lebih bertanggungjawab. Jangan gunakan pentas, media sosial, kedudukan atau populariti untuk menjadikan perkara yang bertentangan dengan agama sebagai sesuatu yang menarik untuk dicontohi," katanya.


Terdahulu, tular di media sosial rakaman seorang peserta dipercayai transgender wanita yang membawa nama Malaysia dalam pertandingan berkenaan sehingga menimbulkan dakwaan acara itu berlangsung di Pulau Pinang.

Ahad, 30 Ogos 2026

Dua keluarga berjiran gaduh gempar 'bercakar' hal sampah, saling memukul dihadapkan ke mahkamah

Dua keluarga berjiran gaduh gempar 'bercakar' hal sampah, saling memukul dihadapkan ke mahkamah


Pergaduhan antara dua keluarga berjiran dipercayai berpunca daripada isu sampah membawa padah selepas mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka pada Khamis atas pertuduhan gaduh gempar.


Tiga beranak iaitu W Norizan W Husain, 50, bersama anaknya, Nurathirah Natashha Kamarul Zaman, 28, dan Muhammad Alif Najmi Kamarul Zaman, 21, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.


Bagaimanapun, jiran mereka, Md Isaa Osman, 62, dan isterinya, Deni Rismayani Purba, 53, tidak mengaku bersalah atas pertuduhan sama.


Mengikut pertuduhan, kesemua lima mereka didakwa melakukan gaduh gempar dengan memukul antara satu sama lain di tempat awam di Jalan Permatang Pasir, Alai, Melaka sekitar jam 3.45 petang pada 15 Oktober 2025.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Difahamkan, kejadian tercetus selepas cucu kepada W Norizan, berusia 11 tahun, dimarahi jiran tersebut kerana membuang sampah hingga masuk ke kawasan rumahnya.


Perselisihan faham itu kemudian berlarutan sebelum berlaku pertengkaran yang membawa kepada pergaduhan lebih serius.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri, manakala Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Mawardi Zainudin mewakili tertuduh.


Siti Nur Alia mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap Md Isaa sementara tiada jaminan ditawarkan kepada Deni yang berstatus warga Indonesia.


Bagaimanapun, Mawardi memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan lebih rendah terhadap Md Isaa yang tidak bekerja hanya membantu isterinya berniaga dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan selain menganggung seorang anak berusia 20 tahun yang masih belajar di peringkat diploma.


Mahkamah kemudian membenarkan Md Isaa dan Deni diikat jamin RM1,000 serta menetapkan 12 Oktober depan untuk penyerahan dokumen dan urusan lantikan peguam.


Sementara itu, Mawardi turut memohon hukuman ringan terhadap tiga beranak yang mengaku bersalah, dengan alasan pengakuan itu menjimatkan masa serta kos mahkamah dan pendakwaan.


Menurutnya, ketiga-tiga tertuduh menyesal atas perbuatan tersebut, selain ini merupakan kesalahan pertama mereka dan berjanji tidak akan mengulanginya.


Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM600 setiap seorang atau penjara selama sebulan jika gagal membayar denda.


Kesemua tertuduh diiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, pada Khamis.

Ahad, 23 Ogos 2026

‘Duduk sebilik hingga hamil’: Pasangan kekasih dicekup penguat kuasa JAINJ

‘Duduk sebilik hingga hamil’: Pasangan kekasih dicekup penguat kuasa JAINJ


Pasangan kekasih yang dipercayai tinggal bersama hampir setahun di sebuah bilik sewa akhirnya dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam serbuan pada awal pagi Khamis minggu lalu (13 Ogos).


Lebih mengejutkan, wanita berusia lingkungan 20-an itu dipercayai hamil kira-kira enam bulan hasil hubungan dengan teman lelakinya yang juga berusia lingkungan 20-an.


Menurut JAINJ, operasi berkenaan dijalankan kira-kira jam 2.50 pagi selepas JAINJ menerima aduan awam mengenai sebuah rumah kedai di kawasan berkenaan.


"Ketika tiba, penguat kuasa mendapati tingkat bawah bangunan berkenaan tidak berkunci sebelum pemeriksaan diteruskan ke tingkat atas yang mempunyai beberapa bilik sewa.


"Penguat kuasa mengetuk sebuah bilik, namun tiada respons sebelum pintu dibuka kira-kira lapan minit kemudian oleh seorang lelaki yang hanya berseluar pendek dan berbaju-T," katanya.


Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan seorang wanita berada di dalam bilik terbabit, sebelum kedua-duanya mengaku bukan pasangan suami isteri.


"Bilik itu hanya mempunyai sebuah katil bujang, manakala pemeriksaan turut menemukan pakaian lelaki dan wanita bercampur di dalam almari serta sebuah tilam yang digunakan untuk tidur.


"Pada awalnya lelaki terbabit mendakwa tinggal seorang diri, namun pemeriksaan lanjut mendapati sebaliknya," ujarnya.


Tambah JAINJ, keadaan fizikal wanita berkenaan kemudian menimbulkan syak kepada penguat kuasa wanita yang menjalankan pemeriksaan lanjut.


"Wanita itu akhirnya mengaku sedang hamil kira-kira enam bulan. Pasangan terbabit turut mengakui mereka sudah tinggal bersama hampir setahun walaupun bilik berkenaan pada asalnya disewa untuk lelaki," katanya.


Jelasnya lagi, kedua-duanya mendakwa mempunyai hasrat untuk berkahwin namun rancangan itu tertangguh selepas wanita terbabit mengandung.


"Mereka mendakwa pada awalnya memang merancang untuk berkahwin, tetapi lelaki itu dikatakan semakin takut untuk berdepan keluarga wanita berkenaan selepas mengetahui dia hamil.


"Mereka kemudian merancang untuk melahirkan anak terlebih dahulu sebelum meneruskan hasrat berkahwin," katanya.


Sementara itu, ibu bapa wanita berkenaan yang dipanggil sebagai penjamin turut dilaporkan terkejut apabila mengetahui anak mereka ditahan selain mengetahui mengenai kehamilan tersebut.


Pasangan terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 dan disiasat mengikut Seksyen 23 dan kes berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Syariah untuk tindakan lanjut.

Rabu, 19 Ogos 2026

Tak suka isteri, suami angkut hampir semua perabot keluar rumah

Tak suka isteri, suami angkut hampir semua perabot keluar rumah


Seorang lelaki di Konawe Utara, Sulawesi Tenggara, Indonesia mencetuskan perhatian ramai apabila bertindak mengeluarkan hampir semua perabot dari rumah selepas didakwa tidak lagi menyukai isterinya.


Tindakan lelaki terbabit dirakam sebelum video berkenaan tular di media sosial.


Menerusi rakaman tersebut, lelaki berkenaan dilihat dibantu beberapa rakannya memindahkan pelbagai barangan dari rumah secara berperingkat sebelum dimuatkan ke dalam sebuah trak pikap yang diletakkan di hadapan kediaman.


Antara barangan yang dibawa keluar termasuk tilam, kabinet dan peti sejuk.


Lebih menyedihkan, isterinya hanya mampu melihat tindakan berkenaan sambil merakam kejadian berkenaan.


Wanita itu turut meluahkan kesedihan apabila mendakwa perabot yang dikeluarkan suaminya dibeli hasil usaha bersama sepanjang tempoh perkahwinan mereka.


Bagaimanapun, punca sebenar pertelingkahan antara pasangan terbabit masih belum diketahui.


Kejadian berkenaan menjadi perhatian selepas rakaman tersebut dikongsikan di media sosial.