Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan

Isnin, 30 Januari 2023

Saintis jumpa imej 'aneh' di Planet Marikh, batu kelihatan seperti wajah beruang

Saintis jumpa imej 'aneh' di Planet Marikh, batu kelihatan seperti wajah beruang


Saintis-saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menemui ukiran batu berbentuk beruang semasa merakam gambar baharu Planet Marikh, lapor akhbar Daily Star pada 28 Januari 2023.


Imej itu dirakam pada ketinggian 251 kilometer (km) dari permukaan Marikh menggunakan kamera paling berkuasa yang pernah digunakan di Marikh dari kapal angkasa Mars Reconnaissance Orbiter.


Saintis menemui garisan bulat besar di atas permukaan batu, dua lekuk berbentuk seakan mata, serta kawah lebih besar kelihatan seperti mulut beruang.


NASA turut berkongsi imej tersebut di Twitter dan menerangkan punca pembentukan wajah beruang di planet itu.


"Terdapat sebuah bukit dengan struktur runtuh berbentuk V (hidung), dua kawah (mata), dan corak bulat (kepala).


"Corak bulatan mungkin disebabkan oleh pemendapan deposit di atas kawah yang tertimbus.


"Hidungnya mungkin lubang gunung berapi atau lumpur dan mendapan itu mungkin lahar atau aliran lumpur," kata NASA.


Bagaimanapun, sesetengah pengguna Twitter merasakan imej itu lebih kelihatan seperti burung berbanding beruang kerana kekurangan telinga.


"Terdapat beberapa orang yang menyangka ia menyerupai ayam," kata NASA sebagai tindak balas kepada seorang pengguna yang menyiarkan gambar burung marah di bawah pengumuman itu. - Sumber Daily Star.


Saintis berpendapat formasi batuan itu membentuk wajah beruang, tetapi netizen beranggapan ia kelihatan seperti burung. - Foto Daily Star.
India akan hantar roket kaji Matahari pada Jun atau Julai tahun ini

India akan hantar roket kaji Matahari pada Jun atau Julai tahun ini


Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO) akan melancarkan misi saintifik untuk mengkaji Matahari pada Jun atau Julai tahun ini, lapor laman berita Wion News pada 29 Januari 2023.


ISRO baru-baru ini menerima Visible Line Emission Coronagraph (VELC) yang merupakan muatan utama di atas kapal angkasa Aditya-L1 daripada Institut Astrofizik India (IIA).


VELC adalah misi saintifik pertama India untuk mengkaji Matahari. Majlis penyerahan VELC berlangsung di kampus Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Sains dan Teknologi (CREST) IIA yang dihadiri Pengerusi ISRO, Somanath.


Menurut IIA, penentu ukuran, pemasangan dan ujian terhadap VELC berjaya diselesaikan dan merupakan muatan paling mencabar antara tujuh muatan/teleskop yang akan diterbangkan di atas kapal angkasa Aditya-L1.


"Memahami impak Matahari pada Bumi dan persekitarannya telah menjadi sangat penting sekarang dengan Aditya-L1 bertujuan untuk menjelaskan topik ini. 


"Ia mengambil masa 15 tahun untuk pembinaan VELC bermula dari konsep hingga siap, dan tempoh ini diperlukan untuk sistem yang kompleks seperti ini," kata Somanath.


Aditya L1 ialah misi berasaskan ruang angkasa pertama India yang bertujuan mengkaji Matahari dari orbit halo mengelilingi titik Lagrangian sistem Matahari-Bumi 1 (L 1).


Misi itu dikendalikan oleh tujuh muatan di atas kapal Aditya L1 untuk membuat pemerhatian kromosfera, lapisan terluar matahari (korona) dan fotosfera. Ia akan membuat pelbagai pemerhatian tentang aktiviti suria serta kesannya terhadap cuaca angkasa, kata ISRO.


Sementara itu, Pengarah IIA Prof Annapurni Subramaniam berkata, "VELC adalah usaha berpasukan dan merupakan pencapaian utama bagi institut. Usaha ini melibatkan kerjasama rapat antara IIA, ISRO dan banyak industri di seluruh India. Kami menantikan hasil sains yang menarik daripada muatan ini selepas ia beroperasi." - Sumber Wion News.


ISRO India akan melancarkan misi saintifik untuk mengkaji matahari akan dijalankan pada Jun atau Julai depan. - Foto Twitter.

Sabtu, 28 Januari 2023

Bekas angkasawan yang berjaya menjejakkan kaki di Bulan berkahwin kali keempat di usia 93 tahun

Bekas angkasawan yang berjaya menjejakkan kaki di Bulan berkahwin kali keempat di usia 93 tahun


Bekas angkasawan NASA Buzz Aldrin berkahwin buat kali keempat dengan kekasihnya pada hari lahir ke-93 Jumaat lalu, lapor Akhbar Daily Mail pada 21 Januari 2023.


"Pada hari lahir ke-93 dan pada hari bakal dikurnia penghormatan oleh Living Legends of Aviation, saya dengan sukacitanya mengumumkan cinta lama Dr Anca Faur dan saya telah berkahwin.


"Kami disatukan dalam satu majlis peribadi di Los Angeles dan teruja seperti remaja kahwin lari," tulis Aldrin di Twitter pada Sabtu.


Beliau menitip dua gambar dirinya memakai tuksedo dan Faur memakai gaun bergemerlapan berlengan panjang. Dr Faur, 63, yang memiliki PhD dalam kejuruteraan kimia ialah naib presiden eksekutif syarikat Aldrin, Buzz Aldrin Ventures.



Aldrin turut mengucapkan terima kasih kepada peminat atas ucapan selamat ulang tahun mereka dalam satu lagi tweet. Aldrin sudah berkahwin sebanyak tiga kali sebelum ini dan mempunyai tiga orang anak.


Aldrin, atau nama penuhnya Edwin Eugene Aldrin Jr, dilahirkan pada 20 Januari 1930 di Glen Ridge, New Jersey, Amerika Syarikat.


Aldrin pertama kali berkahwin pada 1954 ketika berusia 24 tahun dengan Joan Archer. Perkahwinan kedua Aldrin adalah dengan Beverly Van Zile (1975–1978), dan kemudiannya dengan Lois Driggs Cannon (1988–2012).


Perceraian Aldrin pada 2012 menyaksikan beliau perlu membayar bekas isterinya 30 peratus daripada pendapatan semasa.


Beliau menyertai misi Apollo 11 pada tahun 1969, menjadi individu kedua yang berjaya menjejakkan kaki di bulan selepas Neil Armstrong. - Sumber Daily Mail.


Dari kiri ke kanan, Neil Armstrong, Michael Collins, dan Buzz Aldrin, Jr. bergambar potret dalam sut angkasa mereka di hadapan tirai latar yang menunjukkan Bulan. - Foto Corbis via getty images.

Buzz Aldrin bersama isterinya, Anca Faur tiba di Pusat Angkasa Kennedy. - Foto AP.

Selasa, 3 Januari 2023

Wap berwarna pelangi muncul di udara, penduduk di Korea Selatan sangka ternampak UFO

Wap berwarna pelangi muncul di udara, penduduk di Korea Selatan sangka ternampak UFO


Khabar angin mengenai penampakan objek terbang tidak dikenali (UFO) sehingga meninggalkan jejak wap berwarna pelangi dan cahaya misteri di ruang udara Korea Selatan rupa-rupanya hanya latihan ketenteraan.


Menerusi lapor akhbar Washington Post pada 30 Disember 2022, perkara itu disahkan selepas tentera negara itu mengaku pihaknya adalah 'dalang' di sebalik objek misteri yang heboh diperkatakan dalam media sosial.


Menurut Kementerian Pertahanan, objek melambung tinggi di langit pada malam Jumaat itu adalah satu bentuk roket baharu yang sedang dibangunkan oleh pihak tentera.


Pihaknya menjelaskan latihan tersebut tidak dimaklumkan lebih awal kerana melibatkan isu sensitif keselamatan ketenteraan negara. Bagaimanapun, bentuk roket yang menimbulkan situasi panik dalam kalangan penduduk di Goyang belum diumumkan lagi.


Ujian roket yang dilancarkan ke ruang udara membolehkan pengawasan dari angkasa lepas dijalankan dan memberi peluang kepada Korea Selatan memperkukuh aspek pertahanan.


Susulan itu, pihak berkuasa menerima beratus-ratus laporan daripada penduduk yang melahirkan kebimbangan tentang kehadiran makhluk asing di bumi.


Roket itu dilancarkan empat hari selepas Korea Selatan menuduh Korea Utara menerbangkan lima dron merentasi garis sempadan.


Dilaporkan, pihak tentera gagal menembak dron tersebut walaupun menyedari kehadiran objek itu di ruang udara, sekali gus menimbulkan persoalan keselamatan rangkaian pertahanan udara negara ini.


Dalam perkembangan sama, Korea Utara juga berusaha membangunkan satelit pengawasan ketenteraan pertama serta sistem senjata berteknologi tinggi bagi mengatasi keupayaan Amerika Syarikat. - Sumber Washington Post.


Penampakan objek sehingga menimbulkan lintasan bercahaya di ruang udara di Goyang, Korea Selatan pada Jumaat, 30 Disember 2022 lalu. - Foto AP/Ahn Young-joon.

Selasa, 20 Disember 2022

Kemunculan cahaya aneh di langit India menimbulkan spekulasi mengenai penampakan kapal angkasa makhluk asing

Kemunculan cahaya aneh di langit India menimbulkan spekulasi mengenai penampakan kapal angkasa makhluk asing


Cahaya misteri yang dikesan selama kira-kira tiga minit di beberapa bahagian di Bengal Barat, termasuk Kolkata, di India sekitar 5.47 petang (waktu tempatan) Khamis lalu menimbulkan spekulasi mengenai penampakan kapal angkasa makhluk asing, lapor India TV News pada 16 Disember 2022.


Kemunculan cahaya aneh secara tiba-tiba itu mencetuskan panik di kalangan orang ramai dan kebanyakan mereka mempersoalkan sama ada ia mungkin sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO).


Cahaya terang itu dilihat berlegar-legar di beberapa daerah di Bengal Barat, oleh sejumlah penduduk yang hairan menyaksikan fenomena sedemikian.


Rakaman luar biasa itu menunjukkan objek bercahaya di langit malam dan disiarkan menerusi beberapa klip video yang dikongsi di Twitter.



Beberapa peminat UFO tempatan mendakwa bahawa UFO itu ialah sebuah pesawat makhluk asing manakala yang lain menganggap ia adalah sebuah satelit.


"Ia sangat dekat. Bukankah ia kelihatan seperti UFO. Cahaya telah lenyap," kata seorang penduduk.


Pentadbiran negeri seolah-olah tidak tahu tentang perkara itu pada mulanya. Namun, kemudian mendedahkan bahawa ia ujian peluru berpandu balistik antara benua berkeupayaan nuklear (ICBM), Agni-V di Teluk Bengal menyebabkan pencahayaan ini di langit.


Sumber pertahanan berpendapat peluru berpandu itu mempunyai keupayaan untuk mencapai sasaran melebihi 5,000 kilometer. Ujian itu dijalankan pada jam 5:30 petang (waktu tempatan) dari Pulau APJ Abdul Kalam di Odisha.


"Ujian itu dijalankan untuk mengesahkan teknologi dan peralatan baharu pada peluru berpandu yang kini lebih ringan daripada sebelumnya. Percubaan itu telah membuktikan keupayaan untuk meningkatkan julat peluru berpandu Agni-5, jika diperlukan," kata sumber. - Sumber India TV News.


Sebuah objek terbang tidak dikenali tebang di langit India pada malam Khamis lalu. - Foto India TV News.

Rabu, 14 Disember 2022

Dua mineral 'asing' yang belum pernah dilihat di Bumi ditemui dalam meteorit seberat 14 tan yang terhempas di Somalia dua tahun lalu

Dua mineral 'asing' yang belum pernah dilihat di Bumi ditemui dalam meteorit seberat 14 tan yang terhempas di Somalia dua tahun lalu


Saintis dilaporkan telah menemui dua mineral yang belum pernah dilihat di Bumi sebelum ini dalam meteorit seberat 14 tan yang terhempas dua tahun lalu di Somalia, lapor akhbar Daily Mail pada 29 November 2022.


Batu angkasa itu dianggarkan mempunyai kepadatan dua kali ganda daripada batu biasa di Bumi. Ia kemudiannya telah dibawa ke Universiti Alberta untuk penelitian lanjut.


Profesor di Jabatan Sains Bumi & Atmosfera serta kurator Koleksi Meteorit Universiti Alberta, Chris Herd dalam satu kenyataan berkata, bahawa penemuan batu tersebut merupakan penemuan baharu.


Sewaktu menganalisis batu angkasa itu, Herd telah menemukan sesuatu dan telah menghubungi Ketua U of A’s Electron Microprobe Laboratory, Andrew Locock yang mengkaji mineral Heamanite-(Ce).


"Ia adalah kepakaran saya dalam mengkaji proses geologi dan sejarah asteroid yang pernah menjadi sebahagian daripada batu ini. Sekurang-kurangnya batu ini mempunyai dua mineral baharu," kata Herd.


Susulan itu, Locock telah meneliti batu mineral berkenaan untuk memastikan keasliannya.


Kedua-dua mineral tersebut telah dinamakan sebagai elalit dan elkinstantonit selepas penemuan. Pengkaji mendakwa batu tersebut mempunyai potensi penemuan mineral ketiga.


Difahamkan nama meteorit pertama diberikan sempena penghormatan kepada nama kawasan dijumpai manakala batu mineral kedua pula dinamakan sempena nama Pengarah Pengurusan Antara Planet di Universiti Arizona, Lindy Elkins-Tanton.


Sehubungan itu, Herd komited bahawa terdapat lebih banyak mineral baharu sekiranya penyelidik mengambil lebih banyak sampel daripada meteorit itu.


Terdahulu, meteorit terbabit dilaporkan terhempas di kawasan luar bandar selepas ditemui oleh seorang pengembala unta yang memberitahu kepada pakar. - Sumber Daily Mail.


Dua mineral baharu yang tidak pernah dilihat di Bumi telah dikenal pasti dalam meteorit yang terhempas di Somalia dua tahun lalu. - Foto University of Alberta.

Para penyelidik optimis bahawa lebih banyak mineral baru boleh ditemui jika mereka mengambil lebih banyak sampel daripada meteorit tersebut. - Foto University of Alberta.

Meteorit seberat 14 tan (gambar) terhempas di Somalia pada tahun 2020. Ia adalah yang kesembilan terbesar pernah ditemui di Bumi. - Foto Global Resources.

Isnin, 12 Disember 2022

Anggota BIGBANG, T.O.P tepilih pergi ke angkasa lepas untuk mengelilingi Bulan

Anggota BIGBANG, T.O.P tepilih pergi ke angkasa lepas untuk mengelilingi Bulan


Anggota kumpulan K-pop BIGBANG, T.O.P bakal menjadi artis dan orang awam pertama dari Korea Selatan ke angkasa lepas untuk mengelilingi Bulan secara lebih dekat.


Dia terpilih menyertai projek dearMoon Crew yang dimulakan usahawan Jepun, Yusaku Maezawa bersama tujuh lagi individu terdiri daripada artis pelbagai bidang.


Berita gembira itu dikongsi T.O.P menerusi sebuah hantaran video di Instagram di mana dia sangat bangga dengan pencapaian itu. Menurutnya, dia berazam menjadi inspirasi kepada orang ramai.


"Saya sangat berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada projek dearMoon Crew. Saya sentiasa berfantasi mengenai angkasa lepas dan Bulan sejak kecil.


"Apabila diberitahu dapat terpilih sebagai krunya, saya sangat gembira. Sebagai artis dan rakyat Korea Selatan, saya sangat bangga dan pegang tanggungjawab besar untuk pergi ke Bulan," katanya.


T.O.P berharap kunjungannya ke angkasa lepas akan memberikan perspektif meluas kepadanya secara peribadi. Dia juga berharap menjadi sumber harapan buat ramai lagi orang lain.


"Saya ingin melihat kematangan peribadi saya berkembang dan kembali ke Bumi sebagai artis dengan inspirasi baharu. Saya tak takut langsung nak pergi ke Bulan dan pengalaman baharu ini.


"Sebaliknya, ia satu penghormatan buat saya dan merendah diri dengan pengalaman ini. Saya mahu Bulan itu jadi inspirasi dan beri harapan kepada orang supaya ia jadikan orang fikir bahawa segalanya tidak mustahil," katanya.


Projek diusahakan SpaceX itu bakal dilaksanakan tahun depan. Ia menyasarkan membawa orang awam menaiki penerbangan ke angkasa lepas dan Bulan.


Ia juga sebahagian daripada projek seni yang dirancang Yusaku Maezawa. Kunjungan itu akan mengambil masa seminggu mengelilingi orbit Bulan dalam kapal angkasa yang dihasilkan SpaceX.


Selain T.O.P, antara individu ternama yang terpilih adalah pemuzik Amerika-Jepun; Steve Aoki, pelakon India, Dev Joshi; penari Jepun, Miyu dan atlit papan luncur Olimpik, Kaitlyn Farrington.


T.O.P bakal menjadi artis dan orang awam pertama dari Korea Selatan ke angkasa lepas.