Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan

Jumaat, 9 Disember 2022

Beberapa objek misteri bercahaya 'muncul' di langit Dubai

Beberapa objek misteri bercahaya 'muncul' di langit Dubai


Satu klip video memaparkan beberapa objek terbang misteri di langit Dubai mengejutkan penduduk dengan ramai orang yang cuba membuat tekaan, lapor laman berita The National pada 7 Disember 2022.


Video yang tular di laman sosial itu menunjukkan beberapa UFO bercahaya terang terbang dalam satu formasi di langit.


Penyampai radio, Kris Fade memuat naik video itu di laman Instagram dan bertanya: "Adakah ini hujan meteor atau objek lain?"


Salah seorang peminatnya kemudian memberitahu bahawa ia adalah sekumpulan penerjun udara.


"Maaf semua, ia adalah kumpulan penerjun udara dengan suar yang dipasang. Kami melihat mereka terjun dari sebuah pesawat. Rakan suami saya ialah salah seorang daripada mereka. Mereka amat hebat," kata peminat tersebut.


"Ia bukan hujan meteor. Ia adalah penerjun udara yang memakai sut sayap pyro," komen netizen lain.


Beberapa pengguna media sosial turut meneka bahawa ia adalah sampah angkasa lepas seperti serpihan satelit yang terbakar di atmosfera Bumi. - Sumber The National News.


Beberapa objek bercahaya terang terbang dalam satu formasi di langit. - Foto Kris Fade/Instagram.

Selasa, 22 November 2022

Tentera China didakwa menggunakan kekerasan rampas serpihan roket yang ditunda tentera Filipina

Tentera China didakwa menggunakan kekerasan rampas serpihan roket yang ditunda tentera Filipina


Pengawal pantai China secara paksa merampas serpihan roket terapung yang ditunda tentera laut Filipina ke pulaunya, dalam satu lagi konfrontasi di Laut China Selatan yang dipertikaikan, lapor laman berita ABC News pada 21 November 2022.


Menurut sumber ketenteraan, serpihan itu daripada pemacu roket yang dilancarkan ke angkasa lepas oleh China, yang terhempas tanpa kawalan kembali ke bumi.


Menurut Naib Laksamana Alberto Carlos, kapal tentera laut China itu didakwa menyekat bot tentera lautnya sebanyak dua kali sebelum merampas serpihan yang ditunda kapal itu pada Isnin, 21 November dari Pulau Thitu yang diduduki Filipina.


"Kapal pengawal pantai China menyekat bot bekalan Filipina menghantar bekalan kepada tentera Filipina iaitu perairan yang dipertikaikan, kemudian merampas objek dalam milikan tentera negara lain, suatu tindakan bersifat kurang ajar," katanya.


Tambah Carlos, kelasi botnya menggunakan kamera jarak jauh di pulau Thitu, mengesan serpihan hanyut dalam ombak kuat berhampiran beting pasir yang terletak sejauh kira-kira 540 meter.


Mereka kemudian menaiki bot dan mengambil objek terapung itu dan mula menariknya kembali ke pulau mereka menggunakan tali yang diikat pada bot.


"Ketika kelasi Filipina bergerak pulang ke pulau milik negara itu, mereka menyedari dihampiri kapal pengawal pantai China dengan haluan nombor 5203 dan kemudian menghalang laluan mereka dua kali," katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Katanya, kapal pengawal pantai milik China kemudian mengerahkan kakitangannya merampas objek terapung itu dengan memotong tali penarik yang dipasang pada bot getah pelaut Filipina.


China bagaimanapun menafikan bahawa salah satu kapal pengawal pantainya menggunakan kekerasan untuk mendapatkan objek terapung di lautan yang sedang ditunda oleh kapal Filipina tersebut.


"Orang dari pihak Filipina menyelamatkan dan menunda objek terapung itu terlebih dahulu. Selepas kedua-dua pihak mengadakan rundingan mesra di tempat kejadian, Filipina menyerahkan objek terapung itu kepada kami," kata Mao Ning, jurucakap kementerian luar China.


Sementara itu, jurucakap tentera Western Command Filipina, Mejar Cherryl Tindog, berkata objek logam terapung itu kelihatan sama dengan beberapa serpihan roket China yang ditemui baru-baru ini di perairan Filipina. - Sumber ABC News.


Kakitangan Pengawal Pantai membawa serpihan roket China Long March 5B (CZ-5B) yang dilancarkan pada 24 Julai, selepas ia ditemui terhempas di perairan Mamburao, wilayah Mindoro Occidental, Filipina. - Foto AP.

Selasa, 1 November 2022

NASA rakam imej matahari 'tersenyum' petanda ribut solar dahsyat bakal melanda Bumi

NASA rakam imej matahari 'tersenyum' petanda ribut solar dahsyat bakal melanda Bumi


Satelit NASA merakam gambar corak pergerakan di angkasa awal minggu lalu yang memperlihatkan seakan 'matahari sedang tersenyum', lapor portal berita The Guardian pada 28 Oktober 2022.


NASA berkata, imej yang di rakam Rabu lalu itu menunjukkan keadaan lubang koronal pada matahari berbentuk seperti mata dan mulut dengan 'wajah yang gembira'.


"Hari ini, Balai Cerap Dinamik Solar NASA merakam matahari tersenyum. Dilihat dalam cahaya ultraungu, tompok-tompok gelap pada matahari ini dikenali sebagai lubang koronal dan merupakan kawasan di mana angin solar kencang memancar ke angkasa lepas," jelas NASA di laman Twitter.


Balai cerap yang dilancarkan pada Februari 2010 itu menjalankan misi menyiasat bagaimana aktiviti solar dicipta dan caranya memacu cuaca di angkasa dengan kapal angkasanya berfungsi mengukur kedalaman matahari, atmosfera, medan magnet dan jumlah pengeluaran tenaga.


Menurut The Guardian, gambar tersebut menerima pelbagai reaksi dalam talian apabila ramai membandingkan imej itu dengan ukiran labu Halloween, singa dan matahari yang dipaparkan dalam rancangan kanak-kanak Teletubbies.


Walaupun kelihatan mesra, pakar memberi amaran bahawa lubang korona matahari itu mungkin membawa makna ribut solar bakal melanda bumi minggu ini.


"Matahari yang ceria memuntahkan aliran tiga kali ganda angin solar ke arah bumi," jelas laman Spaceweather.com.


Ribut solar adalah pelbagai letusan jisim dan tenaga dari permukaan suria yang seterusnya mengubah bentuk medan magnet bumi. Akibatnya, ribut ini meningkatkan keterlihatan cahaya kutub, juga dikenali sebagai aurora, di hemisfera utara dan selatan. - Sumber The Guardian.


Gambar yang dirakam NASA rabu lalu menunjukkan keadaan matahari seakan tersenyum. - Foto Twitter NASA.

Ahad, 30 Oktober 2022

Asteroid gergasi 'berpotensi berbahaya' lintas Bumi minggu depan

Asteroid gergasi 'berpotensi berbahaya' lintas Bumi minggu depan


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menyatakan bahawa sebuah asteroid gergasi akan melintas Bumi pada minggu hadapan, lapor akhbar New York Post pada 29 Oktober 2022.


Asteroid 'berpotensi berbahaya' itu dinamakan 2022 RM4 dan mempunyai anggaran diameter 740 meter. Ukuran itu dua kali ganda saiz The Shard iaitu bangunan pencakar langit di London yang merupakan bangunan tertinggi di Britain setinggi 310 meter.


Menurut NASA, asteroid sedemikian mempunyai orbit yang lebih besar daripada orbit Bumi mengelilingi Matahari. 2002 RM4 mengorbit Matahari setiap 1,397 hari dan laluannya kadangkala melintasi laluan orbit Bumi mengelilingi Matahari.


Menurut LiveScience.com, asteroid itu akan bergerak melepasi Bumi pada kelajuan sekitar 84,500 kilometer sejam. Dijangka akan melintas Bumi pada 1 November ini pada jarak sekitar 2.4 juta kilometer pada titik terdekatnya sekaligus risiko pelanggaran dengan Bumi adalah tipis.


Pengarah Institut Teknologi dan Industri Angkasa, Profesor Alan Duffy pula menggesa orang ramai supaya tidak berharap untuk melihat fenomena sesebuah asteroid memasuki atmosfera Bumi.


"Saya akan katakan nasihat terbaik ialah tidak menyaksikan kejadian seperti ini. Banyak kecederaan dilaporkan di Chelyabinsk (kejadian meteor terhempas di Russia pada 2013).


"Orang ramai melihat bola api yang terbakar di langit sebelum meletus dan memancar kecerahan yang sama seperti Matahari. Ini menyebabkan berlakunya kerosakan retina pada mata mereka yang tidak melihat dengan cara yang betul," katanya. - Sumber New York Post.


Asteroid itu akan melepasi Bumi pada minggu hadapan. - Foto Getty Images/iStockphoto.

Selasa, 25 Oktober 2022

Britain, Australia mahu bina stesen janakuasa elektrik di angkasa lepas untuk kegunaan di Bumi

Britain, Australia mahu bina stesen janakuasa elektrik di angkasa lepas untuk kegunaan di Bumi


Kerajaan Britain dan Australia dilaporkan sedang mengadakan perbincangan untuk membina sebuah stesen janakuasa di angkasa lepas sebagai usaha mencegah krisis tenaga akibat perang Russia-Ukraine daripada berulang, lapor akhbar Daily Star pada 21 Oktober 2022.


Stesen janakuasa tersebut diharap dapat mengumpul cahaya matahari dan menukarnya menjadi kuasa serta memancarkan ke Bumi untuk disalurkan ke Grid Nasional.


"Ini bermaksud kedua-dua negara tidak lagi dikawal oleh negara yang menyediakan perkhidmatan tenaga (Russia)," kata Jurutera Australia yang berpangkalan di London, James Bunn.


Menurutnya, dengan keupayaan menjana sendiri tenaga, Britain dan Australia dapat menggunakan rangkaian bekalan elektrik untuk menentukan harga tenaga mereka kepada pengguna.


"Ini juga menghapuskan masalah bergantung kepada panel solar berasaskan tanah kerana di angkasa tidak ada waktu malam dan dengan menjana elektrik sepanjang malam kita boleh mengekalkan tenaga beban asas 24 jam sehari," katanya.


Kedua-dua kerajaan dilaporkan membincangkan pelan tersebut bersama syarikat perunding antarabangsa, Frazer-Nash.


Sekiranya skim tersebut mendapat kelulusan, ia akan membantu London dan Canberra mencapai sasaran pelepasan sifar karbon. - Sumber Daily Star.


Stesen janakuasa tersebut diharap dapat mengumpul cahaya matahari dan menukarnya menjadi kuasa serta memancarkan ke Bumi untuk disalurkan ke Grid Nasional. - Foto Getty Images.

Ahad, 16 Oktober 2022

Wanita ditipu RM141,000 oleh 'angkasawan Rusia' pinjam wang pulang ke Bumi untuk berkahwin dengannya

Wanita ditipu RM141,000 oleh 'angkasawan Rusia' pinjam wang pulang ke Bumi untuk berkahwin dengannya


Seorang warga emas di Jepun kerugian 4.4 juta yen (RM140,992) selepas menjadi mangsa penipuan seorang lelaki yang mendakwa dirinya merupakan angkasawan Rusia, yang memerlukan wang untuk terbang kembali ke Bumi untuk mengahwininya, lapor akhbar Daily Mail.


Wanita berusia 65 tahun dari wilayah Shiga itu dilaporkan jatuh cinta dengan lelaki berkenaan selepas berkenalan menerusi aplikasi media sosial Instagram pada Jun lalu, di mana profil lelaki itu dipenuhi dengan foto angkasa.


Suspek dikatakan telah meminta agar mangsa menghantar sejumlah wang untuk membantunya pulang ke Bumi. Lelaki tersebut juga berjanji untuk berpindah ke Jepun dan mengahwini warga emas berkenaan.


Menurut mangsa, 'teman lelakinya' memerlukan wang untuk membayar tambang roket dan yuran pendaratannya di Bumi.


Dia dikatakan mempercayai lelaki tersebut kerana suspek sudah biasa menggunakan akronim melibatkan angkasa lepas seperti Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) atau Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA).


Lelaki itu juga telah memuat naik beberapa foto Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), dalam akaun Instagram miliknya.


Mangsa dilaporkan menghantar wang kepada suspek dalam lima transaksi berbeza antara 19 Ogos dan 5 September sebelum melaporkan kepada polis selepas suspek meminta jumlah wang yang lebih banyak.


Tiada laporan dikongsikan sama ada Polis Jepun berjaya menangkap lelaki tersebut atau menunggu dia benar-benar kembali ke Bumi. - Sumber Daily Mail.


Lelaki itu mengaku dia seorang angkasawan Rusia yang bertugas di ISS. - Foto NASA.

Khamis, 13 Oktober 2022

NASA uji piring terbang gergasi bantu manusia mendarat dengan selamat di Marikh

NASA uji piring terbang gergasi bantu manusia mendarat dengan selamat di Marikh


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) bakal melancarkan sebuah piring terbang gergasi ke angkasa lepas pada bulan depan, lapor akhbar Daily Mail pada 11 Oktober 2022.


Misi Ujian Penerbangan Orbit Bumi Rendah Decelerator Kembung (LOFTID) akan menguji perisai haba yang akan digunakan untuk menghantar kapal angkasa.


NASA berharap ujian itu akan menunjukkan bagaimana perisai haba kembung boleh memperlahankan kapal angkasa yang cukup untuk bertahan dari kemasukan atmosfera.


Jika ia terbukti berjaya, teknologi itu suatu hari nanti boleh membantu manusia mendarat dengan selamat di Marikh.


Misi itu dijadualkan berlepas pada 1 November depan yang menyaksikan piring terbang gergasi dilancarkan ke orbit rendah bumi.



"NASA berharap ujian itu akan menunjukkan bagaimana perisai haba mampu memperlahankan kapal angkasa untuk bertahan dari kemasukan atmosfera. 


"Teknologi ini juga membantu pelbagai misi NASA yang dirancang ke destinasi seperti Marikh, Venus, Titan serta kembali semula ke bumi," jelas NASA.


Pada 1 November ini, NASA akan mendedahkan teknologi itu buat kali pertama dari orbit rendah bumi.


Piring terbang itu akan dilancarkan ke angkasa lepas menerusi roket United Launch Alliance Atlas V, bersama satelit cuaca yang mengorbit kutub JPSS-2.


"Sebaik sahaja JPSS-2 sampai ke orbit, perisai haba itu akan mengembang dan diletakkan pada posisi trajektori kemasukan semula dari orbit rendah Bumi untuk menguji keupayaannya.


"Jika ujian ini berjaya, ia mampu membantu NASA mencapai matlamat untuk membawa manusia ke Marikh dalam dekad akan datang," jelas NASA.


Tambah NASA, teknologi itu juga mampu menyokong kru pendaratan dan misi robotik besar di Marikh selain membawa pulang muatan lebih berat ke bumi. - Sumber Daily Mail.


Piring terbang gergasi itu mampu membantu manusia mendarat di Marikh dengan selamat. - Foto NASA.

Piring terbang ini akan dilancarkan ke angkasa lepas oleh NASA pada 1 November depan. - Foto NASA.