Isnin, 30 Januari 2023

Saintis jumpa imej 'aneh' di Planet Marikh, batu kelihatan seperti wajah beruang


Saintis-saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menemui ukiran batu berbentuk beruang semasa merakam gambar baharu Planet Marikh, lapor akhbar Daily Star pada 28 Januari 2023.


Imej itu dirakam pada ketinggian 251 kilometer (km) dari permukaan Marikh menggunakan kamera paling berkuasa yang pernah digunakan di Marikh dari kapal angkasa Mars Reconnaissance Orbiter.


Saintis menemui garisan bulat besar di atas permukaan batu, dua lekuk berbentuk seakan mata, serta kawah lebih besar kelihatan seperti mulut beruang.


NASA turut berkongsi imej tersebut di Twitter dan menerangkan punca pembentukan wajah beruang di planet itu.


"Terdapat sebuah bukit dengan struktur runtuh berbentuk V (hidung), dua kawah (mata), dan corak bulat (kepala).


"Corak bulatan mungkin disebabkan oleh pemendapan deposit di atas kawah yang tertimbus.


"Hidungnya mungkin lubang gunung berapi atau lumpur dan mendapan itu mungkin lahar atau aliran lumpur," kata NASA.


Bagaimanapun, sesetengah pengguna Twitter merasakan imej itu lebih kelihatan seperti burung berbanding beruang kerana kekurangan telinga.


"Terdapat beberapa orang yang menyangka ia menyerupai ayam," kata NASA sebagai tindak balas kepada seorang pengguna yang menyiarkan gambar burung marah di bawah pengumuman itu. - Sumber Daily Star.


Saintis berpendapat formasi batuan itu membentuk wajah beruang, tetapi netizen beranggapan ia kelihatan seperti burung. - Foto Daily Star.


EmoticonEmoticon