Ahad, 16 Oktober 2022

Wanita ditipu RM141,000 oleh 'angkasawan Rusia' pinjam wang pulang ke Bumi untuk berkahwin dengannya


Seorang warga emas di Jepun kerugian 4.4 juta yen (RM140,992) selepas menjadi mangsa penipuan seorang lelaki yang mendakwa dirinya merupakan angkasawan Rusia, yang memerlukan wang untuk terbang kembali ke Bumi untuk mengahwininya, lapor akhbar Daily Mail.


Wanita berusia 65 tahun dari wilayah Shiga itu dilaporkan jatuh cinta dengan lelaki berkenaan selepas berkenalan menerusi aplikasi media sosial Instagram pada Jun lalu, di mana profil lelaki itu dipenuhi dengan foto angkasa.


Suspek dikatakan telah meminta agar mangsa menghantar sejumlah wang untuk membantunya pulang ke Bumi. Lelaki tersebut juga berjanji untuk berpindah ke Jepun dan mengahwini warga emas berkenaan.


Menurut mangsa, 'teman lelakinya' memerlukan wang untuk membayar tambang roket dan yuran pendaratannya di Bumi.


Dia dikatakan mempercayai lelaki tersebut kerana suspek sudah biasa menggunakan akronim melibatkan angkasa lepas seperti Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) atau Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA).


Lelaki itu juga telah memuat naik beberapa foto Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), dalam akaun Instagram miliknya.


Mangsa dilaporkan menghantar wang kepada suspek dalam lima transaksi berbeza antara 19 Ogos dan 5 September sebelum melaporkan kepada polis selepas suspek meminta jumlah wang yang lebih banyak.


Tiada laporan dikongsikan sama ada Polis Jepun berjaya menangkap lelaki tersebut atau menunggu dia benar-benar kembali ke Bumi. - Sumber Daily Mail.


Lelaki itu mengaku dia seorang angkasawan Rusia yang bertugas di ISS. - Foto NASA.


EmoticonEmoticon