Rabu, 26 Oktober 2022

Perompak lempar beg berisi wang kertas atas lebuh raya ketika dikejar polis


Satu kejadian rompakan yang berlaku di sebuah premis perjudian berhampiran ibu kota Chile, Santiago, berakhir dengan suspek bertindak melempar sebuah beg ke atas lebuh raya, lapor akhbar New York Post pada 22 Oktober 2022.


Dalam sebuah video yang dirakam oleh sistem televisyen litar tertutup (CCTV), suspek dilihat melempar sebuah beg dari kereta Chevrolet Sail berwarna biru di sebuah lebuh raya ketika diekori polis susulan rompakan di sebuah premis perjudian di bandar Pudahuel.


Salah sebuah kenderaan polis kemudian terlanggar beg itu dalam aksi kejar-mengejar dan mengoyakkannya sebelum wang kertas peso kelihatan bertaburan di jalan, sebahagian daripadanya terbang di udara.


Kereta polis yang mengejar dari belakang kemudian berhenti dengan pegawainya turun untuk menghentikan lalu lintas di laluan tiga lorong itu.


Mereka bergegas untuk mengumpul wang sebanyak mungkin tetapi sebahagiannya telah diterbangkan dan diambil orang ramai.


Polis kemudian menahan enam suspek susulan kejadian rompakan itu. Mereka dilaporkan mencuri sehingga AS$10,300 (RM48,801) dalam insiden terbabit, demikian menurut media tempatan. - Sumber New York Post.


Perompak melempar beg berisi wang melalui tingkap kereta ketika dikejar polis di bandar Pudahuel, Chile, pada Khamis lalu. - Foto New York Post.


EmoticonEmoticon