Selasa, 22 November 2022

Tentera China didakwa menggunakan kekerasan rampas serpihan roket yang ditunda tentera Filipina


Pengawal pantai China secara paksa merampas serpihan roket terapung yang ditunda tentera laut Filipina ke pulaunya, dalam satu lagi konfrontasi di Laut China Selatan yang dipertikaikan, lapor laman berita ABC News pada 21 November 2022.


Menurut sumber ketenteraan, serpihan itu daripada pemacu roket yang dilancarkan ke angkasa lepas oleh China, yang terhempas tanpa kawalan kembali ke bumi.


Menurut Naib Laksamana Alberto Carlos, kapal tentera laut China itu didakwa menyekat bot tentera lautnya sebanyak dua kali sebelum merampas serpihan yang ditunda kapal itu pada Isnin, 21 November dari Pulau Thitu yang diduduki Filipina.


"Kapal pengawal pantai China menyekat bot bekalan Filipina menghantar bekalan kepada tentera Filipina iaitu perairan yang dipertikaikan, kemudian merampas objek dalam milikan tentera negara lain, suatu tindakan bersifat kurang ajar," katanya.


Tambah Carlos, kelasi botnya menggunakan kamera jarak jauh di pulau Thitu, mengesan serpihan hanyut dalam ombak kuat berhampiran beting pasir yang terletak sejauh kira-kira 540 meter.


Mereka kemudian menaiki bot dan mengambil objek terapung itu dan mula menariknya kembali ke pulau mereka menggunakan tali yang diikat pada bot.


"Ketika kelasi Filipina bergerak pulang ke pulau milik negara itu, mereka menyedari dihampiri kapal pengawal pantai China dengan haluan nombor 5203 dan kemudian menghalang laluan mereka dua kali," katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Katanya, kapal pengawal pantai milik China kemudian mengerahkan kakitangannya merampas objek terapung itu dengan memotong tali penarik yang dipasang pada bot getah pelaut Filipina.


China bagaimanapun menafikan bahawa salah satu kapal pengawal pantainya menggunakan kekerasan untuk mendapatkan objek terapung di lautan yang sedang ditunda oleh kapal Filipina tersebut.


"Orang dari pihak Filipina menyelamatkan dan menunda objek terapung itu terlebih dahulu. Selepas kedua-dua pihak mengadakan rundingan mesra di tempat kejadian, Filipina menyerahkan objek terapung itu kepada kami," kata Mao Ning, jurucakap kementerian luar China.


Sementara itu, jurucakap tentera Western Command Filipina, Mejar Cherryl Tindog, berkata objek logam terapung itu kelihatan sama dengan beberapa serpihan roket China yang ditemui baru-baru ini di perairan Filipina. - Sumber ABC News.


Kakitangan Pengawal Pantai membawa serpihan roket China Long March 5B (CZ-5B) yang dilancarkan pada 24 Julai, selepas ia ditemui terhempas di perairan Mamburao, wilayah Mindoro Occidental, Filipina. - Foto AP.


EmoticonEmoticon