Sabtu, 15 Oktober 2022

Jeans Levi's berusia lebih 140 tahun ditemui dalam lombong terbiar dilelong RM410,000


Sepasang seluar jeans Levi's dari 1880-an yang ditemui di dalam lombong terbiar dilelong pada harga US$87,400 (RM410,000) pada lelongan di New Mexico, lapor United Press International (UPI).


Seluar jeans itu dijumpai di sebuah lombong terbiar di barat Amerika oleh 'ahli arkeologi denim' Michael Harris dan dijual di Durango Vintage Festivus iaitu sambutan denim empat hari di pinggir Aztec.


Jeans itu mempunyai butang buckleback dan dibeli oleh peniaga pakaian vintaj iaitu Kyle Hautner dan Zip Stevenson. Hautner membayar 90 peratus daripada harga itu, manakala Stevenson menyumbang baki 10 peratus.


Stevenson yang memiliki dan mengendalikan kedai pembaikan Denim Doctors di Los Angeles berkata, seluar itu adalah penemuan yang jarang berlaku.


"Seluar jeans ini sangat jarang dijumpai terutamanya saiz dan keadaannya masih elok. Ia mempunyai kotoran lilin yang digunakan oleh pelombong untuk menyalakan terowong," kata Stevenson kepada CNN.



Stevenson berkata, Harris telah meneliti sekurang-kurangnya 50 lombong terbiar selama lima tahun lalu dan tidak menemui sesuatu yang mempunyai kualiti sama.


Beberapa jeans Levi dari tahun yang sama diketahui masih wujud, tetapi kebanyakan dipamerkan di muzium dan dianggap tidak lagi boleh dipakai. Seluar yang dilelong itu sebaliknya, boleh dipakai dengan melakukan sedikit pembaikan kecil.


Beliau berkata, seluar jeans itu kini disimpan di dalam peti deposit keselamatan berhampiran Denim Doctors dan boleh dilihat melalui janji temu.


Pemiliknya berharap dapat menjual seluar itu ke muzium untuk paparan umum. - Sumber United Press International (UPI).


Jeans Levi's yang dilelong RM410,000. - Foto Instagram Denim Doctors.


EmoticonEmoticon