Ahad, 30 Oktober 2022

Asteroid gergasi 'berpotensi berbahaya' lintas Bumi minggu depan


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menyatakan bahawa sebuah asteroid gergasi akan melintas Bumi pada minggu hadapan, lapor akhbar New York Post pada 29 Oktober 2022.


Asteroid 'berpotensi berbahaya' itu dinamakan 2022 RM4 dan mempunyai anggaran diameter 740 meter. Ukuran itu dua kali ganda saiz The Shard iaitu bangunan pencakar langit di London yang merupakan bangunan tertinggi di Britain setinggi 310 meter.


Menurut NASA, asteroid sedemikian mempunyai orbit yang lebih besar daripada orbit Bumi mengelilingi Matahari. 2002 RM4 mengorbit Matahari setiap 1,397 hari dan laluannya kadangkala melintasi laluan orbit Bumi mengelilingi Matahari.


Menurut LiveScience.com, asteroid itu akan bergerak melepasi Bumi pada kelajuan sekitar 84,500 kilometer sejam. Dijangka akan melintas Bumi pada 1 November ini pada jarak sekitar 2.4 juta kilometer pada titik terdekatnya sekaligus risiko pelanggaran dengan Bumi adalah tipis.


Pengarah Institut Teknologi dan Industri Angkasa, Profesor Alan Duffy pula menggesa orang ramai supaya tidak berharap untuk melihat fenomena sesebuah asteroid memasuki atmosfera Bumi.


"Saya akan katakan nasihat terbaik ialah tidak menyaksikan kejadian seperti ini. Banyak kecederaan dilaporkan di Chelyabinsk (kejadian meteor terhempas di Russia pada 2013).


"Orang ramai melihat bola api yang terbakar di langit sebelum meletus dan memancar kecerahan yang sama seperti Matahari. Ini menyebabkan berlakunya kerosakan retina pada mata mereka yang tidak melihat dengan cara yang betul," katanya. - Sumber New York Post.


Asteroid itu akan melepasi Bumi pada minggu hadapan. - Foto Getty Images/iStockphoto.


EmoticonEmoticon