Memaparkan catatan dengan label Cabul. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cabul. Papar semua catatan

Sabtu, 31 Oktober 2026

Dakwa isteri tolak hubungan intim, remaja disyaki rogol adik kandung hingga hamil

Dakwa isteri tolak hubungan intim, remaja disyaki rogol adik kandung hingga hamil


Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan polis selepas disyaki merogol adik kandungnya yang berusia 15 tahun sehingga mangsa hamil dan melahirkan seorang bayi di Kabupaten Lebong, Indonesia.


Kes itu terbongkar selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) menunjukkan padanan sebanyak 99.99 peratus antara suspek dengan sampel yang diperiksa.


Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Lebong, AKP Darmawel Saleh berkata, suspek yang sudah berkahwin dipercayai melakukan perbuatan itu selepas mendakwa isterinya menolak ajakan untuk melakukan hubungan intim.


Siasatan mendapati suspek disyaki melakukan jenayah berkenaan sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga hari berturut-turut pada Januari lalu, menggunakan pujukan, paksaan dan ugutan terhadap mangsa.


Akibat kejadian itu, mangsa hamil sebelum melahirkan bayi pada 23 September lalu.


Menurut Darmawel, siasatan pada awalnya menjurus kepada seorang lelaki lain, namun keputusan DNA tidak menunjukkan sebarang padanan.


Mangsa kemudian mendedahkan kemungkinan abang kandungnya terbabit dalam kejadian itu ketika memberikan keterangan pada 8 Oktober.


Polis menghantar sampel tambahan ke Makmal Forensik Polis Sumatera Selatan sebelum keputusan pada 26 Oktober mengesahkan padanan DNA sebanyak 99.99 peratus.


Suspek kemudian ditahan dan kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Lebong untuk siasatan lanjut. Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara maksimum 12 tahun.


Dalam pada itu, Polis Bengkulu mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan identiti atau gambar mangsa bagi melindungi privasinya. Mangsa turut diberikan bantuan serta pendampingan sepanjang proses pemeriksaan kesihatan dan kelahiran.

Isnin, 26 Oktober 2026

Guru tuisyen, jurulatih kecergasan didakwa laku amang seksual kanak-kanak

Guru tuisyen, jurulatih kecergasan didakwa laku amang seksual kanak-kanak


Seorang guru tuisyen dan jurulatih kecergasan masing-masing didakwa di Mahkamah Sesyen Muar, hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak.


Kedua-dua tertuduh, Wong Jhun Kiat, 32, dan Mahadir Ahmad, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.


Wong didakwa melakukan perbuatan itu terhadap dua murid perempuan berusia enam tahun di sebuah pusat tuisyen di Batu Pahat.


Bagi pertuduhan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.


Sementara itu, Mahadir yang juga duda dan bapa kepada seorang anak, didakwa melakukan kesalahan sama terhadap rakan anak perempuannya berusia 10 tahun di rumahnya di Batu Pahat, kira-kira jam 2 petang, 17 Oktober lalu.


Dia berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 15(a)(ii) akta sama.


Berdasarkan laporan, Wong didakwa mengambil kesempatan terhadap mangsa ketika mengajar tuisyen, manakala Mahadir didakwa melakukan perbuatan itu ketika mangsa mandi di rumahnya.


Kes berkenaan terbongkar selepas seorang daripada mangsa pulang ke rumah dan menceritakan kejadian itu kepada ibu bapanya.


Mahkamah menetapkan 16 November ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen serta membolehkan Mahadir melantik peguam.


Mahkamah membenarkan Wong diikat jamin RM10,000, manakala Mahadir RM12,000. Kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan masing-masing.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Sapian. Wong diwakili peguam Ahmad Azimuddin Bahamdin, manakala Mahadir tidak diwakili peguam.

Khamis, 22 Oktober 2026

Guru tuisyen didakwa lakukan amang seksual terhadap tiga murid lelaki

Guru tuisyen didakwa lakukan amang seksual terhadap tiga murid lelaki


Seorang guru tuisyen didakwa di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas enam pertuduhan melakukan amang seksual dan seks luar tabii terhadap tiga murid kelas tambahan anjurannya, sejak Julai lalu.


Tertuduh, M.D. Sebastian, 46, yang juga guru sekolah rendah mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Hakim Ilmami Ahmad.


Bagi dua pertuduhan, tertuduh didakwa meliwat seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun di sebuah rumah di Kampung Muhibbah, Jalan Puchong antara pukul 4.45 petang pada Julai 2026 dan pukul 6 petang, 30 September 2026.


Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman antara lima hingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.


Bagi empat pertuduhan lagi, di masa, tempat dan tarikh sama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak sama dan dua lagi kanak-kanak lelaki yang juga berumur 11 tahun.


Perbuatan itu dituduh mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, V. Suloshani dan Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir manakala tertuduh diwakili peguam Mansheel Kaur.


Mahkamah membenarkan Sebastian diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.


Kedua-dua mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan satu bulan sekali, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.


Mahkamah menetapkan sebutan semula kes bagi serahan dokumen pada 23 November dan 18 Disember ini.


Suspek ditahan pada 10 Oktober lalu kira-kira pukul 11.30 malam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Rabu, 21 Oktober 2026

Warga emas silap besar cabul anak lelaki pegawai kanan polis di sauna

Warga emas silap besar cabul anak lelaki pegawai kanan polis di sauna

Gambar hiasan

Pegawai kanan polis bertindak pantas menahan lelaki yang disyaki mencabul anak lelakinya di dalam bilik sauna sebuah pusat gimnasium di sebuah pusat beli-belah Melawati Mall di Ampang Jaya, kelmarin.


Pegawai kanan berkenaan yang bertugas di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada anak lelakinya yang berusia 18 tahun berhubung insiden gangguan seksual berkenaan.


Menurut sumber, dalam kejadian jam 7.10 malam itu, mangsa pada mulanya ditemani seorang rakan di dalam bilik sauna berkenaan sebelum rakannya keluar, meninggalkan mangsa berdua bersama suspek yang berusia 61 tahun.


"Lelaki terbabit pada mulanya cuba beramah mesra dan mengajak mangsa berbual mengenai hal gimnasium. Namun secara tiba-tiba, lelaki terbabit memegang beberapa bahagian tubuh mangsa.


"Lelaki itu terus bertindak melampau dengan meramas mangsa. Mangsa kemudiannya melarikan diri sebelum memaklumkan kejadian kepada rakannya selain kepada kakitangan di kaunter," katanya.


Susulan kejadian, mangsa segera menghubungi bapanya, jam 7.25 malam.


Sumber berkata, Nik Ezanee yang tiba di lobi gimnasium, jam 7.45 malam mengarahkan kakitangan premis terbabit untuk menghubungi polis.


"Sejurus kemudian, lelaki terbabit turun ke tingkat bawah dan mangsa dapat mengecamnya sebagai individu yang melakukan perbuatan itu.


"Nik Ezanee segera mengarahkan lelaki terbabit duduk, memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis dengan menunjukkan kad kuasa, dan terus membuat tangkapan ke atas lelaki berkenaan di lokasi kejadian," katanya.


Dalam tangkapan berkenaan, sebuah telefon pintar milik lelaki terbabit turut dirampas bagi membantu siasatan.


Lelaki itu kemudiannya diserah kepada polis untuk tindakan lanjut. Kes disusuli dengan dua laporan polis dibuat di Balai Polis Taman Melawati pada malam kejadian.


Sementara itu, Nik Ezanee ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit, namun enggan mengulas lanjut.

Isnin, 19 Oktober 2026

Bekas jurulatih taekwondo didakwa atas empat pertuduhan amang seksual pelatih

Bekas jurulatih taekwondo didakwa atas empat pertuduhan amang seksual pelatih


KOTA BHARU - Seorang bekas jurulatih taekwondo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan kontak fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan pada 2017, 2025 dan Februari lalu.


Tertuduh, Soufa Pinyousos, 42, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.


Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan kontak fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang berusia 13 tahun tiga bulan ketika kejadian.


Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan ketika mangsa berusia 13 tahun tujuh bulan dan 14 tahun.


Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak yang sama dengan pertuduhan kedua dan ketiga.


Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah kelab latihan taekwondo di Jalan Pengkalan Chepa, di sini, pada September 2017, April dan Ogos 2025 serta antara 17 hingga 18 Februari 2026.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Arina Razali dan Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Arif Mohd Zain dan Zubairi Salleh.


Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM30,000 bagi pertuduhan pertama, manakala tiada tawaran jaminan dibuat bagi tiga pertuduhan lain.


Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon jaminan minimum dengan alasan tertuduh tidak lagi terlibat dengan kelab latihan berkenaan, berpendapatan antara RM500 hingga RM1,000 sebulan serta menanggung isteri dan empat anak.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin warga tempatan, selain menetapkan syarat pasport diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di Balai Polis Pengkalan Chepa dan tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan.


Tertuduh membayar jaminan tersebut, manakala mahkamah menetapkan 26 November ini untuk sebutan semula kes.

Isnin, 12 Oktober 2026

Wanita dirogol lelaki warga Bangladesh di pusat beli-belah selepas diugut sebar rakaman intim

Wanita dirogol lelaki warga Bangladesh di pusat beli-belah selepas diugut sebar rakaman intim

(Foto dijana AI)

Seorang wanita tempatan berusia lingkungan 20-an dilaporkan menjadi mangsa rogol yang dipercayai dilakukan seorang lelaki warga Bangladesh di sebuah kawasan di pusat beli-belah di ibu negara, Sabtu lalu.


Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7 malam ketika mangsa bersama teman lelakinya berada di kawasan berkenaan. Pasangan itu dikatakan sedang melakukan hubungan intim sebelum didatangi suspek yang dipercayai menyedari perbuatan mereka.


Menurut maklumat awal, suspek didakwa merakam perbuatan pasangan terbabit tanpa kebenaran sebelum menggunakan rakaman tersebut untuk mengugut mangsa. Suspek dipercayai mengancam untuk menyebarkan rakaman berkenaan sekiranya mangsa enggan menuruti arahannya.


Suspek kemudian didakwa mengarahkan teman lelaki mangsa meninggalkan lokasi sebelum melakukan perbuatan rogol terhadap wanita berkenaan. Mangsa dipercayai tidak mengenali suspek dan tidak pernah bertemu lelaki itu sebelum kejadian.


Insiden tersebut menimbulkan kebimbangan berhubung keselamatan orang awam, khususnya di kawasan pusat beli-belah yang dikunjungi orang ramai. Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai lokasi tepat kejadian serta keadaan mangsa masih belum dapat dipastikan.


Difahamkan, pihak polis sedang menjalankan usaha untuk mengesan suspek bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian itu.


Dalam pada itu, pihak media masih berusaha mendapatkan pengesahan rasmi serta maklum balas daripada pihak polis berhubung laporan berkenaan.

Lelaki masuk tandas kena cabul dengan lelaki tidak dikenali di Cheras

Lelaki masuk tandas kena cabul dengan lelaki tidak dikenali di Cheras


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berusia 37 tahun berdepan detik mencemaskan apabila dicabul seorang lelaki tidak dikenali di dalam tandas sebuah pusat beli-belah di Cheras, di sini, kira-kira jam 7 malam kelmarin.


Mangsa yang mahu dikenali sebagai Encik T berkata, kejadian berlaku ketika dia hendak meninggalkan tandas berkenaan selepas melihat suspek beredar dari situ.


Menurutnya, dia jarang menggunakan tandas terbabit setiap kali mengunjungi pusat beli-belah itu. Bagaimanapun, keperluan mendesak pada hari kejadian menyebabkan dia mengambil keputusan untuk menggunakannya.


"Ketika saya hendak keluar, lelaki itu menghalang laluan sebelum tiba-tiba menyentuh kemaluan saya.


"Saya terkejut dengan perbuatannya lalu memegang tangan lelaki itu sebelum membawanya kepada pengawal keselamatan pusat beli-belah berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.


Mangsa berkata, dia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Cheras pada hari kejadian bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.


Sementara itu, sumber memaklumkan suspek berusia 28 tahun itu ditahan polis selepas pihak keselamatan pusat beli-belah menghubungi pihak berkuasa berhubung kejadian berkenaan.

Ahad, 11 Oktober 2026

Lelaki direman tujuh hari kes rogol remaja dikenali menerusi Telegram

Lelaki direman tujuh hari kes rogol remaja dikenali menerusi Telegram


Polis menahan seorang lelaki berusia 23 tahun, pada Khamis bagi membantu siasatan dakwaan rogol remaja perempuan berusia 15 tahun pada 4 Oktober lalu.


Penahanan pekerja kontrak pihak berkuasa tempatan (PBT) itu susulan laporan dibuat mangsa yang mendakwa kejadian berlaku di Bandar Sri Indah, Tawau.


Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau, pada Jumaat untuk permohonan reman. Majistret Dayang Aidaku Amirah Aminuddin kemudian membenarkan suspek direman tujuh hari sehingga 16 Oktober.


Kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa dibawa suspek yang dikenali di aplikasi Telegram menaiki kereta Proton Saga ke kawasan belakang sebuah pasar raya di Bandar Sri Indah, Batu 10 Jalan Apas, di Tawau kira-kira 4 petang.


Mangsa dilaporkan pertama kali bertemu lelaki berkenaan ketika kejadian itu berlaku.


Ketika berada di dalam kenderaan, suspek didakwa melakukan perbuatan terlarang berkenaan dan mangsa yang masih bersekolah memaklumkan perkara itu kepada ibunya dua hari kemudian.


Keluarga kemudian membawa mangsa ke balai polis untuk membuat laporan yang membawa kepada penahanan suspek pada 9.30 malam Khamis.


Difahamkan, polis merampas telefon bimbit milik suspek dan kereta yang dipercayai digunakan ketika kejadian bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol.

Khamis, 8 Oktober 2026

Guru dituduh lakukan jenayah seksual terhadap tiga pelajar lelaki

Guru dituduh lakukan jenayah seksual terhadap tiga pelajar lelaki


Guru lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap tiga pelajar lelaki berusia 17 tahun.


Tertuduh, Mohd Shafie Mohamad, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.


Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun lapan bulan.


Perbuatan itu dilakukan di sebuah hotel di Kota Bharu dan di dalam bilik tidur sebuah rumah di Kampung Tok Berlian, Bachok pada Jun tahun lalu, April dan 17 September lalu.


Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun enam bulan di sebuah rumah di Kampung Tok Berlian, Bachok pada pertengahan Ogos lalu.


Bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun lima bulan di rumah sama jam 6 petang pada 26 Ogos lalu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Arina Razali, manakala Mohd Shafie diwakili peguam, Nurul Samhana Aidenan.


Terdahulu, Siti Arina tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan berkenaan disifatkan sangat serius.


Nurul Samhana bagaimanapun memohon jaminan dengan alasan tertuduh menghidap penyakit kencing manis kronik yang memerlukan suntikan insulin tiga kali sehari dan darah tinggi.


"Tertuduh seorang penjawat awam dan mempunyai seorang isteri yang juga seorang guru namun masih belum dikurniakan cahaya mata.


"Sebagai penjawat awam, saya percaya tertuduh akan memberi komitmen terhadap kes ini dan memohon ikat jamin yang minimum untuk kelima-lima pertuduhan itu," katanya.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM23,000 dengan seorang penjamin untuk kelima-lima pertuduhan termasuk syarat tambahan iaitu perlu mengemukakan alamat tempat tinggal tetap, tidak menganggu saksi pendakwaan dan mangsa selain melaporkan diri di balai polis berdekatan dua bulan sekali.


Mahkamah menetapkan 10 November depan untuk sebutan semula kes.

Sabtu, 3 Oktober 2026

Penceramah motivasi direman dua hari, disyaki lakukan gangguan seksual

Penceramah motivasi direman dua hari, disyaki lakukan gangguan seksual


Seorang lelaki yang dikaitkan dengan dakwaan kes gangguan seksual terhadap mangsa bawah umur dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar, hari ini untuk permohonan perintah reman.


Perintah reman selama dua hari bermula hari ini dibenarkan Penolong Kanan Pendaftar, Mohd Amiruldin Roslan selepas mendapat permohonan dikemukakan pegawai penyiasat polis.


Terdahulu, suspek yang memakai kemeja-T berwarna hitam dilihat tiba di pekarangan mahkamah berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi dengan menaiki kenderaan polis serta dikawal ketat anggota keselamatan.


Semalam, polis mengeluarkan kenyataan meminta penceramah motivasi terbabit tampil ke balai polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes gangguan seksual berkenaan.


Ketua Polis Perlis, Deputi Komisioner Hamzah Hashim dilaporkan berkata, pihaknya mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian yang mengaitkan penceramah terbabit pada jam 2.09 pagi, 26 September lalu.


Berikutan itu, individu berkenaan diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar bagi memberi kerjasama dan keterangan, selain pihak polis turut menggesa mana-mana mangsa lain supaya tampil membuat laporan.


Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 12 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.


Terdahulu, media melaporkan pendedahan mengejutkan beberapa mangsa wanita di media sosial yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual dan manipulasi (grooming) oleh lelaki berstatus suami orang itu.


Modus operandi penceramah itu adalah mendekati mangsa melalui aplikasi TikTok atas alasan urusan kerja atau pelajaran, sebelum berani mengajak mangsa menjadi 'sugar baby' dan mendaftar masuk (check-in) ke hotel.


Susulan pendedahan yang tular, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek pada Khamis lalu mengarahkan semua program di sekolah yang membabitkan penceramah bebas berkenaan dihentikan serta-merta berikutan ia membabitkan aspek keselamatan serta perlindungan murid.

Khamis, 1 Oktober 2026

Lelaki didakwa rakam empat wanita buang air kecil, miliki video lucah

Lelaki didakwa rakam empat wanita buang air kecil, miliki video lucah


Lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini atas tuduhan merakam empat wanita membuang air kecil dalam tandas dan memiliki video lucah pada bulan lalu.


Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Mukhris Sulaiman, 22, mengaku tidak bersalah terhadap lima tuduhan itu dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Sharifah Razali.


Bagi tuduhan pertama hingga keempat, Muhammad Mukhris didakwa melakukan kesalahan di sebuah kilang di Bukit Minyak, Seberang Perai Tengah antara 11.44 pagi dan 6.55 petang, 2 September hingga 23 September lalu.


Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Dia juga didakwa dengan tuduhan memiliki beberapa video lucah ketika pemeriksaan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, pada 9.30 pagi, 24 September lalu.


Tertuduh didakwa Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun, manakala tertuduh diwakili V Sivakumar.


Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi semua tuduhan dan memerintahkannya tidak mendekati mangsa sehingga perbicaraan selesai.


Kes akan disebut semula pada 19 November ini untuk serahan dokumen.

Isnin, 28 September 2026

Guru wanita didakwa amang seksual pelajar lelaki 16 tahun

Guru wanita didakwa amang seksual pelajar lelaki 16 tahun


Seorang guru agama wanita di sebuah sekolah menengah didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun.


Tertuduh berusia 48 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.


Mengikut pertuduhan, ibu kepada enam anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara mencium mulut kanak-kanak itu, semasa kejadian bagi maksud seksual pada November 2024.


Haslina juga didakwa melakukan perbuatan sama dengan cara memeluk mangsa sebulan selepas itu.


Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara membuat mangsa meraba bahagian dada tertuduh, bagi maksud seksual pada November tahun yang sama.


Haslina didakwa melakukan semua perbuatan itu di bilik Pendidikan Islam, di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Kinta kira-kira 3.30 petang.


Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebatan, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin memohon agar mahkamah tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin.


Bagaimanapun, tertuduh diwakili Peguam Amira Sofea An-Nur Ahmad Basri memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan tertuduh yang telah berkahwin dan mempunyai enam anak berusia antara lapan hingga 22 tahun merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarga.


Mahkamah diberitahu, anak tertuduh masih bersekolah sementara suami tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.


Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Oktober depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Khamis, 24 September 2026

Cabul remaja perempuan, lelaki 85 tahun didenda RM4,000

Cabul remaja perempuan, lelaki 85 tahun didenda RM4,000


Warga emas didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Georgetown, atas pertuduhan mencabul kehormatan remaja perempuan berusia 16 tahun di Air Itam, pada 17 September lalu.


Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi menjatuhi hukuman denda itu selepas tertuduh Yong Lip Fook, 85, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Mandarin.


Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama lapan bulan jika gagal bayar denda.


Mengikut pertuduhan, Lip Fook didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap remaja perempuan berusia 16 tahun dengan niat mencabul kehormatannya.


Kesalahan didakwa dilakukan di dalam lif sebuah flat di Tingkat Paya Terubong, Air Itam jam 4 petang pada 17 September lalu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga sepuluh tahun atau denda atau sebatan, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu jika disabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad manakala tertuduh diwakili Peguam Sharmila Shanthini Mogan.


Terdahulu, Ahmad Danial meminta hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh manakala Sharmila pula memohon hukuman terhadap tertuduh diringankan berikutan lelaki itu pesakit jantung, kencing manis dan darah tinggi selain selain tidak bekerja dan di bawah tanggungan anaknya.


Tertuduh juga memberi kerjasama dengan hadir ke mahkamah serta berjanji tidak melakukan kesalahan itu lagi. Denda dibayar oleh anaknya selepas Majistret menetapkan denda.

Rabu, 23 September 2026

Selak baju jiran sedang tidur, tukang mesin rumput dipenjara 11 bulan

Selak baju jiran sedang tidur, tukang mesin rumput dipenjara 11 bulan


Seorang tukang mesin rumput dipenjara 11 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan termasuk mencabul jiran yang sedang tidur minggu lalu.


Tertuduh, Muhammad Najib Iqbal Saleh, 21, turut membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan penyalahgunaan dadah sejurus kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.


Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 41, dengan niat mencabul kehormatannya di sebuah rumah di Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka Tengah, kira-kira jam 11.30 malam, 16 September lalu.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.


Mengikut fakta kes, mangsa sedang tidur di dalam bilik sebelum tersedar dan mendapati tertuduh berada di atas katilnya sebelum mencabul mangsa.


Mangsa kemudian menjerit dan berlaku pergelutan apabila tertuduh bertindak agresif serta enggan melepaskannya menyebabkan mangsa mengalami luka kecil di bahagian bawah bibir sebelah kanan.


Mangsa mengesyaki tertuduh memasuki rumah berkenaan melalui pintu yang tidak berkunci dan hanya disendal menggunakan tukul besi bagi memudahkan anaknya pulang lewat memasuki rumah.


Tertuduh kemudian ditangkap selepas laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.


Dalam prosiding sama, tertuduh turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan memberikan kepada dirinya sendiri dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine.


Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah seksyen sama.


Peguam, Muhammad Izzuddin Ab Malek yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara ringan dengan alasan anak guamnya tidak berkemampuan membayar jaminan.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatan sama dan belajar menghormati orang lain.


Beliau turut memohon supaya kedua-dua hukuman penjara dijalankan secara berasingan.


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap tertuduh bagi kesalahan mencabul, bermula dari tarikh tangkap pada 17 September lalu.


Bagi kesalahan dadah pula, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan yang bermula selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara bagi kesalahan mencabul, selain dikenakan pengawasan polis selama dua tahun.

Skandal guru dan pelajar lelaki terbongkar, beberapa kali daftar masuk hotel

Skandal guru dan pelajar lelaki terbongkar, beberapa kali daftar masuk hotel


Perbuatan seorang guru wanita yang didakwa menjalin hubungan terlarang dengan pelajarnya terbongkar selepas video membabitkan mereka diketahui keluarga remaja berusia 17 tahun itu dan pihak sekolah.


Difahamkan hubungan terjalin sejak tahun lalu dengan mereka beberapa kali didakwa mendaftar masuk hotel di Seri Kembangan selain bertemu di kediaman guru berusia 30-an terbabit.


Menurut sumber, pelajar lelaki berkenaan mendakwa guru itu pada mulanya mengajaknya keluar untuk berjalan-jalan dan makan sebelum membawanya ke sebuah hotel di Seri Kembangan.


Katanya, guru terbabit didakwa melakukan perbuatan seksual selain merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit.


"Kejadian itu berlaku beberapa kali termasuk di kediaman suspek. Bagaimanapun perbuatan itu terbongkar Isnin lalu selepas pihak keluarga dan sekolah mengetahui mengenainya, termasuk menemui video yang dirakam," katanya.


Susulan itu, pelajar dan pihak sekolah dikatakan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.


Sumber berkata, susulan laporan itu, polis menahan guru wanita berkenaan di sekitar Bandar Kinrara pada 10.30 malam, Isnin lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Ahad, 20 September 2026

Lelaki 18 tahun ditahan selepas ceroboh bilik dan cabul pelancong wanita warga China

Lelaki 18 tahun ditahan selepas ceroboh bilik dan cabul pelancong wanita warga China


Seorang lelaki ditahan selepas pelancong wanita warga China mendakwa seorang individu menceroboh bilik sebelum mencabulnya di sebuah resort di Jalan Kamiri, Semporna, awal pagi semalam.


Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3 pagi ketika mangsa yang berusia 25 tahun sedang tidur di dalam bilik penginapan berkenaan.


Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa mendakwa tersedar apabila merasakan seseorang sedang menanggalkan sebahagian pakaiannya sebelum berlaku pergelutan ketika suspek cuba memegang tangan mangsa.


"Mangsa bagaimanapun berjaya melarikan diri dari bilik berkenaan dan bersembunyi di kawasan semak berhampiran sebelum ditemui seorang pekerja resort pada waktu pagi.


"Ketika melarikan diri, mangsa turut mendakwa rambutnya ditarik oleh suspek sehingga menyebabkan dia terjatuh," katanya dalam kenyataan media hari ini.


Tan berkata, bertindak hasil maklumat dan siasatan awal, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna menahan suspek kira-kira jam 8 malam pada hari yang sama di kawasan resort berkenaan.


"Suspek berusia 18 tahun itu kemudian dibawa ke IPD Semporna bagi membantu siasatan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah terhadap seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan," katanya.