Rabu, 22 Julai 2026

Bapa dua anak dipenjara tujuh hari kerana curi Milo, syampu


Seorang bapa kepada dua anak dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Kulim, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri Milo dan syampu di sebuah pasar raya di Lunas, minggu lalu.


Majistret Nur Hamizah Mat Shah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Zani Ishak, 49, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.


Berdasarkan pertuduhan, Muhamad Zani mencuri dua bungkusan serbuk Milo 1.8 kilogram, empat bungkusan serbuk Milo 900 gram dan lapan botol syampu berjumlah keseluruhan RM252.60. Perbuatan itu dilakukan di sebuah pasar raya di Kulim kira-kira jam 10.52 pagi pada 15 Julai lalu.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda. Bagi kesalahan kali kedua, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara, denda atau sebatan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeyaa manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Najihah Ahmad Zulkarnain.


Dalam rayuannya, peguam memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman ringan dengan memaklumkan anak guamnya kini sedang berusaha mendapatkan pekerjaan.


Menurutnya, tertuduh turut menyesali perbuatannya dan menjelaskan barangan yang diambil merupakan barang keperluan.


Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan kerana beliau difahamkan tertuduh mencuri barangan berkenaan untuk dijual bagi mendapatkan wang.


Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh dipenjara selama tujuh hari bermula tarikh ditangkap.


EmoticonEmoticon