Selasa, 25 Oktober 2022

Britain, Australia mahu bina stesen janakuasa elektrik di angkasa lepas untuk kegunaan di Bumi


Kerajaan Britain dan Australia dilaporkan sedang mengadakan perbincangan untuk membina sebuah stesen janakuasa di angkasa lepas sebagai usaha mencegah krisis tenaga akibat perang Russia-Ukraine daripada berulang, lapor akhbar Daily Star pada 21 Oktober 2022.


Stesen janakuasa tersebut diharap dapat mengumpul cahaya matahari dan menukarnya menjadi kuasa serta memancarkan ke Bumi untuk disalurkan ke Grid Nasional.


"Ini bermaksud kedua-dua negara tidak lagi dikawal oleh negara yang menyediakan perkhidmatan tenaga (Russia)," kata Jurutera Australia yang berpangkalan di London, James Bunn.


Menurutnya, dengan keupayaan menjana sendiri tenaga, Britain dan Australia dapat menggunakan rangkaian bekalan elektrik untuk menentukan harga tenaga mereka kepada pengguna.


"Ini juga menghapuskan masalah bergantung kepada panel solar berasaskan tanah kerana di angkasa tidak ada waktu malam dan dengan menjana elektrik sepanjang malam kita boleh mengekalkan tenaga beban asas 24 jam sehari," katanya.


Kedua-dua kerajaan dilaporkan membincangkan pelan tersebut bersama syarikat perunding antarabangsa, Frazer-Nash.


Sekiranya skim tersebut mendapat kelulusan, ia akan membantu London dan Canberra mencapai sasaran pelepasan sifar karbon. - Sumber Daily Star.


Stesen janakuasa tersebut diharap dapat mengumpul cahaya matahari dan menukarnya menjadi kuasa serta memancarkan ke Bumi untuk disalurkan ke Grid Nasional. - Foto Getty Images.


EmoticonEmoticon