Ahad, 26 Disember 2021

UFO Dilihat Memasuki Kawah Gunung Berapi, Pakar Dakwa Ia Adalah Pangkalan Makhluk Asing


Seorang ahli teori konspirasi percaya makhluk asing mempunyai pangkalan rahsia di Bumi, selepas sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO) dilihat memasuki sebuah kawah gunung berapi di Mexico, lapor akhbar Daily Star pada 24 Disember 2021.


Scott C. Waring yang mendakwa dirinya pakar makhluk asing, berkongsi klip video memaparkan sebuah UFO memasuki kawah gunung berapi. Perkongsian itu mencetuskan perdebatan sama ada makhluk asing mempunyai pangkalan rahsia di dalam Bumi.


Menurutnya, klip video dirakam secara langsung pada 10 Disember itu memaparkan satu objek terang terbang secara amat perlahan memasuki kawah gunung berapi Popocatepetl, Mexico.


"UFO itu masuk dari bahagian kiri gunung berapi di mana terdapat sebuah lohong di situ. Lohong tersebut mengeluarkan abu, lahar dan awan panas setiap minggu. Saya percaya ia merupakan 'pintu masuk' bagi UFO tersebut," katanya.



Tambah Waring, dia sudah lama percaya bahawa terdapat sebuah pangkalan makhluk asing di bawah gunung berapi Popocatepetl, dekat Bandar Raya Mexico itu.


"Bukan sahaja kelibat UFO sering dilihat berlegar-legar di situ, bahkan ia turut keluar masuk dari kawah tersebut.


"Penduduk tempatan pernah mendakwa terlihat satu makhluk berketinggian 213 sentimeter yang mempunyai bentuk tajam pada bahagian tumit kaki, sedang memanjat gunung berapi tersebut tanpa sebarang peralatan mendaki.


"Bukti kewujudan 'alien' semakin banyak, tidak lama lagi makhluk asing akan memilih untuk mendedahkan diri mereka kepada dunia. Adakah anda bersedia?" katanya.


Waring memuat naik video itu di saluran YouTubenya dan kini menjadi tular, berikutan perkongsian itu dibanjiri komen daripada ahli teori konspirasi yang percaya terdapat 'pangkalan rahsia makhluk asing' di dalam gunung berapi tersebut.


"Setiap hari, semakin banyak kelibat UFO dilihat dan ia semakin aktif (menunjukkan diri)," kata seorang pengguna media sosial itu yang percaya kewujudan makhluk asing.


Walau bagaimanapun, pengguna lain tidak begitu yakin kerana mereka masih ragu-ragu berkaitan kewujudan makhluk asing, dan mengatakan bahawa objek itu mungkin meteor.


"Saya melihat hujan meteor pada malam tersebut. Pada pendapat saya, ia adalah meteor ( bukan UFO)," ujar seorang netizen.


Baca juga: UFO Dirakam Mengelilingi Letusan Gunung Berapi, Timbulkan Tanda Tanya Dikalangan Warganet.


Sebuah objek didakwa UFO dirakam memasuki kawah gunung berapi Popocatepetl. - Foto Youtube/UFO Sightings Daily.


EmoticonEmoticon