Memaparkan catatan dengan label Alien. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Alien. Papar semua catatan

Ahad, 9 Januari 2022

Lelaki belanja lebih RM70,000 ubah bahagian tubuhnya untuk tidak kelihatan seperti manusia

Lelaki belanja lebih RM70,000 ubah bahagian tubuhnya untuk tidak kelihatan seperti manusia


Seorang lelaki dari Jerman sanggup membelanjakan wang sehingga £12,500 (RM71,526) untuk mengubah bahagian tubuhnya supaya tidak nampak seperti seorang manusia, lapor laman berita Mirror UK pada 6 Januari 2022.


Lelaki yang hanya dikenali sebagai 'Black Depression' menerusi laman Instagramnya itu telah mencacah tatu pada wajahnya yang kelihatan seperti permainan teka-teki jigsaw.


Selain tatu mukanya yang menampilkan kepingan teka-teki berwarna dan digariskan, lelaki berusia 28 tahun itu juga telah mengeluarkan ketulan tulang rawan dari telinganya.


Menindik telinga dan hidung, mewarnakan bebola mata serta melapisi giginya dengan titanium dan membelah lidahnya, menjadikan ia bercabang.


Lelaki itu menyifatkan dia telah menghasilkan trend sendiri selain tidak menggayakan apa yang digayakan orang lain.


"Saya berminat terhadap pengubahsuaian badan sejak bertahun-tahun lamanya. Saya boleh menghasilkan dan mengubah badan saya seperti apa yang saya mahukan dan tidak mengikut trend seperti kebanyakan orang lain," katanya.


Dia mula mengubahsuai badannya ketika berusia 20 tahun dengan menjalani prosedur membelah lidahnya. Lelaki itu juga berkata masih belum berpuas hati dengan perubahan yang dilakukan dan bercadang untuk melakukan lebih banyak perubahan ekstrem dalam masa terdekat.


Lelaki ini mula mengubahsuai badannya ketika berusia 20 tahun - Foto Jam Press.
Lelaki temui pesawat 4 sayap didakwa makhluk asing menyamar menjadi bentuk itu

Lelaki temui pesawat 4 sayap didakwa makhluk asing menyamar menjadi bentuk itu


Seorang pengguna aplikasi Google Earth mendakwa menemui sebuah pesawat mempunyai empat sayap, dan empat enjin di landasan sebuah lapangan terbang komersial yang sibuk, lapor akhbar Daily Star pada 3 Januari 2022.


Scott C Waring, merupakan seorang ahli teori konspirasi berkata, pesawat tidak masuk akal itu didakwa merupakan makhluk asing dalam satu hantaran di saluran YouTube, UFO Sightings Daily.


Menurutnya, pesawat ganjil itu dikesan pada koordinat 47°26’29.99 Utara dan 122°18’20.19 Barat. Ia menunjukkan Lapangan Terbang Antarabangsa Seattle-Tacoma di Washington.


Bagaimanapun, pesawat pelik itu tidak lagi kelihatan dipercayai berpunca daripada imej satelit Google Earth yang dikemas kini.


"Objek ini tidak seperti mana-mana pesawat yang saya pernah lihat. Ia kelihatan seperti pesawat penumpang biasa tetapi ia seperti dua kali lebih besar, dua kali lebih panjang, dengan dua kali lebih banyak sayap di sisi.


"Kita mendengar banyak laporan tentang UFO menyamar sebagai komet, kapal angkasa SpaceX termasuk menyamar sebagai pesawat supaya ia boleh terbang tanpa menarik perhatian," kata Scott mendakwa bahawa gambar itu tulen tanpa sebarang manipulasi.


Sejak dimuat naik pada Ahad, 2 Januari lalu, rakaman video itu telah ditonton lebih daripada 2,000 kali, dengan rata-rata netizen berdebat sama ada imej itu berpunca daripada masalah rakaman satelit dan bukan perbuatan makhluk asing.


Imej pesawat mempunyai empat sayap yang dirakam oleh Scott C Waring.

Rabu, 29 Disember 2021

Polis terima banyak laporan penampakan makhluk asing, turut dilaporkan 'alien' masuk bilik tidur

Polis terima banyak laporan penampakan makhluk asing, turut dilaporkan 'alien' masuk bilik tidur


Jabatan Polis Ireland Utara melaporkan bahawa terdapat lapan laporan berkenaan penampakan objek terbang tidak dikenali (UFO) sepanjang tahun 2021, jumlah itu meningkat berbanding enam laporan sedemikian pada 2020 dan empat pada 2019, lapor laman berita The Guardian pada 26 Disember 2021.


Pada 17 Januari lalu, penduduk tempatan mendakwa melihat kapal angkasa dengan cahaya berkelip di kawasan Downpatrick. Pada Mei pula, polis tempatan telah dipanggil untuk menyiasat satu penampakan cahaya putih di kawasan Maghaberry serta objek berbentuk cakera dari di Slemish County Antrim.


Seterusnya, polis turut melihat 'imej pelik' menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) dari sebuah rumah di kawasan Newtownabbey. Jabatan itu turut melaporkan penampakan objek berbentuk kubah dengan lapan lampu terang di Saintfield.


Pada bulan September pula, satu laporan telah diterima di kawasan Lisburn mengenai 'entiti asing di dalam bilik tidur', tetapi tiada laporan lanjut didedahkan dalam berita antarabangsa. Manakala pada bulan Oktober seorang warga tempatan yang ditahan melaporkan telah diculik oleh makhluk asing.


Bulan November pula, penduduk tempatan dilaporkan melihat 'cahaya terang luar biasa di langit' yang direkodkan sebagai 'penampakan aneh'. Bagaimanapun, jurucakap Perkhidmatan Polis Ireland Utara (PSNI) menjelaskan bahawa tiada siasatan dijalankan berhubung dengan mana-mana penampakan yang dilaporkan tahun ini.


Nick Pope yang pernah menyiasat laporan penampakan UFO untuk Kementerian Pertahanan (MoD) berkata: "Pandemik Covid-19 dan sekatan dilakukan mungkin memainkan peranan dalam perkara ini. Orang ramai mempunyai lebih banyak masa dan mereka mungkin tidak perasan akan penampakan sebelum ini.


"Satu lagi kemungkinan adalah orang ramai lebih cenderung melaporkan kes itu disebabkan situasi semasa di Amerika Syarikat di mana kongres dan Pentagon memandang serius terhadap isu itu dan melancarkan inisiatif UFO," jelasnya.


Sebuah UFO olok-olok dengan patung makhluk asing dan tulisan 'Senyum, anda sedang diculik' dilihat di bandar Alto Paraiso, Negeri Goias, 230 kilometer di utara Brasilia pada 20 Disember 2012. - Foto AFP.

Selasa, 28 Disember 2021

Ahli Psikik Ramal 'Alien' Mendarat Di Bumi Tidak Lama Lagi

Ahli Psikik Ramal 'Alien' Mendarat Di Bumi Tidak Lama Lagi


Seorang ahli psikik popular meramalkan bahawa makhluk asing akan mendarat di Bumi tidak lama lagi, selepas bertahun-tahun melakukan kajian ke atas manusia, lapor akhbar Daily Star pada 13 Disember 2021.


Uri Geller, 74, percaya lokasi pendaratan pertama makhluk asing di Bumi bagi menunjukkan diri kepada manusia adalah di White House, AS, sekali gus sama seperti yang pernah dipaparkan dalam filem sains fiksyen arahan Steven Spielberg.


"Saya berpendapat makhluk asing sedang mengkaji kita tetapi saya tidak tahu apa yang mereka mahukan sebenarnya. Saya menjangkakan pendaratan tersebut akan berlaku pada abad akan datang.


"Tidak mungkin kejadian itu berlaku dalam beribu-ribu atau beratus-ratus tahun lagi. Jika difikirkan secara rasional, saya meramalkan kejadian tersebut akan berlaku dalam tempoh 60 tahun hingga 75 tahun lagi," katanya kepada akhbar The Sun.


Geller sebelum ini mendakwa bahawa dia pernah bekerjasama dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan ada melihat bangkai kapal angkasa makhluk asing.


"Saya telah ditunjukkan sekeping gambar UFO yang terhempas pada tahun 1970-an, semasa bekerjasama dengan CIA. Serpihan dari kapal angkasa asing itu disimpan di dalam peti sejuk," dakwanya.


Walaupun Geller tidak tahu mengapa makhluk asing akhirnya mendedahkan diri mereka, dia percaya bahawa makhluk luar angkasa mesra. "Jika 'alien' tidak mesra sudah lama kita dimusnahkan," dakwanya.


Dia turut percaya bahawa Pentagon mengetahui banyak perkara mengenai makhluk asing, namun tidak mendedahkannya kepada orang ramai.


Geller meramalkan makhluk asing akan mendarat dan menunjukkan dirinya tidak lama lagi. - Foto Getty Images.

Ahad, 26 Disember 2021

UFO Dilihat Memasuki Kawah Gunung Berapi, Pakar Dakwa Ia Adalah Pangkalan Makhluk Asing

UFO Dilihat Memasuki Kawah Gunung Berapi, Pakar Dakwa Ia Adalah Pangkalan Makhluk Asing


Seorang ahli teori konspirasi percaya makhluk asing mempunyai pangkalan rahsia di Bumi, selepas sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO) dilihat memasuki sebuah kawah gunung berapi di Mexico, lapor akhbar Daily Star pada 24 Disember 2021.


Scott C. Waring yang mendakwa dirinya pakar makhluk asing, berkongsi klip video memaparkan sebuah UFO memasuki kawah gunung berapi. Perkongsian itu mencetuskan perdebatan sama ada makhluk asing mempunyai pangkalan rahsia di dalam Bumi.


Menurutnya, klip video dirakam secara langsung pada 10 Disember itu memaparkan satu objek terang terbang secara amat perlahan memasuki kawah gunung berapi Popocatepetl, Mexico.


"UFO itu masuk dari bahagian kiri gunung berapi di mana terdapat sebuah lohong di situ. Lohong tersebut mengeluarkan abu, lahar dan awan panas setiap minggu. Saya percaya ia merupakan 'pintu masuk' bagi UFO tersebut," katanya.



Tambah Waring, dia sudah lama percaya bahawa terdapat sebuah pangkalan makhluk asing di bawah gunung berapi Popocatepetl, dekat Bandar Raya Mexico itu.


"Bukan sahaja kelibat UFO sering dilihat berlegar-legar di situ, bahkan ia turut keluar masuk dari kawah tersebut.


"Penduduk tempatan pernah mendakwa terlihat satu makhluk berketinggian 213 sentimeter yang mempunyai bentuk tajam pada bahagian tumit kaki, sedang memanjat gunung berapi tersebut tanpa sebarang peralatan mendaki.


"Bukti kewujudan 'alien' semakin banyak, tidak lama lagi makhluk asing akan memilih untuk mendedahkan diri mereka kepada dunia. Adakah anda bersedia?" katanya.


Waring memuat naik video itu di saluran YouTubenya dan kini menjadi tular, berikutan perkongsian itu dibanjiri komen daripada ahli teori konspirasi yang percaya terdapat 'pangkalan rahsia makhluk asing' di dalam gunung berapi tersebut.


"Setiap hari, semakin banyak kelibat UFO dilihat dan ia semakin aktif (menunjukkan diri)," kata seorang pengguna media sosial itu yang percaya kewujudan makhluk asing.


Walau bagaimanapun, pengguna lain tidak begitu yakin kerana mereka masih ragu-ragu berkaitan kewujudan makhluk asing, dan mengatakan bahawa objek itu mungkin meteor.


"Saya melihat hujan meteor pada malam tersebut. Pada pendapat saya, ia adalah meteor ( bukan UFO)," ujar seorang netizen.


Baca juga: UFO Dirakam Mengelilingi Letusan Gunung Berapi, Timbulkan Tanda Tanya Dikalangan Warganet.


Sebuah objek didakwa UFO dirakam memasuki kawah gunung berapi Popocatepetl. - Foto Youtube/UFO Sightings Daily.

Sabtu, 25 Disember 2021

Kapal Angkasa NASA Berjaya Rakam Bunyi 'Pelik' Dari Ganymede, Bulan Terbesar Planet Musytari

Kapal Angkasa NASA Berjaya Rakam Bunyi 'Pelik' Dari Ganymede, Bulan Terbesar Planet Musytari


Kapal Angkasa Juno milik Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) berjaya merakamkan beberapa bunyi bising yang datang dari Ganymede, bulan terbesar di planet Musytari, lapor Daily Mail pada 20 Disember 2021.


Rakaman audio 50 saat itu dijana daripada data yang dikumpul semasa penerbangan Juno di Ganymede, 7 Jun lalu. Perkara itu didedahkan oleh Makmal Pendorong Jet NASA.


Rakaman itu terdiri daripada satu siri bunyi pelik pada frekuensi berbeza dari Ganymede, yang merupakan bulan terbesar dalam sistem suria dan satu-satunya bulan dengan medan magnetnya sendiri. Ganymede mempunyai diameter 5,262 kilometer dan lebih besar dari planet Merkuri dan Pluto.


Semasa perjalanan ke-34 misi mengelilingi Musytari, kapal angkasa lepas NASA berkuasa solar itu berada dalam jarak 1,038 kilometer dari permukaan bulan, dan berjaya merakam bunyi bising tersebut.


Penyiasat Utama, Juni Scott Bolton dari Institut Penyelidikan Barat Daya di San Antonio berkata, Juno yang dilancarkan dari Cape Canaveral, Florida, pada Ogos 2011 bagi mengkaji Musytari dari Orbit, tiba di Musytari pada 4 Julai 2016 selepas perjalanan selama lima tahun.


"Jika anda mendengar dengan teliti, anda boleh mendengar perubahan mendadak kepada frekuensi lebih tinggi di sekitar titik tengah rakaman yang mewakili kemasukan ke kawasan lain dalam magnetosfera Ganymede," jelasnya.


Imej Ganymede yang berjaya dirakamkan oleh kapal angkasa lepas Juno.- Foto NASA.

Ahad, 12 Disember 2021

Objek 'misteri' terdampar di pantai disangka piring terbang makhluk asing gemparkan orang ramai

Objek 'misteri' terdampar di pantai disangka piring terbang makhluk asing gemparkan orang ramai


TUMPAT - Penemuan objek besar terdampar di Pantai Geting pada pagi Isnin 6 Disember lalu telah gemparkan orang ramai. Ia turut menimbulkan pelbagai spekulasi termasuk ada yang menganggapnya sebagai piring terbang serta mengaitkannya dengan makhluk asing.


Bagaimanapun sangkaan orang ramai itu melesat apabila Jabatan Laut Malaysia (JLM) menjelaskan, bahawa objek besar yang ditemui terdampar di Pantai tersebut adalah alat bantuan pelayaran yang dikenali sebagai pelampung pandu atau boya.


"Alat itu berfungsi sebagai penunjuk arah selamat di alur pelayaran yang menjadi panduan navigasi kapal, bot dan lain-lain pengguna pengangkutan air.


"Boya milik JLM terbabit ditempatkan di muara Sungai Kelantan di Kuala Besar, Kota Bharu dan hanyut akibat ombak kuat dan air pasang besar baru-baru ini," kata JLM dalam satu kenyataan Khamis lalu.



Kata JLM, satu laporan polis juga telah dibuat di Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat ekoran kejadian itu dan kerja-kerja memindahkan boya berkenaan ke Jeti Pejabat Laut Kuala Besar telah selesai dibuat pada petang Rabu.


"Boya itu kini ditempatkan sementara di jeti Pejabat Laut Kuala Besar," katanya merujuk berita tular Isnin lalu mengenai penemuan objek asing itu yang kemudian menimbulkan pelbagai spekulasi, termasuk ada menganggapnya piring terbang makhluk asing.


Berikutan itu, ramai datang ke lokasi terbabit dan merakamkan gambar kenangan, malah tidak kurang juga memanjat boya berkenaan yang jelas boleh mengundang bahaya.


Sehubungan itu, Pejabat Laut Kuala Besar, Kota Bharu membuat siasatan dan pemantauan bagi mengelakkan orang ramai menghampiri kawasan sekitar. JLM juga kesal dengan tindakan orang ramai yang mendekati boya terbabit termasuk memanjat alat bantuan pelayaran setinggi 5.3 meter itu.


"Boya itu diperbuat daripada bahan jenis keluli dan dikhuatiri boleh mengakibatkan kecederaan sekiranya kemalangan seperti terjatuh atau tergelincir disebabkan licin semasa menceroboh. Tambahan pula, alat ini aset kerajaan dan menjadi satu kesalahan jika ada individu menceroboh atau mendekatinya," katanya.


Pelampung pandu atau boya terdampar di Pantai Geting yang tular pada Isnin lalu. - Foto NSTP.